Breaking

Showing posts with label CINTA KAMELIA. Show all posts
Showing posts with label CINTA KAMELIA. Show all posts

Oct 19, 2010

October 19, 2010

NOVEL: CINTA KAMELIA 29


“Ijol…”

“Tolong….aa..ku…”

“Baiti…”

“Hello! Hello!”

Ijol menepuk-nepuk seketika telefon bimbitnya kerana suara yang didengar kurang jelas. Seperti terputus-putus. Tadi dia pasti Zek yang memanggilnya berdasarkan nama yang tertera di skrin. Anehnya, apabila dia mendail semula tiada jawapan dari pihak sana. Tiba-tiba hatinya berasa kurang enak memikirkan berbagai kemungkinan yang menimpa sahabat baiknya itu. Dia menekan pedal minyak agar kelajuan kereta itu boleh digandakan tetapi siapalah dia untuk melawan takdir yang sememangnya pada petang-petang begitu jalanraya di sekitar Bandar Johor Bahru selalu sesak!

“Kenapa? Bateri habis?” Kamelia ikut gelisah melihatkan gelagat Ijol.

“Bateri okey. Entah kenapa suara Zek tengelam timbul. Bila call balik tak dijawab pulak tu.”

“Iti dah nak bersalin kut.”

“Mungkin…tapi…”

“Tapi apa Ijol?” Aini pula mendesak.

“Aku tak tahu. Aku rasa lain macam. Huh!! Jalan jammed pulak.” Ijol menepuk stereng.

“Apa kau rasa?” soal Aini cemas.

“Manalah aku tahu. Rasa macam…macam…ada yang tak kena.”

Kamelia mengurut belakang Ijol bagi meredakan ketegangan yang dirasai oleh tunangnya itu. Dia pun sebenarnya rasa berdebar-debar saat ini. Dia berdoa bersungguh-sungguh di dalam hati agar kedua sahabatnya itu dilindungi oleh ALLAH dari segala macam bencana. Dia teringat beberapa malam lalu tentang mimpinya dan Baiti. Bagaimana Baiti meninggalkan pesanan agar jangan bersedih jika dia tidak dapat hadir pada hari perkahwinannya. Baiti kerap berkunjung di dalam mimpi-mimpinya mungkin kerana rindu mahu bertemunya. Tunggu Baiti. Sekejap lagi Melia sampai…Kamelia cuba meredakan hati sendiri untuk kesekian kalinya.

Setelah berjaya melepasi kesesakan lalulintas Ijol terus mengarahkan sterengnya ke Jalan Kolam Ayer sebelum sampai ke taman perumahan tempat tinggal Zek dan Baiti. Setibanya di hadapan rumah rakan baik mereka, Kamelia terus bergegas keluar diikuti oleh Aini dari belakang. Lega hati mereka apabila kereta Zek ada di parkir. Ini bermakna pasangan tersebut ada di rumah dan baik-baik sahaja. Hilang kebimbangan yang bersarang di hati masing-masing sebentar tadi.

Timbul perasaan aneh pada wajah Kamelia kerana pintu gril dibiarkan terbuka begitu. Mungkin terlupa kut! Kamelia membuat andaian.

“Assalamualaikum! Zek! Baiti!”

“Zek!”

“Baiti!”

Suara Kamelia dan Aini saling bertingkah memanggil nama pasangan suami isteri itu tetapi tiada jawapan. Kamelia menyentuh pintu sliding. Pun tidak berkunci. Debaran di dada semakin laju dan dia mula terfikir yang bukan-bukan. Dia menolak daun pintu perlahan-lahan. Memandang wajah Aini pula menanti kebenaran, kemudian mereka sama-sama masuk ke dalam rumah teres tiga bilik itu.

“Dia orang tak ada?”

Entah bila Ijol tercegat di belakang mereka menyebabkan kedua-dua gadis itu terkejut apabila diterpa soalan dari Ijol secara tiba-tiba.

“Entah! Sunyi aje.” Kamelia bernada kecewa.

“Jenguklah kat dapur. Mungkin tengah memasak…”

“Ala Ijol, takkan tak dengar suara aku dengan Melia memanggil bagai nak rak tadi…”

“Habis tu…nak tunggu ke nak balik?” Ijol melirik ke wajah Kamelia diikuti wajah Aini. Menunggu jawapan untuk tindakan seterusnya.

“Call dia semula. Mungkin kita boleh trace kalau dia ada kat rumah atau…”

Belum sempat Kamelia menghabiskan ayatnya, Ijol telah terlebih dahulu mencuit hidungnya.

“Good idea, my brilliant lady!”

“Hish!! Awak ni…serius lah sikit.”

“Saya seriuslah ni. Tak betul ke apa yang saya cakap tadi?”
Ijol masih sempat menyakat Kamelia menyebabkan gadis itu tersenyum sahaja menyambut usikannya.

“Argh…”

“Arghhhhh…”

Ketiga-tiganya saling berpandangan. Bunyi apa itu?? Ijol mendahului menuju arah datangnya suara orang mengerang diikuti pula oleh Kamelia dan Aini. Keadaan dapur berselerak di sana sini.

“Zek? Apa jadi ni? Kenapa ni? Mana Iti?”

