Enter your keyword

Showing posts with label Tips Penulisan. Show all posts
Showing posts with label Tips Penulisan. Show all posts

Oct 13, 2013

Ciri-ciri Sajak Yang Baik

By On 13.10.13

Ciri-ciri Sajak Yang Baik 




Menurut website rujuknota, secara umum, puisi mempunyai ciri-ciri seperti berikut:

Memperlihatkan penggunaan bahasa yang lebih baik, ekspresif, kental, mengandungi nilai keindahan serta menimbulkan rangsangan dan kesan kepada pengalaman dan perasaan.

(i) Mempunyai bentuk tertentu, berkerat-kerat atau berurutan dalam baris yang sejajar, sama ada berbentuk konvensional, berpola (bagi puisi tradisional) atau berbentuk bebas (bagi sajak).

(ii) Ungkapan kata dan bahasa dipengaruhi unsur muzik, lagu, intonasi, kadensa, rentak, irama dan keharmonian bunyi.

(iii) Baris, rima dan irama disusun membentuk pola atau ikatan tertentu (bagi puisi tradisional) atau tanpa ikatan pola tertentu (bagi sajak) yang dipengaruhi jumlah baris, jumlah perkataan, perseimbangan bunyi dan panjang-pendek perkataan.

(iv) Bagi puisi tradisional, wujud pembahagian unit dalam penyataan idea, misalnya dua baris serangkap atau beberapa baris seuntai.

(v) Digunakan dalam kehidupan masyarakat seharian untuk hiburan, keramaian, ritual, keagamaan, pengajaraan dan sebagainya. Puisi berfungsi juga sebagai pancaran pemikiran masyarakat zamannya.

(vi) Ada puisi tradisional yang dianggap suci dan berhubung rapat dengan system kepercayaan dan menjadi taboo bagi masyarakat tertentu, misalnya ungkapan Adat Pepatih.

(vii) Bahasa yang padat, kental mengandungi unsur perlambangan, imajan, kiasan dan perbandingan sama ada bersifat tradisional atau moden untuk menyatakan sesuatu dan melahirkan perasaan.

Ciri-Ciri Sajak Yang Baik


Manakala, Za’ba (1962:218) yang mendefinisikan puisi sebagai karangan berangkap, dilihat memberikan tafsiran yang agak umum dan kabur walaupun terdapat penegasan tentang konsep kecantikan puisi tersebut.

Katanya:
“Karangan berangkap itu khas dipakai untuk melafazkan fikiran yang cantik dengan bahasa yang indah dan melukiskan kemanisan dan kecantikan bahasa.Maka, dengan gambaran yang cantik ini, perkara yang dikatakan itu bertambah menarik kepada hati orang yang mendengarnya.”

Struktur karangan berangkap yang dimaksudkan Za’ba merangkumi aspek susunan kata, rentak bunyi dan isi. 

Katanya:
“Karangan berangkap itu ialah karangan yang disusun dengan bahagian yang berkerat-kerat, dan di antara sekerat dengan sekerat itu biasanya berjodoh bunyinya atau rentaknya atau isinya, serta kebanyakannya memakai timbangan dan sukatan yang tertentu. Dalam perbahasan pengarang-pengarang cara baharu sekarang, karangan demikian disebut “puisi” (berlawanan dengan “prosa” iaitu karangan lurus sahaja).

Daripada kenyataan di atas dapatlah disimpulkan bahawa sajak yang baik haruslah mempunyai susunan yang baik, rima yang menarik, serta menzahirkan sikap positif dan kekentalan hidup.

Justeru itu, sajak yang baik dan berjaya adalah sajak yang boleh menenangkan dan menyentuh perasaan sang pembacanya.

Selamat membaca...

May 3, 2013

Menulis Biar Ada Nilainya

By On 3.5.13


Menulis Biar Ada Nilainya! | Menulis karya kreatif memerlukan daya tumpuan dan pengalaman sedia ada yang berkaitan dengan apa yang hendak ditulis. Jikalau pengetahuan kita 'zero' tentang sesuatu isu atau tema yang mahu dihasilkan, lebih baik kita berhenti seketika. Kutip pengalaman sebanyak mungkin melalui buku-buku, pengalaman rakan-rakan, bacaan di internet dan pelbagai cara lagi bagi memantapkan karya yang hendak dihasilkan.

Menulis karya kreatif samada sajak, cerpen, novel, pantun dan sebagainya bukannya boleh dibuat sekadar ikut-ikutan ataupun suka-suka. Memang kebanyakan kita selalu menulis begini, 'berkarya sekadar untuk suka-suka'...tetapi tahukah anda, apa yang kita hasilkan itu akan tercatat sebagai sejarah penulisan kita. Bila di pandang kembali, tentu kita tidak mahu bahan tulisan kita tidak mempunyai nilai apa-apa! Siapa yang rugi?

