Enter your keyword

Showing posts with label Coretan Cinta Pembangun Jiwa. Show all posts
Showing posts with label Coretan Cinta Pembangun Jiwa. Show all posts

Dec 16, 2016

Aku Manusia Penuh Khilaf

By On 16.12.16
Aku Manusia Penuh Khilaf. Sering tersasar dalam kemelut nafsu dibayangi dendam. Khilaf yang sering berlaku, berulang-ulang mengundang pedih hati yang tak terjaga. Fikiran celaru tak selaras dengan tindakan, mengkucar kacirkan perasaan insan yang ikhlas.

Aku manusia khilaf. Dalam mencatur perjalanan berseorangan. Ketika amarah menggugah tenang, lupa kebaikan yang pernah ditabur. Lupa segala tawa canda masa lalu yang dilalui dalam ranjau berduri. Itulah aku, manusia penuh khilaf bila Allah datangi ujian sekali lagi.


Aku Manusia Penuh Khilaf 


Aku Manusia Penuh Khilaf

Telah mengadu pada Mu ya Allah, khilaf yang dilakukan menurut perasaan. Kontang hati dan kering jasad, didatangi syaitan merajai diri. Lantas entah apa haluan hidup di pilih. Sayu pilu mata sang kekasih, mengharap sinar bahagia di hujung liku. Apakan daya, diri penuh noda dan dosa, moga ada kemaafan di akhir perjalanan.

Akui diri penuh dosa, bukan mengaku diri sendiri seorang yang sempurna. Biarlah setelah pengakuan berdosa ini, kamu tidak didatangi kawan seperti selalu. Tak mengapa. Allah selalu ada. ALLAH ada. Disisimu, selalu dan selama-lamanya. Jika diri dipandang penuh dosa, biarlah manusia manusia hipokrit itu bergembira dengan pandangan sinis mereka.

Tetapi Allah yang menjadikan kita, Dia Maha Mengetahui kenapa kita yang terpilih untuk diuji dengan dosa dan akhirnya kembali semula memohon ampunan kepadaNya. Bukankah dia telah mengakui khilafnya di hadapan Allah. Siapa kini yang Allah lebih sayang? Orang yang terbiar tidak diuji atau hambaNya yang selalu didatangi ujian? Kerana apa? Kerana Allah masih sayangkannya. ALLAH mahu dia kembali suci setelah bertaubat.

Sedihlah duhai hati hati yang tidak diuji, empunya bibir yang mencanang dusta dan dosa silam seseorang, kerana ini mungkin juga ujian buatmu, Allah ingin kamu tutupi aib saudara yang lain bila mereka tersungkur. Tetapi apa yang telah kamu lakukan bila melihat orang lain diuji sebegitu rupa?

Diamkan saja, pesan bonda bila itu berlaku. Allah kan ada..., biar Allah yang membalasnya. Kerana kini kamu dalam tidak berdaya...

Allahu...  

#Mykarya.Com
Segala sesuatu dalam hidup ini akan pergi dan tidak pernah lagi kembali, ;) :) kecuali DOA. Ia pergi dengan HARAPAN dan Ia kembali dengan REDHA dan KURNIA..

Dec 2, 2015

Tidak Ternilai

By On 2.12.15
Siapa menjangka. Dia adalah orangnya. Dia dengan wajah manis. Senyuman tidak pernah lekang dari bibirnya. Dia yang suka bercanda. Mesra menegur kami, walau dalam kesibukannya.

Dalam kekangan masa. Dia sempat bertegur sapa. Cukup sekadar senyuman ikhlasnya. Jiwa yang penat kembali lega.




Dia orang biasa macam kita. Dia juga tidak bergaya kaya yang boleh menutup mata orang yang materialistik sifatnya. Perniagaan itu ibadah buatnya. Sambil menerima dia terus memberi, itu sikapnya.


Tidak Ternilai


Nilai pemberian itu. Mungkin bukan untukmu. Juga bukan untukku. Nilai yang sedikit itu, diberikan tanpa kata, tanpa paksaan. Setiap nilai yang kecil, besar jumlahnya buat mereka yang amat perlu. Dia disitu. Tidak mengharap kilauan lensa kamera. Untuk namanya dijaja merata. Nilai baik yang dipamer, buat aku terpana. Dalam diam aku mengira. Jika nilai sekecil itu diberi setiap kali ada pelanggan memberikan Wang kecil, bagaimana pula jumlahnya jika sehari ada lebih 100 orang yang berbelanja. Bukankah nilainya mengalir tak berhenti? Nilai kebaikan yang Malaikat catatkan dalam buku amalnya. Subhanallah...

Allah tidak memandang siapa yang menghulurkan bahagian dari hartanya sebaliknya Dia melihat nilai keikhlasan yang ada dalam hati setiap manusia.

Memberi itu lebih baik dari menerima.

Nov 28, 2015

Sepasang Mata Yang Teduh

By On 28.11.15
Sewaktu dia tiba, aku sedang menghirup sesudu air chikong panas sambil tangan kiri bermain dengan telefon. Dia memandang sekilas, aku membalas sekali lalu. Lagak seorang wanita yang ego. Ego dan Wanita...itu tanda mahalnya nilai maruah seorang wanita. Harus ada kelas! Itu gurauan kami bila ada mata lelaki cuba memancing..

Sepasang Mata Yang Teduh


Dia meletakkan sekotak rokok berwarna merah. Di tepi kiri meja. Telefon pun disusun di sebelah kotak rokok. Sambil mataku membaca whatsapp dari group sekolah, sesekali terjeling si lelaki yang keseorangan itu. Bila dia menyedari aku cuba menyapa secara tak sengaja, matanya pula cuba menyampaikan senyum. Tanda salam perkenalan.

Teduh matanya.

Belum ku sambut salamnya. Dia memanggil pelayan. Memesan mi goreng basah dan teh tarik. Aku mula meneroka. Apa ada pada matanya yang teduh itu. Sudahkah dirinya berpunya. Tetapi mengapa berseorangan. Argh!! Aku menyibuk sedangkan aku pun berseorangan. Tetapi aku tidak berwajah sedih. Hatiku sedang berbunga riang. Aku memang sengaja mahu bersendiri. Tekanan kerja selalu membawa aku ke kafe ini. Untuk bertenang...

Sedangkan dia, teduh matanya umpama menyimpul sebuah derita. Ataupun cerita. Matanya pun hanya menatap sepinggan mi goreng basah dengan kosong. Tiada rasa. Dan aku pun tidak merasa auranya.


Sepasang Mata Yang Teduh


Adakah dia seorang lelaki yang terluka? Teduh matanya tanda dia sedang merawat duka? Di sebalik hirupan chikong panas ini, ada aura duka yang hinggap pada pelupuk mataku. Jika lelaki itu disapa dugaan hidup, aku berharap dia kembali ke alam nyata. Lelaki dan duka adalah cerita basi yang singgah sekali lalu dan mudah dibawa angin masa. Esok lusa aku pasti lelaki itu sudah boleh ketawa. Kerana...jiwa lelaki tak betah menahan sedih terlalu lama.

