Menu
Oh! MyKarya!

datangmu dengan salam kasih
pada perindu yang menanti penuh sabar
mengira bulan dan bintang pada dada Hijrah
saat memeluk rahmatmu pada permulaan hari
tangisan syahdu mengiringi permohonan
ampunkan dosa silam kami

Maha Pemurah Ya Rabbi
kau berikan kami ampunan
dengan percuma tanpa minta balasan
kau Maha Pemberi
pada kami yang hina tidak mampu lagi di tadah
permohonan demi permohonan
apakah malu kami ini
ada tempat pada JannahMu?

kau bebaskan kami
dari panas dan bahang api neraka
janji janji manis yang tidak pernah kau mungkiri
malahan kau tepati ia dengan limpahan rezeki
kau bebaskan kami dari sengsara fakir
kau bebaskan kami dari sumpah murka

tetapi kenapa
kau tinggalkan kami juga
Ramadan 1433Hijrah...

aynora nur
penghujung Ramadan

datangmu dengan salam kasih pada perindu yang menanti penuh sabar mengira bulan dan bintang pada dada Hijrah saat memeluk rahmatmu pada p...
Unknown Aug 8, 2012
Oh! MyKarya!


 
kredit **google 

Hannah menyimpul rambutnya yang panjang dengan penyepit berbentuk rerama berwarna pink yang sangat indah. Lalu rambutnya yang panjang kelihatan tinggal separuh apabila simpulan itu diikat ke atas. Alangkah bagusnya jika simpulan indah itu hanya untuk tatapan mataku seorang, insan benama Zaffril. Sebagai suami aku wajib menasihati Hannah tetapi si cantik isteriku itu hanya kata dia belum bersedia. Aku rasakan ia jawapan yang klise dari semua wanita di luar sana. Tetapi dengan keyakinan seorang suami, aku pasti masanya akan tiba bila ALLAH memakbulkan doa-doa hambaNya.

"You ada function apa, dear?"

Hannah tidak menjawab soalanku. Dia semakin rancak menyolek wajahnya agar kelihatan lebih segar. Kemudian dengan senyuman manjanya dia berpaling kepadaku.

"You dah lupa ke, Zaff?"

"Lupa apa?"

"Ala...you selalu macam tu. Dah berapa kali I ingatkan. I mesej you, I tuliskan kat board tepi freezer dan..."

"Ada ke? I tak ingat pun. Tak perasan pulak..." aku cuba bermanja juga.

"You selalu macam itu. Beribu pesanan I bagi you langsung tak ambil pusing. Dah banyak kali tau. You jangan sampai buat I tak percayakan you, Zaff. Baru nanti you tahu yang langit itu tinggi atau rendah." suara Hannah perlahan tetapi bernada tegas.

"Dear...you ugut I ke ni?"

"Sendiri mau ingat lah..." Hannah berpaling kepada cermin semula.

Aku menggigit jari tidak terkata. Merajukkah dia? Acapkali aku terlupa, berulangkali aku layangkan kemaafan. Dan, sekali lagi aku lupakan pesanannya. Apakah aku sudah kurang hormat pada Hannah? Apakah aku tidak meletakkan Hannah pada senarai utamaku lagi? Entah kali ke berapa Hannah merajuk denganku, semuanya gara-gara sikap sambil lewaku.

Hannah berjalan menuruni tangga dan aku pun ikut mengekor dari belakang. Tiba di ruang tamu Hannah bertanya untuk ke sekian kalinya.

"You nak ikut tak?"

"Tak mahu. I penat Hannah. I balik tadi dahlah merempuh jammed, sekarang nak keluar balik? Apa kata kita duduk rumah aje dan tengok TV. Banyak cerita best kan malam ni. Lagipun dah lama kita tak duduk berdua tengok TV sambil makan jemput-jemput ikan bilis you tu..."

Hannah membuntangkan matanya. Apakah dia marah sangat hinggakan matanya bersinar-sinar memandangku. Bersinar garang pulak tu!

"Zaff...kalau tak mahu ikut, at least hantarkan I ke rumah Salbila."

"Kalau macam tu lebih baik I ikut sekali. Function apa ni dear?"

"Tanya lagi!"

"Tanya pun nak marah?"

"Dah you yang selalu mencabar kesabaran I. Mana I tak marah. You ni tak serious dan tak fokus tau. Tuuu...tengok kat board!" Muncung Hannah dihalakan ke arah dapur. Disitulah terletaknya 'communication board' antara aku dan Hannah.

Aku pun menapak dengan malas ke dapur. ANNUAL DINNER MY COMPANY dengan tarikhnya sekali. Besar terpampang tulisan Hannah pada board itu.

"Zaff...cepat sikit. I dah terlewat ni."

Aku sudah berada di muka pintu.

"I hantar you kat rumah Salbila aje ya. I tak ada mood lah dear. Sorry ok!"

"Suka hati you Zaff. Cepat sikit." kedengaran suara Hannah dalam nada merajuk.

Hmmm...Hannah rajin benar merajuk. Aku pulak? Aku bukanlah kaki pujuk punya orang, tetapi demi kasihku pada Hannah, kerap aku memujuknya kerana kebanyakan punca rajuknya adalah daripada aku. Biasanya rajuk Hannah tidaklah panjang berhari-hari, paling lama pun memakan dua hari setengah, itu kes aku terlupa tentang tarikh lahirnya. Sensitif betul kaum wanita terhadap hari lahir, kan? Kalau aku, orang tak ingat pun tak apa, iya ke? Tetapi belum pernah Hannah terlupa pada tarikh lahirku. Alangkah beruntungnya aku mendapat kawan, sahabat, kekasih dan isteri yang sebaik Hannah.

Aku meninggalkan Hannah di rumah Salbila kerana mereka akan bergerak beramai-ramai dalam sebuah kereta. Kebanyakan kawan-kawan Hannah tinggal satu taman cuma berbeza nama jalan sahaja. Usai membersihkan diri, aku turun ke dapur. Tekak terasa mahu makan jemput-jemput ikan bilis, jadi aku dengan pantas membancuh tepung dan memotong bawang sebagai perencahnya.

Malam itu aku menonton TV berseorangan ditemani dengan satu pinggan jemput-jemput ikan bilis. Memang santai berbanding berasak-asak pada jamuan makan tahunan syarikat Hannah. Aku sudah serik. Seperti tahun lepas, aturcara terlalu padat menyebabkan waktu makan pun terlewat 1 jam. Itu sebabnya apabila Hannah mempelawa tadi aku jadi berat hati. Mungkin kalau aku ikut, waktu seperti sekarang ini belum tentu aku sudah dapat mengisi perut.

Aku memutar saluran TV3. Buletin Utama sedang bersiaran secara langsung. Macam-macam yang disampaikan hinggalah pada satu temuramah perihal ekonomi, satu wajah yang amat aku kenali muncul di kaca TV. Nama si pemuda kacak itu juga tertera di kaca TV, Zek Isqandar Sani. Darahku berderau dan mukaku terasa bahang. Bekas teman lelaki Hannah kini telah kembali ke tanahair. Pulangnya yang membawa gelaran pakar ekonomi muda di sebuah syarikat kewangan terkemuka.

Aku terus teringatkan Hannah. Apakah dia tahu yang Zek sudah kembali ke tanahair? Mungkin Hannah sudah tahu tetapi buat-buat tak tahu dan tak menceritakan kepadaku?

"Hello..."

Di hujung sana Hannah memberi salam. Kedengaran bunyi muzik latar yang bingit di belakang suara Hannah. Entah mengapa aku rasakan pada saat ini aku sepatutnya berada di sisi Hannah dan melindunginya daripada pandangan mata-mata nakal yang pantang nampak wanita berdahi licin. Aku sepatutnya tidak mementingkan diri sendiri jika aku benar-benar sayangkan Hannah.

"Tengah buat apa?" soalan bodoh apa yang sedang aku tanyakan.

Hannah tenang sahaja menjawab dan menjelaskan apa yang sedang dilakukannya. Aku tak mahu memanjangkan masa jadi aku fikir inilah masanya aku perlu tanyakan tentang Zek Isqandar.

"Siapa?" Hannah bertanya lagi kerana keadaan kedengaran semakin bingit di sebelah sana.

"It's okey dear. Nanti balik kita bincang." aku terus memutuskan telefon.

Debaran di dadaku semakin rancak. Zek Isqandar, kerana kaulah aku nyaris kehilangan Hannah. Kalau kau tidak begitu budiman, tentu Hannah tidak cair dengan kau! Nasib baik aku dapat menewaskan kau kerana kesilapan kecil kau, yang akhirnya Hannah memilih aku menjadi suaminya.

***

Hannah sudah siap untuk beradu. Aku melihat jam di handphone. Jam menunjukkan pukul 1.15 pagi. Hannah terus menarik selimut. Mungkin matanya sudah mengantuk kerana penat dengan acara makan tahunan yang baru dihadirinya tadi. Aku gelisah tidak menentu. Aku mesti nak tahu dari mulut Hannah sendiri, apakah dia tahu tentang kepulangan Zek Isqandar, bekas teman lelaki yang pernah disayangi satu masa dahulu?

"Hannah...you dah nak tidur ke?"

"Hmmm..." Hannah hanya bergumam.

"Penat?"

"Yup!"

Aku mengurut bahunya yang sedang membelakangkan aku. Wangian Enchanteur Charming menaikkan semangatku. Sambil berdoa dalam hati, aku membisikkan ke telinga Hanah.

"What?"

"Zek Isqandar."

"You mimpi atau pun berkhayal?" soal Hannah hairan.

"I sedar...tadi I tengok berita. Terkejut I bila dia ada kat sini. Bila dia balik eh?" aku saja menjerat.

"Dah seminggu." Hannah menjawab dengan malas.

Sebaliknya aku rasakan darah gemuruhku sudah sampai ke kepala.

"You tahu?"

"Dia call dan beritahu."

"You tak cerita dengan I pun..."

"Malas lah cakap dengan you ni. Cuba you check balik SMS yang I kirim last week. Ok dear, I nak tidur. I'm very tired. Selamat malam."

Aku termangu macam batu. Aku capai handphone dan meneliti SMS yang dikirim oleh Hannah ke dalam kotak mesej.

- Zaff, hari ini I dan schoolmate ada lunch date dengan our new boss. His name sound familiar to you, Isqandar Sani. Want to joint us? - 

Aku menepuk dahi. Jadi tadi Hannah bertemu lagi dengan Zek Isqandar, bos barunya dalam izinku. Aku yang menolak untuk menemaninya, aku yang lebih selesa makan jemput-jemput ikan bilis dan seperti biasa aku yang mementingkan diri sendiri akhirnya memakan diri.

Sampai ke subuh aku terjaga sambil membelek SMS tersebut dan dalam rongga dadaku penuh dengan nama Zek Isqandar!

                       

  kredit **google  Hannah menyimpul rambutnya yang panjang dengan penyepit berbentuk rerama berwarna pink yang sangat indah. Lalu ram...
Unknown Aug 7, 2012
Oh! MyKarya!

