Showing posts with label Catatan Kehidupan. Show all posts
Showing posts with label Catatan Kehidupan. Show all posts

Sentuhan Cinta

Dia dilihat keseorangan. Selalu merenung ke luar tingkap biliknya. Wajahnya sugul, tidak ceria. Sudah beberapa kali aku terserempak dengan dia yang sedang termenung. Apa agaknya yang sedang difikirkan? Apa yang bermain-main pada minda tuanya...

Sesekali dia mengusap rambutnya yang beruban itu, dengan gerakan tangan yang longlai. Argh!! Usia yang entah bila kan berakhir, mengapa dia tidak ceria. Tiada bahagia pada renungan matanya. Di manakah cahaya cintanya?


"Mak cik?"

Dia menoleh. Kemudian memandang ke luar lagi.

"Boleh saya temankan mak cik berbual-bual."

Dia memandangku semula. Kemudian mengangguk.

Aku tidak bertanya sudah berapa lama dia di rumah kebajikan ini. Nanti makin menambah luka, membuatnya sebak. Biarkan Kisah sejarah itu ketepi. Aku singgah sekadar ingin memberikannya sinar semula. Sentuhan cinta yang mungkin sudah lama dia terlupa.

"Mak cik nak makan apa? Boleh saya belikan."

Wajahnya sedikit tersenyum. Kulit kusam itu ingin Ku helus, tetapi malu dan canggung membataskan pergerakanku. Manakan tidak, secebis senyum itu sudah pasti sedikit sebanyak hatinya tersentuh dengan kehadiran orang asing sepertiku.

"Cendol."

"Mak cik nak cendol?"

"Bukan."

"Kali terakhir dia datang sini bawa cendol. Kemudian dia tak datang dah..." Mulutnya terkumat kamit.

"Siapa?"

"Dia."

Aku mendesaknya terus bercerita tetapi mak cik itu berhenti di situ. Lama menanti. Namun dia masih tidak mahu bercerita. Airmatanya bergenang.

Aku menjadi faham sekarang. Mungkin 'dia' yang dimaksudkan itu anaknya.

Mengapakah tergamaknya mereka memperlakukan tempat syurga mereka sebegini? Mana rasa belas dan kasih yang dituai sejak kamu sebesar lengan? Manakah rasa sayang dan rindu yang dipupuk sedari kamu dalam pelukan?

Bukan wang ringgitmu yang mereka dambakan. Bukan juga makanan mewah dan barangan berjenama yang menjadi anganan. Tidak sesekali mereka meminta percutian impian di serata benua.

Hanyalah...sentuhan kasih seikhlasnya yang dinanti di muka pintu. Walau kamu sekadar membawa sebungkus 'cendol' demi melawatnya setiap ketika, itu sudah memadai. Sangat membahagiakan.




Hidup di dunia hanyalah sementara. Ketika muda bertenaga, jangan lah engkau sombong menongkat langit. Dan, kebahagiaan itu bukanlah jauhnya kamu menggapai hingga ke hujung dunia. Kebahagiaan datangnya dari kasih sayang ikhlas yang hadir di hadapanmu. Ada dalam genggamanmu. Hanya jika kamu memahami erti sebuah sentuhan, maka kamu hidup dalam dunia cinta yang indah.

Sentuhan kasih adalah ketika kamu menyayangi dengan tidak mengharap balasan, sebaliknya merasai bahagia yang menyinari hari-hari mendatang.

Sekuat manapun rindu dan cinta pasangan kekasih tidak akan sama kuat dan teguhnya rindu seorang IBU bapa kepada anaknya.


spacer

Tiga Novel Terbaru Daripada Penulis Muda

Semasa berjalan di MPH, AEON Co saya sempat menyambar 3 buah novel terbaru karya penulis muda yang berbakat besar. Kebanyakan karya mereka ada disiarkan di blog ataupun penulisan2u. Jadi tidak susah bagi saya untuk mencarinya.



Novel terbaru yang saya beli adalah,

  1. Jangan Merajuk Sayang ~ Lynn Allyna
  2. Bila Nak Saksi ~ Rehan Makhtar
  3. Sayang Awak, Sayang ~ Murni Aqila 

Ada yang saya sudah habis baca dan ada juga yang saya baru baca sinopsisnya. Kebelakangan ini agak busy sikit, jadi aktiviti membaca memakan masa yang agak lama. Oleh kerana 3 novel terbaru yang saya baru beli di atas tidak terlalu berat, saya menanam azam untuk menghabiskan pembacaan saya pada hujung minggu ini.


Kepada para peserta PBAKL yang sedang berlangsung dari 26 April 2013 ~ 5 Mei 2013, semoga suksess dengan pameran yang dijalankan. Harapnya banyak buku berkualiti yang dapat dijual dan menambah lagi bilangan penulis amatur yang akan lahir.