Dalam rapuhnya perasaan seorang lelaki, dia ada kekuatan yang terselindung. Aku percaya itu! Kerana seorang lelaki menangis, airmatanya jatuh ke hati. Lalu membawa gelombang positif untuk kembali bangkit.

Aku pasti sepasang mata yang teduh itu akan kembali menyinari alam ini. Berikan dia masa.

Aug 30, 2014

Doa Mendekatkan Kita

By On 30.8.14
Jarak sebagai pemisah

Kita semuanya sudah lama terpisah. Walau duduk dekat seinci, berteduh di bawah bumbung yang sama, makan sepinggan pun sebenarnya kita tidak bersatu. Kita jauh kerana jarak. Jarak antara kita sudah lama berlaku. Ia disitu beribu tahun lamanya. Jarak itu pemisah kita. Apatah jika memang kita berjauhan, terpisah oleh benua dan lautan. Ya...kita telah amat jauh antara satu sama lain. Sedarkah kita?



Tetapi...doa menjadikan kita dekat.

Jika jarak terus menghalang sebuah renungan kasih hinggap dimata. Jika jarak menyukarkan suara kita untuk  saling bertingkah. Jika jauhnya tanganmu untuk digapai, bolehkah kita menjadi dekat? Tentu saja boleh, maka berdoalah! Dengan doa segala yang mustahil menjadi mungkin dengan izin dan perkenanNya. Hanya dengan berdoa, yang jauh menjadi dekat. Ingatan yang mesra dan baik terhadap yang tersayang juga merupakan doa. Doa adalah pengharapan. Doa adalah tanda kasih. Doa adalah keajaiban terhadap keinginan-keinginan kita. Doa adalah sahabat akrab terhadap sang pendosa silam yang sedang melalui jalan yang baru. Jalan yang putih...

Jarak tidak menjadikan kita jauh kerana doa-doa yang ikhlas menjadikan kita dekat.

 "DOA ADALAH SENJATA ORANG MUKMIN."

Dari Ali r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
"Doa adalah senjata bagi orang-orang mukmin, tiang bagi agama, dan nur bagi langit dan bumi".
(HR Hakim)

Dari Abu Hurairah ia berkata : Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda :
 “Tiga golongan yang permohonannya tidak akan ditolak, iaitu orang yang sedang berpuasa sampai dia berbuka ; seorang imam yang adil ; dan seorang yang sedang teraniaya, maka permohonannya diangkat oleh Allah sampai ke angkasa dan dibukakan pintu-pintu langit untuk dirinya; lalu Tuhan Yang Maha Perkasa dan Maha Tinggi berfirman: “ Demi kejayaan-Ku , pasti Aku akan menolongmu, walaupun beberapa saat kemudian.”

"Dan sesungguhnya dariMu ya Allah, aku bermohon agar jarak antara kami kau dekatkanlah dalam ikatan silaturrahim yang menuju jalanMu dan selalu berada di atas landasan yang Engkau berkati. Amiin..."

Aug 2, 2014

Ketika Dia Telah Tiada

By On 2.8.14
Lelaki itu termenung. Lembayung senja datang hampiri. Langit sudah tak secerah tadi. Langkah mahu di atur pergi. Keluhan kecil terlepas jua.



Bayangan seseorang datang dan pergi, laksana rasa rindunya yang begitu. Mahu dibuang terasa sayang, hendak disimpan hati semakin lelah.

Dia lelaki. Perasaannya hanya untuk diri sendiri. Biar lukanya berdarah tak nampak di mata, dia tegar menyimpan harga sebuah ego demi menjaga hati banyak pihak. Terkadang dalam sepinya, hati menangis tak siapa yang tahu.

Dia pergi kerana terpaksa.

Rasa kasihnya, timbunan sayangnya...dia relakan dibawa pergi. Ketika dia telah tiada, hatinya rawan kosong dan hiba. Mencari cahaya dalam samar bayangan malam, bila terjaga hanya sebak yang menghuni ruang jiwa. Merelakan sebuah kepergian yang terpaksa!

Sesekali...
Dia menyelak album kenangan
Mengurai lembaran tarbiyah cinta Illahi
Yang dijalani bersama-sama
Lantas,
Sesalan tak pernah hadir
Kerana lelaki itu tak pernah memadam
Segala kebaikan yang dikongsi
Untuk melepaskannya jauh sekali

Doa demi doa dikirim
Titian silaturrahim semakin teguh
Walau tidak pernah berjumpa
Ikatan mereka takkan terlerai...

Hanya kerana cintanya untuk Allah..
Cinta dan mencintai kerana izinNya
Mengasihi pun demi takdirNya
Hanya kerana Allah, dia datang dan pergi
Meminjamkan serelung bahagia

Hiba dalam bahagia
Ketika dia telah tiada...

Jun 11, 2014

Bangunkan Jiwa Yang Rebah

By On 11.6.14
Sabar adalah harta yang menguntungkan

Marah adalah sifat manusia yang lemah. Kerana lemahnya kita, seringkali jiwa menjadi tumbang angkara sedikit dugaan. Dendam bermaharajalela lantaran sebuah kehendak yang gagal. Kita tidak boleh terus terusan leka, hanyut diamuk rasa amarah. Bukankah Tuhan ajarkan kita supaya sabar? Sabar bukannya emas yang boleh kita bangga-banggakan, jauh sekali untuk bermegah diri. Sabar itu sebutir harta, yang jauh di sudut hati menjadi batas dan asas sebuah tindakan paling tenang. Reda lah...




Teman yang paling akrab adalah amal

Hidup yang dijalani, di mana rezeki dikutip buat mengalas perut hingga ke petang, pernahkah sedetik terlintas pada fikiran. Ada atau tidak rezeki yang sedikit itu kita syukuri? Pernahkah tanpa kata, sedekah dihulur buat mereka-mereka yang hanyut hidupnya. Lemah langkah tiada bekalan. Tegarkah kita menderum dalam dingin kereta mewah, membiarkan tangan-tangan lesu meminta sesuap rezeki kita? Amalan yang akrab yang sering kita pasungkan pada hati, pada langkah, pada tubuh, pada lidah dan juga pada mata...siapakah mereka? Siapakah teman akrab kita? Tanyakan iman, di mana diri kita di setiap hari baru bermula.

Diam lebih berharga untuk mengawal diri 

Dalam perjalanan yang berliku, menempuh cabang dugaan dan cabaran tentunya kita pernah sesekali terlajak kata dan laku. Buat apa dilayan ombak fitnah dan angin lalu yang membawa berita bisu. Diamkan sahaja semua itu. Berbalas kata dan kejian yang tak berilmu hanya membawa hati semakin kelam. Hitam itu tidak membawa keberkatan pada hati, semakin kita berbalah-balahan...fitnah menjadi biasa. Akhirnya dosa menjadi bekalan sedangkan diam boleh menghadiahkan sinar pahala buat kita, buat kamu...