Tinggalkan catatan karya kreatif kita dengan nilai baik yang boleh diadaptasikan dalam sepanjang kehidupan makhluk di muka bumi ini yang bergelar manusia. Sedikit nilai baik yang kita tinggalkan, akan berkembang menjadi kebaikan yang berkekalan bila kita menutup mata nanti!

Coretan santai,
aynora.nur
   

Apr 27, 2013

Ciri-Ciri Cerpen Yang Baik

By On 27.4.13
Ciri-Ciri Cerpen Yang Baik | Ada sesetengah orang boleh menulis beratus muka surat cerita panjang yang bersiri-siri yang juga disebut novel. Ada sahaja jalan cerita yang berkembang, watak yang semakin menarik dan complicated dan kadangkala muncul watak sampingan yang tidak terduga kehadirannya.

Panjangnya cerpen ialah antara 5,000 hingga 20,000 patah perkataan. Oleh sebab makna dari segi istilah cerpen itu ialah cerita pendek maka ada yang menyebutkan panjang cerpen ialah sehabis meminum secawan kopi atau sehabis menghisap sebatang rokok.

Namun begitu, ada pula sesetengahnya sukar melakar cerita pendek ataupun yang disebut cerpen. Mengapakah cerpen lebih sukar dihasilkan berbanding novel? Dimanakah silapnya bila pada masa kini lebih banyak karya novel yang terhasil berbanding cerpen.



Ciri-ciri Cerpen Yang Baik 

1) Ada unsur intelek iaitu ada sesuatu pemikiran yang tinggi dalam cerpen tersebut. Maknanya dalam karya tersebut ada mesej yang mahu disampaikan kepada pembaca supaya boleh direnung dan difikir oleh pembaca untuk dijadikan panduan, mendapatkan pengetahuan dan pengalaman.

2) Pancaran emosi dalam cerpen tersebut sama ada gembira, sedih, sinis dan sebagainya. Maknanya cerpen tersebut memilih persoalan dan stail/gaya bahasa yang boleh dihayati dengan baik oleh pembacanya dan dapat menimbulkan suatu fikiran khusus serta memberikan kesan pengajaran dan hiburan.

3) Peristiwa/persoalan dalam cerpen tersebut dituliskan dengan mata hati dan mata fikir iaitu dengan imaginasi yang mengandungi unsur-unsur pemikiran bukan angan-angan. Ada matlamat dalam penulisan cerpen ini dan biasanya hal-hal yang positif.

4) Sesebuah cerpen ada teknik persembahannya iaitu cara olahannya, susunan peristiwanya dan diksi-diksi yang dipilihnya dengan tepat menjadikan sesebuah cerpen itu menarik untuk dibaca.

**Sumber

Jan 3, 2013

Menulis Novel Dengan Bahasa Yang Betul

By On 3.1.13
Assalamualaikum & salam sejahtera,

Pembaca sekalian,

Penghasilan novel dalam talian sudah terlalu banyak hinggakan kita tidak tahu memilih karya manakah yang menarik dan bermanfaat untuk bacaan kita. Ada sesetengah novel yang best isi dan temanya tetapi menggunakan bahasa yang kurang bijak penyampaiannya. Ada pula yang sebaliknya.


Menulis novel biarlah dengan bahasa yang betul dan ejaan standard agar anak-anak kecil yang baru hendak belajar boleh menggunakan medium internet sebagai bahan tambahan. Bagaimana kita mahu mengawal keadaan ini? Mari kita cuba cara-cara berikut;


  1. Belajar bahasa melayu dengan cara yang betul seperti merujuk DBP, ahli bahasa ataupun cikgu bahasa yang pakar.
  2. Membuat latihan gabungan ayat-ayat pendek dan hubungkan dengan kata penghubung seperti dan, serta, manakala dan sebagainya.
  3. Sentiasa membuat latihan menulis dalam bahasa melayu.
  4. Tanamkan tekad untuk menulis dengan menggunakan bahasa yang seragam dan mengawal kesalahan ejaan dengan menyunting bahan/artikel/novel terlebih dahulu.
  5. Minta bantuan daripada rakan-rakan ataupun saudara terdekat menyemak artikel kita sebelum di siarkan dalam blog.
  6. Terima komen atau pandangan orang lain dengan hati tebuka.     


Seorang penulis perlu lebih peka dan bersikap 'open minded' menerima teguran. Jangan malu untuk belajar daripada orang di sekeliling kita kerana kita tidak tahu siapa di antara mereka yang memberikan ilham dan membuka idea untuk sesebuah karya.