Semoga berjaya! Dan, selamat menghabiskan baca novel kepada diri sendiri...
                     

spacer

Sesekali...



Cinta...
kamu tetap bertahan kerana campur antara kesakitan dan kegembiraan yang membutakan dan tak terfahami ... menarikmu mendekati dan tetap bersamanya?

Cinta...
kamu menerima kesalahannya kerana itu bahagian dirinya dan siapa dirinya?

Cinta...
kamu tertarik dengan orang lain tapi setia dengannya tanpa penyesalan?

Cinta...
kamu menangis kerana kesakitannya walaupun saat itu dia kuat?
hatimu sakit dan hancur ketika dia bersedih?

Cinta...
hatimu gembira ketika dia berbahagia?
matanya melihat hatimu dan menyentuh jiwamu begitu mendalam sehingga menusuk?

Yang demikian itulah namanya CINTA.
spacer

"Gembira itu Sedih..."

Salam sayang pembaca semua...

Saya ingin berkongsi rasa. Saya ingin berkongsi cerita. Antara sedih ada gembiranya...

Pada subuh 2/12/2010 saya menerima panggilan dari abang long.

"Ada berita gembira, dik..."

"Ada apa long?"

"Abah sudah meninggal dunia di Mekah. Abah tidak akan kembali ke Malaysia. Jenazahnya akan diuruskan oleh Tabung Haji di sana."

Saya hanya mampu mengucap. Tetapi tanpa rasa sebak atau sedih. Saya rasa lapang. Saya rasa lega. Akhirnya abah yang kami sayangi kembali ke pangkuan penciptaNya pada usia 67 tahun setelah lebih kurang dua minggu dimasukkan ke hospital kerana terkena jangkitan kuman. Maha Besar Allah...

Namun airmata saya luruh jua tatkala membaca Yasin selepas solat Subuh. Dalam hati saya bersyukur, abah memang layak menerimanya. Pergi ketika masih di dalam ihram...

Sebagai renungan, di bawah saya kongsikan Hikmah Haji.

Banyak maksud-maksud Al-Quran dan hadis-hadis nabi, yang menghuraikan keistimewaan ibadat haji, umrah dan tanah suci Makkah, diantaranya ialah:

1. Perbelanjaan yang dikeluaran untuk ibadat haji adalah seperti perbelanjaan untuk Fisabilillah, satu dirham digandakan dengan 700.

2. Siapa yang mengerjakan haji kerana Allah dan tiada merosakkannya dengan sebab bersetubuh dan tidak membuat sebarang maksiat, maka pulangnya kelak adalah seperti hari yang ia dilahirkan oleh ibunya.

3. Iringilah haji itu dengan melakukan umrah, kerana kedua-duanya akan menghapuskan kemiskinan dan dosa, laksana relau yang menghakis segala kotoran besi, emas dan perak. Tiadalah lain lagi ganjaran bagi haji yang mabrur melainkan syurga. Haji yang mabrur ialah pekerjaan haji yang tidak bercampur de­ngan dosa sejak dari ihram hingga tahallul.

4. Para jemaah haji dan orang-orang yang umrah semuanya tetamu Allah, jika mereka berdoa kepada-Nya akan diperkenankan, jika mereka pohonkan keampunan akan diampunkan dosa mereka.

5. Baitullah ini adalah tunjang Islam, sesiapa yang keluar kerana mengunjunginya untuk mengerjakan haji atau umrah, ia dijamin oleh Allah, jika meninggal ia akan dimasukkan ke syurga-Nya, jika ia pulang semula ia pulang dengan ganjaran pahala dan harta.

6. Setiap hari Allah menurunkan 120 rahmat un­tuk orang-orang yang haji ke Baitullah, 60 rahmat untuk orang yang bertawaf, 40 rahmat untuk yang sembahyang dan 20 rahmat untuk yang memandang kepada Kaabah.

7. Siapa yang bersabar menanggung satu saat panas siang hari di negeri Makkah, Allah akan jauhkan dia 100 tahun lamanya dari neraka Jahannam.

8. Siapa yang meninggal dalam pelayarannya ke tanah suci Makkah sama ada pada waktu pergi atau pulangnya, segala dosa tidak akan dipamerkan dan tidak akan dikira pada hari Kiamat. Dalam satu riwayat yang lain ia akan diampunkan.

9. Siapa yang bersabar menanggung sakit sehari di Makkah, akan Allah tuliskan pahala amal salih yang dikerjakan olehnya di luar Makkah sebanyak 60 tahun lamanya.

10. Siapa yang meninggal di negeri Makkah seolah-olah ia telah meninggal di langit dunia.

11. Setengah dari tanda-tanda haji yang diterima ialah; ia melakukan kebaikan dan amalan yang melebihi dari dahulu dan tidak lagi terdorong ke arah perkara-perkara maksiat.


Kredit kepada : http://doaharian.blogspot.com/
spacer