Menu
Oh! MyKarya!





Di mana hilangmu
jika ada,
katakan ada
tidak kami ternanti-nanti

di mana jejakmu
berikan kami
secebis cahaya
mengukir senyum

di mana bebasmu
dengan sayap megah
kembali berkepak
kepada kami yang menunggu

usah bimbang
kami tak marah
kerana sudah lama
kamu di awan biru

berikan kami peluang
memeluk megah
satu nama satu rasa
yang bakal mengukir nama

Malaysiamu indah
jangan jauh rajukmu
kelak kan terpujuk
dengan laungan nada bangga

janji lah, kami dengar
jika di situ, berpautlah
teguh menunggu
kami datang
bawa senyuman!

aynora.nur | Mac 2014

Di mana hilangmu jika ada, katakan ada tidak kami ternanti-nanti di mana jejakmu berikan kami secebis cahaya mengukir senyum ...
aynorablogs Mar 14, 2014
Oh! MyKarya!



Berlari mengejar indah
Berjalan menyapa damai
Berhenti nafas dihela
Tiada apa-apa

Mengusik rasa yang lelah
Tanpa mu aku tak bisa
Mengutip serpihan kaca ingatan
Biarlah ia di bawa ombak
Hanyut ke timur jauh

Sepi ini
Sebuah kamus hidup
Yang berbaur tawa dan airmata.


aynora.nur | Februari 2014

Berlari mengejar indah Berjalan menyapa damai Berhenti nafas dihela Tiada apa-apa Mengusik rasa yang lelah Tanpa mu aku tak bisa ...
aynorablogs Mar 3, 2014
Oh! MyKarya!



Petang Isnin itu Zahira sekali lagi cuba menghubungi Daniel setelah lebih kurang satu bulan best friend forever (BFF) nya itu mendiamkan diri. Pelbagai usaha telah Zahira lakukan tetapi semuanya menemui jalan buntu. Dia bimbang jika sesuatu berlaku terhadap temannya itu. Kini sekali lagi Zahira mencuba. Dengan hati yang tabah, Zahira membuat panggilan ke nombor tersebut. Dia hanya inginkan kepastian. Siapakah pemilik nombor tersebut? Adakah ia telah bertukar pemiliknya? Kerana selama ini segala media sosial yang digunakan tidak mendapat maklum balas. Apakah Daniel telah tiada? Oh tidak!! Meraung hati Zahira mengingatkan semua itu.

"Boleh saya bercakap dengan Daniel?"

Zahira bercakap sebaik talian di hujung sana di angkat.

"Awak siapa?" tanya satu suara wanita.

"Saya kawan dia." Zahira menjawab dengan tenang.

"Maaf! Daniel tak ada. Salah nombor!"

"Okey."

Zahira merenung nombor telefon di skrin Samsung putih miliknya. Nombor yang biasa yang selalu digunakan untuk berhubung dengan Daniel. Argh!! Kenapa jadik begini? Zahira keliru. Apakah Daniel bertindak menukar nombor telefonnya dengan niat untuk menjauhkan diri daripadanya? Tetapi mengapa? Apakah salah dirinya kepada Daniel?

Setengah jam selepas Zahira membuat panggilan, dia menerima SMS daripada nombor yang sama. Dan kali ini, memang betul-betul membuatkan Zahira terpaku. Kelu.

"Jangan call suami aku lagi. Faham!!"

SMS ringkas yang diterima merenggut ketenangan petang Isnin Zahira. Daripada nombor yang amat dikenali tetapi daripada gaya bahasanya, ia amat berlainan sekali dengan tuan empunya nombor tersebut. Sebelum ini dia biasa dengan nombor itu, selalu berweechat dan sesekali bertukar cerita lewat panggilan lalu. Tetapi kini...apakah yang telah terjadi?

Zahira tahu Daniel telah dimiliki. Daniel juga selalu bercerita tentang keluarganya. Bercerita tentang kebahagiaan mereka. Zahira faham. Dia tidak cemburu. Kerana niatnya berkawan dengan Daniel sekadar sebagai kawan selama-lamanya.