Jadi, mari kita belajar bersama-sama demi memartabatkan karya novel ataupun e-novel, cerpen, sajak dan sebagainya di alam maya ini.

Catatan,
aynora nur
Januari 2013 
  

Dec 12, 2012

Apa Itu Puisi?

By On 12.12.12
Apa Itu Puisi?


Berikut saya paparkan sebuah perkongsian tentang 'Apa Itu Puisi' daripada pembacaan di blog ini, semoga kita lebih arif apa itu puisi dan unsur-unsurnya.

1. Pengertian
Secara etimologis, kata puisi dalam bahasa Yunani berasal dari poesis yang artinya bererti penciptaan. Dalam bahasa Inggeris, padanan kata puisi ini adalah poetry yang erat dengan –poet dan -poem. Mengenai kata poet, Coulter (dalam Tarigan, 1986:4) menjelaskan bahwa kata poet berasal dari Yunani yang bererti membuat atau mencipta. Dalam bahasa Yunani sendiri, kata poet bererti orang yang mencipta melalui imaginasinya, orang yang hampir-hampir menyerupai dewa atau yang amat suka kepada dewa-dewa. Dia adalah orang yang berpenglihatan tajam, orang suci, yang sekaligus merupakan ahli falsafah, negarawan, guru, orang yang dapat meneka kebenaran yang tersembunyi.

Shahnon Ahmad (dalam Pradopo, 1993:6) mengumpulkan definisi puisi yang pada umumnya dikemukakan oleh para penyair romantik Inggeris sebagai berikut.

(1) Samuel Taylor Coleridge mengemukakan puisi itu adalah kata-kata yang terindah dalam susunan terindah. Penyair memilih kata-kata yang setepatnya dan disusun secara sebaik-baiknya, misalnya seimbang, simetris, antara satu unsur dengan unsur lain sangat erat perhubungannya, dan sebagainya.

(2) Carlyle mengatakan bahwa puisi merupakan pemikiran yang bersifat muzikal. Penyair menciptakan puisi itu memikirkan bunyi-bunyi yang merdu seperti muzik dalam puisinya, kata-kata disusun begitu rupa hingga yang menonjol adalah rangkaian bunyinya yang merdu seperti muzik, iaitu dengan mempergunakan orkestra bunyi.

(3) Wordsworth mempunyai gagasan bahwa puisi adalah pernyataan perasaan yang imaginatif, iaitu perasaan yang direkakan atau diangankan. Adapun Auden mengemukakan bahawa puisi itu lebih merupakan pernyataan perasaan yang bercampur-baur.

(4) Dunton berpendapat bahawa sebenarnya puisi itu merupakan pemikiran manusia secara konkrit dan artistik dalam bahasa emosional serta berirama. Misalnya, dengan kiasan, dengan citra-citra, dan disusun secara artistik (misalnya selaras, simetris, pemilihan kata-katanya tepat, dan sebagainya), dan bahasanya penuh perasaan, serta berirama seperti muzik (pergantian bunyi kata-katanya berturu-turut secara teratur).

(5) Shelley mengemukakan bahawa puisi adalah rakaman detik-detik yang paling indah dalam hidup. Misalnya seperti peristiwa-peristiwa yang sangat mengesankan dan menimbulkan keharuan yang kuat seperti kebahagiaan, kegembiraan yang memuncak, percintaan, bahkan kesedihan kerana kematian orang yang sangat dicintai. Semuanya merupakan detik-detik yang paling indah untuk dirakam.

Daripada definisi-definisi di atas memang seolah terdapat perbezaan pemikiran, namun tetap terdapat persamaannya. Shahnon Ahmad (dalam Pradopo, 1993:7) menyimpulkan bahawa pengertian puisi di atas terdapat garis-garis besar tentang puisi itu sebenarnya. Unsur-unsur itu berupa emosi, imaginasi, pemikiran, idea, nada, irama, kesan pancaindera, susunan kata, kata kiasan, kepadatan, dan perasaan yang bercampur-baur.

Untuk membaca tentang unsur-unsur puisi, anda boleh lawati blog berikut:

http://endonesa.wordpress.com/2008/09/08/puisi-definisi-dan-unsur-unsurnya/



aynora nur 12.12.12

Dec 20, 2010

Bimbingan Berkarya

By On 20.12.10

GENRE: CERPEN


Genre/bidang cerpen dalam kesusasteraan Melayu termasuk dalam kategori cereka, merupakan satu bidang yang popular. Terdapat lima genre/bidang dalam kesusasteraan Melayu moden iaitu cerpen, drama, esei/kritik, novel dan puisi.

