Now you can Subscribe using RSS

Submit your Email

Jun 5, 2017

Sinopsis Drama Dan Pelakon Semusim Rindu

aynora nur
Sinopsis Drama Dan Pelakon Semusim Rindu. Semusim Rindu adalah drama adaptasi dari novel Semusim Rindu karya Aleya Aneesa. Drama ini sudahpun bersiaran di Astro setiap Isnin hingga Jumaat pada pukul 6.00 petang. Drama ini dibintangi oleh pelakon baru dan lama yang bakal melonjakkan drama adaptasi tersebut.

Mesti ramai yang ternantikan kemunculan Intan Ladyana setelah beberapa tahun tidak berlakon. Dalam drama ini Intan Ladyana berlakon sebagi watak utama dan tunjang perjalanan cerita Semusim Rindu. Dia memegang watak sebagai Hajar Adira yang melalui kepahitan hidup dari zaman kecilnya hinggalah dewasa. Dapatkah Hajar bertahan demi untuk menegakkan kebenaran?

Senarai Pelakon Semusim Rindu 


Sinopsis Drama Dan Pelakon Semusim Rindu

PARA PELAKON Semusim Rindu adalah: Ben Amir, Intan Ladyana, Aizat Hassan, Yerlly Yarifin, Dayang Areeda, Haliza Misbun, Kartina Aziz
  • Ben Amir sebagai ‘Ikhman’
  • Intan Ladyana sebagai ‘Hajar / Hani’
  • Dayang Areeda sebagai ‘Hanna’
  • Haliza Misbun sebagai ‘Datin Nasriah’
  • Kartina Aziz sebagai ‘Nazimah’

TARIKH TAYANGAN : 29 Mei 2017
HARI & MASA : Isnin – Jumaat, jam 6.00 petang
EPISOD: 40 Episod semuanya
SIARAN : Astro Prima -105 & Maya HD -135
PENULIS NOVEL : Aleya Aneesa
PENGARAH : Ejump Zahir
TERBITAN : MIG Production Sdn Bhd

Sinopsis Drama Semusim Rindu 


Sumber : aznanie

Hajar Adira didera mental dan fizikal oleh ibu saudaranya, Nazimah setelah kematian ibu bapanya. Tidak tahan dengan seksaan itu, Hajar Adira nekad melarikan diri ke Johor, untuk bertemu dengan mak ngahnya, Nasriah. Namun dalam usia 10 tahun, apalah sangat dayanya. Akhirnya, nasibnya terbela dengan bertemunya seorang insan berhati mulia, Firdaus dan isterinya, Fauziah. Mereka berdualah yang memberi kasih sayang dan penjagaan yang sempurna kepadanya.

Semenjak kematian Fauziah dan kemalangan yang menimpa Firdaus sehingga membuatkan kakinya lumpuh, Hajar Adira lah yang mengambil alih tugas menyara keluarga itu. Menyara 3 lagi adik-adiknya. Walaupun bukan keluarga kandungnya namun Hajar Adira tidak betah membiarkan mereka ditimpa kesusahan. Bagi Hajar Adira itulah keluarganya setelah dia dibuang saudaranya sendiri.

Dalam kemelut mencari sesuap nasi untuk menyara keluarga yang serba kekurangan, muncul Ikhman, lelaki yang mengharu-birukan hidupnya. Hatinya sakit bila berdepan dengan lelaki itu. Ada saja agenda lelaki itu yang menyusahkan dirinya. Sebenarnya, Ikhman telah jatuh hati pada Hajar Adira. Namun keegoan diri menghalang untuk dia berterus-terang. Bimbang di tolak perasaannya oleh Hajar Adira. Juga takut maruah dirinya jatuh di depan Hajar Adira.

15 tahun mencari, baru lah Hilal menemui Hajar Adira. Namun masa 15 tahun itu belum cukup lama untuk membalut luka. Ianya masih berdarah. Bukan senang memberi kemaafan setelah diri puas di mamah derita. Sesungguhnya kemaafan adalah dendam yang terindah.

Keinginan Hilal untuk menyatukan Hajar Adira dengan Ikhman terlaksana bila mereka berdua menyetujuinya. Walaupun begitu Hajar Adira masih sangsi akan perasaannya. Yakin Ikhman tidak mencintainya, sebagaimana dirinya di kala itu. Namun dia pasrah akhirnya.

Setelah disatukan, Hajar tidak mahu serumah dengan Ikhman. Mereka bersetuju membawa haluan masing-masing. Sebenarnya Hajar takut Ikhman akan meninggalkannya dan mempersia-siakannya setelah dirinya dimiliki. Hajar tidak mahu mengulangi kesakitan dulu. Cukuplah dirinya diseksa dan didera.