Bahasa yang paling manis adalah senyum

Senyum ibarat cahaya matahari pagi bagi sebuah kehidupan yang baru bermula. Senyum punya pancaran dan pesonanya yang tulus menjadi teman sepanjang hidup, selagi ada nyawa yang dikandung badan. Senyum adalah bahasa tubuh, menggambarkan hidup bahagia insan. Jika senyum boleh mengubati lelah di sepanjang perjalananmu...kutiplah senyuman itu walau di mana kaki melangkah. 

Senyuman yang ikhlas menjadi indah dan lontaran bahasa yang mudahnya untuk dihadam oleh perasaan seorang manusia.

Diam dan sentiasa tersenyum...mencambahkan sifat sabar yang indah! Begitulah hidup berpusing dengan waktunya...

Apr 21, 2014

Ingatan Yang Tertangguh

By On 21.4.14
Ada sesuatu yang belum kesampaian. Pernah satu ketika aku berhajat menyampaikan sesuatu. Waktu itu tiada sengketa yang melanda sebuah persahabatan itu. Sesuatu yang ingin disampaikan adalah sebuah buku untuk perkongsian denganmu, sahabat...




Sebuah Kisah BUMI CINTA yang mengajarkan kita untuk  tabah dalam perjuangan mempertahankan agama Allah walau di mana kita berada. Segala cabaran, cacian, hinaan, dugaan, godaan dan amalan yang kita pegang di bumi Tuhan, mampukah kekal dihati sampai mati?

Bila jarak dan jurang waktu memisahkan kita, apakah cara terbaik untuk sahabat ini menyampaikan hadiah tersebut. Atau kamu sudah tidak inginkan lagi pemberian tanda ingatan ini?

Pada Tuhan aku selalu bertanya. Relevankah aku menyimpan persahabatan kita kerana biasanya aku yang ternanti-nanti khabarmu. Haruskah hadiah yang masih tersimpan di biarkan sahaja sehingga satu waktu kamu datang mengambilnya? Sehingga ada ingatanmu pada seorang sahabat baik yang masih belum berhenti menunggu?

Kau Selalu Ada Dalam Doa-Doaku...

Namun usah bimbang, sahabat. Mungkin ada hadiah yang tertangguh yang belum kesampaian. Mungkin ada pertanyaan demi pertanyaan yang malu untuk kau tanyakan.

Semua itu ada jawapannya, ada kamu, ada namamu dalam doa-doaku. Yang ini adalah hadiahku yang tidak pernah tertangguh!

Kerana kita belum pasti ada jodoh pertemuan selepas ini. Dan hanya kepada Allah aku serahkan sebuah hadiah untukmu, yang masih tertangguh hingga saat dan ketika ini.

Semoga ada takdir untuk kita, moga ada waktu untuk Bumi Cinta ini...


Apr 16, 2014

Pelangi Sejuta Warna

By On 16.4.14
Warna pelangi itu indah.

Ketika kesusahan membelenggu, tepu sebuah rasa yang girang dulu-dulunya. Mencari satu warna buat teman duka pun sukarnya hendak diteka. Jika diberi sebuah ilmu, mana satu yang aku rebutkan? Duhai hati, kau perlukan kawan atau lawan? Kerana itu aku derita kerana temanku adalah seorang lawan yang tidak membawa ruang cahaya menyelinap masuk pada hati yang bungkam.




Pada cahaya pagi yang terang datang pelangi tujuh warna menyimbah ruang silau mata. Waktu itu hidup bagaikan pengembara baru yang diberi seteguk air. Betapa tenangnya dan nyaman sebuah rasa yang tak terhitung dengan kata-kata. Lalu dugaan apakah lagi yang engkau cuba nafikan?

Warna pelangi itu indah kerana ada tujuh warna. Tetapi mengenali kamu kawan, melahirkan beribu warna dalam hidup seorang aku. Mengenali seorang teman yang mesra seperti kamu menjadikan hidup ini lebih berwarna warni dengan pelbagai cerita dan tawa. Hidup ini penuh dengan gurauan sebenarnya...

Dalam hidup ini jika kita menginginkan harapan itu wujud seperti indahnya pelangi, maka kita bersiaplah menghadapi hujan yang bertali arus sebagaimana lebatnya hujan, lalu bila ia berhenti menghasilkan sebuah keindahan pelangi yang manis.

Jika kamu inginkan bahagia, lalui cabaran petir dan guruh yang melintasi perjalananmu. Sabarlah...nanti bila saatnya tiba, Allah hadirkan kejayaan dan kebahagiaan seindah pelangi di waktu pagi.

Memaafkan itu dendam yang terindah!  

Apr 10, 2014

Dendam Yang Terlerai

By On 10.4.14
Bumi tandus dibasahi hujan lagi.

Riak sang damai mengusik merahnya hati yang sedang diamuk dendam. Kerana sifat dendam itu amat kejam dan merubah sebuah kehidupan aman damai. Menangis biarlah berlalu dengan nyaman, biarkan hati terpujuk sendiri demi masa dan ruang waktu yang tertinggal.



Menyimpan sebuah dendam membuatkan hati bertambah hitam. Semua yang kau sayangi bagai tak berguna lagi dalam hidupmu. Amukan bernanah menjadi usia semakin pendek jaraknya. Apalah nanti nasib sang kekasih hidup andai pergimu nanti berbekas kata nista? Kasihan dan sayang mungkin bertukar keruh bak air yang coklat warnanya langsung tak boleh dicuci...

Dendam tak baik buat kita, kita semua ada akal fikiran dan masa. Biarlah jarak dan ruang waktu memujuk hatimu. Siapakah dia bagimu melainkan benda yang lepas. Ambillah hikmah dari kesakitan lalu kerana usah bimbang kamu terus gagal dan tidak mampu bangun semula. TUHAN bersedia setiap saat membantu dan menunjukkanmu jalan...

Dendam ini biarlah leraikan satu persatu...

IMAM Ghazali berpandangan bahawa iman yang sempurna adalah menyucikan hati daripada sifat keji dan menanamkan segala sifat terpuji. Hati yang bersih akan melahirkan perlakuan yang baik dan selamat pada landasan yang betul dalam amalan agama.

Firman Allah yang bermaksud:

"Sesungguhnya perbuatan berbisik (dengan kejahatan) itu adalah daripada (hasutan) syaitan, untuk menjadikan orang beriman berduka cita; sedang bisikan itu tidak akan dapat membahayakan mereka sedikitpun melainkan dengan izin Allah; dan kepada Allah jugalah hendaknya orang beriman berserah diri." (Surah Al-Mujadalah, ayat 58)

Mar 26, 2014

Dan Kepada TuhanMu Berserahlah

By On 26.3.14
Menanti di tebing hari.

