Header Ads

Kerana Kamu Memburu Syurga Yang Dirindukan

Kerana Kamu Memburu Syurga Yang Dirindukan

Kecilnya kamu telah redha
Berpisah terbawa diri di ruang asing
Dengan rasa keliru yang tak terluah
Belum faham rentak jalan yang dipilihkan
Atau kerana kamu anak yang tulus

Dalam debar menghela nafas pelajaran baru
Kamu menyimpan rasa yang dalam
Kerinduan kepada insan tersayang
Yang masih tak terbayangkan
Diluah atau dipendam dalam-dalam..

Kerana Kamu Memburu Syurga Yang Dirindukan

Seputih kain warna tercorak
Dari dakapan bonda dan ayahanda
Kamu berlari arah belum tentu
Namun melepaskan jua pautan ditangan
Kerana memburu syurga yang dirindukan

Anakku yang kupanggil ahli syurga
Tak dapat lagi kurenungi bening mata
Dikala tersimpul tanya dijiwa
Disaat ada persoalan ilmu yang tak dicerna
Tentu kamu malu malu dalam dilema
Kerana begitulah kamu...
Bak kain putih yang belum tercela..

Oh Tuhan
Kesayuan ini tak mampu ku tahankan
Robeknya hati menahan ngilu
Dikala cakrawala memacu tinta
Mencanang derita di media massa
Tentang kepergian kalian..
Yang takkan pernah kembali

Tika muazzin melaung menyeru
Ke jalan Allah dan kejayaan
Tika itu dalam raungan nestapa
Subuh hening berlagu syahdu
Saksikan satu demi satu
Anak-anakku.. rebah dalam kepanasan api dunia.

Apakah salah, apakah dosa
Mereka tak minta belas ehsan
Tak pula merayu barangan kemewahan
Sekadar menumpang lena untuk menyambung tenaga
Untuk esok lusa...
Yang belum tentu jalannya..
Namun tangan-tangan itu
Bermatakan syaitan durjana..
Membunuh mereka yang bermimpikan syurga

Kerana Kamu Memburu Syurga Yang Dirindukan

Dikala bertemu jawapan demi jawapan
Benar atau salah hukuman dijatuhkan
Angkara kesumat helah masalah duniawi
Yang suci dan redha menjadi mangsa
Yang tenang mata naluri diadili tanpa ilmu
Akhirnya kamu telah membunuh sejuta rasa
Mereka yang tinggal...

Satu masa nanti
Bila sang pesalah, kamu dan mereka
Berkunjung ke pusara tak bernyawa ini
Ketahuilah bahawa penyesalan kamu
Takkan dapat memadam
Amarah yang masih hidup
Dalam senyap dan pilu
Di hati kami, saksi dunia...

Yang keliru,
Aynora Nur
September, 2017

# Takziah kepada ahli keluarga mangsa kebakaran angkara dengki dan khianat serta dendam di Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyyah pada 14 September 2017

Semoga diangkat darjat mereka di kalangan hamba-hambaNya yang soleh, dilimpahi taufik dan hidayah hingga ke hari akhirat.

Advertisement

No comments

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.