****

Zahira dan Daniel telah berkawan lama. Sejak dari tingkatan tiga lagi. Waktu itu mereka memang meminati antara satu sama lain. Namun kerana Zahira tidak suka berkawan dengan budak lelaki, jadi dia menganggap niat Daniel untuk berkawan dengannya sekadar gurauan budak lelaki yang nakal. Tetapi Daniel tidak berputus asa. Saban tahun setiap kali tiba hari raya aidilfitri, dia akan datang menziarahi Zahira. Namun Zahira tidak melayannya dengan baik. Zahira ingin mencapai kejayaan dalam pelajaran. Namun sesekali ada juga rakan sekelas mengusiknya dengan Daniel tetapi ia pergi di bawa angin lalu begitu sahaja.

****

"Assalamualaikum."

Sapaan seseorang yang tidak dikenali di Facebook untuk menjadi kawan akhirnya menemukan semula Zahira dengan Daniel. Daniel yang tidak menggunakan nama sebenarnya pada mulanya tidak dilayan oleh Zahira. Namun atas dasar kesungguhan akhirnya permintaannya tertunai. Kawan yang telah hampir berpuluh tahun terpisah dipertemukan semula dalam keadaan yang berbeza.

"Saya buka akaun FB semata-mata nak cari awak."

"Kenapa?" soal Zahira lewat perbualan mereka melalui telefon.

"Tak tau lah. Dalam fikiran saya hanya ada nama awak. Dalam ramai-ramai kawan sekolah kita, saya cuma teringatkan awak saja."

Zahira sekadar melepaskan tawa.

"Mungkin saya ada hutang dengan awak kut." Zahira mengusik Daniel.

"Agaknya kut...."

Dalam perbualan itu masing-masing mengakui telah berkeluarga. Zahira pun mengakui hidupnya telah disempurnakan dengan tiga orang puteri manakala Daniel pula memiliki tiga pasang puteri dan seorang putera.

"Kita masih boleh berkawan,  kan?" Daniel seolah-olah meminta izin untuk terus berhubungan dengan Zahira.

"Boleh. Kita jadi BFF pun apa salahnya."

Mulai dari saat itu Zahira dan Daniel menjadi rakan yang akrab dan saling bertukar-tukar fikiran. Sesekali Daniel ada bercerita tentang isterinya kepada Zahira. Dan Zahira perasan terdapat sedikit masalah dalam perhubungan mereka suami isteri.

"Sabarlah Daniel. Setiap rumahtangga ada pasang surutnya. Bersabarlah. Orang yang sabar dan reda dengan segala dugaan serta selalu bersyukur amat disayangi oleh Allah. Tuhan telah berikan pasangan yang sesuai untuk awak."

Zahira sering memberikan perangsang buat Daniel. Begitulah sebaliknya. Jika Zahira mahukan pandangan Daniel tentang persoalan ibadat dan tauhid dan amalan harian sebagai seorang muslim sejati, Daniel lah tempatnya.

"Malam tadi wife saya mengamuk. Dia maki hamun saya dengan kata-kata yang kesat. Saya rasa nak tampar-tampar je muka dia. Langsung tak hormat saya sebagai suaminya. Kalaulah bukan kerana anak-anak, dah lama saya kahwin lagi."

Satu hari Daniel mengadu. Zahira hanya boleh memberikan buah fikiran yang baik-baik sahaja untuk temannya itu. Puncanya hanyalah Daniel berbalas SMS dengan rakan lelakinya. Isterinya telah menyangka yang bukan-bukan. Telefon miliknya juga turut di hempas ke lantai.

Dan mulai saat itu persahabatan yang berdasarkan 'Best Friend Forever' itu  menghadapi detik langit tidak selalu cerah. Daniel mula secara perlahan-lahan menjarakkan hubungannya dengan Zahira. Tiada lagi kiriman SMS atau sapaan seorang sahabat seperti kebiasaan di laman sosial yang lain.