Sebuah jawapan telah diurai. Tetapi mengapa hati masih tak bisa menerima hakikat? Mengapa bibir masih penuh mengharap. Apalah agaknya yang masih dinanti. Hari telah pun berganti. April tak sabar untuk menjengah. Mengapakah kau masih di situ berteleku?




Seperti mereka, aku, kamu dan dia...titian ini semakin usang. Tempat kita bergantung harap seolah menceritakan derita yang amat pedih. Jika kita tidak beralih arah dan membina dahan serta teduhan baru, aku bimbang kita ikut basah oleh gelora kehidupan yang kian mengganas. Waktu itu tiba, jangan pula kita menuduh orang lain bersalah!

Tuhan tidak akan mengubah nasib seseorang...

Memang percaturan dan perancangan Allah yang paling indah. Saat kita mencari arah dan tujuan hidup, dia datangkan kita dengan pelbagai pilihan. Justeru, kita lah yang memilih sebuah pelabuhan yang damai untuk kita mulakan sesuatu. Andai emosi yang memimpin jalanmu, aku takut kamu akan menyesal. Gunakan akal dan hati yang tenang demi memberikan arah yang lurus, jalan yang diredai...

Kita sering di berikan pilihan yang betul tetapi mengapa masih memilih lorong gelap bagi meneruskan perjalanan?

Di akhir perjalanan ini aku hanya boleh menyatakan, Dan kepada TuhanMu, berserahlah!


Feb 8, 2014

Best Friend Forever!

By On 8.2.14


Petang Isnin itu Zahira sekali lagi cuba menghubungi Daniel setelah lebih kurang satu bulan best friend forever (BFF) nya itu mendiamkan diri. Pelbagai usaha telah Zahira lakukan tetapi semuanya menemui jalan buntu. Dia bimbang jika sesuatu berlaku terhadap temannya itu. Kini sekali lagi Zahira mencuba. Dengan hati yang tabah, Zahira membuat panggilan ke nombor tersebut. Dia hanya inginkan kepastian. Siapakah pemilik nombor tersebut? Adakah ia telah bertukar pemiliknya? Kerana selama ini segala media sosial yang digunakan tidak mendapat maklum balas. Apakah Daniel telah tiada? Oh tidak!! Meraung hati Zahira mengingatkan semua itu.

"Boleh saya bercakap dengan Daniel?"

Zahira bercakap sebaik talian di hujung sana di angkat.

"Awak siapa?" tanya satu suara wanita.

"Saya kawan dia." Zahira menjawab dengan tenang.

"Maaf! Daniel tak ada. Salah nombor!"

"Okey."

Zahira merenung nombor telefon di skrin Samsung putih miliknya. Nombor yang biasa yang selalu digunakan untuk berhubung dengan Daniel. Argh!! Kenapa jadik begini? Zahira keliru. Apakah Daniel bertindak menukar nombor telefonnya dengan niat untuk menjauhkan diri daripadanya? Tetapi mengapa? Apakah salah dirinya kepada Daniel?

Setengah jam selepas Zahira membuat panggilan, dia menerima SMS daripada nombor yang sama. Dan kali ini, memang betul-betul membuatkan Zahira terpaku. Kelu.

"Jangan call suami aku lagi. Faham!!"

SMS ringkas yang diterima merenggut ketenangan petang Isnin Zahira. Daripada nombor yang amat dikenali tetapi daripada gaya bahasanya, ia amat berlainan sekali dengan tuan empunya nombor tersebut. Sebelum ini dia biasa dengan nombor itu, selalu berweechat dan sesekali bertukar cerita lewat panggilan lalu. Tetapi kini...apakah yang telah terjadi?

Zahira tahu Daniel telah dimiliki. Daniel juga selalu bercerita tentang keluarganya. Bercerita tentang kebahagiaan mereka. Zahira faham. Dia tidak cemburu. Kerana niatnya berkawan dengan Daniel sekadar sebagai kawan selama-lamanya.

****

Zahira dan Daniel telah berkawan lama. Sejak dari tingkatan tiga lagi. Waktu itu mereka memang meminati antara satu sama lain. Namun kerana Zahira tidak suka berkawan dengan budak lelaki, jadi dia menganggap niat Daniel untuk berkawan dengannya sekadar gurauan budak lelaki yang nakal. Tetapi Daniel tidak berputus asa. Saban tahun setiap kali tiba hari raya aidilfitri, dia akan datang menziarahi Zahira. Namun Zahira tidak melayannya dengan baik. Zahira ingin mencapai kejayaan dalam pelajaran. Namun sesekali ada juga rakan sekelas mengusiknya dengan Daniel tetapi ia pergi di bawa angin lalu begitu sahaja.

****

"Assalamualaikum."

Sapaan seseorang yang tidak dikenali di Facebook untuk menjadi kawan akhirnya menemukan semula Zahira dengan Daniel. Daniel yang tidak menggunakan nama sebenarnya pada mulanya tidak dilayan oleh Zahira. Namun atas dasar kesungguhan akhirnya permintaannya tertunai. Kawan yang telah hampir berpuluh tahun terpisah dipertemukan semula dalam keadaan yang berbeza.

"Saya buka akaun FB semata-mata nak cari awak."

"Kenapa?" soal Zahira lewat perbualan mereka melalui telefon.

"Tak tau lah. Dalam fikiran saya hanya ada nama awak. Dalam ramai-ramai kawan sekolah kita, saya cuma teringatkan awak saja."

Zahira sekadar melepaskan tawa.

"Mungkin saya ada hutang dengan awak kut." Zahira mengusik Daniel.

"Agaknya kut...."

Dalam perbualan itu masing-masing mengakui telah berkeluarga. Zahira pun mengakui hidupnya telah disempurnakan dengan tiga orang puteri manakala Daniel pula memiliki tiga pasang puteri dan seorang putera.

"Kita masih boleh berkawan,  kan?" Daniel seolah-olah meminta izin untuk terus berhubungan dengan Zahira.

"Boleh. Kita jadi BFF pun apa salahnya."

Mulai dari saat itu Zahira dan Daniel menjadi rakan yang akrab dan saling bertukar-tukar fikiran. Sesekali Daniel ada bercerita tentang isterinya kepada Zahira. Dan Zahira perasan terdapat sedikit masalah dalam perhubungan mereka suami isteri.

"Sabarlah Daniel. Setiap rumahtangga ada pasang surutnya. Bersabarlah. Orang yang sabar dan reda dengan segala dugaan serta selalu bersyukur amat disayangi oleh Allah. Tuhan telah berikan pasangan yang sesuai untuk awak."

Zahira sering memberikan perangsang buat Daniel. Begitulah sebaliknya. Jika Zahira mahukan pandangan Daniel tentang persoalan ibadat dan tauhid dan amalan harian sebagai seorang muslim sejati, Daniel lah tempatnya.