Alisya melangkah lebih laju apabila terasa dirinya diekori. Niat di hati mahu mengunjungi butik Soffea di kompleks beli belah itu tidak kesampaian. Sebaik keluar dari perut teksi tadi, dia memang sudah terasa lain macam. Dadanya asyik berdebar-debar. Sah! Tekaannya benar apabila dia terpandang dua lelaki yang tidak dikenali asyik mengekor ke mana kakinya melangkah. Dalam keadaan tidak menyenangkan itu, Alisya sempat menyelinap ke dalam sebuah kedai menjual tudung lalu bersembunyi di situ. Dia berdoa bersungguh-sungguh agar dirinya dilindungi dari sebarang bahaya.

"Maaf...saya tengok-tengok dulu."

Alisya berpura-pura memilih tudung yang sedang tergantung. Terdapat banyak jenis tudung yang dipamerkan dan akhirnya Alisya mencapai sepasang shawl berwarna hitam agar kelakuannya tidak mencurigakan si pemilik kedai. Usai membayar di kaunter, Alisya segera melepaskan diri dari dalam pusat beli belah itu dengan menahan sebuah teksi. Debarannya semakin kencang daripada awal tadi sebaik matanya terarah kepada dua orang lelaki yang mengekorinya sedang berbual dengan dua orang wanita. Kelihatan interaksi antara mereka begitu serius dan tegang.

Novel : Mengapa Di Rindu 23



Resahnya semakin tidak keruan tatkala salah seorang wanita yang berurusan dengan dua orang lelaki tadi adalah Dato' Yusniza. Sebaik teksi melintasi hadapan pusat beli belah itu Alisya menundukkan kepalanya agar dia tidak dikesan oleh dua lelaki yang tidak dikenali itu.   


***

"Kau biar betul?"

"Betul. Aku rasa macam sedang berlakon dalam sebuah drama aksi. Sebiji macam yang kita selalu tengok kat TV. Sekarang ni pelakonnya adalah aku..."

Rahimah menahan senyum mendengar kisah yang diceritakan oleh Alisya. Dalam hati penuh dengan rasa simpatinya terhadap gadis yatim piatu itu, baru nak mengecap bahagia ada sahaja halangan menjelma. Apakah kejadian dia diekori ada kaitan dengan perhubungan yang semakin akrab dengan anak hartawan dan wanita korporat terkenal, Dato' Yusniza? Jika tidak, takkan ada orang lain yang menaruh hati pada teman baiknya itu. Jika benar, siapa pula mereka? Tiba-tiba seraut wajah dan satu nama muncul dalam kepala Rahimah.

"Zikry cari kau balik ke?"

"Tak ada. Dah lama aku tak dengar khabar berita dari dia. Entah masih ada, entahkan sebaliknya..."

"Langsung loss contact?"

"Ya..."

Rahimah merenung wajah Alisya yang tidak ceria. Dia terpaksa akur dengan pendapat ramai bahawa temannya yang seorang ini berwajah jelita. Tetapi, ketegasan dan kebijaksanaannya seolah menjadikan dirinya selamat dari lelaki-lelaki yang berhidung belang. Hanya ada seorang lelaki yang begitu gentleman dan berani mendekatinya iaitu Hazim. Yang silapnya percaturan takdir ini adalah Hazim seorang tokoh korporat yang terkenal dan CEO yang 'most available bachelor in town'!

"Macam mana kau boleh lepas. Hebat juga kau ya?"

"Aku beli shawl dan tutup kepala aku. Nasib baik ada shawl ni. Kalau tidak kejang aku kat sana, Imah."

Rahimah tergelak kecil.

"Itu tandanya TUHAN sayangkan kau. Dan nak suruh kau tutup aurat yang sepatutnya. Jangan bila susah baru nak guna nikmat yang ALLAH berikan."

"Okey bestfriend, aku ingat pesanan kau ni. Thank you..."

"Hazim tahu pasal ni?"

Alisya mengeleng.

"Kenapa tak bagitahu?"

"Ala...small matter aje pun. Aku tak nak dia risau. Kau tahulah, kerja dia aje dah berlambak, aku tak nak tambah dengan masalah kecil macam ni."

"Kau dengan dia dah getting closer kan, kenapa mesti nak rahsiakan. Aku takut nanti dia lagi bimbang bila tahu dari mulut orang lain."

"Kalau bukan kau yang cerita, dia takkan tahu." Alisya mencebik.

Rahimah ketawa besar. "Kau tahu apa yang aku nak buat ya?"

"Niat kau tu ada dalam otak aku."

"Gitu pulak!"

"Eh! Kejap...ada satu subjek penting dalam cerita aku ni yang aku tak bagitau kau. Dua orang lelaki tu berjumpa dengan Dato' selepas tak dapat kejar aku. Aku nampak kelibat dia orang kat depan shopping complex tu ketika aku dalam teksi nak balik..."

"Then, you must tell your boyfriend about this..."

"Yang mana satu aku kena inform?"

"Dua-duanya sekali..." Rahimah berkata tegas.

"Aku tak rasa aku perlu ceritakan semuanya kepada dia. Aku harus ceritakan perkara yang pertama itu sahaja. Pasal Dato' aku rasa tak perlu kut..."

"Kau mesti berterus terang dengan Hazim, Alisya. Perhubungan yang berjaya bukan dengan berrahsia sebaliknya kau harus berterus terang dalam semua perkara." Rahimah meluahkan nasihatnya.

"Aku tak setuju."

Alisya membantah. Lihatlah apa terjadi pada pada hubungannya yang lepas dengan Zikry. Segala kepercayaan ditumpahkan sepenuhnya, segala rahsia dikongsikan tetapi akhirnya dia juga yang diketepikan. Alisya percaya kepada ketentuan takdir TUHAN, jika sudah jodoh tidak ke mana. Begitu juga dengan Hazim, sekiranya lelaki itu tidak mahu berkongsi semua perkara dengannya, dia tidak mampu memaksa.

"Berbuih aku bagi nasihat, kau tetap degil. Terpulanglah Alisya. Yang penting kau bahagia..." akhirnya Rahimah berserah.

"Terima kasih Imah kerana kau amat memahami."

***

"Abang! Jom kita gerak. Nanti dah lewat sangat, lambat pulak sampai kat rumah. Kasihan dengan Kak Alisya."

Hazim menjeling Tag Heuer di pergelangan tangan. Benar kata Kamal, jam hampir mencecah pukul 12 malam. Memancing di kolam pada waktu malam begitu memang tidak terasa dengan waktu yang bergerak. Bila semua peralatan telah dimasukkan ke dalam perut Harrier, barulah terasa mata semakin berat untuk dibuka.

"Kamal nak tapau makanan tak?"

"Tak payahlah bang...saya nak tidur je." Kamal tersengih menunjukkan barisan giginya yang cantik.

"Bukan untuk Kamal, untuk bakal isteri abang kat rumah tu..." Hazim bergurau.

"Abang tanyalah kak Lisya sendiri."

"Ya lah! Ya lah!"

Hazim mendail nombor Alisya. Setelah tiga kali deringan barulah talian diangkat.

"You nak makan apa?"

"Okey, jangan tidur dulu. Take care darling..."

Di hujung talian Alisya sekadar melepaskan tawa kecil sebelum memberi salam.

"Kamal...are you sleeping?"

"Hmm..."

"Kamal rasa bagus tak kalau abang nak kahwin dengan kak Lisya dalam masa terdekat? Bukannya apa, abang takut melepas. Kak Lisya ramai yang minat."

"Idea yang bagus. Saya ikut aje. Tapi kan bang, buat apa abang nak risau sangat. Kak Lisya memang ramai peminat tetapi semuanya tak berani nak approach sebab kak Lisya garang. Cuma abang aje yang berjaya melepasi tembok batu yang kak Lisya bina. Abang hebatlah!"

"Abang dengan bekas boyfriend kak Lisya dulu, mana lebih bagus pada pandangan Kamal. Cakap aje, abang tak marah."

Kamal tersengih lagi. Matanya yang sedari tadi mengantuk kembali segar. Perbualan dengan Hazim kadangkala terasa lucu dan hangat. Hazim sedaya upaya menjadi insan terbaik buat kakaknya. Hazim sanggup merendahkan egonya demi menjadi buah hati kesayangan Alisya. Lagipun, Hazzim pemurah jika dibandingkan dengan Zikry yang amat berkira dalam segala segi. Kamal akhirnya bersetuju dengan kata hati bahawa Hazim selayaknya mendampingi Alisya, kakak kesayangannya.

"Saya rasa abang cukup segala segi. Abang lah lelaki idaman wanita semalaya. Tetapi saya perasan kan bang...kak Lisya tak pernah pun cakap yang dia dah berkenalan dengan keluarga abang. Abang belum bawa Kak Lisya jumpa parents abang ke?"

Hazim terdiam. Alisya ada bersuara tentang hal yang sama. Tidak bolehkah kali ini dia mengenepikan keluarganya demi memenuhi tuntutan hatinya sendiri? Bukankah bahagia itu milik diri sendiri, siapa mahu derita dalam bercinta. Hazim pun sama, dalam hati selalu membisikkan agar meneruskan sahaja perancangan yang telah diatur. Dia ada segalanya. Sekadar berkahwin senyap-senyap dengan Alisya apalah sangat...lagipun Alisya anak yatim piatu, jadi perancangannya disangka mudah.

Hazim melepaskan keluhan kecil. Dia tidak boleh ikut suka hati jika mahu memperisterikan buah hati kesayangan. Dia harus meletakkan Alisya pada taraf yang tertinggi, wanita untuk dicintai dan disayangi, bukannya untuk diperlakukan sesuka hati! Akhirnya Hazim pasrah pada keadaan yang bakal ditentang...

"Abang Hazim, buatlah apa yang abang rasa baik. Saya ikut sahaja asalkan abang dan kak Lisya bahagia." akhirnya itulah jawapan yang Kamal rasa tepat untuk Hazim.

"Insya'Allah...abang akan bahagiakan kakak Lisya awak tu."

Kamal tersenyum mendengar janji yang disemai oleh bakal abang iparnya itu. 

Alisya melangkah lebih laju apabila terasa dirinya diekori. Niat di hati mahu mengunjungi butik Soffea di kompleks beli belah itu tidak ke...
Unknown Aug 4, 2012
Oh! MyKarya!

"Assalamualaikum pembaca tersayang,

Saya hasilkan cerpen ini bukan kerana saya pandai atau memandai-mandai, tetapi saya hasilkan cerpen ini kerana sebuah kerinduan. Cerpen ini adalah sebuah cerpen pembangunan jiwa, yang saya tuliskan dengan segala kekurangan yang saya ada. Maafkan andai segala kandungan cerpen 'Ramadhan Sepi' ini kurang digemari. Kerana sesungguhnya, Ramadhan datang setahun sekali..."      
********************************************************************



“Sorr…Sorry! Maafkan saya!”

Ratna memungut kertas dan pennya yang terjatuh di atas kaki lima sekolah. Dia mahu cepat melangkah keluar dari bilik guru. Sebentar tadi dia baru sahaja disuruh menyanyikan lagu sekolah menengah yang baru dihuni dua hari. Dalam dua hari, mana sempat dia menghafal melodi lagu sekolah barunya. Entah apa nama cikgu perempuan tadi, Ratna pun tak sempat membaca name tagnya. Disebabkan sebal dengan ‘denda’ yang diterima, Ratna berlari keluar yang akhirnya melibatkan dia dengan insiden pelanggaran dengan budak lelaki itu.