Zahira pun pasrah di atas takdir persahabatan mereka yang terputus di tengah jalan. Sekali lagi mereka terpisah. Entah bila takdir mempertemukan mereka lagi. Zahira pasrah. Dari jauh Zahira hanya mampu berdoa yang terbaik untuk sahabatnya itu. Dia pun tidak mahu menjadi batu penghalang terhadap prsengketaan Daniel dengan isterinya. Biarlah Daniel perlahan-lahan dan secara bijaksana menyelesaikan masalah mereka.

Setelah berbulan berlalu, hanya kiriman mesej ringkas dikirimkan oleh Daniel. "Maafkan saya atas segalanya. Ada sesuatu yang tak mampu saya terangkan!"

Dan kisah sahabat selamanya ini adalah kisah yang tertangguh. Sekali lagi.

Dan...catatan seterusnya biarlah menjadi sebuah rahsia yang panjang dan tiada kesudahan. Kisah manusia-manusia yang bermacam ragam dalam dunia ini.

Lirik lagu KEHILANGAN - FIRMAN

Ku coba ungkap tabir ini
Kisah antara kau dan aku
Terpisahkan oleh ruang dan waktu
Menyudutkanmu meninggalkanku

Ku merasa tlah kehilangan
Cintamu yang tlah lama hilang
Kau pergi jauh karena salahku
Yang tak pernah menganggap kamu ada

Asmara memisahkan kita
Mengingatkanku pada dirimu
Gelora mengingatkanku
Bahwa cintamu tlah merasuk jantungku
Sejujurnya ku tak bisa
Hidup tanpa ada kamu aku gila
Seandainya kamu bisa
Mengulang kembali lagi cinta kita
Takkan ku sia-siakan kamu lagi

Asmara memisahkan kita
Mengingatkanku pada dirimu
Gelora mengingatkanku
Bahwa cintamu tlah merasuk jantungku
Sejujurnya ku tak bisa
Hidup tanpa ada kamu aku gila
Seandainya kamu bisa
Mengulang kembali lagi cinta kita
Sejujurnya ku tak bisa
Hidup tanpa ada kamu aku gila
Takkan ku sia-siakan kamu lagi.



P/s: Setakat ini sahaja. Kerana sahabat saya itu tidak bercerita lanjut tentang kisahnya lagi selepas itu walau berkali-kali saya memujuknya...


Catatan di atas adalah untuk sahabat-sahabat baik yang menjalani pengalaman persahabatan yang serupa atau hampir serupa. Bukan mudah untuk membuahkan kepercayaan di atas keikhlasan yang ditunjukkan. Kerana...ikhlas ni umpama seekor semut hitam yang berjalan di dalam malam yang kelam, sukarnya untuk dilihat dengan mata kasar. Begitulah hidup harus diteruskan... 


Petang Isnin itu Zahira sekali lagi cuba menghubungi Daniel setelah lebih kurang satu bulan best friend forever (BFF) nya itu mendiamkan...
aynorablogs Feb 8, 2014
Oh! MyKarya!

Hidup tanpa kamu...


Ibarat berjalan tanpa kasut pada hamparan kerikil tajam yang perit di telapak kaki. Hati penat menjerit kerana mulut diam tak berbunyi. Adakah kerana hati telah letih ataupun anasir luaran yang membaham ruang rasa dan deria kata. Manakah sebuah kuatnya nalurimu wahai teman bernama insan? Hidup tanpa sesiapa pun kita masih ada di sini...ada nya atau hadir pun dia bukan maknakan apa-apa buat kamu.




Ibunda, tegarnya kami?


Jujur dalam membasuh hati pada jari yang bersalah. Kerana bonda tak mengharap kiasan fatwa pujangga untuk menarik hatimu kembali. Ke pangkuan kasih yang lama sudah sepi. Ibunda mengintai hari untuk menatap seraut wajah tak kisah kita. Apakah kita yang bernama anak pujaan memberikan masa dan tempoh untuk harga belian kasihnya ibu?
Sebelum engkau dikandung, Ibu menginginkan kau ada. Sebelum kau dilahirkan, Ibu telah mengasihimu. Sebelum kau keluar dari kandungan, Ibu pun rela mati untukmu. Inilah keajaiban kasih sayang Ibu.