"Malam tadi wife saya mengamuk. Dia maki hamun saya dengan kata-kata yang kesat. Saya rasa nak tampar-tampar je muka dia. Langsung tak hormat saya sebagai suaminya. Kalaulah bukan kerana anak-anak, dah lama saya kahwin lagi."

Satu hari Daniel mengadu. Zahira hanya boleh memberikan buah fikiran yang baik-baik sahaja untuk temannya itu. Puncanya hanyalah Daniel berbalas SMS dengan rakan lelakinya. Isterinya telah menyangka yang bukan-bukan. Telefon miliknya juga turut di hempas ke lantai.

Dan mulai saat itu persahabatan yang berdasarkan 'Best Friend Forever' itu  menghadapi detik langit tidak selalu cerah. Daniel mula secara perlahan-lahan menjarakkan hubungannya dengan Zahira. Tiada lagi kiriman SMS atau sapaan seorang sahabat seperti kebiasaan di laman sosial yang lain.

Zahira pun pasrah di atas takdir persahabatan mereka yang terputus di tengah jalan. Sekali lagi mereka terpisah. Entah bila takdir mempertemukan mereka lagi. Zahira pasrah. Dari jauh Zahira hanya mampu berdoa yang terbaik untuk sahabatnya itu. Dia pun tidak mahu menjadi batu penghalang terhadap prsengketaan Daniel dengan isterinya. Biarlah Daniel perlahan-lahan dan secara bijaksana menyelesaikan masalah mereka.

Setelah berbulan berlalu, hanya kiriman mesej ringkas dikirimkan oleh Daniel. "Maafkan saya atas segalanya. Ada sesuatu yang tak mampu saya terangkan!"

Dan kisah sahabat selamanya ini adalah kisah yang tertangguh. Sekali lagi.

Dan...catatan seterusnya biarlah menjadi sebuah rahsia yang panjang dan tiada kesudahan. Kisah manusia-manusia yang bermacam ragam dalam dunia ini.

Lirik lagu KEHILANGAN - FIRMAN

Ku coba ungkap tabir ini
Kisah antara kau dan aku
Terpisahkan oleh ruang dan waktu
Menyudutkanmu meninggalkanku

Ku merasa tlah kehilangan
Cintamu yang tlah lama hilang
Kau pergi jauh karena salahku
Yang tak pernah menganggap kamu ada

Asmara memisahkan kita
Mengingatkanku pada dirimu
Gelora mengingatkanku
Bahwa cintamu tlah merasuk jantungku
Sejujurnya ku tak bisa
Hidup tanpa ada kamu aku gila
Seandainya kamu bisa
Mengulang kembali lagi cinta kita
Takkan ku sia-siakan kamu lagi

Asmara memisahkan kita
Mengingatkanku pada dirimu
Gelora mengingatkanku
Bahwa cintamu tlah merasuk jantungku
Sejujurnya ku tak bisa
Hidup tanpa ada kamu aku gila
Seandainya kamu bisa
Mengulang kembali lagi cinta kita
Sejujurnya ku tak bisa
Hidup tanpa ada kamu aku gila
Takkan ku sia-siakan kamu lagi.



P/s: Setakat ini sahaja. Kerana sahabat saya itu tidak bercerita lanjut tentang kisahnya lagi selepas itu walau berkali-kali saya memujuknya...


Catatan di atas adalah untuk sahabat-sahabat baik yang menjalani pengalaman persahabatan yang serupa atau hampir serupa. Bukan mudah untuk membuahkan kepercayaan di atas keikhlasan yang ditunjukkan. Kerana...ikhlas ni umpama seekor semut hitam yang berjalan di dalam malam yang kelam, sukarnya untuk dilihat dengan mata kasar. Begitulah hidup harus diteruskan... 


Feb 6, 2014

Bagaimana Hidup Tanpamu?

By On 6.2.14

Hidup tanpa kamu...


Ibarat berjalan tanpa kasut pada hamparan kerikil tajam yang perit di telapak kaki. Hati penat menjerit kerana mulut diam tak berbunyi. Adakah kerana hati telah letih ataupun anasir luaran yang membaham ruang rasa dan deria kata. Manakah sebuah kuatnya nalurimu wahai teman bernama insan? Hidup tanpa sesiapa pun kita masih ada di sini...ada nya atau hadir pun dia bukan maknakan apa-apa buat kamu.




Ibunda, tegarnya kami?


Jujur dalam membasuh hati pada jari yang bersalah. Kerana bonda tak mengharap kiasan fatwa pujangga untuk menarik hatimu kembali. Ke pangkuan kasih yang lama sudah sepi. Ibunda mengintai hari untuk menatap seraut wajah tak kisah kita. Apakah kita yang bernama anak pujaan memberikan masa dan tempoh untuk harga belian kasihnya ibu?
Sebelum engkau dikandung, Ibu menginginkan kau ada. Sebelum kau dilahirkan, Ibu telah mengasihimu. Sebelum kau keluar dari kandungan, Ibu pun rela mati untukmu. Inilah keajaiban kasih sayang Ibu.

Takkan ku sia-siakan kamu lagi


Penat sebenarnya menabur janji manis yang pada hujung penantian itu tidak semanis kenangan silam. Punah harapan untuk melihat airmata ibu sebuah cerita indah, kerana janji setaman yang terluah sekadar setangkai daun yang kekuningan dan hampir kering. Kelak entah bila ia gugur, engkau dan aku pun tak sempat nak menangis sesal. Sudah! Sudahlah! Inikah namanya takkan ku sia-siakan kamu lagi?

Kisah ini antara aku dan dia...


Dalam cinta, jangan menunggu orang yang tepat menghampiri hidupmu. Lebih baik jadilah orang yang tepat yang mengampiri hidup seseorang. Kerana kisah cinta antara aku dan dia tidak pernah meminta perhatian kerana aku selalu adalah manusia yang kecundang. Pada masa, pada janji-janji yang semuanya telah aku dustai sendiri. Antara cinta aku dan dia, manakah pernah terdengar keluhan menahan lelah di hati dan minda tuanya. Kerana cintanya...kasih dan sayang bukan dari kerana bayaran mahal. Semuanya demi kisah kasih yang tiada penghujung. Adakah aku jadi perindu pada momen-momen seorang bonda jika dia sudah tiada?

Mencari sebuah hijrah, jalan yang panjang. Lorongnya penuh liku. Itulah aku...

Feb 2, 2014

Walaupun Masih Ada Kasih

By On 2.2.14
Sebenarnya...

Kisah aku dan dia telah lama bermula. Kisah rajuk, benci, membawa diri, membina harapan dan kehilangan...pun sejak dahulu telah kami lalui. Tetapi perhubungan itu tidak membawa ke titik noktah kerana laluan yang berbeza dan takdir dan waktu terus memisahkan kami. Jauh jarak dan masa, dua buah hati akhirnya memilih cerita hidup sendiri.