Cerpen ialah cerita berdasarkan fakta di campur dengan imaginasi. Manakala sastera pula payah diberikan definisi yang universal, justeru sastera bukan sesuatu yang dijumpai tetapi sebuah nama yang diberikan kepada sesebuah karya tertentu dalam lingkungan budaya tertentu. Bagaimanapun dapat disimpulkan bahawa kesusasteraan ialah ciptaan seni yang disampaikan melalui bahasa. Di dalamnya ada bahan yang indah, bahasa yang indah dan teknik penceritaan yang indah. Yang indah dalam kesusasteraan juga bukan hanya yang cantik di mata tetapi mempunyai nilai estatika.

Dengan ini cerpen ialah satu gabungan yang tidak seimbang antara pengalaman (realiti/benar berlaku) dengan rekaan (imaginasi) pengarang.

Panjangnya cerpen ialah antara 5,000 hingga 20,000 patah perkataan. Oleh sebab makna dari segi istilah cerpen itu ialah cerita pendek maka ada yang menyebutkan panjang cerpen ialah sehabis meminum secawan kopi atau sehabis menghisap sebatang rokok.

Bimbingan Berkarya


Apa yang mesti ada dalam karya sastera seperti cerpen?


Yang pertama
Intelek iaitu ada sesuatu pemikiran yang tinggi dalam cerpen tersebut. Maknanya dalam karya tersebut ada mesej yang mahu disampaikan kepada pembaca supaya boleh direnung dan difikir oleh pembaca untuk dijadikan panduan, mendapatkan pengetahuan dan pengalaman.

Yang kedua
Pancaran emosi dalam cerpen tersebut sama ada gembira, sedih, sinis. Maknanya cerpen tersebut memilih persoalan dan stail/gaya bahasa yang boleh dihayati dengan baik oleh pembacanya dan dapat menimbulkan suatu fikiran khusus serta memberikan kesan pengajaran dan hiburan.

Yang ketiga
Peristiwa/persoalan dalam cerpen tersebut dituliskan dengan mata hati dan mata fikir iaitu dengan imaginasi yang mengandungi unsur-unsur pemikiran bukan angan-angan. Ada matlamat dalam penulisan cerpen ini dan biasanya hal-hal yang positif.

Yang keempat
Sesebuah cerpen ada teknik persembahannya iaitu cara olahannya, susunan peristiwanya dan diksi-diksi yang dipilihnya.



Bentuk cerpen


Pertama

mimesis/peniruan iaitu meniru atau merakamkan peristiwa yang berlaku dalam kehidupan ditambah dengan imaginasi pengarang.

Kedua

cerpen beralasan iaitu mengadakan sau dasar atau alasan untuk mengubah bentuk biasa seperti menciptakan watak daripada mahluk asing.

Ketiga

cerpen mimpi iaitu cerita seperti dalam mimpi, dengan sifat luar biasanya, perlambangan tertentu sehingga ada waktunya tidak boleh diterima akal.

Teknik penceritaan cerpen

boleh dengan dialog untuk menghidupkan pemikiran. Dengan aksi pula cerita bergerak pada dasarnya, dengan perlukisan cerita bergerak dengan latar pilihannya dan pendedahan akan memberikan gambaran atau tema tertentu cerpen.


Ciri-ciri khas cerpen (cerpen konvensional)


1. Singkat, padu, intensif (ada perkara yang ditekankan)
2. Ada adengan, watak, gerak.
3. Bahasa tajam dan menarik
4. Interpertasi pengarang kepada kehidupan
5. Dapat menimbulkan satu kesan
6. Menarik perasaan pembaca
7. Penggambaran jelas pada peristiwa yang dipilih
8. Ada cerita/persoalan utama, watak utama, latar dan suasana



SIFAT-SIFAT PENULIS

Bagaimana nak menulis karya kreatif?

Penulisan kreatif seperti cerpen ini sebenarnya tidak dapat diajar. Pembimbing tidak dapat memberitahu seseorang bagaimana hendak menulis namun pembimbing dapat menerangkan bagaimana hendak menulis dengan lebih baik.



Yang penting penulis :

mestilah peka terhadap keadaan manusia dan berusaha memaparkan perasaannya.
mestilah cintakan kata-kata supaya frasa yang dicipta akan mengharukan pembaca.
mestilah meminati dunia penulisan dan mengasingkan diri dengan tulisan supaya dapat melihat apa yang baik dan yang buruk tentang tulisannya.
mestilah ada sikap yang teliti.
mestilah menjadikan tulisannya sebagai amalan harian, bukan hasil sekali skala.
mestilah menulis kerana mahu menulis bukan kerana sebab yang lain seperti kewangan misalnya.
mestilah berani menghadapi cabaran. Menggunakan karya yang ditolak sebagai dorongan untuk menulis dan bukan sebagai tanda dunianya telah kiamat.
Bagaimana nak menjadi penulis?