Takkan ku sia-siakan kamu lagi


Penat sebenarnya menabur janji manis yang pada hujung penantian itu tidak semanis kenangan silam. Punah harapan untuk melihat airmata ibu sebuah cerita indah, kerana janji setaman yang terluah sekadar setangkai daun yang kekuningan dan hampir kering. Kelak entah bila ia gugur, engkau dan aku pun tak sempat nak menangis sesal. Sudah! Sudahlah! Inikah namanya takkan ku sia-siakan kamu lagi?

Kisah ini antara aku dan dia...


Dalam cinta, jangan menunggu orang yang tepat menghampiri hidupmu. Lebih baik jadilah orang yang tepat yang mengampiri hidup seseorang. Kerana kisah cinta antara aku dan dia tidak pernah meminta perhatian kerana aku selalu adalah manusia yang kecundang. Pada masa, pada janji-janji yang semuanya telah aku dustai sendiri. Antara cinta aku dan dia, manakah pernah terdengar keluhan menahan lelah di hati dan minda tuanya. Kerana cintanya...kasih dan sayang bukan dari kerana bayaran mahal. Semuanya demi kisah kasih yang tiada penghujung. Adakah aku jadi perindu pada momen-momen seorang bonda jika dia sudah tiada?

Mencari sebuah hijrah, jalan yang panjang. Lorongnya penuh liku. Itulah aku...

Hidup tanpa kamu... Ibarat berjalan tanpa kasut pada hamparan kerikil tajam yang perit di telapak kaki. Hati penat menjerit kerana mulut ...
aynorablogs Feb 6, 2014
Oh! MyKarya!

Sebenarnya...

Kisah aku dan dia telah lama bermula. Kisah rajuk, benci, membawa diri, membina harapan dan kehilangan...pun sejak dahulu telah kami lalui. Tetapi perhubungan itu tidak membawa ke titik noktah kerana laluan yang berbeza dan takdir dan waktu terus memisahkan kami. Jauh jarak dan masa, dua buah hati akhirnya memilih cerita hidup sendiri.




Setelah perpisahan memakan masa, merubah seorang aku menjadi dewasa dan si dia melakar dunia yang berbeza, takdir Allah menemukan kami semula. Segalanya berubah, rupa fizikal dan personaliti. Dan sapaan ini sekadar pertemuan semula kawan lama yang ada cerita yang telah di tinggalkan. Aku berharap begitulah...

Cerita silam itu...

Dan cerita silam kami telah terhurai satu persatu dalam tak disedari. Keadaan mungkin berubah, personaliti mungkin berbeza tetapi perasaan hati tetap di situ, subur dalam kenangan. Katamu, namaku sentiasa mekar di hati. Sejak dahulu hingga kini, kau masih menganggap aku buah hati pengarang jantungmu!

Terima kasih teman. Tetapi kini kau miliknya. Dan aku pula, miliknya dalam satu ikatan yang diredhai. Mengingatiku dan merinduiku biarlah kerana Allah. Kerana segala kebaikan yang indah-indah dan mencintaiku kerana cintakan Allah dan rasulnya. Kita masih bisa berteman tetapi kerana sesuatu di jalanNya. Tinggalkanlah hatiku di belakang dan pandang wajah sayu di hadapanmu. Satu masa nanti, secara perlahan-lahan kau pasti dapat melupakan. Melupakannya sekali lagi.

Sebenarnya aku mengerti apa yang kau rasakan.

Secara baik dan dalam keterpaksaan...aku terpaksa menolakmu. Kerana kini kau miliknya. Aku terpaksa lepaskan walaupun kasihku ada. Terpaksa terima hakikat...dia masih memerlukanmu! Dan aku amat mengerti tentang sesuatu...sesuatu yang tak mampu kau terangkan. Sesungguhnya itulah sebaik-baik pilihan yang ada. Tinggalkanlah aku dan masa silam kita. Ingatan yang baik-baik dan perkongsian ilmu yang kita ada, izinkan untukku bawa bersama.

Sesekali biarkan diri kita menangis.

Ketika mata kita masih boleh menitiskan airmata, Itu tandanya beban masalah akan segera pergi. Percayalah bahawa Allah amat sayangkan hambanya yang sabar dan yakin padaNya.