Setelah perpisahan memakan masa, merubah seorang aku menjadi dewasa dan si dia melakar dunia yang berbeza, takdir Allah menemukan kami semula. Segalanya berubah, rupa fizikal dan personaliti. Dan sapaan ini sekadar pertemuan semula kawan lama yang ada cerita yang telah di tinggalkan. Aku berharap begitulah...

Cerita silam itu...

Dan cerita silam kami telah terhurai satu persatu dalam tak disedari. Keadaan mungkin berubah, personaliti mungkin berbeza tetapi perasaan hati tetap di situ, subur dalam kenangan. Katamu, namaku sentiasa mekar di hati. Sejak dahulu hingga kini, kau masih menganggap aku buah hati pengarang jantungmu!

Terima kasih teman. Tetapi kini kau miliknya. Dan aku pula, miliknya dalam satu ikatan yang diredhai. Mengingatiku dan merinduiku biarlah kerana Allah. Kerana segala kebaikan yang indah-indah dan mencintaiku kerana cintakan Allah dan rasulnya. Kita masih bisa berteman tetapi kerana sesuatu di jalanNya. Tinggalkanlah hatiku di belakang dan pandang wajah sayu di hadapanmu. Satu masa nanti, secara perlahan-lahan kau pasti dapat melupakan. Melupakannya sekali lagi.

Sebenarnya aku mengerti apa yang kau rasakan.

Secara baik dan dalam keterpaksaan...aku terpaksa menolakmu. Kerana kini kau miliknya. Aku terpaksa lepaskan walaupun kasihku ada. Terpaksa terima hakikat...dia masih memerlukanmu! Dan aku amat mengerti tentang sesuatu...sesuatu yang tak mampu kau terangkan. Sesungguhnya itulah sebaik-baik pilihan yang ada. Tinggalkanlah aku dan masa silam kita. Ingatan yang baik-baik dan perkongsian ilmu yang kita ada, izinkan untukku bawa bersama.

Sesekali biarkan diri kita menangis.

Ketika mata kita masih boleh menitiskan airmata, Itu tandanya beban masalah akan segera pergi. Percayalah bahawa Allah amat sayangkan hambanya yang sabar dan yakin padaNya.

Jan 28, 2014

Langit Tidak Selalu Cerah

By On 28.1.14
Rindu datang dan pergi.

Langit biru yang damai. Umpama hamparan baldu rindu yang datang dengan sejambak kisah cinta. Ada ketika rindu pergi membawa bersama awan yang biru. Tiada lagi rindu yang datang lagi. Bila pergi mungkinkah ia berpaling semula. Itulah lumrahnya alam, temanku.




Umpama berjalan di jalanan yang berliku. Adakah kamu tahu mana arah yang membawa bahagia. Lorong manakah pula yang berlagu derita. Laluan itu amat bersimpang siur, sayang. Jika pilihan yang betul yang kamu buat, tiada derita itu selamanya milik kita. Bukankah tiada duka yang abadi selamanya?

Mencipta bahagia bukan sekadar cerita basi yang diulang-ulang. Ia perlukan sebuah bayaran yang mahal yang namanya pengorbanan. Bahagia, derita, jatuh dan bangun mainan duniawi harus dilalui, mesti berani ditempuhi dan usah berpaling menyesali kesilapan lalu.

Memang benar...langit tidak selalu cerah. Tetapi awan pun tak selamanya kelabu. Dalam tak disangka, meski tak diduga. Harapan hadir mencelah dengan nyanyian lagu rindu. Buat mereka yang pernah kecundang...jangan diulang langkah yang canggung dahulu. Haruslah berhati-hati jika ada anganan mencipta bunga harapan.

Langit cerah sepanjang zaman.

Sesekali izinkan hujan turun mencuci debu di jalanan yang berliku. Sesekali biarkan pelangi mencorak warna pada wajah dan matamu. Biar senyum itu mekar selamanya. Teman akrab di penghujung hari. Sesekali letakkan tanganmu di belakang dan biarkan kebaikan yang berkata-kata!

Kerana kamu, aku dan kita memang istimewa. Pada matanya yang bening. Pada hatinya yang jernih.


Jan 11, 2014

Surat Untuk Hati

By On 11.1.14
Hati...

Tolong buka pintu hati. Berhenti menangis kepada benda yang telah hilang. Dia telah lupakan kamu wahai hati. Dahulu dia di situ menemani siang dan malammu. Kelmarin, dia telah melupakanmu. Semalam dia tidak lagi menunggu rindu-rindumu. Maka, mana mungkin hari ini dia akan datang kembali untuk membuatkan kamu tersenyum.




Duhai hati,

Kamu telah lelah membenci. Hinggakan seluruh tubuhmu sakit kerana tak pernah untuk berhenti berharap. Kerana kamu hati yang tak berhenti mengingati, mata menjadi sedih lalu hujan turun membasahi kolam hati. Lantas duhai hati...tak usah lagi kamu berharap. Perlahan-lahan lepaskan dia jika itu lebih baik untukmu.

Wahai Tuhan,

Hati telah sakit kerana dikhianati. Tetapi hati tetap bersangka baik kerana bukankah Engkau telah berjanji akan menghadiahkan suatu kebaikan jika hati sentiasa bersangka baik. Saat ini dan waktu ini hati sentiasa berdoa. Mendoakan agar hati si dia sentiasa menerima kebaikan dan berjalan di atas landasan jalan yang lurus. Jalan yang Engkau redhai.

Demi Tuhan,

Hati tak lelah lagi. Kerana percaya pada janji-janjilMu Tuhan. Percaya dalam diam tetap mendoakan dia yang telah berhenti menyayangi hati ini. Dalam rahsia hati ini tetap bersangka bahawa dia juga sedang melakukan perkara yang sama untuk pemilik hati ini. Semoga Malaikat ikut mendoakan hati ini agar terus tabah menempuh cabaran sekali lagi.

Hati telah berkata.

Walau ke mana pun hati pergi, ke ceruk dunia mana pun hati berlari...tak pernah sesaat Engkau jauh dari hatiku ini, Ya Allah yang Maha Pengasih.

Hanya kepadaMu hati ini diserahkan..

Jan 9, 2014

Merajuk Pada Yang Sayang?

By On 9.1.14
Pernahkah anda merajuk? Kenapa mesti merajuk? Apa perasaan kita ketika sedang merajuk? Hmm...banyak persoalan yang perlukan jawapannya. Merajuk bukannya mudah, hati jadi sakit, perasaan rasa sedih dan kadangkala keadaan sekeliling pun rasa tak tenteram. Ada saja yang menganggu fikiran.

Baik jangan merajuk!