“Tak mengapa. Budak baru ya?” soalnya dengan senyuman.

Ha’ah. Mana tahu?” itu soalan yang Ratna sempat keluarkan dari mindanya.

“Warna baju…”

Ratna memandang baju sendiri. Baru dia perasan yang pelajar tingkatan enam di sekolah itu mengenakan pakaian berbeza.

“Tapi baju awak…”

“Kenapa?”

“Tak sama dengan saya.” Ratna sangkakan budak lelaki itu pun sepertinya, pelajar tingkatan enam bawah yang sedang menjalani minggu orientasi.

“Oohh…aku form five.”

“Oohhh…” Nganga mulut Ratna lebih besar.

“Jangan buka mulut tu besar sangat. Nanti masuk lalat.”

Dalam tak sedar Ratna tersenyum sambil menutup mulutnya. Insiden itu tamat begitu sahaja tetapi senyuman budak lelaki itu selalu hadir dalam waktu lapangnya. Senyuman itu ikhlas dan menawan hati. Semoga nanti dia berkesempatan bersahabat dengan budak lelaki itu. Entah mengapa terdetik di hati mahu berkawan dengan budak lelaki itu. Kalaulah ada masa yang cukup…Ratna meraup mukanya sambil dalam hati menitipkan doa kepada Yang Esa.  

***

Ratna menunggu di pintu pagar sekolah. Budak lelaki yang dikenali dari insiden pelanggaran di hadapan bilik guru itu bernama Yazid. Kini Ratna sedang menunggu Yazid untuk sama-sama berjalan balik ke asrama. Hanya Ratna yang duduk asrama sementara Yazid berulang alik ke rumahnya dengan menggunakan bas sekolah. Kini mereka berdua sudah menjadi sahabat baik yang akrab. Ke mana sahaja pergi mereka tetap bersama. Namun satu yang Ratna jaga sentiasa, biarpun serapat dan seakrab mana perhubungan tersebut, tetap ada pemisah dan halal haram perhubungan manusia yang bukan muhrim yang dipeliharanya.   

"Ratna, ustazah Rashidah nak jumpa kat bilik guru selepas waktu sekolah."

Iryanti berlalu begitu sahaja selepas menyampaikan pesanan tersebut. Ratna tak sempat bertanya lanjut.

"Kenapa ustazah nak jumpa kau?"

Ratna menggeleng. "Mungkin nak bincang pasal program puteri islam."

"Take care. Kekadang semua orang mengaku aje dirinya ustazah tetapi perangai sebaliknya. Orang kata ustazah hanya pada gelaran dan jawatan..."

"Tak baik cakap macam itu. Dalam al-Quran pun ada nyatakan...jauhilah kebanyakan daripada sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian sangkaan itu adalah dosa."

"Aku bukanlah nak bersangka tak baik...tapi aku tak suka dengan dia." 

Ratna mendengar sahaja hujah yang dikeluarkan oleh Yazid. Setiap orang ada pandangan masing-masing, terpulanglah bagaimana Yazid membuat persepsinya terhadap ustazah Rashidah.

***

Ratna beristighfar di dalam hati tatkala mengingati perbalahan kecil antara dirinya dengan ustazah Rashidah tengahari tadi. Ustazah yang bertudung litup itu meninggalkan pesanan dan nasihat yang panjang lebar kepada dirinya. Betul kata Yazid, berhati-hati. Kerana, kebanyakan kata nasihat yang dizahirkan banyak mengutuk dan memburukkan Yazid. Pada pandangan ustazah, keakraban dengan Yazid boleh menjerumuskan Ratna ke kancah maksiat. Namun sebelum berpisah dengan ustazah, Ratna sempat membisikkan,

"Ustazah, apa yang ustazah katakan itu saya hanya boleh jawab, wallahhua'lam. Kembalilah kepada al-Quran dan Sunnah jika kita tak confirm lagi tentang sesuatu..."

Ratna beristighfar sekali lagi. Bayangan putih yang kebelakangan ini melintasi ruang pandangnya secara sekelip mata amat membimbangkannya. Orang kata jika kita selalu diserang benda-benda pelik begini mungkin pandangan mata kita nak rosak, ataupun ada penyakit lain yang kita hidapi. Ratna sendiri kurang pasti. Teman sebilik kerap menggesanya membuat pemeriksaan tetapi Ratna berdegil mengatakan tubuh badannya masih sihat dan tiada tanda-tanda yang dirinya sakit.   

Malas membuang masa tak tentu fasal, Ratna tergerak untuk menulis surat kepada Yazid. Bila teringatkan pertengkaran dengan ustazah Rashidah, semakin mendalam gesaan nalurinya untuk menulis sesuatu buat sahabat barunya itu.

Sahabatku Yazid,


Saya hanya singgah sementara pada dahan hari yang pendek ini. Dalam perjalanan ini, saya dipertemukan dengan insan istimewa yang tidak istimewa di mata yang lain, tetapi semua manusia tetap istimewa pada pandanganNya. Saya sungguh terharu, dalam keterbatasan hubungan ini, awak masih mendengar kata-kata saya dan masih ada sifat malu pada orang lain. Pada luarannya awak nampak kasar, mat rempit, ponteng sekolah, melawan cikgu (sebab itu awak tak suka ustazah, kan?) dan awak juga menghisap rokok. Tetapi sebenarnya awak perlukan teman dan sahabat. Awak perlukan seseorang yang boleh awak sandarkan, dan kita ditakdirkan bersahabat dengan yang berlainan dunia dan jantina. Apakah kita salah kerana berkawan? Apakah kita jahat hanya kerana berkawan dengan orang jahat? Tentu tidak, bukan?


Sahabat seagamaku,


Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman. Alangkah indahnya kalam ALLAH ini, sahabatku. Selalu saya dengar kisah-kisah sedih keluarga awak dan sejarah sedih awak. Kenapa awak mesti rasa kecewa kerana ALLAH dah janjikan yang awak dan kita semualah yang paling tinggi darjatnya jika kita orang yang mengingati ALLAH. Tak susah Yazid, jadilah insan yang beriman.


Yazid adikku,


Ingatan dan nasihat sahabatmu ini yang terakhir, jadikanlah sabar dan solat sebagai sebagai penolongmu, memang tak mudah bagi awak, tetapi percayalah pada janji TUHANMU...   

Sahabat mu & kakakmu,
Ratna Saifullah 

***

Cuti semester bermula. Ratna kembali semula ke kampung halamannya. Dia teringatkan sahabatnya, Yazid. Beberapa bulan ditinggalkan, bagaimanakah perubahan yang berlaku. Atau apakah Yazid tetap begitu?

“Awak tak bersolat? Betulkah? Sejak bila?”

Ada juga solat, tapi jarang-jarang…”

“Emak dan ayah awak?”

“Tak tahu.”

Apakah jawapan Yazid itu sebagai satu cara melepaskan diri dari soalan Ratna ataupun dia sendiri tidak tahu tentang jawapannya. Ratna hanya tenang mendengar.

Cuba awak mulakan hari ini. Balik nanti awak cuba solat Zohor. Kemudian diikuti dengan solat seterusnya bila sampai waktu. Kalau awak dapat buat lima kali sehari solat fardu tersebut, teruskan sampai lima hari. Bila masuk hari ke enam, awak tidak bersolat, awak akan rasa sunyi dan sepi. Awak akan rasa rindu pada saat-saat pertemuan dan bersendirian awak denganNya…”

“Aku tak biasa. Aku tak tahu aku boleh buat ataupun tidak. Lagipun, aku dah lama tak buat benda ni…”

Yazid tunduk memandang kasutnya.

Astaghfirullah…kembali kepada jalan yang lurus, Yazid. Saya pun bukannya baik sangat. Saya pun tak sempurna. Tetapi saya nak kita sama-sama menjadi sempurna di mata Yang Maha Pencipta. Saya sahabat awak dan awak sahabat saya. Sebagai seoragn sahabat, saya mahu kita sama-sama berjaya di dunia dan di akhirat.”

“Kenapa kau baik sangat dengan aku, Ratna? Ahli keluarga aku semuanya buat hal masing-masing. Tak pernah pun mereka ingatkan aku pasal benda-benda ni. Aku malu betul dengan kau, Ratna.”

Ratna tersenyum. Hatinya pun ikut bersyukur. Sedikit demi sedikit perasaan Yazid telah menjadi halus. Lama kelamaan ia akan jadi basah dengan doa dan pujian-pujian terhadapNya. Itu harapan dan doa Ratna terhadap sahabatnya itu.

“Malu awak tu sifat yang baik. Tetapi kalau awak malu dengan ALLAH lagi afdal. Malulah kerana ALLAH, bukan kerana saya.”

Yazid menatap bening mata Ratna. Biarpun ada jarak antara mereka, biarpun keadaan di ruang kantin itu hingar bingar dengan suara orang berbual dan ketawa, Yazid tetap merasakan hanya Ratna yang ada di depannya. Gadis itu sangat istimewa.

“Esok dah nak puasa. Itu pun satu lagi peluang kita nak buat pahala. Selalu TUHAN bagi kita chance tetapi kita pun tak ambil peluang itu. Bulan ramadhan ni panjang tempohnya, sebulan tau. Kalau awak nak tahu pelajaran asas yang selalu saya dengar dan baca….orang yang berpuasa ni, tidurnya adalah ibadah, nafasnya bau wangi syurga, doa orang-orang yang puasa ni mustajab iaitu minta apa pun TUHAN akan makbulkan. Tapi kena minta dengan sungguh-sungguh dan dengan rendah hati.”

“Iya ke?”

“Iya…kalau awak ada masa, bacalah buku ini.”

“Buku apa ni?”

“Kalam Allah.”

“Kalam Allah? Aku tak faham…”

“Kitab tafsir al-Quran. Ada terjemahan yang panjang lebar atas sesuatu ayat. Awak ambillah.”

“Bagi aje?”

“Anggaplah ia hadiah dari seorang sahabat bernama Ratna.”

Ratna tersenyum lagi. Yazid tidak tahu rahsia ALLAH tentang senyuman Ratna itu. Kalaulah Yazid tahu... 

***

1 Ramadhan enam tahun lalu...

Yazid menangis di atas sejadah selepas usai memberi salam. Airmatanya tak berhenti mengalir. Semenjak mendapat hadiah tafsir al-Quran pemberian Ratna, dia telah sedikit demi sedikit berubah. Pada saat membaca terjemahan maksud ayat dari Surah Al-Fatihah, hatinya jadi sayu tiba-tiba. Iyyakana'buwaiyyakanasta'in.  (Hanya KepadaMulah kami berserah dan kepadaMulah sahaja tempat kami memohon pertolongan). Kemudian daripada itu, Yazid tak henti-henti memohon pertolongan dan keampunan daripada ALLAH. Dia menyerahkan dirinya yang sesat dan kotor kepada Maha Penciptanya.