Sebenarnya... Kisah aku dan dia telah lama bermula. Kisah rajuk, benci, membawa diri, membina harapan dan kehilangan...pun sejak dahulu te...
aynorablogs Feb 2, 2014
Oh! MyKarya!

Rindu datang dan pergi.

Langit biru yang damai. Umpama hamparan baldu rindu yang datang dengan sejambak kisah cinta. Ada ketika rindu pergi membawa bersama awan yang biru. Tiada lagi rindu yang datang lagi. Bila pergi mungkinkah ia berpaling semula. Itulah lumrahnya alam, temanku.




Umpama berjalan di jalanan yang berliku. Adakah kamu tahu mana arah yang membawa bahagia. Lorong manakah pula yang berlagu derita. Laluan itu amat bersimpang siur, sayang. Jika pilihan yang betul yang kamu buat, tiada derita itu selamanya milik kita. Bukankah tiada duka yang abadi selamanya?

Mencipta bahagia bukan sekadar cerita basi yang diulang-ulang. Ia perlukan sebuah bayaran yang mahal yang namanya pengorbanan. Bahagia, derita, jatuh dan bangun mainan duniawi harus dilalui, mesti berani ditempuhi dan usah berpaling menyesali kesilapan lalu.

Memang benar...langit tidak selalu cerah. Tetapi awan pun tak selamanya kelabu. Dalam tak disangka, meski tak diduga. Harapan hadir mencelah dengan nyanyian lagu rindu. Buat mereka yang pernah kecundang...jangan diulang langkah yang canggung dahulu. Haruslah berhati-hati jika ada anganan mencipta bunga harapan.

Langit cerah sepanjang zaman.

Sesekali izinkan hujan turun mencuci debu di jalanan yang berliku. Sesekali biarkan pelangi mencorak warna pada wajah dan matamu. Biar senyum itu mekar selamanya. Teman akrab di penghujung hari. Sesekali letakkan tanganmu di belakang dan biarkan kebaikan yang berkata-kata!

Kerana kamu, aku dan kita memang istimewa. Pada matanya yang bening. Pada hatinya yang jernih.


Rindu datang dan pergi. Langit biru yang damai. Umpama hamparan baldu rindu yang datang dengan sejambak kisah cinta. Ada ketika rindu perg...
aynorablogs Jan 28, 2014
Oh! MyKarya!

Dato' Onn Jaafar dilahirkan di Seri Gambir, Jalan Gertak Merah, Johor Bahru pada 12 Februari 1895 serta merupakan anak kepada Datuk Jaafar bin Haji Muhammad, Menteri Besar Johor yang pertama. Seorang kerabat diraja Johor, beliau dipelihara oleh Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar sejak kecil, dan mendapat pendidikan Melayu sebelum melanjutkan pelajarannya di England.

Gambar sumber Google
Beliau bekerja sebagai wartawan pada tahun 1930 ketika berumur 35 tahun, dan pada tahun 1934, menjadi pengarang Lembaga Malaya dan Harian Lembaga. Di samping itu, beliau juga pernah menjadi ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor. Semasa zaman Pendudukan Jepun, beliau menjadi Ketua Pejabat Kawalan Makanan Negeri Johor.

Dato' Onn Jaafar (12 Februari 1895 - 19 Januari 1962) merupakan pengasas dan Presiden Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO). Beliau pernah dilantik sebagai Menteri Besar Johor pada 1 Jun 1947 tetapi beliau telah meletakkan jawatan tiga tahun kemudian iaitu pada 18 Mei1950 untuk menumpukan perhatiannya kepada UMNO.

Beliau mendirikan rumah tangga bersama Datin Halimah Hussein, dan salah seorang daripada anak mereka ialah Allahyarham Tun Hussein Onn. Beliau meninggal dunia pada tahun 19 Januari 1962 dan dikebumikan di Makam Mahmoodiah, Johor Bahru, Johor.