Jadi, mengapa kamu merajuk? Sayang-sayangku sekalian...hentikan rajuk yang tidak berfaedah. Merajuk pada yang sayang kita aje, jika tidak takkan ada orang yang memujuk anda. Betul tak?

Merajuk. Tanda hati yang halus.

Merajuk umpama hujan yang turun renyai-renyai. Kekadang kita merajuk pun orang tak tahu. Sebab, hujan renyai tidak membuatkan orang basah, bila berjalan dengan laju. Bila hujan renyai pun kita tak endah untuk mencari tempat teduh. Kerana hujan renyai datang pun tak lama. Sesekali. Sesekala.

Hah! Bila menangis mungkin orang akan perasan. Baik jangan merajuk. Menangis boleh diumpamakan macam hujan lebat. Kalau meraung lagi macam guruh, menarik perhatian ramai orang!

Kenapa Merajuk?


Kenapa kita harus tahu apakah menyebabkan seseorang itu merajuk. Supaya orang LELAKI boleh bersedia untuk memujuk kita pulak lepas tu...Seseorang itu merajuk disebabkan atas beberapa sebab:

1. Cemburu. Ini merupakan faktor utama kenapa si dia merajuk. Dia cemburu disebabkan ada sesuatu yang cuba mengambil anda dari dirinya. Seperti kawan-kawan, pekerjaan, keluarga dan sebagainya.

2. Tidak Dapat Apa Yang Diinginkan. Si dia menginginkan sesuatu dari anda, tetapi anda tidak memberikannya.

3. Orang Lain Lebih Hebat Dari Dia. Adakalanya dia akan merajuk untuk mendapatkan perhatian dari anda. Kadangkala, si dia merajuk disebabkan ada sesuatu yang membuatkan dia berasa marah dan tidak selesa. Untuk mengubat perasaannya, dia perlukan anda di samping dirinya tetapi dengan cara yang sangat berbeza iaitu dengan merajuk.

Hidup adalah gabungan antara bahagia dan derita. Ia adalah menguji keteguhan iman seseorang. Malangnya bagi mereka yang hanya mengikut kehendak hati tidak sanggup menerima penderitaan. 

Okey dear...lalui harimu dengan tabah. Jangan ikut kehendak hatimu semata-mata. Harus lebih kuat dan lebih bahagia dari semalam.

Biarkan semalam yang kelam terus hilang!

Jan 8, 2014

Wajah-Wajah Duka

By On 8.1.14
Secara tiba-tiba hati teringatkannya...
Cintaku dan cintanya tertulis hanya dalam sebuah cerita 
dan bukanlah pengukuhan dalam satu ikatan. 
Berjalan sendiri namun hati saling memiliki. 
Kulepaskan dia 
dan semoga cintaku akan selalu menjaganya....

Berhenti! Cukup sudah bayangan lalu. 

Wajah-wajah yang sedang berduka, jangan dilayan kisah sedihmu. Mungkin kisah kita tidak sama, ada yang ditinggalkan dan mungkin ada antara kita yang kehilangan orang yang tersayang. Buat-hati-hati yang terluka, usah tenggelam dalam derita dan duka berpanjangan. Bukalah matamu, lebarkan sayap mindamu. Nanti kau kan temui semangat dan impian baru untuk hidup lebih gembira.


 


“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui” (Surah Al-Baqarah : 216)

Bila patah hati, jangan semudah itu kamu membenci sesuatu. Ada pujangga berkata jika sangat membenci orang itu, ditakuti satu ketika nanti kamu pula menanggung rindu. Pandang sesuatu yang kau tinggalkan sebagai kenangan yang mengajar erti kehidupan yang berbagai. Dan lihat sesuatu yang hadir dalam hidupmu sebagai impian dan harapan baru untuk memulakan yang lebih berharga.

Bukannya kamu sahaja yang pernah berduka. Kadangkala dalam tak sedar wajah duka itu hadir lagi, menyapu ruang sepi dengan debu-debu impian yang pudar. Tika ia hadir, kita mungkin jadi orang yang sedang derita. Tetapi harus diingat, tunjukkan kekuatanmu jika itu boleh memberikan coretan rasa yang kamu masih boleh bangun setelah diri ditinggalkan.

Yang pergi biarlah ia pergi. Kita yang tinggal harus melangkah ke era baru. Mengutip pengalaman lagi buat bekalan jika terluka lagi. Itulah putaran hidup. Hati harus tabah.

Bukankah setiap orang harus hidup bahagia?  

Dec 27, 2013

Gugurnya Bunga Rindu

By On 27.12.13
Dia pernah berkata...

Seribu tahun takkan lupa seorang insan kerdil ini. Dia pernah mengajar diri ini mengejar pelangi rindu, bermimpi menakluk bintang kejora. Dan dia juga menghapus duka ketika musibah datang melanda. Dan janjinya...kan selalu ada saat seorang aku memerlukannya.




Semuanya itu tiada lagi, laksana gugurnya bebunga rindu dari kelopak masa. Menangis hingga kering airmata sekalipun hatinya telah nekad. Menghantar khabar pun tidak berbalas sepatah ayat. Jika dahulu dia pernah bermadah, membayangkan hala tujunya sebuah perhubungan yang tidak direstu ini. Tetapi kini, dia pergi dengan hati yang luka. Meninggalkan seorang insan kesayangan yang telah bertahun cuba ditawan.

Benar kata pujangga, hidup ini seharusnya berakhir dengan gembira. Cerira tentang kisah meninggalkan dan ditinggalkan adalah lumrah sebuah perhubungan. Namun sejujurnya...siapa yang sanggup dengan sengaja menanggung derita?

Mimpi itu indah. Tetapi jika selamanya menyulam harapan di dalam mimpi, impian hanya sekadar impian. Hingga bila pun jika dia tidak hadir dalam mimpimu lagi, bangkitlah. Bangunlah! Masa untuk bermimpi telah tamat. Musim pun telah berganti. Biarkan kelopak rindumu gugur di taman kenangan. Biarkan ia...

Jika ditakdirkan kita bertemu sekali lagi, aku masih menyambutmu dengan hati terbuka. Tetapi ingatlah teman...mungkin kamu perlu mengambil masa 1000 tahun untuk menawan hatiku kembali!

Dec 23, 2013

Istikharah Cinta

By On 23.12.13
Jika kau berbahagia dengan pilihan yang dibuat, aku hanya mampu berdoa untuk kebahagiaanmu. Menjadi orang ketiga dalam satu hubungan jangka panjang dan sehidup semati bukanlah yang kau mahukan. Bukan juga niatmu sedari awal untuk melukakan ramai orang.




Jika Istikharah cintamu mengiyakan tindakan yang dibuat, siapalah aku untuk menentang keputusan yang dipilih

Cinta tak pernah salah memilih. Mungkin kita yang dibuai perasaan terhadap sidia hingga mengaburi wajah-wajah muram yang berduka.