Tambah sebak hatinya apabila rakan sekolah mereka membawa khabar buruk. Eh! Bukan sebenarnya. Kematian bukan khabar baik atau buruk tetapi jika kematian itu lebih baik baginya, jika pemergian selama-lamanya itu lebih baik bagi Ratna, Yazid redha. DaripadaNya kita datang dan kepadaNya juga kita kembali...Yazid terasa kehilangan seorang sahabat tempat dia bersandar. Yazid begitu sepi menyelusuri hari-harinya tanpa ingatan indah daripada mulut Ratna. Gadis istimewa itu tidak pernah berhenti mengajarkannya kalam-kalam ALLAH dalam setiap perbualan mereka. Dalam lembut ada tegasnya. Tetapi...hari ini Yazid terasa sepi, sunyi dan hening melalui hari-hari awal Ramadhan.

Sebenarnya hati ini cinta kepada Mu
Sebenarnya diri ini rindu kepada Mu
Tapi aku tidak mengerti
Mengapa cinta masih tak hadir
Tapi aku tidak mengerti
Mengapa rindu belum berbunga

Sesungguhnya walau ku kutip
Semua permata di dasar lautan
Sesungguhnya walau ku siram
Dengan air hujan dari tujuh langit Mu
Namun cinta tak kan hadir
Namun rindu takkan ber bunga

Ku cuba menghulurkan
Sebuah hadiah kepada Mu
Tapi mungkin kerana isinya
Tidak sempurna tiada seri

Ku cuba menyiramnya
Agar tumbuh dan berbunga
Tapi mungkin kerana airnya
Tidak sesegar telaga kauthar

Sesungguhnya walau ku kutip
Semua permata di dasar lautan
Sesungguhnya walau ku siram
Dengan air hujan dari tujuh langit Mu
Namun cinta tak kan hadir
Namun rindu tak akan berbunga
Jika tidak mengharap rahmat Mu
Jika tidak menagih simpati
Pada Mu ya Allah

Tuhan hadiahkanlah kasih Mu kepadaku
Tuhan kurniakanlah rinduku kepada Mu
Moga ku tahu
Syukur ku hanyalah milik Mu
***

1 Ramadhan 1433H...

"Anak..."

"Nak..."

Tubuh Yazid di tepuk lembut. Matanya yang pedih dibuka perlahan-lahan. Di mana aku? Apakah aku sudah mati? Apakah Malaikat yang mengejutkan aku? Apakah aku akan di campakkan ke dalam kawah api yang menyala merah kerana kehinaan dan kejahatan masa laluku?

"Tolong aku! Tolong jangan campak aku! Tolong aku wahai..."

"Wahai apa nak? Kamu mengigau...Sekarang dah masuk waktu Subuh. Bangunlah dan ambil Wuduk..." seorang pak cik berserban putih menyapa lembut.

"Astagfirullah...aku masih hidup rupanya..."

Pak Cik itu hanya menggeleng tanda tidak mengerti dengan bisikan lembut yang terkeluar dari mulut Yazid.
***

Yazid menatap hujan gerimis yang turun dari birai tingkap. Ramadhan hari ke tujuh, bermakna telah genap tujuh hari juga dia berpuasa. Kini dia berupaya melawan nafsu yang meluap untuk merokok. Jika tidak, dahulu dialah orang pertama menunjuk-nunjuk yang dirinya tidak berpuasa. Entah mana rasa segan dan malu, yang ada hanyalah kesombongan diri dan bongkak dengan kemampuannya. IyyaKana'buduwaiyyakanasta'in...hanya padamu aku berserah dan hanya padamu tempat aku memohon pertolongan...Yazid berulang-ulang menyebut ayat  dari Surah Al-Fatihah itu. Air matanya menitik lagi...dia malu. Malu kepada ALLAH. Masihkah ALLAH menerima penyerahan dirinya ini? Mahukah ALLAH menerima dirinya yang hina sebagai ganti akan ketenangan yang Yazid mahukan? Ratna...inikah yang kau hadiahkan...rindu, kerinduan yang tidak bertepi. Rupa-rupanya kau mengajarkan aku untuk merindui Yang Maha Pengasih, tetapi layakkah aku, Ratna? Layakkah aku?? Gerimis di hati Yazid makin menggila. Setelah bertahun berlalu, dia tidak bisa membuang bayangan Ratna di setiap perjalanannya.

"Saya ada baca satu kisah. Pada satu ketika dahulu Nabi-nabi yang bukan Rasul ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya mendengar suara. Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi itu, pada suatu malam bermimpi diperintahkan yang berbunyi, "Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat. Engkau dikehendaki berbuat, pertama; apa yang engkau lihat (hadapi) maka makanlah, kedua; engkau sembunyikan, ketiga; engkau terimalah, keempat; jangan engkau putuskan harapan, yang kelima; larilah engkau daripadanya."

Selepas Nabi itu mengerjakan wahyu yang diterima, dia berdoa kepada ALLAH memohon petunjuk tentang kelima-lima perkara tersebut. Dan dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh ALLAH s.w.t. bahawa, "Yang pertama engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukit tetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada madu. Kedua semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia tetap akan nampak jua. Ketiga, jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah kamu khianat kepadanya.  Keempat, jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat. Kelima bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang). Maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah."

Yazid teringat-ingat kisah yang diceritakan oleh Ratna kepadanya satu ketika dahulu. Waktu itu dia mendengarnya ala kadar sahaja kerana pintu hatinya masih penuh dengan ego. Baginya Ratna sekadar sahabat tempat dia mencari sandaran bila kesepian. Alangkah bodohnya diri, tidak bijak menilai bahawa Ratna hadir sekadar pinjaman. Dan, Ratna hanyalah perantara yang ALLAH turunkan kepadanya untuk berubah. Dan mutiara itu telah ALLAH ambil kembali ...

"Kenapa kau tak pakai tutup muka macam perempuan-perempuan tu?" Yazid teringat lagi perbualannya dengan Ratna.

Ratna tersenyum. Jawapan itu bukanlah sukar untuk diluah.

"Cukuplah saya menutup aurat yang sepatutnya...Islam tidak membebankan kita."

"Aku ingat tutup aurat yang betul untuk perempuan adalah bila kita tutup semuanya."

"Ikut keselesaan masing-masing. Yang penting ikut syariat..."

Dan Yazid terbayang lagi, redup mata gadis istimewa itu begitu menenangkan. Raut wajahnya jernih, sebersih air di kolam.

"Macam mana aku nak dapat raut wajah yang tenang macam kau, asyik tersenyum aje..."

"Senang aje, kan saya dah cakap. Bersolatlah...kerana dalam solat itu terdirinya tiang agama iaitu lima rukun islam. Iaitu mengucap dua kalimah syahadah, solat lima waktu, berpuasa, berzakat dan menunaikan haji."

"Macam mana dalam solat kita lakukan lima perkara tu?"

"Bacalah tafsiran kalam ALLAH yang saya bagi..."

"Lecehlah..."

"Bacalah..."

"Bacalah..."

Yazid memeluk kitab tafsir al-Quran pemberian dari Ratna buat kesekian kalinya. Entah kali ke berapa hari ini airmatanya tumpah lagi. Kerinduan pada Ratna tika mengalunkan kata-kata semangat begitu mendalam. Ya Allah, ampunkan hambamu ini, jika aku terlalu rindu padanya, aku tak mampu...untuk menolak rasa ini, kerana aku seorang manusia biasa... 
"Yazid...ada orang nak jumpa."

Yazid menuju ke pintu masjid. Itulah rumah keduanya jika dia tidak mengajar. Disitulah dia menghambakan diri kepada Sang Pencipta. Tempat dia mengimbau kerinduan pada ayat-ayat indah kalam ALLAH yang pernah diajarkan oleh Ratna.

"Siapa tadi yang cari saya?"

"Ain cikgu, dia terjumpa surat ini kat bilik asrama. Ada nama serupa nama cikgu. Jadi, kami rasa cikgu yang layak terima surat ini."

Tiga sekawan anak dara pingitan itu pun berlalu dengan tersipu-sipu selepas Yazid memberi salam. Yazid memilih satu penjuru lalu membuka surat yang sudah agak kuning warnanya. Dadanya berdebar saat membaca nama sang pengirim. RATNA SAIFULLAH. Ditulis enam tahun yang lalu.

Yazid tersandar kesedihan. Ramadhan kembali sepi apabila nama itu menyegarkan sebuah ingatan. Air mata semakin lebat turunnya tatkala menghabiskan ayat terakhir surat kiriman Ratna. Sebuah kiriman yang tertunda... satu rahsia ALLAH.       

"Assalamualaikum pembaca tersayang, Saya hasilkan cerpen ini bukan kerana saya pandai atau memandai-mandai, tetapi saya hasilkan ce...
Unknown Jul 27, 2012
Oh! MyKarya!

Selamat sejahtera,
Bismillah...


Ramadan datang lagi, dengan hati yang suci, menadah tangan memohon pada Illahi, agar Ramadan kali ini lebih baik dari tahun sebelumnya. Tak pernah ada rasa benci, malahan kesyukuran tak terhingga di panjatkan moga kesejahteraan dan kesihatan yang baik sentiasa dikurniakan. Semoga para sahabatku yang dikasihi di laman mykarya.net, yang tak pernah ditemui, hanya bertemu pada alam maya ini, pun sama seperti diri ini, dilimpahkan kesihatan dan puasa yang afdal.

Sepuluh jari disusun, maaf dihulur jika ada teman-teman maya yang terasa dan terkecil hati, dengan penulisan yang menyentuh hati dan peribadi. Tiada niat mahu memburukkan sesiapa kerana penulisan dihasilkan sekadar mengisi masa terluang dan memenuhi minat yang tertanam sejak dahulu lagi. Semoga kalian sudi menerima permohonan ini dengan tangan terbuka.




Selamat Menyambut Ramadan Al Mubarak 1433H,

Semoga kita bertemu lagi pada Ramadan akan datang...
aynora nur        

Selamat sejahtera, Bismillah... Ramadan datang lagi, dengan hati yang suci, menadah tangan memohon pada Illahi, agar Ramadan kali ini le...
Unknown Jul 20, 2012
Oh! MyKarya!

Selamat sejahtera,

Sudah agak lama saya tidak buat review novel. Baru2 ini saya ada membeli tiga buah buku dari penulis tersohor bertajuk 3 Kata Hati karya Norzailina Nordin, Jujur Aku Setia karya Eka Fahara dan Kea Alyissa karya Arasharrina. Dan, sebuah novel islamik berjudul Dan Bidadari Pun Mencintainya. Buku ini karya penulis Indonesia yang saya tak berapa ingat nama penulisnya (kerana namanya agak panjang), kerana saya sedang menelaah buku itu buat masa ini. Belum habis baca lagi.

Okey, novel 3 Kata Hati adalah novel terbaru karya penulis polemik Norzailina Nordin. Apa bezanya ek? Memang terlalu jelas perbezaan novel ini dengan novel-novel beliau yang lain. Yang paling nyata novel ini membuat pendekatan 'bahasa pasar/bahasa seharian' dalam penggunaan bahasanya, ayat yang pendek-pendek dan penggunaan bahasa 'aku' dalam beberapa bab dan penggunaan bahasa diri kedua pada lain2 bab. Sebelum ini Norzailina Nordin memang terkenal dengan novel kedewasaan dan matang tetapi kali ini beliau cuba memancing pembaca muda remaja untuk mengikuti karyanya.