Kronologi Kerjaya Dato' Onn Jaafar


  • 1895: Dilahirkan di Seri Gambir, Jalan Gertak Merah, Johor Bahru .
  • 1901 Menjadi anak angkat Sultan Ibrahim dan menghabiskan masa di Istana Johor. Belajar bahasa Inggeris dengan wanita Inggeris.
  • 1902 Ibunya Rugayah meninggal dunia
  • 1903 Belajar di Alderburgh Lodge School, Suffolk, England . Dia ke sana sebagai pengiring putera-putera Sultan Johor.
  • 1910 25 Mac kembali ke Johor dengan perawakan Barat.
  • 1910-1911 Belajar di di Maktab Melayu Kuala Kangsar.
  • 1911 Kerani sambilan di Jabatan Setiausaha Kerajaan Johor .
  • 1911 Berkahwin kali pertama Rafeah Abdullah (gadis Cina yang merupakan anak angkat bapanya). Mendapat empat orang anak dan isterinya meninggal dunia beberapa tahun kemudian.
  • 1915 Berkahwin kali kedua dengan Che Jamilah dan mendapat seorang anak iaitu Ismail bin Onn. Isterinya meninggal dunia.
  • Berkahwin kali ketiga dengan Che Kah, seorang pelakon bangsawan.
  • 1917 Menyertai Pasukan Tentera Johor dan ditempatkan di Pulau Belakang Mati, Singapura- markas JMF. Pangkat Leftenan.
  • 1919 Berkahwin kali keempat dengan Halimah Hussein, janda adiknya. Mendapat 3 anak termasuk Hussein Onn.
  • 1920 Bekerja semula di Pejabat Pnasihat Johor tetapi dipecat oleh Sultan Ibrahim pada 31 Jun 1920 kerana membidas baginda tanpa berselindung berkaitan isu harta.
  • 1922 Diterima bekerja semula sebagai penolong pegawai di Pejabat Tanah Johor kerana pujukan Tengku Ismail.
  • 1923 Pegawai di Pejabat Tanah Muar
  • 1924 Penolong Pemungut Hasil Tanah Muar dengan gaji RM1440.00.
  • 1927 Pindah ke Johor Bahru dengan jawatan yang sama. Pegawai British menahan elaun RM200.00 setahun, tidak diberi motokar kerajaan dan tidak disediakan rumah kerajaan sedangkan pegawai British mendapat pelbagai kemudahan.
  • 1927-1936 Dibuang negeri ke Singapura oleh Sultan Ibrahim kerana menyiarkan berita Sultan Ibrahim memperalatkan JMF sebagai buruh paksa dalam akhbar Sunday Mirror. Sultan Ibrahim membina padang lumba kuda dan membuka ladang di Pagoh, Tasek Utara dan Pasir Pelangi menggunakan JMF.
  • 1930-1936 (umur 35): Bertugas sebagai wartawan akhbar-akhbar Melayu di Singapura
  • 1934 (umur 39): Menjadi pengarang Lembaga Malaya dan harian Lembaga.
  • 1936-1941 Menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Negeri Johor
  • 1942 – 1945: Menjadi Ketua Pejabat Kawalan Makanan Negeri Johor
  • 1945-1946 Menjadi Pegawai Daerah Batu Pahat
  • 1946-1949 Memimpin Pergerakan Melayu Semenanjung, Johor.
  • 1946 Menganjurkan Kongres Melayu 1946
  • 1946-1951 (umur 52): Menubuhkan UMNO dan menjadi presidennya yang pertama. Beliau dilantik sebagai Menteri Besar Johor pada 1 Jun 1947.
  • 1949 (umur 54): Meletakkan jawatan Menteri Besar Johor dan menumpukan kepada UMNO.
  • 1951 Pengerusi Rural and Industrial Development Authority (RIDA).
  • 1951 (umur 56): Cadangan membuka keahlian UMNO kepada semua kaum telah ditolak. Maka Dato' Onn meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO dalam persidangan Majlis Mesyuarat Agung Keenam pada 25 dan 26 Ogos 1951.
  • 1951 Menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP).
  • 1954 (umur 59): Menubuhkan Parti Negara mengganti Parti Kemerdekaan Malaya. Tujuan penubuhan parti tersebut adalah untuk bertanding dalam pilihan raya umum yang pertama pada tahun 1955.
  • 1955 Kalah dalam Pilihan raya Persekutuan 1955
  • 1959 Ahli Dewan Rakyat - sebagai anggota pembangkang (dikatakan menyertai PAS).
  • 1959 (umur 64): Mendapat satu kerusi di kawasan Parlimen Kuala Terengganu Selatan dalam pilihan raya Persekutuan.
  • 1962 (umur 67): Meninggal dunia dan dikebumikan di Makam Mahmoddiah Johor Bahru.

