Breaking

Showing posts with label Gaya. Show all posts
Showing posts with label Gaya. Show all posts

Jan 16, 2009

January 16, 2009

Bingkisan Tahun Baru





COACH, pengeluar dan pereka pelbagai jenama beg tangan dan aksesori mewah di Amerika Syarikat (AS), kini menawarkan koleksi terbaru mereka.

Terkenal dengan fabrik dan material yang berkualiti, Coach menampilkan koleksi beg tangan Penelope yang mampu menawan hati anda.

Koleksi Penelope ini menampilkan beg tangan kulit dengan gaya terbaru, tekstur yang lembut dan pelbagai pilihan warna sesuai untuk wanita yang mahu tampil elegan di khalayak ramai.

Tidak ketinggalan, ia juga boleh dijadikan bingkisan untuk insan tersayang sempena menyambut ketibaan tahun baru 2009. Jangan terlewat untuk memilikinya.


BEG tangan berwarna merah di bawah ini mampu menyerlahkan penampilan anda.

Jan 15, 2009

January 15, 2009

Pertembungan Lautan dan Gurun

Oleh ROSMAWATI MION







MEMASUKI 2009, Bonia mengajak wanita juga lelaki menyelami keindahan lautan dan ‘kehangatan’ gurun menerusi himpunan terkininya yang tampil bersama sentuhan segar lagi memikat.

Jenama yang terkenal dengan barangan kulit khususnya untuk aksesori itu, hadir menyerikan dunia fesyen dengan beg-beg kulit menawan, dompet, kasut dan tidak ketinggalan pakaian buat lelaki.

Bertemakan ‘Ketenangan Biru Bertemu Kehangatan Coklat’, Koleksi Bonia 2009 masih tetap mengekalkan gaya klasiknya, tetapi bukan ketinggalan zaman, sebaliknya diberi nafas baru khususnya pada beg dan dompet menerusi perincian dan warna-warna menawan.

Segalanya tercipta berinspirasikan biru laut dan rona pasir di gurun. Uniknya, kedua-dua itu dipertemukan dalam satu gaya yang lebih segar dan mempesona.

Bertepatan dengan tema tersebut, warna-warna yang membaluti koleksi 2009 kebanyakannya menyerlahkan rona natural atau semula jadi seperti coklat, kuning cair dan kuning bersama juga paparan warna biru lembut serta putih. Selain itu, ia masih tetap menampilkan rona hitam yang terus diminati wanita mahupun lelaki sepanjang zaman.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Bonia Corporation Berhad, Albert Chiang, warna-warna pilihan jenama itu diilhamkan dari lautan dan gurun yang akhirnya memberikan pelbagai nada untuk biru dan coklat yang diserlahkan pada keseluruhan koleksi.

Manakala putih dan hitam, hadirnya untuk melengkapkan lagi himpunan 2009 ini.

Katanya lagi, Bonia yang sudah 35 tahun hadir menceriakan dunia fesyen akan terus melahirkan produk-produk berkualiti untuk peminatnya tidak kira wanita mahupun lelaki.

Justeru, pada majlis pelancaran itu lebih 100 rekaan terbaru dipersembahkan antaranya himpunan terkini beg, kasut, pakaian dan aksesori yang juga merupakan sebahagian daripada himpunan terkini.

Namun, paparan paling menarik minat khususnya wanita kala koleksi ini diperagakan kepada tetamu di Pavilion Kuala Lumpur tentunya koleksi beg dan kasut.

Selain warna-warna biru dan coklat yang mewarnai koleksi beg, rekaan kali ini mengetengahkan kualiti kulit asli yang hadir dalam pelbagai tekstur seperti kulit buaya, monogram dan perincian cetak timbul yang cukup menarik.

Sementara itu, koleksi kasutnya pula bukan hanya mementingkan rekaan yang cantik, tetapi turut mengambil kira aspek keselesaan dengan menggunakan kulit anak lembu.

Tidak ketinggalan koleksi yang diperindahkan dengan kilauan kristal Swarovski untuk memberikan pilihan menarik bagi digayakan bersama pakaian malam.

Koleksi Bonia 2009 untuk beg dan kasut dijual antara harga RM300 dan RM1,999.

Oct 14, 2008

October 14, 2008

PILIHAN KASUT YANG SESUAI

MUSIM datang bersilih ganti sekali gus pantas menukar gaya rumah fesyen terkemuka. Perhatikan koleksi kasut jenama terkenal seperti Jimmy Choo, Sergio Rossi, Giuseppe Zanotti atau jenguk ke butik Vincci atau Nose, mainan warna, ketinggian serta bentuk tumit sangat ketara.

