Menu
Oh! MyKarya!

Berbisik Angin Kota Bahagia

Perjalanan jauh menjemput aku ke daerah ini. Meskipun hujan renyai membasahi dinding kereta, tidak membataskan rasa syukur menatap pelangi indah dan ditemani angin yang sepoi-sepoi. Pemandangan ini membisikkan bahagia, menyulam gembira di sudut hati. Lantas mengingatkan aku pada cerita pilu seorang insan.



Tika rasa perit menyentak ulu hati, aku gagahkan mengimbas rakaman perbualan kami lewat hari-hari kelmarin. Setelah kamu kehilangan tulang belakang keluarga, semua menghindar. Tinggallah kamu bersama puteri-puterimu meneruskan langkah mendepani segala tohmahan dan cabaran hidup. Lantas, kudrat yang secebis itu kamu gunakan bagi memberikan cahaya bahagia di wajah orang-orang yang kamu sayangi.

Percayalah sahabat...langit gelap tak selamanya menyelimuti hidupmu. Nanti aku kirimkan sebilah pelangi indah buat menceriakan hari-harimu, kerana di sini aku sedang menyulam bahagia. Sedang mendengar bisikan angin yang membawa khabar bahagia.

Kita ada TUHAN yang Maha Pengasih dan Penyayang! Jangan toleh ke belakang duhai sahabat. Kekuatan kita adalah gambaran ketabahan insan-insan di sekeliling kita. Aku tidak mahu melihat kamu rebah tidak bermaya.

TUHAN...berikan kami kebahagiaan sebagaimana Engkau berikan kepada golongan yang terdahulu daripada kami...

Aku sedang menikmati bisikan angin yang tak habis-habis menghadiahi secangkir bahagia. Moga sahabatku, bila pulang nanti aku bisa memeluk segunung tawa dari titisan air hujan yang tumpah dari kolam hatimu. Biarkan air mata itu kau gunakan untuk menyirami butir-butir kejayaan yang menyusul puteri-puterimu nanti.

Aku ada di sini jika kau perlukan aku!

Perjalanan jauh menjemput aku ke daerah ini. Meskipun hujan renyai membasahi dinding kereta, tidak membataskan rasa syukur menatap pelangi i...
aynorablogs May 28, 2013
Oh! MyKarya!

Ketika Cinta Pergi, Hati Jangan Mati

Sukar menyusun kata, apatah lagi melakar bait-bait indah buat hati yang sedang menangis. Walau bergunung kata diluah, pujukan diberi...hati yang menangis sukarnya untuk terpujuk. Biarkan cinta itu pergi, tetapi sayang....jangan biarkan hatimu mati dan kering kerana cinta itu.




Cinta yang hakiki bukan datangnya dari insan yang sama seperti kita, cinta yang abadi bukan wujudpun di muka bumi ini. Cinta manis atau pahit hanya pinjaman dari Illahi. Palingkan wajahmu, senyumlah hati...renungkan sedalam-dalanmya. Siapakah hatimu tanpa belas ikhsan dari Sang Pencipta? Kamu bukan sesiapa jika hidup tanpa hati.

Hanya TUHAN yang memahami hatimu.

Ketika cinta itu pergi, jagalah hatimu. Janganlah kau matikan hatimu untuk cinta sementara ini. Pasti ada hati yang indah sedang menunggu untuk dibelai dan dipujuk, dibajai dengan kasih sayang yang Hak, dan melangkah dengan senyuman indah menunggu hari istimewa itu kembali.

Saat kau kenangi perit pedihnya hati dilukai, kau sepatutnya masih bersyukur. Daripada diseksa dizalimi fizikalmu hingga luka-luka nampak di mata...biarlah dilukai dihati. Kesakitan di hati bila cinta telah pergi hanyalah sementara. Pujuklah hatimu yang sengsara dengan mengingati dan memuji-muji sang Pencipta hatimu.

Dengan izinNya, hati kamu kembali bersinar bak kejora di ufuk timur. Bersinar-sinar hingga menyinari jutaan hati yang kontang seperti kamu dahulu.

Dalam hati yang bernyawa, tiupkan rasa-rasa rindu pada si Dia yang memang selalu ada dalam hatimu.

Jangan biarkan hatimu mati, sayang....
   

Sukar menyusun kata, apatah lagi melakar bait-bait indah buat hati yang sedang menangis. Walau bergunung kata diluah, pujukan diberi...hati ...
aynorablogs May 24, 2013
Oh! MyKarya!

Menulis Biar Ada Nilainya



Menulis Biar Ada Nilainya! | Menulis karya kreatif memerlukan daya tumpuan dan pengalaman sedia ada yang berkaitan dengan apa yang hendak ditulis. Jikalau pengetahuan kita 'zero' tentang sesuatu isu atau tema yang mahu dihasilkan, lebih baik kita berhenti seketika. Kutip pengalaman sebanyak mungkin melalui buku-buku, pengalaman rakan-rakan, bacaan di internet dan pelbagai cara lagi bagi memantapkan karya yang hendak dihasilkan.

Menulis karya kreatif samada sajak, cerpen, novel, pantun dan sebagainya bukannya boleh dibuat sekadar ikut-ikutan ataupun suka-suka. Memang kebanyakan kita selalu menulis begini, 'berkarya sekadar untuk suka-suka'...tetapi tahukah anda, apa yang kita hasilkan itu akan tercatat sebagai sejarah penulisan kita. Bila di pandang kembali, tentu kita tidak mahu bahan tulisan kita tidak mempunyai nilai apa-apa! Siapa yang rugi?

Tinggalkan catatan karya kreatif kita dengan nilai baik yang boleh diadaptasikan dalam sepanjang kehidupan makhluk di muka bumi ini yang bergelar manusia. Sedikit nilai baik yang kita tinggalkan, akan berkembang menjadi kebaikan yang berkekalan bila kita menutup mata nanti!

Coretan santai,
aynora.nur
   

Menulis Biar Ada Nilainya! | Menulis karya kreatif memerlukan daya tumpuan dan pengalaman sedia ada yang berkaitan dengan apa yang hend...
aynorablogs May 3, 2013