Bakat

Bakat anugerah Allah yang sukar dilihat. Ada percanggahan pendapat oleh para pengarang mengenai hal ini. Contohnya : SN Keris Mas menyebutkan bakat sangat penting sementara SN A. Samad Said menyatakan bakat kurang penting tetapi usaha dan minat lebih penting.

Minat

Ada keinginan untuk menulis.

Rajin membaca

Hal ini diakui oleh ramai penulis seperti Anwar Ridhwan dan Khadijah Hashim. Pembacaan akan memberi idea untuk menulis persoalan yang lain. Pembacaan akan melibatkan penamatan dan akan menimbul idea pertama.

Ada cita-cita untuk menjadi penulis.

Hasrat atau harapan akan menjadi pendorong.

Rajin menulis


-Laman web Dewan Bahasa dan Pustaka-

Apa Itu Cerpen?

By On 20.12.10
Apakah yang dinamakan cerpen. Tentu anda masih ingat ketika sekolah menengah dahulu kita didedahkan dengan teknik penulisan karangan dan cerita-cerita pendek bertemakan sosial dan remaja. Semasa bersekolah dahulu penulis sentiasa mendapat pujian kerana menghasilkan karangan yang mempunyai imaginasi yang tinggi. Karya penulis kerap disiarkan di dalam majalah Fokus, Bacaria, majalah Remaja dan banyak lagi.

Apa Itu Cerpen?


Kini cerpen telah banyak dimodenkan dengan pelbagai teknik dan tema.

Cerpen adalah sebuah cerita pendek yang mempunyai satu tema yang utama dan mengandungi 6 hingga 8 muka surat sahaja. Perjalanan watak berkembang dengan pantas dan penerangan cerita juga pendek dan padat. Tidak memerlukan sangat ayat yang panjang lebar. Cerpen mengandungi tema yang berbagai daripada soal cinta, ekonomi, politik, sosial dari kanak-kanak hinggalah berwadahkan tema yang lebih dewasa.

Ramai penulis novel di negara ini kebanyakannya bermula dengan genre penulisan cerpen seperti Amaruszati Nur Rahim, Lily Haslina Nasir, Pn Zaharah Nawawi dan banyak lagi nama-nama besar yang tidak dinyatakan disini.

Secara amnya cerpen mengandungi perkara-perkara berikut:

1. Tema

Ia merupakan pokok cerita yang hendak disampaikan di dalam sesebuah cerita pendek (cerpen).Kebanyakan penulis gemar menulis perkara yang mudah diterima dan berada dalam alam realiti manusia seperti percintaan, kehidupan remaja, politik, kemanusiaan dan sebagainya.Bila telah mendapat idea dari pokok cerita, barulah diolah sehingga cerita tersebut bergerak melalui permulaan, pertengahan dan penyelesaian. Klimaks biasanya berlaku pada pertengahan cerita.

2. Watak

Terdapat pelbagai watak di dalam sesebuah cerpen. Tetapi cukup dengan beberapa watak memandangkan cerpen lebih kecil skopnya. Namun yang pasti cerpen yang baik mestilah mengandungi watak-watak seperti watak utama, watak pembantu, watak jahat, dan sebagainya.

3. Tempat

Seperti novel, cerpen juga memerlukan penceritaan tentang tempat peristiwa itu berlaku. Tempat cukup digambarkan secara ringkas sahaja dengan pergerakan waktu ke waktu yang disingkatkan.

4. Lain-lain

Selain itu, cerpen mestilah mengandungi lima perkara asas iaitu kenapa, dimana, bagaimana, bila, siapa di dalam keseluruhan proses penceritaan itu sehinggalah selesai atau tamatnya sebuah cerpen.

Selamat berjumpa kembali.

@@@Ron Aynora@@@

Oct 13, 2009

TIPS MENULIS NOVEL

By On 13.10.09
TIPS MENULIS NOVEL. Tips yang biasa dipraktikkan tetapi kadang-kadang penulis melakukannya tidak mengikut urutan. Sebab, setiap idea dan imaginasi seseorang berbeza-beza. So, bacalah tips yang dikongsikan di bawah sebagai panduan asas untuk mereka yang baru mahu menulis novel ataupun e-novel.



Tips Menulis Novel 


Bahagian Pertama

Terlalu banyak surat dan e-mel yang saya terima meminta saya memberi beberapa tips untuk menulis. Sesungguhnya saya tidak dapat membalasnya kerana masalah masa yang seperti tidak cukup rasanya.

Melalui ruangan ini saya ingin berkongsi dengan para peminat, pembaca dan mereka yang berminat untuk menulis beberapa tips. Memang saya sentiasa mengalu-alukan kehadiran penulis baru bagi memeriahkan bidangpenulisan tanah air.