Daripada serendah kasut leper ‘ballerina’ atau flat hingga pilihan kasut baji dan stiletto bertumit enam inci, memang semuanya menjadi kegilaan wanita. Tanpa sedar, kegilaan terhadap kasut kadangkala tidak menepati kehendak individu yang akhirnya bukan hanya merugikan wanita tapi turut menjejaskan kesihatan tulang belakang mereka.
Pereka kasut, Rozeeyadi Abdul Manan, berkata mereka kasut bukan hanya difokuskan terhadap keindahan rekaan serta mengikut gaya semasa tapi sebagai pereka, mereka juga tidak meminggirkan soal keselesaan kepada pemakai.

“Bagaimanapun, penting bagi seorang pembeli mempunyai pengetahuan asas mengenai kasut untuk dijadikan panduan ketika membeli. Ada yang mengandaikan bertumit tinggi boleh membuatkan anda kelihatan seksi tapi elakkan memilih kasut terlalu tinggi kerana ia akan memberi kesan pada tumit kaki.

“Jika anda tidak mahu tumit kaki anda pecah dan merekah, tumit kasut paling ideal adalah dua setengah inci hingga tiga inci dan mungkin ia dapat membantu mengekalkan kehalusan kulit kaki anda,” katanya.
Tapi jika anda tetap mahu bertumit tinggi, pastikan ia tidak disarung melebihi enam jam sehari. Jadi, simpanan sandal leper atau selipar wajib ada di pejabat atau di dalam kereta.

Selain masalah tumit, ada individu mempunyai kaki berbentuk lebar sehingga menyukarkan mereka memilih kasut.

Rozeeyadi berkata, mereka yang berkaki lebar perlu memilih kasut dengan bukaan depan yang lebar.

“Memilih kasut bertali juga kadangkala mengundang masalah. Seelok-elok ketika memakai kasut bertali pastikan tiada satu pun jari kaki yang terkeluar di antara tali terutama jari paling kecil.

“Jika ingin membeli kasut bertutup, beli satu saiz lebih besar daripada saiz yang selalu dipakai atau cuba berjalan dulu sebelum membeli. Kaedah ini sangat penting bagi mereka yang mempunyai kaki yang lebar serta agak berisi kecuali jika kaki anda bersaiz biasa,” katanya.

Rozeeyadi berkata, tidak semua kasut sesuai dengan semua jenis kaki. Ada wanita yang mempunyai masalah gerbang kaki (arch) tinggi dan mereka disarankan supaya tidak memakai kasut bertumit tinggi kerana ia akan memberi kesan pada tulang.

Justeru, jika anda menggilai kasut, teliti dulu adakah kemahuan dan kehendak berbaloi dengan apa yang bakal anda terima di kemudian hari.



INFO

Jenis kasut dan fungsi



Kasut sandal tumit tinggi

Ia boleh dipakai siang dan malam. Kegunaannya boleh dibezakan mengikut material yang digunakan. Satin, sutera atau material polos dikategorikan sebagai 'evening shoes', kulit dan PU untuk kegunaan harian.


Kasut bertutup (court shoes)

Ia biasanya lebih sesuai digayakan untuk ke pejabat. Selain kelihatan formal ia juga boleh menyerlahkan keyakinan pemakai.


Peep-toe

Ia bersifat dua fungsi. Sesuai untuk ke pejabat dan boleh juga dikenakan ketika bersantai.


Kasut tapak rata (flat)

Kasut ini lebih sesuai untuk bersantai dan ia juga digemari remaja kerana memudahkan pergerakan selain sesuai dipadankan dengan pelbagai jenis baju.


Ballerina, flat court shoes

Kasut jenis ini menyerlahkan keremajaan pemakai. Ia juga tidak terlalu menyerlah kerana rekaannya lebih ringkas dan sederhana.


Kasut baji (wedge)

Ia sesuai untuk dikenakan mereka yang banyak berjalan. Tidak sesuai untuk dipakai ketika menghadiri majlis formal. Ia juga selesa kerana mempunyai tumit penuh yang boleh menampung berat badan.


Platform

Mereka yang suka kasut bertumit tinggi digalakkan mencuba kasut jenis ini. Lapisan tambahan di bahagian hadapan kasut menjadikan ia lebih seimbang dengan ketinggian tumit kasut. Jadi risiko untuk tergelincir adalah kurang.

SUMBER DARI BERITA HARIAN