Pada pendapat saya, saya lebih menyukai novel-novelnya yang terdahulu seperti Sewangi Kasih, Arjuna Hati, Cuma Dia, Menanti Kasih, Getaran Rindu dan banyak lagi. Karya remaja dan belasan tahun sudah terlalu banyak di pasaran dan saya suka jika selepas ini beliau menulis dengan 'branding' yang tersendiri. Walau apapun, saya tetap penyokong karya Norzailina Nordin sampai bila-bila! Saya adalah salah seorang daripada beribu 'silent readers'nya.




Sinopsis belakang buku:

Rindu – Mr. Rahsia! Pening kepala Hanani apabila terfikir nama yang sering mengganggu hidupnya melalui SMS. Dalam keterpaksaan melayan kerenah lelaki yang dikenali sebagai Mr. Rahsia itu, Hanani mula jadi rindu! Dia tersenyum bila lelaki tersebut mengatur bait-bait indah tetapi mula bengang bila asyik sahaja disakat.

Kasih – Kehadiran Iskandar membuatkan Hanani diulit bahagia. Namun, ada sahaja yang menjadi penghalang. Kacau daun sungguh! Hanani geram dengan keadaan itu, tetapi hatinya nekad untuk mempertahankan kasih sucinya.

Cinta – Hanani keliru. Cintanya sudah mekar, tetapi untuk siapa sebenarnya? Antara Mr. Rahsia dan Iskandar, mungkinkah kata hati mereka turut merasakannya?

Siapakah yang menjadi pilihan Hanani? 3 KATA HATI milik siapa? Iskandar yang membuatkan dia panasaran atau Mr. Rahsia yang mencuit hatinya melalui kiriman SMS?
     
Bagi peminat novel, saya sarankan kamu semua cuba membaca novel ini dan rasakan perbezaannya novel 3 Kata Hati dengan novel2nya yang lain. Namun, citarasa orang lain2, ada yang suka dan sebaliknya.

Selamat membaca...
aynora nur

Selamat sejahtera, Sudah agak lama saya tidak buat review novel. Baru2 ini saya ada membeli tiga buah buku dari penulis tersohor bertajuk ...
Unknown Jul 17, 2012
Oh! MyKarya!

Rain berbaring sambil membelek iPhone 4s nya. Sudah hampir seminggu dia tidak mendengar khabar dari Rara. Entahkan sihat atau sebaliknya gadis itu, dia pun tidak tahu. Hendak didail nombor gadis yang dirindui, tetapi hati membantah mengatakan jangan. Kalau ikutkan hati mudanya, sudah lama dia terbang dengan BMW hitamnya mendapatkan gadis itu. Tetapi sebaik sahaja terngiang-ngiang suara Baharom, niatnya jadi terbantut. Hilang moodnya untuk bertemu Rara. Kerana, jika bertemu dengan Rara bermakna Rain kena menghadap Baharom juga. Bukankah Baharom dan Rara sedarah dan sedaging, anak beranak.

Rain duduk pula dibirai katil. Tangan dikaup ke muka. Rambut lurusnya disisir dengan jari. Tahap bosannya sudah naik ke kepala. Pelbagai rasa menyerang sanubari. Terkadang hati paling dalam memaksa Rain kembali semula ke London, tempatnya bermain dan buang masa sejak lebih dari lapan tahun lalu. Tetapi, akal warasnya menolak. Dia ingin di sini, disamping Rara yang dicintai. Biarpun Rara masih menganggapnya sekadar kawan baik, biarlah. Asalkan dia tahu di mana tempatnya di hati Rain, itu sudah cukup bagi Rain. Yang penting Rara tahu dia amat sayangkan gadis itu.

“Ambillah selama mana masa yang kau ada asalkan pada akhir keputusan nanti, kau pilih aku.”

Itulah kata-kata azimat yang selalu Rain ingatkan pada Rara. Dan sepeti biasa Rara hanya tertawa mendengar gurauan Rain itu.

“Mak! Maaak!” Rain mencari Mak Zizah yang sudah dianggap seperti saudaranya sendiri.

Rain mendengar suara Mak Zizah dari belakang rumah. Melalui pintu dapur dia menyelinap keluar. Sengihan Mak Zizah menyambut kemunculannya. Mak Zizah sedang menjemur pakaian mereka berempat. Di rumah itu hanya ada Rain, Mak Zizah, Datuk Ikram dan pemandu merangkap tukang kebun iaitu Pak Zahir.

“Dah sarapan?”

Rain mengangguk. Tangannya disandarkan pada tiang ampaian yang berbumbung seperti rumah minangkabau. Angin pagi meniup sepoi wajah lesunya. Semangatnya hilang entah kemana. Gurau dan tawa Rara asyik bermain-main ditubir mata. Mengenangi gadis itu semuanya terasa manis dan indah. Kesedihan Rara umpama tempat Rain melabuhkan semangatnya. Bila keserasian dan jiwa mereka bersatu, semangat untuk terus hidup semakin teguh. Hmm…bila gadis itu mahu diangkut ke banglo ini dan sentiasa berada di depan matanya? Rain hanya mampu menggeleng sendiri.

“Cakap sendiri…” Mak Zizah menyentuh lembut bahunya.

“Mana ada.”

“Habis tu yang tergeleng-geleng macam mamak mabuk kari, kenapa?”

Mak Zizah menyindir dengan nada bersahaja. Dijeling sekilas gelagat Rain yang lembik tak berdaya. Wajah Rain biarpun sedia kacak tetapi pagi ini ia nampak kusam dan tidak berseri. Dengan pengalaman bertahun sebagai pengasuh dan tukang masak kepada Rain, Mak Zizah mengerti kesedihan yang ditanggung oleh Rain. Anak muda itu belum sembuh sepenuhnya dari kelukaan lama. Sungguhpun dari luarannya Rain nampak kuat dan tenang, Mak zizah juga tahu Rain sebenarnya seorang yang pendendam. Selalu Mak Zizah berdoa agar Rain dapat memaafkan ayahnya sekaligus keluarga kecil itu kembali bersatu.
    
“Ingat nak balik semula ke London lah mak…”

“Kan Rain baru sampai. Belum ada sebulan pun. Tak habis lagi rindu mak ni tau. Mak baru berangan nak masak macam-macam yang Rain miss sepanjang Rain tak ada kat rumah ini. Duduklah setahun dua lagi…”

“Setahun? Tak tahu saya boleh hidup lagi tak masa tu.”

“Astaghfirullah…tak baik berfikiran singkat macam itu. Minta ampun dengan ALLAH, Rain. Kan kita digalakkan untuk berkerja bersungguh-sungguh umpama kita akan hidup untuk selama-lamanya! Tak cukup ke dengan pesanan yang ALLAH titipkan itu?” Mak Zizah mengucap panjang.

Rain hanya tertunduk tidak menjawab. Tiada yang tidak benar apa yang diperkatakan oleh Mak Zizah sebentar tadi. Semuanya memang benar. Tidak tahu mengapa dia terlalu menyerah dan berserah sahaja sekarang ini. Sikapnya yang tegas dan berdikari bagai tidak lagi menjelma. Semuanya bagai lenyap sedikit demi sedikit.

Telefon di poket seluar berdering-dering. Rain membiarkan sahaja hinggalah ia mati sendiri.

“Kenapa tak angkat?”

“Malas.”

“Mungkin panggilan kecemasan.”

“Rain orang tak penting, mak. Ayah pun dah buang Rain disebabkan gambar-gambar lama tu. Benda dah lama pun ayah masih simpan. Forgive and forget kan lebih senang.”

Rain menoleh wajah kerut Mak Zizah. Mungkin ada yang dia tidak faham tentang bahasanya.

“Maksud Rain, maafkan dan lupakan kisah silam tu, sudahlah. Ini tidak. Di ungkit semuanya. Sebab itu Rain dah boring tahap gaban ni. Rasa nak balik London esok lusa juga.”

“Duduklah sini sebulan dua. Tengok dulu macam mana ayah Rain. Siapa tahu esok lusa dia berubah hati. Panggil Rain kerja balik. Marah orang tua ni sekejap aje. Rain kan anak dia satu-satunya. Waris tunggal syarikat…siapa lagi yang dia nak harapkan.”

Rain menentang bening anak mata Mak Zizah. Bahasa lembut dan pertuturan yang berhemah menjadikan Rain terlalu mengagumi Mak Zizah. Orang tua itu di didik penuh dengan budi pekerti yang elok. Sepanjang dia membesar di rumah ini, tidak pernah sekalipun Mak Zizah memarahinya. Mak Zizah melayannya seperti anak kandung sendiri.

“Demi mak yang Rain sayang dan sanjungi…Rain akan tangguhkan niat ini dulu.”

Mak Zizah mengangkat tangan mengucap syukur ke hadrat Illahi.

***

Rain berhenti di bawah pohon besar tidak jauh dari rumah Rara. Daripada jauh dia memerhati. Rumah teres dua tingkat itu nampak sunyi. Macam tidak berpenghuni. Sebaik sahaja dia perasan ada satu panggilan tidak berjawab daripada Rara, hatinya terus berdebar-debar. Rain menyesali sikap sendiri kerana malas menjawab panggilan tersebut ketika berbual dengan Mak Zizah pagi tadi. Menambah kerisauan di dada Rain apabila panggilannya ke telefon Rara tidak bersahut. Akhirnya, BMW hitam Rain sudah tersadai di kawasan kejiranan Rara.

Rain mencuba nasib lagi. Dia hampir terlonjak gembira apabila panggilannya di jawab oleh satu suara yang amat dirindui.

“Iya! Aku dah sampai kat bawah pokok ni.”

“Aku nak jumpa kau. Datang sini.”

“Tak nak. Aku tak nak masuk.”

Suara Rain dan Rara bertukar soal dan jawab yang akhirnya menyebabkan Rara mengalah. Dari jauh Rain tersenyum melihat Rara menghampiri keretanya.

Rara memberi salam.

“Masuklah. Macam tak kenal aku. Terjenguk-jenguk. Aku bukan hantulah!”

Nada suara Rain sungguh ceria.

“Kenapa call?”

“Eleh! Kau tu kenapa tak call aku?” Rara mencebik. Dalam benci ada rindu. Itu perasaannya kini.

“Aku tak call takut kau masih marah. Abah kau pun tengah hot kat aku. Aku takut kena hambat pulak kali ini. Sumpah! Aku rindu kat kau. Kalau kau tak percaya tak apa. Itu realitinya.”

“Kalau rindu, kenapa dah berminggu baru nak muncul. Kalau aku tak call tadi, sampai sekarang kau tak nak cari aku, kan?”

“Aku ada masalah aku sendiri, Rara. Tapi yang penting, kau selalu ada kat dalam hati aku.”

“Aku percaya. Dah selalu kau cakap macam itu. Aku dah lali.”

Rara mencebik. Dia bermain-main dengan hujung rambutnya.

“Bila nak tutup ni?” Rain menyentuh lembut rambut Rara.

“Nantilah. Nak tutup kena ikhlas. Bukan paksa-paksa.”

“Ehem!!” Rain berdehem dengan kuat.

“Faham!! Kau kena tanggung dosa aku. Tapi janji kita dulu kan main-main aje. Kau yang terlebih serius.” Rara ketawa mengusik.

“Kau dah terima, aku pun dah berjanji. Serius atau main-main bukan persoalannya.”