Sahabat...sudah habiskah fikiranmu memilih. Dalam banyak insan Adam yang mengejarmu, mengapakah dia yang kau pilih? Aku takut kau menyesal, kawan. Aku harus menghalang tindakan mu itu tetapi siapalah aku ini dimatamu? Aku insan luar yang sekadar bergelar seorang Sahabat.  Sudah habis aku berkata-kata, telah lelah aku mengatur bicara, pun kita telah berdebat panjang lewat pertemuan lalu. Tetapi...hatimu telah nekad. Kamu sudah tak larat melayan nista dan cacian orang sekeliling...

Kejamnya pilihan yang kau buat, kawan. Sayangilah masa depanmu. Cinta yang kau agungkan ditakuti bahangnya hanya sementara. Sedang hati dilanda gelora, tentu istikharah cintamu mempengaruhi keputusan akhir itu.

Aku tak sanggup melihat kamu derita. Jika bahagia itu boleh diukur dan dirancang...mengapa memilih sengsara yang terlayar di depan mata? Kamu masih punya waktu untuk berundur. Masih ada ruang memperbaiki kelemahan diri.

Selagi akad itu belum dimeteri, kamu masih boleh mengikut kata hati!

Menurut hadis daripada Jabir bin ‘Abdillah r.a, beliau berkata: Rasulullah s.a.w pernah mengajarkan Istikharah kepada kami dalam segala urusan, sebagaimana baginda mengajar kami surah dari Al-Quran.
Baginda bersabda:

Maksudnya: Jika salah seorang di antara kalian berkeinginan keras melakukan sesuatu, hendaklah dia mengerjakan solat dua rakaat yang bukan solat fardu kemudian membaca doa berikut:

Ya Allah, sesungguhnya aku memohon petunjuk kepada-Mu dengan ilmu-Mu, memohon ketetapan dengan kekuasaan-Mu, dan aku memohon kurniaan-Mu yang sangat agung kerana sesungguhnya Engkau berkuasa sedang aku tidak berkuasa sama sekali, Engkau mengetahui sedangkan aku tidak, dan Engkau yang mengetahui hal yang ghaib. Ya Allah, jika Engkau mengetahui bahawa urusan ini (lalu menyebutkan secara langsung urusan yang dimaksudkan) lebih baik bagi diriku dalam agama, kehidupan dan akhir urusanku - atau mengucapkan: baik dalam waktu yang dekat mahupun yang akan datang - maka tetapkanlah ia bagiku dan mudahkanlah ia untukku. Kemudian, berikan berkah kepadaku dalam menjalankannya. Jika Engkau mengetahui bahawa urusan ini buruk bagiku dalam agama, kehidupan dan akhir urusanku - atau mengucapkan: baik dalam waktu yang dekat mahupun yang akan datang - maka jauhkanlah urusan itu dariku dan jauhkanlah aku darinya, serta tetapkanlah yang baik itu bagiku di mana pun kebaikan itu berada. Kemudian, jadikanlah aku orang yang redha dengan ketetapan tersebut.

Dec 16, 2013

Al Fatihah Terakhir Dari Dia...

By On 16.12.13
Aku menunggunya di tempat biasa dan pada waktu yang sama. Begitulah hari-hari indah kami dilalui tanpa sebarang sengketa dan dendam. Tetapi aku perasan, semenjak akhir-akhir ini dia agak lebih terbuka dan sentiasa tersenyum. Hampir setiap hari gambar-gambarnya dikirimkan sebagai tanda ingatan kepadaku.




Namun di dalam hati selalu terdetik. Mengapakah kelakuannya berbeza daripada biasa semenjak kebelakangan ini. Apakah dia telah melupakan kesakitan dan kelukaannya? Apakah dia telah lali dengan dugaan yang merintangi hubungan ini. Entahlah...akhirnya pertanyaan demi pertanyaan yang bermain di benak fikiran aku biarkan sahaja berlalu ditelan angin lalu. Tidak terlintas di hati mahu bertanyakan kepada si dia. Biarlah kami melewati hari-hari bahagia ini bersama.

Suatu hari aku merajuk panjang kerana dia terlupa menyambut hari lahirku. Aku sangkakan dia terlupa mengucapkan kata-kata semangat buatku. Hinggalah aku mengingatkannya, barulah dia tersedar. Lantas kata-kata maaf dihulur hinggakan aku tidak berbekas marah pun padanya.

"Saya hadiahkan al Fatihah buat awak sempena hari lahir awak ini. Semoga selamat semuanya."

Dan yang indahnya surah al Fatihah itu dirakamkan agar aku dapat mendengarnya berulang kali bila rindu datang bertamu. Sungguh aku terharu dengan hadiah istimewa darinya itu. Begitulah masa berlalu dan kami masih saling memberikan semangat dan dorongan untuk meneruskan hidup ini.

"Saya akan sentiasa temankan awak dan saya selalu ada bila awak perlukan." Itulah kata-kata hikmah yang aku pegang bila hati di landa duka.

Tiga hari selepas insiden aku merajuk pada hari lahirku, pada suatu hari aku masih menerima kiriman gambarnya dengan senyuman yang indah. Sangat indah dan manis senyuman itu pada pandangan mataku. Tetapi sekali lagi aku terdetik dan merasa berdebar-debar. Apakah ini gambarnya yang terakhir yang dapat aku simpan dalam memori? Apakah dia mahu meninggalkan aku?

Akhirnya apa yang aku takuti terjadi jua. Takdir Tuhan yang telah menentukannya. Dia yang Maha Pengasih telah menarik semula kebahagiaan sementara yang aku rasakan, insan baik yang ada dekatku kini telah pergi. Pergi membawa diri yang masih mencari sebuah perjalanan suci. Dia pergi kerana demi kebaikan. Dia tinggalkan aku kerana dia sayangkan aku.

Segalanya telah tiada. Aku telah dipadam dari ingatannya. Segala media sosial dan telefon penghubung antara kami telah disekat dari diri ini. Aku hilang dia dalam sekelip mata. Selama tujuh hari tujuh malam aku bagaikan kapal hilang nakhoda. Hanya rakaman al Fatihah daripadanya menjadi teman di kala sedih dan duka.

Hanya al Fatihah itu yang mengubat kerinduan dalam diri. Dan aku sedekahkan juga al Fatihah buatnya agar dalam tak mengingati aku dia sebenarnya tidak pernah melupakan diri ini. Dan bila rindu, hanya al Fatihah aku hadiahkan buatnya, agar hidupnya sentiasa diselubungi warna-warna pelangi yang indah...

Sesungguhnya Allah memberikan sesuatu yang kita perlukan. Dan jika dia ambil semula insan baik dari hidupmu kerana Dia mahu tengok kita berubah dengan ikhlas keranaNya. Ikhlas menerima takdirNya...

Al Fatihah terakhir buatku...dari dia yang masih di hati!



Coretan:
Seorang kawan baik,
Aku, Disember 2013