Namun hati dan perasaan adalah sesuatu yang sukar di kawal. Bila ia hadir sesiapa pun tak mampu menghalangnya. Begitu juga bila cinta untuk Ikhman hadir dalam hati Hajar. Ada rindu yang menggebu untuk suaminya itu. Namun tak terluah dengan kata-kata.

Di saat hati semakin pasti pada perasaan sendiri, Hajar Adira di uji lagi. Rumahtangganya bergoncang lagi. Gara-gara sifat dendam Nazimah yang sengaja menabur fitnah padanya sehinggakan ibu mertuanya, Nasriah termakan dengan kata-kata kakaknya itu. Hajar Adira pasrah. Tak guna menegak keadilan andai hati sudah tertutup menerima kebenaran. Bersama kelukaan Hajar Adira membawa diri. Pergi bersama lara diri.

Hatinya semakin terluka bila Firdaus, ayah yang selama ini menyokongnya pun mempertikaikan kesetiaanya. Dia membawa diri ke luar negara. Menyambung pelajaran yang terbantut dahulu. Sebelum pergi telah diserahkan tanggungjawab menjaga Syarikat Sakura kepada Ikhman.

Kebenaran terserlah. Azim dan Yuha menceritakan apa yang sebenarnya terjadi. Nasriah terkaku malu. Begitu jugak dengan Husna yang lancang menuduh Hajar. Jugak Firdaus terus rebah bila diberitahu yang Hajar tidak bersalah. Rasa bersalahnya memakan diri sehingga terlantar di hospital. Ikhman tak berhenti mencari isterinya namun menemui jalan buntu.

Setelah Hajar berjaya dijejaki, Ikhman memujuk dan merayu agar dirinya diberi keampunan. Setelah yakin akan keikhlasan Ikhman, Hajar Adira melembutkan hatinya. Bersedia menerima kembali Ikhman dalam hidupnya mentelah dia pun turut mengakui yang dirinya telah jatuh cinta pada suaminya itu.

Daripada Goodreads pula, saya sambungkan sinopsis daripada novel Semusim Rindu.

Di sebalik senyumannya... ada tangisan yang panjang. Keperitan hidup menjadi anak buangan membuatkan Hajar Adira begitu berhati-hati. 15 tahun dia cuba membalut luka tetapi sehingga kini luka itu masih berdarah. Selagi parut itu masih ada, kemaafan untuk mereka mungkin tiada. Dulu Hajar pernah mengemis kasih sayang saudara sendiri, kini kasih itu tidak diperlukan lagi. Cukuplah jiwanya menderita dan zahirnya terseksa...

Benarlah... perasaan itu sememangnya sesuatu yang hidup. Hari ini tiada tapi esok mungkin ada. Hari ini ada, mungkin esok tiada. Tapi Hajar tahu perasaannya pada Ikhman tidak akan sirna sampai bila-bila. Bukan senang untuk dia jatuh cinta! Bila sekali perasaan itu bertapak, tiada apa yang mampu menghilangkan rasa cinta walaupun perasaan dendam pernah berapi di dadanya. Sesungguhnya kemaafan adalah dendam yang terindah...

Sungguh... Hajar rindu pada Ikhman. Tapi dia terlalu takut dilukai hingga tanpa sedar dia sebenarnya melukai hati dan perasaannya sendiri. Mungkin ini suratan yang tertulis dalam lipatan hidupnya. Di saat dia baru belajar bertatih untuk menerima dan memberi Ikhman kasih sayang yang tidak berbelah bahagi, dia dibiarkan terkapai-kapai seorang diri. Dan... yang paling perit dia dituduh menduakan suami sendiri! Inikah balasan ALLAH pada dirinya yang ingkar?

Akhirnya... kata putus harus diambil. Biarpun kasihnya digantung tidak bertali, status sebagai isteri tidak akan sesekali dicemari. Jika perpisahan menjanjikan penyatuan dua hati, dia rela berlari dan terus berlari demi mencari kebahagiaan sendiri. Yang pasti dia tidak mahu menjadi seperti bunga, dihirup madunya kemudian ditinggalkan begitu saja. Apakah Ikhman tahu maksudnya?

Panjang lebar nampaknya sinopsis Semusim Rindu yang dikongsikan. Novel karya Aleya Aneesa ni terbitan Alaf 21. Novel yang penuh dengan kisah kekeluargaan, dendam dan kasih sayang. 

Semoga drama adaptasi dari novel Semusim Rindu ini dapat memberikan banyak pengajaran kepada kita untuk menjalani kehidupan di alam fana ini.

aynora nur / Author & Editor

Mykarya.com adalah blog perkongsian e-novel, cerita korea dan drama melayu.

0 comments:

Post a Comment

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Coprights @ 2016, Blogger Templates Designed By Templateism | Distributed By Gooyaabi Templates