Menulis dan menjadi penulis bagi saya perlukan kesabaran dan ketabahan (tip pertama saya). Ini yang paling utama dan paling perlu ada pada setiap orang yang bercita-cita mahu menjadi penulis. Ketabahan dan kesabaran ini akan dilalui dalam beberapa peringkat ketika menulis dan selepas tulisan kita sudah sedia diterbitkan (kadangkala kita rasa karya kita boleh diterbitkan tetapi penerbit rasa sebaliknya).

1. Kesabaran dan ketabahan

Dalam proses permulaan menulis, seseorang penulis baru harus sabar dan tabah bagaimana mahu mencari idea untuk menulis. Kadangkala penulis baru menghadapi masalah bagaimana mahu bercerita, mencari bahan cerita atau bagaimana membina plot-plot dalam cerita itu nanti. Di sini kesabaran paling utama kerana proses membina cerita bukanlah proses yang mudah.

Proses pertengahan adalah proses yang cukup mencabar kesabaran penulis, ketika cerita sudah dibina. Sedang sedap menulis atau menaip tiba-tiba si penulis kehilangan idea. Apa nak ditulis? Idea terbang melayang, cari tak jumpa-jumpa. Kalau idea dah terputus macam mana nak menulis, kan?
Sabarlah… ada cara untuk menanganinya.

2. Selepas menghabiskan karya, mencari tajuk buku pun satu hal
Tetapi perkara ini boleh dibantu oleh penerbit. Kadangkala dalam proses ini membuatkan kita boleh jadi tidak sabar kerana kita tidak suka dengan tajuk yang diberikan oleh penerbit. Sabarlah….

Dan paling penting, seorang penulis baru perlu sabar dan tabah dalam menghasilkan karyanya, tabah ketika mengetahui karya mereka dibakul sampahkan dan sabar apabila mendengar komen daripada editor penerbitan yang mengatakan buku awak ni rubbish!, buku awak ni tak ada nilai!, apa buat cerita macam ni?, atau bermacam-macam lagi.



Bahagian Kedua

Daya Khayal(Imaginasi)dan sifat rasional yang seimbang.

Tip kedua saya, seseorang penulis mesti mempunyai daya khayal (imiginasi) dan sifat rasional yang sama seimbangnya. Seorang penulis memang perlukan daya khayalan bagi merangka dan mencorak segala karektor dan plot dalam sesebuah cerita. Namun di masa yang sama, sifat rasional diperlukan supaya sesuatu cerita itu tidak dicorakkan dengan cara yang keterlaluan. Contohnya:

1.Apabila seorang penulis, melihat sesuatu kejadian atau kemalangan, dengan daya khayal anda yang tinggi sudah tentu anda dapat mereka atau membentuk satu cerita ringkas dalam kepala anda sebab dan akibat kemalangan itu berlaku. Contohnya, sebab kenapa kemalangan itu berlaku mungkin si pemandu leka berSMS sehingga terlanggar lembu yang sedang bercanda dengan kekasihnya (lembu pun ada perasaan juga). Akibat kemalangan tersebut anda boleh reka dengan mengatakan yang jalan raya menjadi sesak selama lima kilometer (walaupun jalan tersebut jarang dilalui oleh orang ramai).

Mangsa kehilangan kakinya dan akibat kehilangan kakinya ia kehilangan kekasih yang sudah tidak mahu pada dirinya lagi. Dengan daya khayal anda sebagai seorang penulis anda boleh pergi lebih jauh lagi dengan rekaan cerita yang lebih menarik dan cantik.

2.Dalam masa yang sama, jangan mereka cerita anda dengan daya khayal yang keterlaluan. Ianya perlu sederhana dan sifat rasional anda diperlukan di sini. Seperti contoh diatas, kemalangan mungkin disebabkan oleh lembu. Tetapi janganlah sampai anda membuat cerita, lembu membantu orang yang kemalangan keluar dari kereta atau lembu bercekak pinggang mentertawakan mangsa. Itu sudah tidak rasional dan mungkin novel anda bertukar menjadi novel lawak pula nanti.

Anda sudah mempunyai sifat tabah dan sabar, daya imiginasi yang tinggi dan sifat rasional yang seimbang?
Anda boleh memulakan penulisan dengan satu keazaman. Janganlah anda menulis kerana nama, glamor atau wang ringgit. Tetapi menulislah dengan hati terbuka kerana ingin berkongsi cerita dan ilmu dengan pembaca.
Hidupkan komputer anda… kemudian bertekadlah dalam hati. Cerita ini akan habis ditulis dan diterbitkan walau apa pun berlaku.

Anda mahu tip lagi?