Dato' Onn Jaafar dilahirkan di Seri Gambir, Jalan Gertak Merah, Johor Bahru pada 12 Februari 1895 serta merupakan anak kepada Datuk J...
aynorablogs Jan 21, 2014
Oh! MyKarya!

Hati...

Tolong buka pintu hati. Berhenti menangis kepada benda yang telah hilang. Dia telah lupakan kamu wahai hati. Dahulu dia di situ menemani siang dan malammu. Kelmarin, dia telah melupakanmu. Semalam dia tidak lagi menunggu rindu-rindumu. Maka, mana mungkin hari ini dia akan datang kembali untuk membuatkan kamu tersenyum.




Duhai hati,

Kamu telah lelah membenci. Hinggakan seluruh tubuhmu sakit kerana tak pernah untuk berhenti berharap. Kerana kamu hati yang tak berhenti mengingati, mata menjadi sedih lalu hujan turun membasahi kolam hati. Lantas duhai hati...tak usah lagi kamu berharap. Perlahan-lahan lepaskan dia jika itu lebih baik untukmu.

Wahai Tuhan,

Hati telah sakit kerana dikhianati. Tetapi hati tetap bersangka baik kerana bukankah Engkau telah berjanji akan menghadiahkan suatu kebaikan jika hati sentiasa bersangka baik. Saat ini dan waktu ini hati sentiasa berdoa. Mendoakan agar hati si dia sentiasa menerima kebaikan dan berjalan di atas landasan jalan yang lurus. Jalan yang Engkau redhai.

Demi Tuhan,

Hati tak lelah lagi. Kerana percaya pada janji-janjilMu Tuhan. Percaya dalam diam tetap mendoakan dia yang telah berhenti menyayangi hati ini. Dalam rahsia hati ini tetap bersangka bahawa dia juga sedang melakukan perkara yang sama untuk pemilik hati ini. Semoga Malaikat ikut mendoakan hati ini agar terus tabah menempuh cabaran sekali lagi.

Hati telah berkata.

Walau ke mana pun hati pergi, ke ceruk dunia mana pun hati berlari...tak pernah sesaat Engkau jauh dari hatiku ini, Ya Allah yang Maha Pengasih.

Hanya kepadaMu hati ini diserahkan..

Hati... Tolong buka pintu hati. Berhenti menangis kepada benda yang telah hilang. Dia telah lupakan kamu wahai hati. Dahulu dia di situ me...
aynorablogs Jan 11, 2014
Oh! MyKarya!

Pernahkah anda merajuk? Kenapa mesti merajuk? Apa perasaan kita ketika sedang merajuk? Hmm...banyak persoalan yang perlukan jawapannya. Merajuk bukannya mudah, hati jadi sakit, perasaan rasa sedih dan kadangkala keadaan sekeliling pun rasa tak tenteram. Ada saja yang menganggu fikiran.

Baik jangan merajuk!




Jadi, mengapa kamu merajuk? Sayang-sayangku sekalian...hentikan rajuk yang tidak berfaedah. Merajuk pada yang sayang kita aje, jika tidak takkan ada orang yang memujuk anda. Betul tak?

Merajuk. Tanda hati yang halus.

Merajuk umpama hujan yang turun renyai-renyai. Kekadang kita merajuk pun orang tak tahu. Sebab, hujan renyai tidak membuatkan orang basah, bila berjalan dengan laju. Bila hujan renyai pun kita tak endah untuk mencari tempat teduh. Kerana hujan renyai datang pun tak lama. Sesekali. Sesekala.

Hah! Bila menangis mungkin orang akan perasan. Baik jangan merajuk. Menangis boleh diumpamakan macam hujan lebat. Kalau meraung lagi macam guruh, menarik perhatian ramai orang!