“Eh! Kenapa serius sangat ni. Ada benda lain yang aku nak bagi tahu.”

“Aku cakap sikit pasal janji kita aje, kau terus ubah topik. Pandai ya…” Rain tidak melepaskan peluang mencubit hidung Rara.

“Okay! Okay! Serious time!”

Rain menunggu Rara bercerita lanjut. Apakah bendanya yang begitu serius yang mahu disampaikan oleh Rara. Apakah Didi sudah kembali kepadanya? Apakah Rara mahu memutuskan perhubungan mereka? Penantian satu penyeksaan…

“Aku dah dapat kerja.”

Amazing…cepatnya. Kat mana?”

“Rahsia.”

“Suka hati. Yang penting kau tak akan boring lagi. Congratulations…”
Thank you. Kawan abah aku yang offer kerja tu. Selepas berfikir panjang, aku rasa lebih baik aku kerja daripada duduk goyang kaki macam kau. At least, boleh support kau pulak. Dulu masa kat overseas kau selalu tolong aku. Selagi kau belum ada kerja, aku akan support kau. Don’t worry.”

“Baiknya…ada udang di sebalik mi ke ini? Atau ada gajah di seberang laut…”

“Dua-dua tak ada. Macam kau juga. Aku pegang janji.”

Rain tersenyum penuh makna. Apakah ini tandanya Rara sudah melupakan Didi? Dia semakin tidak sabar menghitung hari menunggu saatnya tiba Rara menjadi milik mutlaknya.

Rain berbaring sambil membelek iPhone 4s nya. Sudah hampir seminggu dia tidak mendengar khabar dari Rara. Entahkan sihat atau sebaliknya ga...
Unknown Jul 13, 2012
Oh! MyKarya!


Oleh kerana terlalu banyak kerja, aku 'skip' makan tengahari dan bercadang meminda jadual makanku selepas solat zohor nanti. Aku menyiapkan kerja-kerja yang boleh dibereskan dengan segera, dan bahagian yang memerlukan penelitian lebih, aku ketepikan dahulu. Kerja sepertiku memerlukan perancangan masa yang bagus agar segalanya dapat diselesaikan dalam masa yang ditentukan.

Aku membalas salam Hannah yang baru menelefon.

"I belum makan lagi. Sekejap lagi sambung zohor sekali."

Hannah bertanyakan jika aku sibuk dan serba ringkas pesanan agar aku tidak lupa untuk mengisi perut kerana pagi tadi pun aku tidak sempat bersarapan akibat terlewat bangun. Selepas memberi dan menerima salam, perbualan kami ditamatkan tak sampai seminit. Aku kagum dengan Hannah yang amat faham dengan kesibukanku. Kepercayaannya dan sikap ambil berat Hannah menjadikan aku seorang lelaki yang bertuah.

"Zaffrill...call untuk kau line 2!"

Entah suara jantan mana yang menyambungkan talian, aku tak perasan. Di jabatanku ada lebih dari empat orang jejaka yang tampan belaka, jadi aku singkatkan mereka menjadi 'jantan'. Boleh tahan juga gelaran yang aku gunapakai hinggakan selalu menjadi bahan gurauan kami semua.

"Temankan I makan lunch dengan client, Zaffrill. Hari ini partner I semua sibuk. Ada yang dah sampai kat resort pun. Dah pegang kayu golf."

Permintaan Datuk Khalid terpaksa aku turuti. Kita hanyalah kuli yang makan gaji manakala Datuk Khalid sudah tentu orang yang bayar gaji, hendak tak hendak aku terpaksa 'adjust' perutku kali ini. Datuk Khalid pun satu, orangnya bukanlah tak baik tetapi yang boringnya Datuk Khalid asyik cerita pasal golf. Padang mana paling cantik di Malaysia ini pun dia hafal nama jalan dan ceruknya. Hinggakan nama pemain golf antarabangsa semua dia tahu. Tetapi sayangnya, bila ditanya nama pemain golf Malaysia, Datuk cakap dia belum habis baca. Datuk oh! Datuk. Suka hati Datuklah...

"Ron!"

Panggilanku tiada jawapan.

"Aaron. Kau pekak ke?"

"Aku engaged!" Aaron menjerit demi memuaskan telingaku.

"Sorry!" Aku angkat tangan.

Aku menulis nota dan meletakkan di tepi lengan Aaron. Kakitangan yang lain sudah lama pergi mengisi perut. Tinggal aku dan Aaron yang terlebih rajin. Tetapi kerajinanku terbantut dek panggilan daripada Datuk Khalid tadi. Anganan mahu berehat selepas solat zohor nanti hanya tinggal impian kosong. Sambil berjalan ke ruang legar pejabat Antah Holdings, aku mendail nombor Hannah, isteriku yang tercinta. Panggilanku tidak berangkat. Jadi aku titipkan mesej sahaja. Lebih jimat masa daripada menunggu panggilan yang tidak berangkat.

"Zaffrill...lets go."

Datuk Khalid menggamitku. Telefon aku segera letakkan dalam mode silent tetapi aku setkan 'vibrate' agar aku tahu jika ada panggilan atau mesej yang masuk.

"Busy nampak."

Syukurlah jika Datuk Khalid nampak kesibukanku. Untung sabut timbul, bila tiba hujung tahun bolehlah dapat bonus berkali ganda...anganan tak sudah mengiringi langkahku ke kereta Mercedes milik syarikat. Azmi yang sudah bertahun menjadi pemandu Datuk Khalid tersenyum melihat kami datang.

"Agak busy jugak..."

Datuk Khalid mengangguk.

"Mi...pergi Paragon Hotel."

Aku tidak banyak tanya. Kalau ikutkan nama hotelnya, ia bertaraf lima bintang. Jadi pada tanggapanku, client Datuk Khalid kali ini mestilah hartawan yang boleh membawa faedah kepada syarikat. Aku membetulkan ikatan tali leher agar kelihatan kemas. Sebagai pengurus pelaburan syarikat, aku kena kelihatan yakin dan berkarisma di mata pelanggan.

Sewaktu kami tiba di lobi hotel, keadaan agak lengang. Ada beberapa pelancong asing sedang membelek akhbar sambil berbual santai. Mungkin sedang menunggu rakan mereka ataupun sekadar melepaskan lelah selepas penat berjalan dari sesebuah destinasi. Entahlah, itu hanya tanggapanku.

"Client dari mana ni yang kita nak jumpa Datuk?" aku sekadar berbasa basi.

"Very important person." Datuk Khalid sekadar senyum meleret.

V.I.P! Kedengaran bagus, fikirku. Aku semakin bersemangat. Hilang sudah rasa lapar yang sedari tadi aku tahankan. Iyalah, berangan menunda waktu makan tengahari, akhirnya diri sendiri yang kelaparan.

"Ha! Itupun dia dah sampai."

Aku menyorot pandang pada sesusuk tubuh agak gempal seorang lelaki yang mungkin berusia lewat 40-an. Salam kami bertukar tangan. Datuk Khalid segera memandu kami ke sebuah coffe house. Hampir 15 minit perbualan, aku dapat sedikit info tentang Haji Jauhari ini. Dengan mengenakan jaket kelabu dan berseluar panjang sama padan, Haji Jauhari memiliki raut wajah sangat jernih. Penampilannya yang bersongkok menambah yakin dalam benakku demi mengatakan bahawa orang tua ini bukan sebarangan orang. Mungkin seseorang yang bijak pandai dalam hal ehwal agama.

"Projek yang kita rancangkan ini jangan tak jadi Ji, putih mata saya nanti. Lihat orang lain boleh sampai empat, saya baru nak cecah dua. Harap segala perancangan berjalan lancar."

"Insya'allah. Jika niat dan betul caranya, bakal dipermudahkan segala urusan." Haji Jauhari tersenyum kepadaku yang sedari tadi asyik tekun mendengar.

Bila mendengar angka-angka yang disebut oleh mereka berdua, aku sudah membayangkan betapa Haji Jauhari memiliki harta yang banyak. Biasalah, orang berniaga ada bahasa isyarat di dalam perbualan mereka. Jika di telek dari angka tadi, mahu cecah juta ataupun billion nilai projek yang mereka usahakan.

"Siapa dia tu Datuk?" aku bertanyakan sebaik sahaja kami duduk di dalam perut Mercedes. Azmi tertoleh-toleh ingin ikut serta dalam perbualan ringkas ini.

"Adalah...."

"Macam rahsia kerajaan aje bunyinya." aku menduga.

Datuk Khalid menyeringai bahagia. "Taklah rahsia sangat."

"Apa business dia buat? Mungkin dia salah seorang pelabur besar dalam Felda Global Venture Holdings? Boleh kita jalin kerjasama dengan dia Datuk. Dapat sikit share untung dividen dia pun jadilah..." aku sekadar berbual kosong.

"Kamu kena banyak belajar lagi dalam menilai penampilan dan peribadi seseorang."

Aku rasa terpukul dengan kata-kata Datuk. Mungkin penilaianku terhadap Haji Jauhari silap belaka.

"Dia tu orang yang bakal menikahkan saya."

Aku silap dengarkah? Ayah Aqila baru nak beristeri ke? Jadi Aqila daripada ibu yang mana? Tak pernah dengar pulak isteri Datuk Khalid meninggal dunia. Apakah Datuk Khalid mahu berpoligami? Jika dengar dek Hannah aku bersekongkol dengan Datuk Khalid, mati aku kena kerjakan. Hannah bukannya mementang poligami seratus peratus tetapi dia ada sebab mengapa tidak menggalakkan poligami.

"Ohh! Ingatkan pelabur baru..,"

"Pelaburan akhirat." jawab Datuk Khalid ringkas dan padat.

Aku terus diam tidak berkata.   

                 
 

Oleh kerana terlalu banyak kerja, aku 'skip' makan tengahari dan bercadang meminda jadual makanku selepas solat zohor nanti. Aku ...
Unknown Jul 12, 2012
Oh! MyKarya!



"Buktikan kemampuanmu terlebih dahulu. Jangan cakap soal kebahagiaan kalau kamu sendiri tak bahagia...!!"

Ungkapan penuh makna daripada Baharom terngiang-ngiang di cuping telinga Rain. Ia juga seolah-olah berkumandang di seluruh biliknya. Dia rasa amat tertekan. Apakah ia satu penghinaan? Pantang benar jika orang mempertikaikan prinsipnya. Apakah kebahagiaan seseorang boleh terpancar di raut wajah? Apakah bahagia boleh dikira dan ditimbang dengan dacing yang pembuatnya adalah manusia sendiri. Sungguh tak adil....

Adam Bahrain berteleku di penjuru biliknya. Jiwanya resah. Kata-kata Baharom bagai belati tajam menghunus segala kekuatan yang dia ada walaupun hakikatnya ia dialunkan dalam nada lembut. Semakin kuat desakan dan asakan keluar masuk di rongga telinganya semakin tebal nekadnya untuk memiliki Rara. Jika baharom tidak sudi menerimanya, tidak mengapa. Asalkan dia dan Rara bahagia, itu sudah mencukupi.

"Buktikan kemampuanmu!!"