Bahagian Ketiga

Kali ini saya mahu membawa pembaca kepada perkara yang perlu difikirkan sebelum seseorang itu memulakan penulisannya.

1. Pemilihan nama
Nama-nama karakter amatlah penting dalam sesebuah buku, supaya nama itu mudah dingati oleh seseorang. Jangan sesekali nama karakter terutamanya hero dan heroinnya sama dalam dua buah buku yang berlainan tajuk. Saya pernah melakukan kesilapan begitu sehingga pembaca jadi keliru.
Nama yang sedap didengar dan mengandungi maksud tertentu akan menggembirakan hati pembaca untuk membaca.

2. Karakter hero dan heroin
Manusia dijadikan ALLAH dengan sifat yang tidak lengkap. Mencari manusia yang lengkap lapan puluh peratus pun amat payah di dalam dunia ini. Tetapi di dalam sebuah buku, hero atau heroin selalu digambarkan seorang yang cukup lengkap sifatnya. Baik budi bahasa dan juga fizikalnya. Tidak salah menggambarkan pasangan hero dan heroin yang begitu (saya juga sering melakukannya) tetapi biarlah berpada-pada. Dan perlu diingatkan kedua-dua karakter ini janganlah digambarkan seseorang yang terlalu buruk perangainya sehingga mematikan selera pembaca untuk membacanya

3. Nama lokasi
Nama lokasi juga memainkan peranan yang penting. Kalau boleh gunakanlah nama lokasi yang wujud di alam nyata tetapi kalau penulis mahu menulis nama lokasi rekaan sendiri, biarlah ianya mudah diingati dan senang
Bahagian Keempat
Bagaimana mahu memulakan penulisan?

Tip dibawah adalah perkara biasa yang saya buat sebelum memulakan sesuatu penulisan tetapi terpulang pada pembaca semua sama ada mahu mengikutinya atau tidak.

1.Senaraikan nama-nama watak yang perlu ada di dalam buku yang bakal ditulis. Nama, usia, status, kalau bekerja apa pekerjaannya, kalau belajar di mana dan sebagainya. Ini untuk memudahkan bakal penulis menulis dan membuat rujukan nanti. Ingat nama-nama tersebut supaya anda dapat menyebatikan diri dengan nama-nama itu.



2.Rangkakan cerita yang mahu ditulis secara kasar. Plot dan sub-plot yang perlu ada di dalam cerita tersebut. Ini akan memudahkan anda menulis ketika berada di komputer nanti.

3.Jangkakan berapa bab yang perlu anda tulis dalam cerita anda dan setiap bab kalau boleh jangan melebihi sepuluh muka surat dan tidak kurang daripada lima muka surat.

4. Tuliskan lokasi-lokasi yang perlu ada. Nama-nama jalan sebagainya.

Membiasakan diri dengan lokasi yang anda tulis memudahkan anda ‘bermesra’ dengan tulisan anda.

Catatan boleh dibuat di kertas terlebih dahulu sebelum menulis di komputer. Tetapi saya amat jarang sekali menulis sebarang catatan dikertas kerana tidak mahu membuang masa. Bahkan apa yang saya fikirkan biasanya saya simpan di dalam otak sehingga beberapa hari bahkan beberapa bulan (syukur kepada ALLAH memberi saya ingatan yang sebegini).

Namun perlu ditegaskan di sini tidak salah, mana-mana bakal penulis mahu mencatatkan sesuatu dikertas untuk senang diingati. Terpulang kepada daya kebolehan dan ingatan seseorang.

Nah! Mulakan cerita anda sekarang ini dan berseronoklah…


Bahagian Kelima

Anda semua sudah mempunyai nama-nama watak, tempat, bangunan dan juga cerita yang perlu ada dalam setiap buku anda?

Anda sudah mula menulis, tetapi sayang ketika dalam ghairah menulis, idea anda hilang, cerita anda terbantut di tengah jalan. Apa yang harus anda lakukan?Ada beberapa tip yang boleh diikuti dan moga-moga ianya dapat membantu.

Tinggalkan sahaja komputer dan tulisan anda. Bawa diri bertenang begitu juga dengan fikiran anda. Perhatikan pohon-pohon menghijau atau bayangkan air laut yang berombak tenang. Perlahan-lahan apabila fikiran anda sudah mula tenang, anda boleh berimaginasi sesuka hati anda.



Kalau imaginasi anda mengenai air laut dan pohon hijau tidak dapat membantu anda, bawa-bawalah kaki anda pergi ke tempat yang anda suka.

Macam saya... saya suka ke tempat membeli belah. Seluas mana tempat membeli belah yang terpaksa saya redah pun, jiwa saya akan tenang walau tidak membeli apa-apa. Saya pernah melawat seluas lima juta enam ratus ribu kaki persegi tempat membeli-belah di Zhienjain, China balik ke hotel saya boleh menulis dua puluh muka surat tanpa penat.