Kenapa Merajuk?


Kenapa kita harus tahu apakah menyebabkan seseorang itu merajuk. Supaya orang LELAKI boleh bersedia untuk memujuk kita pulak lepas tu...Seseorang itu merajuk disebabkan atas beberapa sebab:

1. Cemburu. Ini merupakan faktor utama kenapa si dia merajuk. Dia cemburu disebabkan ada sesuatu yang cuba mengambil anda dari dirinya. Seperti kawan-kawan, pekerjaan, keluarga dan sebagainya.

2. Tidak Dapat Apa Yang Diinginkan. Si dia menginginkan sesuatu dari anda, tetapi anda tidak memberikannya.

3. Orang Lain Lebih Hebat Dari Dia. Adakalanya dia akan merajuk untuk mendapatkan perhatian dari anda. Kadangkala, si dia merajuk disebabkan ada sesuatu yang membuatkan dia berasa marah dan tidak selesa. Untuk mengubat perasaannya, dia perlukan anda di samping dirinya tetapi dengan cara yang sangat berbeza iaitu dengan merajuk.

Hidup adalah gabungan antara bahagia dan derita. Ia adalah menguji keteguhan iman seseorang. Malangnya bagi mereka yang hanya mengikut kehendak hati tidak sanggup menerima penderitaan. 

Okey dear...lalui harimu dengan tabah. Jangan ikut kehendak hatimu semata-mata. Harus lebih kuat dan lebih bahagia dari semalam.

Biarkan semalam yang kelam terus hilang!

Pernahkah anda merajuk? Kenapa mesti merajuk? Apa perasaan kita ketika sedang merajuk? Hmm...banyak persoalan yang perlukan jawapannya. Mera...
aynorablogs Jan 9, 2014
Oh! MyKarya!

Secara tiba-tiba hati teringatkannya...
Cintaku dan cintanya tertulis hanya dalam sebuah cerita 
dan bukanlah pengukuhan dalam satu ikatan. 
Berjalan sendiri namun hati saling memiliki. 
Kulepaskan dia 
dan semoga cintaku akan selalu menjaganya....

Berhenti! Cukup sudah bayangan lalu. 

Wajah-wajah yang sedang berduka, jangan dilayan kisah sedihmu. Mungkin kisah kita tidak sama, ada yang ditinggalkan dan mungkin ada antara kita yang kehilangan orang yang tersayang. Buat-hati-hati yang terluka, usah tenggelam dalam derita dan duka berpanjangan. Bukalah matamu, lebarkan sayap mindamu. Nanti kau kan temui semangat dan impian baru untuk hidup lebih gembira.


 


“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui” (Surah Al-Baqarah : 216)

Bila patah hati, jangan semudah itu kamu membenci sesuatu. Ada pujangga berkata jika sangat membenci orang itu, ditakuti satu ketika nanti kamu pula menanggung rindu. Pandang sesuatu yang kau tinggalkan sebagai kenangan yang mengajar erti kehidupan yang berbagai. Dan lihat sesuatu yang hadir dalam hidupmu sebagai impian dan harapan baru untuk memulakan yang lebih berharga.

Bukannya kamu sahaja yang pernah berduka. Kadangkala dalam tak sedar wajah duka itu hadir lagi, menyapu ruang sepi dengan debu-debu impian yang pudar. Tika ia hadir, kita mungkin jadi orang yang sedang derita. Tetapi harus diingat, tunjukkan kekuatanmu jika itu boleh memberikan coretan rasa yang kamu masih boleh bangun setelah diri ditinggalkan.

Yang pergi biarlah ia pergi. Kita yang tinggal harus melangkah ke era baru. Mengutip pengalaman lagi buat bekalan jika terluka lagi. Itulah putaran hidup. Hati harus tabah.

Bukankah setiap orang harus hidup bahagia?  

Secara tiba-tiba hati teringatkannya... Cintaku dan cintanya tertulis hanya dalam sebuah cerita  dan bukanlah pengukuhan dalam satu ikat...
aynorablogs Jan 8, 2014