Hingga malam dalam tidurnya pun Adam Bahrain masih mengigau benda yang sama. Tetapi kali ini dia rasakan suara Baharom umpama guruh dan kilat yang menimpanya berubi-tubi. Lama dia terjaga pada angka jam menunjukkan pukul 3.00 pagi. Jika Baharom memberikan satu motivasi yang agak gerun begitu, mana boleh aku berdiam diri. Dia mesti bertindak demi menyelamatkan maruah yang sudah tercalar. Maruah dan egonya bagai diinjak-injak dan ditertawakan. Tidak pernah lagi seumur hidupnya yang sudah menjangkau 32 tahun ini ada orang seberani Baharom. Biar lembut tutur kata, sungguh dalam makna yang tersirat.

Seawal jam tujuh pagi Rain sudah tercegat di meja makan. Dia ingin bersarapan. Dia mesti membuat temujanji segera di meja makan itu. Jika tidak tiada lagi peluang untuknya mengubah keadaan. Demi satu cabaran, dia rela melakukan perubahan. Walau nanti sekali lagi maruahnya dicabar oleh orang yang berlainan pula, dia sudah nekad.

"Morning young man!"

Sejak dari dulu Datuk Ikram memanggilnya 'young man'. Sampai bilakah aku mesti digelar young man sebab sekarang aku sudahpun menjadi matured man! Rain menggumam.

"Assalamualaikum ayah."

"Waalaikumussalam..."

Datuk Ikram membalas salam Rain dengan senyuman tersimpul di bibir.

"Angin tak ada, ribut pun tak nampak...tiba-tiba terpacul kat rumah ni. Apa cerita?" Datuk Ikram menyapu planta di atas roti. Ikatan tali leher dilonggarkan. Lebih selesa untuk menjamah makanan dengan cara begitu.

"Ayah nak cepat ke?"

"Ada benda yang nak Rain bincangkan ke?" soalan bertemu soalan.

"Kalau ayah sibuk tak mengapalah. Then, when is your free schedule?" Rain masih cuba membuat 'appointment' walaupun dia tahu jadual Datuk Ikram selalu penuh.

"Okey young man, i'll make it free today. Tell me what is your story...hmmm...full story."

Datuk Ikram bangun dari tempat duduknya. Dia mengelap mulutnya dengan tisu. Sempat juga dia menggamit pembantu rumah yang dipanggil 'mak' oleh Rain.

"Tolong simpankan jaket dan beg saya Zizah. Saya ada perbincangan dengan Boss besar kita hari ini. So...tak payah sambungkan panggilan."

Mak Zizah hanya tersenyum lalu mengangguk. Rain faham benar rentak Datuk Ikram. Asalkan perbincangan namanya, bukan dibuat di meja makan, tetapi perlu dilakukan di dalam bilik khas yang memang disediakan di rumah banglo itu, lebih-lebih lagi jika perbualan itu bersifat rahsia.

Rain mengekori Datuk Ikram menuju ke bilik perbincangan. Badannya terasa seram sejuk mahu menghadap Datuk Ikram. Apa yang perlu dikatakan. Semuanya jadi lintang pukang di dalam kepala. Tentang Rara terutamanya, tentang Baharom, bayangan Didi dan kisah MMS ugutan Laila yang sudah bertahun berlalu. Takkan Datuk Ikram mahu dengar cerita penuh berkenaan hal tersebut?

"Bila Rain sampai sini?"

"Dah dua hari ayah."

"Hmm...patutlah ayah tak nampak kereta hitam tu kat car park."

Rain tertelan liur. Dia hanya balik untuk mengambil kereta dan terus mencari Rara. Sebab itu kereta itu lesap dengan tuannya. Tuan empunya kereta yang kemaruk rindu pada si comel Rara. Rain berimagnasi seraya tersengih-sengih.

"Okey! Now start telling me your full story."

Ohh! No! He is serious! Serious indeed! Rain hilang kata.

Rain mula membuka cerita tentang kepulangannya dan niatnya mahu berbakti kepada syarikat milik keluarga. Segalanya susah senang di perantauan, pengalaman yang diperolehi dari kerja sambilan di beberapa buah syarikat arkitek dan juga europe tour bersama rakan-rakan ketika di luar negara. Semuanya Rain luahkan kecuali tentang kewujudan insan istimewa bernama Rara. Tentang insiden beberapa tahun dahulu angkara Laila, tentang perasaannya yang tertekan akibat pemergian mama tercinta. Itu semua takkan dibenarkan ia terbongkar melainkan ada yang membuka pekung itu.

"All Right! Okey!"

Datuk Ikram bangun dari kerusinya lalu membuka kabinet yang memuatkan pelbagai dokumen perniagaan dan peribadi. Rain tahu ruang itu memang mengandungi bermacam dokumen milik Datuk Ikram. Dahulu ketika mamanya masih ada, dia kerap membantu Datin Zaleha menyusun dan menyimpan dokumen-dokumen tertentu. Kali ini apa pula taktik Datuk Ikram membuka kabinet itu semula?

"Ini apa? This is not part of your story?"

Datuk Ikram mencampakkan beberapa keping gambar di hadapan Rain. Mata Rain tertancap pada sekeping gambar paling atas. Argh!! Gambarnya dan Rara pada satu acara. Cerita penuh itu kini memakan diri. Yang tadi versi yang positif dan membuat Datuk Ikram tersenyum bangga. Tetapi versi kedua ini pasti menyuntik bahang hangat pada perbincangan mereka. Mana Datuk Ikram dapat ini semua? Sasaran tuduhan benak Rain lebih menjurus kepada satu nama. Siapa lagi kalau bukan Laila, gadis kenalan baik kepada keluarganya. Bukankah kerana ugutan itu dia dan Rara terjebak pada satu janji. Janji yang menyakitkan bagi Rara tetapi merupakan kemenangan pada diri Rain. Siapa mahu melepaskan Rara kepada lelaki lain terutamanya kepada Didi?

"Yang itu...actually..." Rain mula hilang kata.

"You owe me the whole story, young man!"


***

"Apa you dah buat Laila?" suara Rain kedengaran agak tegang.

"Dah bertahun tak balik, tup-tup nak jumpa I. Dahlah nak jumpa satu hal, ini tanya soalan tanpa tanya khabar I. You ni selfish betul."

"I'm sorry. Tapi you dah buat Datuk Ikram pandang rendah pada I. You punca semua ini Laila. Kalau you tak sebarkan gambar itu, tentu keadaan jadi senang sekarang. I can start working anytime. I nak bina masa depan I mulai sekarang. Tapi disebabkan MMS tersebut, I dah jadi kuli kat syarikat I sendiri. You tahu tak?"

"I minta maaf pasal gambar-gambar dan kisah lama tu, Rain. I ingat Datuk dah lupakan. I tak sangka dia berdendam pada you sebab gambar-gambar tu. I tak tahu apa yang dia rancangkan sekarang. I betul-betul minta maaf."

"I nak marah you pun tak guna Laila. Nasi dah jadi bubur. Benda dah jadi. I mungkin jadi penganggur sampai bila-bila. Datuk dah tak percayakan I lagi selepas semua yang dia dapat tahu. I dah macam anak tiri kepada bapa kandung I sendiri. No place for me in the company."

"Maksud you...you langsung tak boleh kerja balik ke?"

Rain menggeleng. Gelengan untuk sebuah jawapan atau sesalan, Laila sendiri kurang pasti. Lelaki tenang dan matang seperti Rain memang sukar diduga. Bak kata pepatah, jangan sangka lautan yang tenang tiada buaya...

"Boleh kerja balik but as a workers not owner of the company."

"Jawatan MD you..."

"Not valid may be..."

"Immediately??"

"Sampai general meeting hujung bulan nanti."

"Mungkin I boleh tolong you?" Laila menawarkan pertolongan.

"It is okey. I can manage my own problem. How is your life here so far..."

"Alhamdulillah. So far so good. You balik sini sebab apa? Dah jumpa kucing bertanduk dua ke?" Laila menghambur tawa dihujung bicaranya.

"On personal reason. You tak payah tahulah..." Rain memberikan jawapan pendek.

"Bukan sebab gadis itu, kan?" Laila tak jemu menduga. Hatinya berdebar-debar menunggu jawapan dari mulut Rain.

"Cukuplah kalau you tahu the reason is because of personal matter. Itu saja jawapan yang aku ada."

Rain tenang meneguk jus epal yang tinggal separuh. Dia perlu bergegas ke satu tempat lain untuk menguruskan sesuatu. Perkara itu juga menjadi sebab mengapa dia pulang ke tanahair menyusul Rara. Kebajikan terhadap Rara yang menjadi keutamaannya kini.

"Lagi satu..."

"Yes?" Laila menunggu jikalau Rain mahu memperkatakan tentang hubungan mesra mereka. Kalaulah ada...

"Bagus juga kalau you tolong pujuk Datuk Ikram."
     
  

"Buktikan kemampuanmu terlebih dahulu. Jangan cakap soal kebahagiaan kalau kamu sendiri tak bahagia...!!" Ungkapan penuh mak...
Unknown Jul 11, 2012
Oh! MyKarya!


“Apahal kecoh-kecoh ni!”

Rara dan Rain terkejut. Wajah kedua-duanya pucat lesi disergah oleh suara Baharom. Di tangan kanan Baharom terlekat senduk yang mungkin baru digunakan. Wajah Baharom nampak lebih garang dari tadi iaitu sewaktu awal-awal menerima kedatangan Rain. Mungkinkah Baharom terdengar perbalahan antara mereka sebentar tadi. Apakah ‘tayangan percuma’ tadi juga menjadi santapan mata Baharom. Jikalau tidak takkan wajah Baharom begitu tegang.

“Tak ada apa-apa abah. Gaduh gurau-gurau aje. Rain kalau bergurau memang kasar. Itu sebab Rara pun kena berkasar dengan dia.”

“Rara kan wanita. Seorang perempuan ada adab dan tertibnya bila bergurau dengan lelaki. Bukan dengan lagak kasar macam itu. Kamu tak malu kalau orang luar tengok. Memang dia kawan baik kamu tetapi kena ingat batasan pergaulan dan gurau senda dengan lelaki.”

Rain angkat punggung lalu duduk di kusyen yang bertentangan dengan Rara. Terasa pedas benar tamparan nasihat yang dilontarkan oleh Baharom. Memang silap sendiri. Ingatkan dia boleh bebas bertepuk tampar dengan gadis comel itu tetapi siapa tahu ada tembok batu yang memagari kuntuman bunga yang sedang mekar itu. Hmm…nasib baik Baharom tak baling senduk kat aku tadi, Rain sempat mengutuk khilafnya sendiri.

“Rara…mari tolong abah. Banyak kerja belum siap kat dapur ni.”

Rara segera menapak ke dapur sambil tunduk bila lalu di hadapan Baharom. Rasa bersalah memenuhi ruang hati. Tidak sepatutnya dia berlawan dengan Rain tadi, sepatutnya dari awal-awal lagi dia tidak melayani Rain yang ajak lawan cakap. Sekarang terimalah padahnya. Jangan sampai tembelang antara dia dan Rain pecah sudahlah. 

“Tolong abah perah santan. Bila dah siap tolong potongkan kobis bulat tu. Jangan lupa cuci sampai bersih.”

