Header Ads

Sentuhan Cinta

Advertisement
Dia dilihat keseorangan. Selalu merenung ke luar tingkap biliknya. Wajahnya sugul, tidak ceria. Sudah beberapa kali aku terserempak dengan dia yang sedang termenung. Apa agaknya yang sedang difikirkan? Apa yang bermain-main pada minda tuanya...

Sesekali dia mengusap rambutnya yang beruban itu, dengan gerakan tangan yang longlai. Argh!! Usia yang entah bila kan berakhir, mengapa dia tidak ceria. Tiada bahagia pada renungan matanya. Di manakah cahaya cintanya?


"Mak cik?"

Dia menoleh. Kemudian memandang ke luar lagi.

"Boleh saya temankan mak cik berbual-bual."

Dia memandangku semula. Kemudian mengangguk.

Aku tidak bertanya sudah berapa lama dia di rumah kebajikan ini. Nanti makin menambah luka, membuatnya sebak. Biarkan Kisah sejarah itu ketepi. Aku singgah sekadar ingin memberikannya sinar semula. Sentuhan cinta yang mungkin sudah lama dia terlupa.

"Mak cik nak makan apa? Boleh saya belikan."

Wajahnya sedikit tersenyum. Kulit kusam itu ingin Ku helus, tetapi malu dan canggung membataskan pergerakanku. Manakan tidak, secebis senyum itu sudah pasti sedikit sebanyak hatinya tersentuh dengan kehadiran orang asing sepertiku.

"Cendol."

"Mak cik nak cendol?"

"Bukan."

"Kali terakhir dia datang sini bawa cendol. Kemudian dia tak datang dah..." Mulutnya terkumat kamit.

"Siapa?"

"Dia."

Aku mendesaknya terus bercerita tetapi mak cik itu berhenti di situ. Lama menanti. Namun dia masih tidak mahu bercerita. Airmatanya bergenang.

Aku menjadi faham sekarang. Mungkin 'dia' yang dimaksudkan itu anaknya.

Mengapakah tergamaknya mereka memperlakukan tempat syurga mereka sebegini? Mana rasa belas dan kasih yang dituai sejak kamu sebesar lengan? Manakah rasa sayang dan rindu yang dipupuk sedari kamu dalam pelukan?

Bukan wang ringgitmu yang mereka dambakan. Bukan juga makanan mewah dan barangan berjenama yang menjadi anganan. Tidak sesekali mereka meminta percutian impian di serata benua.

Hanyalah...sentuhan kasih seikhlasnya yang dinanti di muka pintu. Walau kamu sekadar membawa sebungkus 'cendol' demi melawatnya setiap ketika, itu sudah memadai. Sangat membahagiakan.




Hidup di dunia hanyalah sementara. Ketika muda bertenaga, jangan lah engkau sombong menongkat langit. Dan, kebahagiaan itu bukanlah jauhnya kamu menggapai hingga ke hujung dunia. Kebahagiaan datangnya dari kasih sayang ikhlas yang hadir di hadapanmu. Ada dalam genggamanmu. Hanya jika kamu memahami erti sebuah sentuhan, maka kamu hidup dalam dunia cinta yang indah.

Sentuhan kasih adalah ketika kamu menyayangi dengan tidak mengharap balasan, sebaliknya merasai bahagia yang menyinari hari-hari mendatang.

Sekuat manapun rindu dan cinta pasangan kekasih tidak akan sama kuat dan teguhnya rindu seorang IBU bapa kepada anaknya.


Advertisement

No comments

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.