Jika ke pusat membeli belah tidak dapat menjalankan otak anda, ada satu lagi cara untuk anda mendapat idea. Pergilah ke kedai buku atau perpustakaan. Beli atau pinjamlah mana-mana buku yang boleh menarik minat anda. Benamkan diri anda di kerusi atau tilam. Membaca dan membacalah... Petua ini sering saya lakukandan alhamdulillah ia sangat membantu.

Kalau itu masih tidak dapat membantu, telefonlah kawan-kawan anda atau berbual dengan adik beradik,bapa atau emak saudara, sepupu atau sesiapa sahaja yang boleh membuat otak anda mula bergerak semula.

Masih lagi tidak boleh berjalan otak anda? Satu ketika dahulu saya selalu duduk melepak di tangga-tangga pusat membeli belah Sogo, melihat kerenah orang ramai yang hilir mudik. Di situ saya mendapat banyak idea untuk menulis...

Kadangkala berchatting di internet dapat juga membantu. Tetapi jangan pula anda terlibat dengan perbualan ‘sampah’ yang tidak mendatangkan faedah. Lebih elok kalau dapat berbual dengan rakan dari luar negara, bertukar fikiran mengenai budaya mereka dan sebagainya (Jangan berbual kosong, mengutuk orang sana sini penghabisan idea masih tak ada, dosa yang dapat.).

Kalau semua yang saya nyatakan tidak dapat membantu, bahkan idea lain pula yang timbul untuk membuat cerita baru. Bagi saya tidak salah kalau anda menulis cerita baru. Simpan cerita lama yang terbantut di tengah jalan itu buat sementara waktu. Bagi diri saya, penulisan tidak boleh dihentikan. Cerita yang terbantut di tengah jalan itu Insya-ALLAH satu masa nanti boleh disambung semula.



Bahagian Keenam

Saya rasa ketika ini sudah ramai yang mula menulis dan mungkin ada yang sudah menyelesaikan sebuah novel. Tahniah diiucapkan. Saya sudah pun memberi beberapa tip menulis untuk diikuti dan harap pembaca berpuas hati dengan apa yang saya berikan. Kali ini saya tidak akan memberi apa-apa tip bagaimana untuk menulis.

Namun saya mahu memberi sedikit nasihat kepada penulis baru yang baru menghasilkan satu dua karya.

Jangan sesekali memperendah-rendahkan karya orang lain. Sebagai penulis, setiap detik dan setiap bacaan adalah proses pembelajaran.



Saya sendiri walau sudah banyak menghasilkkan karya, masih suka membaca apa sahaja walaupun karya penulis baru. Kita perlu melihat karya orang lain sebagai satu keupayaan yang menakjubkan. Jangan sesekali membuat komen atau menghentam secara peribadi seseorang penulis. Komenlah karya penulis lain dengan cara yang lebih terbuka. Saya pernah mendengar seorang penulis yang baru ketika itu menghasilkan 2 buah novel membuat komen, “Saya menulis kerana saya tahu saya boleh menulis dengan baik, kerana banyak karya orang lain tidak sedap dibaca dan entah apa-apa”.

Saya rasa komen yang dibuat adalah komen yang benar-benar tidak bertanggungjawab.

Jangan malu untuk belajar dan memerhati. Belajar buka sahaja di universiti tetapi di mana-mana sahaja. Televisyen benyak memberi saya ide untuk menulis walau waktu menonton saya begitu terhad sekali. Saya menonton apa sahaja yang saya rasa logik di fikiran saya seperti CSI(New York, Miami, Vegas), drama bersiri ‘Dunia Baru’, Al-Kuliyyah, Midsomer Murder, Travel and Living, English League, Dr. Fadhila Kamsah, bahkan sesekali kalau ada masa, Trek Selebriti, Chit Chat Azwan atau Beat TV juga saya tengok.

Jangan terlalu bangga dengan pujian yang diterima dan melihat kritikan sebagai sesuatu yang melemahkan. Bagi saya pujian untuk memberi dan memulihkan semangat dan tidak pernah mengenepikan kritikan. Walau pahit bagaimana sekali pun sesuatu kritikan itu, saya terima asalkan tidak menyentuh peribadi dan juga keluarga saya.

Itu serba sedikit nasihat yang dapat saya beri kepada penulis muda.

Sentiasa merendah diri, merasakan diri sentiasa kekurangan dalam bidang penulisan dan dapat menerima apa sahaja kritikan, resipi terbaik untuk berjaya.

Sekian... Selamat menikmati keenakan berkarya.

DI PETIK DARI NBKARA.COM