Baharom memberikan arahan kepada puteri kesayangannya. Sesekali dijeling Rara yang sedang memerah santan. Apakah hubungan Rara dengan lelaki alien yang tiba-tiba muncul di rumahnya ini? Ketika dia menghendap dari dapur tadi, sesuatu yang tidak elok telah terjadi. Dadanya terasa sakit bagai disentak oleh satu tangan besar. Seolah hampir tercabut nyawanya. Bekalan ilmu agama yang cukup kepada Rara rupa-rupanya masih tidak dapat melindungi anak daranya itu daripada menjadi mangsa ‘cabul’ oleh kawan yang dikatakan ‘baik’ itu. Mengapa Rara membiarkan sahaja perlakuan tidak elok oleh jejaka macho itu. Rara seolah-oleh merelakan dirinya disentuh oleh Rain. Ya ALLAH…dimanakah silapnya didikan yang aku berikan?

Baharom merancang sesuatu untuk mengetahui sejauh mana ‘hubungan akrab’ antara Rara dengan lelaki itu. Takkan semudah itu dia menyerahkan Rara kepada lelaki yang baru sahaja beberapa jam dikenali. Mungkin dari susuk tubuh dan kekayaan fizikal dia boleh membeli Rara, tetapi bukan dirinya.

“Pak cik…ada apa-apa yang saya boleh tolong?”

Baharom yang sedang mengelamun terkejut dengan sergahan suara Rain. Hujung jari telunjuknya mengenai bucu kuali yang sedang digunakan. Terasa panas dan pijar. Cepat-cepat Baharom menuang kicap pada jarinya yang terkena kuali panas. Itu petua orang dahulu kala. Tetapi memang ada kebenarannya. Yang penting jari yang terasa pijar tadi beransur elok.

“A…aa…tolong buang sampah.”

“Abah! Orang tanya elok-elok, ke situ pulak dia…”

“Iya. Abah tahu. Kamu tolong pak cik buangkan sampah. Dah penuh tong sampah pak cik tu…”

Rain hanya tersenyum sumbing. Sepanjang hidupnya di rumah banglo milik Datuk Ikram, dia tidak pernah membuang sampah. Semua itu dilakukan oleh pembantu-pembantu di rumah banglo tersebut. Waima, sampah di dalam biliknya pun dibersihkan oleh pembantu-pembantu mereka. Jadi, apa sangatlah kerja membuang sampah untuk keluarga Rara yang mungkin satu hari nanti menjadi sebahagian keluarganya juga.

“Apasal masih tercegat lagi tu? Kamu tahu tak nak buang sampah?” Baharom menyindir Rain.

“Biasa pak cik. Ini semua dah selalu saya buat. He..he…”

Rain menjinjit plastik hitam yang berisi sampah lalu di bawa keluar mengikut pintu hadapan. Ketika sampai di pintu pagar dia ditegur oleh dua orang manusia, yang seorang gadis langsing dan cantik dan yang seorang lagi lelaki bertubuh agak berisi sedikit tetapi kelihatan tampan juga. Hatinya berdetik seolah-olah pernah ternampak lelaki itu, tetapi di mana ya?

“Kau siapa eh?”

Tanpa salam dan tanpa senyum terus meledak soalan. Sang lelaki menunduk kepala tanda hormat tetapi si perempuan terlebih sudah!

“Maaf…aku kawan Rara.”

“Kawan Rara?? Naik BMW….” Bibir si perempuan memanglah seksi tetapi terjuih-juih macam disuntik botox. Rain gelihati sendiri.

“Masuklah, dia ada kat dalam.” Rain malas mahu berbicara lebih lanjut. Dia berasa kurang senang dengan gelagat sang perempuan yang tergedik-gedik. Jauh benar karekternya dengan permata comel kesayangannya.

“Rara! O Rara!!”

“Kat luar tu kawan kau ya!” laungan nyaring suara Kiki memecah keheningan rumah dua tingkat itu.

Didi mengekor bontot Kiki berjalan pantas ke dapur kerana di ruang tamu tiada sesiapa yang menyambut mereka. Rain berlagak tenang berjalan di belakang ke dua-duanya.

“Hah! Kiki! Didi! Kamu semua dari mana?” Baharom melayan mesra tetamu yang sudah biasa dengan kediaman mereka itu.

“Dari rumah Didi. Pak Cik…yang kat luar tadi tu kawan Rara ya? Bukan main sombong lagi, orang tanya pun susah nak jawab. Tahulah dia naik BMW…”

Usai Kiki bersuara, Didi menyinggol lengannya. Dia memberi isyarat mata agar Kiki tidak membuat tuduhan yang bukan-bukan.

“Tanyalah Rara…” Baharom hanya berkata sepatah dua.

“Kenapa?”

Rara memandang Rain yang berdiri tidak jauh dari mereka. Wajah tenang Rain amat menarik minatnya. Inilah masanya dia membuat perbandingan drastik. Antara Didi dan Rain. Kenapa hatinya tenang tatkala bertembung pandang dengan Rain, sebaliknya bila matanya berkalih kepada Didi, tiada apa-apa perasaan. Kosong. Kontang. Ke mana kasih dan rindunya terhadap lelaki itu? Kenapa tiada sekelumit pun rasa cemburu pabila melihat Didi dan Kiki berganding bersama? Inikah hikmah yang Baharom canangkan selalu apabila dia mengeluh tentang hubungannya dengan Didi? Entahlah…Rara tiada jawapan untuk itu semua, lagi-lagi pada tika dan saat ini.

“Heii si comel! Aku tanya kau pun tak jawab. Macam dah berjanji pulak.”

Rara tersentak. Dia sempat melihat senyuman simpul Rain dihadiahkan kepadanya. Mengutuk akulah tu!! Rara membalasnya dengan jelingan tajam.

“Nama dia Adam Bahrain. Kawan Rara masa belajar kat UK.”

“Dari UK ikut balik sampai ke rumah. Hmm…pandailah Rara tambat hati jejaka macho dan kaya macam tu…”

“Aku tak macam yang kau sangkakan, Kiki. He deserves to be my bestfriend…dia ada ketika aku susah. Tak macam kau dengan Didi!!” Usai menghamburkan kemarahannya, Rara berlari ke bilik. Dia tak sanggup berdepan dengan ejekan dan tuduhan melulu dari mulut Kiki.  

***

"Siapa Didi dan Kiki tu pak cik?"

"Didi tu kawan baik Rara dari kecil. Ke mana sahaja selalu bersama. Mak Cik Khalidah pun dah dianggap macam ibu sendiri. Kami restui perhubungan suci yang terjalin itu. Tetapi...semenjak dua menjak ni, lebih-lebih lagi bila Rara sambung belajar...hubungan mereka nampak renggang. Itu yang dia sensitif betul sekarang ni."

Baharom menceritakan serba sedikit hubungan antara Didi dan Rara kepada Adam Bahrain. Sewajarnya Didi tidak membuat kejutan tentang kemesraannya dengan Kiki di hadapan Rara buat masa ini. Berilah Rara masa dan peluang untuk memahami bahawa antara mereka hanya layak sebagai kawan baik sampai bila-bila. Pertemuan, ajal dan maut semuanya di tangan Tuhan. Didi sepatutnya menunggu masa yang sesuai untuk menghebahkan tentang hubungannya dengan Kiki. Tetapi apa nak buat, Rara telah menghidunya sedari awal.

"Hmm...Patutlah sehari dua ini dia jadi penyedih sangat. Bila saya call pun dia sedang menangis."

"Dia memang sensitif budaknya. Iyalah...budak membesar tanpa ibu."

Adam Bahrain faham apa yang diceritakan oleh Baharom sebentar tadi. Dia pun ada dengar cerita itu dari mulut Rara sendiri. Kisah mereka hampir sama cuma bezanya, Adam Bahrain kehilangan mamanya ketika usia telah menginjak dewasa. Namun dia faham situasi yang dihadapi oleh Rara.

"Pak Cik..."

Baharom menanti butir bicara yang mahu diluahkan oleh pemuda yang baru dikenali itu. Pada mulanya dia pun tidak suka orang bertandang ke rumahnya dan telah berkelakuan tidak senonoh. Tetapi demi menghormati tetamu, dia sabarkan hati buat sementara waktu ini. Kalau Adam Bahrain ada permainannya tersendiri, dia juga boleh mengikut rentaknya. Baru nanti dia tahu langit itu tinggi atau rendah!

"Sebenarnya saya nak ...."

Adam Bahrom teragak-agak mahu menyambung bicara. Wajah tegang Baharom dijeling sekilas. Apa akan jadi kalau aku berterus terang? Apakah ini masa yang sesuai untuk aku menerangkan perkara sebenar? Atau apakah pendedahan ini akan menyebabkan Rara membencinya? Tidak! Jangan Rain...belum masanya!

"Apa susah sangat kamu nak buka cerita? Tergagap-gagap..." Baharom menempelak.

"Saya nak pak cik tahu yang saya suka berkawan dengan Rara. Saya nak jadikan Rara sebagai teman dan suri hidup saya pak cik. Saya jamin yang Rara akan bahagia dengan saya. Saya boleh bahagiakan dia, pak cik. Saya akan buat apa sahaja untuk dia. Dengan ini saya minta izin daripada pak cik untuk memperisterikan dia. Itu pun kalau pak cik berikan kebenaran..."

Ceritakan hal sebenar, Rain! Biar rahsia itu tidak menganggu kau lagi! Agar kau tak menanggung rasa bersalah itu selama-lamanya! Deruan suara dari dalam diri berebut-rebut menghasutnya. Adam Bahrain menekup mukanya yang mula berpeluh.

"Apa kamu cakap?" Baharom seolah tidak percaya dengan apa yang didengarinya.

"Iya pak cik...izinkan saya."

"Berapa lama kamu dah kenal dengan dia? Satu bulan? Satu tahun? Sepuluh tahun? Jangan cakap besar anak muda. Buktikan dahulu kemampuanmu! Baru pak cik boleh percaya. Jangan bercakap pasal kebahagiaan kalau kamu sendiri pun tak bahagia. Jangan nak sorokkan kesedihan yang kamu tanggung. Jangan jadikan Rara sebagai tempat kamu mengisi ruang kosong itu. Isikan dada dengan ilmu yang penuh, baru kamu datang balik jumpa pak cik."

"Tapi pak cik..."

"Kebahagiaan Rara biar pak cik yang tentukan. Kamu baliklah."

Baharom menoktahkan hujahnya. Ketabahan dan sikap 'gentleman' Adam Bahrain memang terpuji. Didi pun mungkin tidak seberani dia. Anak muda lain mungkin menunggu pertemuan ke seratus untuk meminang Rara. Tetapi Adam Bahrain berlainan. Dia tahu apa kehendaknya, dia faham permainan perasaan antara mereka berdua dan yang terpuji pada pandangan Baharom tentang pemuda bernama Adam Bahrain adalah kematangan dan sikap tenangnya. Ia seolah gambaran dirinya sewaktu muda dahulu. Tetapi Baharom perlu melakukan sesuatu sebelum dia menyerahkan Rara kepada lelaki itu. Belum tentu apa yang nampak di mata sama padannya dengan karekter yang tersembunyi.                 



      

“Apahal kecoh-kecoh ni!” Rara dan Rain terkejut. Wajah kedua-duanya pucat lesi disergah oleh suara Baharom. Di tangan kanan Baharom ...
Unknown Jul 9, 2012