Ijol menerpa ke arah tubuh Zek yang bersandar di hadapan peti ais dalam keadaan separuh sedar. Tangan Zek menunjukkan ke arah bilik air. Kamelia bergegas ke bilik air dan sekujur tubuh Baiti telah tertiarap di bawah paip air yang terbuka. Ada kesan darah yang banyak di atas lantai bilik air dan juga di dinding. Kamelia dan Aini berusaha mencempung tubuh itu dengan kudrat yang ada. Suara panik dan tangisan Kamelia memecah keheningan rumah teres itu. Kerana begitu trauma dan terkejut, akhirnya Kamelia tidak mampu berbuat apa-apa, sekadar terduduk melihat Aini berhempas pulas memberikan bantuan kepada Baiti, walaupun mereka sedar Baiti sudah tidak bernyawa lagi.

Kamelia hanya memandang Ijol datang membantu Aini dan mengangkat tubuh itu keluar dari bilik air yang telah dipenuhi darah. Fikirannya kosong dan terawang-awang. Pandangannya telah berbaur-baur dan semakin kelam. Hanya panggilan namanya didengar semakin sayup-sayup dan terus menghilang.


KETIKA dia membuka matanya, orang yang pertama sekali dilihat adalah Ijol. Lelaki itu melemparkan senyuman sambil meramas jari jemarinya. Dia memandang sekeliling, tiada orang lain. Hanya mereka berdua. Mengikut keadaan susunan di dalam bilik itu, dia pasti sekarang ini tubuhnya sedang terbaring di atas katil hospital.

“Baiti?”

“Syy…awak rehatlah dulu.”

“Kenapa dengan saya? Apa jadi pada saya, Ijol?”

“Awak pengsan. Doktor dah periksa, awak cuma kena serangan terkejut yang melampau…traumatic…”

Kamelia mengangkat tubuhnya untuk duduk. Dia merenung sayu wajah Ijol. Dia ingin menangis tetapi entah mengapa tangisan itu seolah-olah tersekat di dadanya. Semakin lama dibiarkan, ia semakin sakit. Di pandang lagi wajah Ijol, dia ingin bertanyakan soalan. Banyak persoalan yang berlegar dikepalanya. Ingin mencari jawapan dan kebenaran mengapa ini semua berlaku kepada teman baiknya, Baiti. Tetapi perkataan yang disusun di kepala tidak mampu terluah. Sakitnya hati Kamelia hanya TUHAN yang tahu!

“Sayang…berehatlah. Awak perlu tenangkan fikiran. Awak perlu reda. Ini semua sudah takdir namanya.” Ijol cuba memberikan semangat.

Kamelia cuba membalas kata-kata Ijol tetapi suara hatinya masih tidak mampu diluahkan. Sekali lagi dadanya terasa sakit. Memori bersama Baiti datang menerjah silih berganti. Susah dan senang mereka bersama ketika di perantauan menggamit tanpa henti. Semakin banyak kenangan dan kesusahan yang di ingat, semakin deras air matanya merembes keluar tanpa dapat di tahan lagi.

“Shh.. shh....rileks Melia. Jangan menangis sayang…I can’t bear see at you cries and cries again. Please melia. Yang dah tak ada memang tiada, kita yang hidup ni kena jaga diri kita. Makin awak tension, makin lama awak kena tahan kat sini nanti. Please Melia…” rawan hatinya melihat keadaan Kamelia yang sedang teresak-esak. Sambil itu tangannya membetulkan anak rambut Kamelia yang terjurai di dahi. Pipi mulus itu di usap dengan hujung jari.

Kalau keadaan mengizinkan dia ingin memeluk tunangnya itu dan menzahirkan kasihnya yang menggunung terhadap Kamelia. Dia akan mengesat air mata itu. Dia akan membelainya sehingga gadis itu boleh kembali tersenyum. Tetapi hukum TUHAN harus dipatuhi. Dia tahu itu. Sedangkan kedudukannya yang agak rapat dengan Kamelia pada saat dan ketika ini pun tidak dibolehkan. Tetapi dia tidah betah melihat Kamelia menanggungnya sendirian. Dia hanya mampu memujuk dengan kata-kata manis yang bisa merawat kesedihan Kamelia kerana kehilangan teman dan sahabat yang sangat disayanginya itu.

Jauh di sudut hati, Ijol juga amat berterima kasih kepada Baiti kerana ‘mencantumkan’ kembali hubungannya dengan Kamelia. Melalui gadis itulah dia berhubungan semula dengan Kamelia. Itupun setelah dia tahu Zakaria atau Zek menjalin hubungan dengan Baiti. Itu semua tersimpan kemas sebagai rahsia. Rahsia yang di bawa ke mati. Baiti…aku juga kehilangan sahabat sejati. Semoga rohmu aman di sana. AMIN…

Suara deheman yang agak kuat mengejutkan Kamelia dan Ijol yang sedang dalam kedudukan yang agak rapat. Cepat-cepat Ijol berdiri sambil menentang pandangan Aini yang seolah memerlinya. Stafnya yang seorang ini memang pantang tengok dia lebih-lebih dengan Kamelia. Belum sah! Begitu selalu Aini memberi amarannya.

“Kau dah okey?”

Aini datang memeluk Kamelia yang kelihatan masih lemah. Wajahnya pucat seperti tidak makan beberapa hari. Dia kasihan melihat Kamelia yang kehilangan sahabat dalam sekelip mata. Apa yang mampu dilakukan hanyalah memberikan kata-kata perangsang untuk meneruskan hidup sepeti biasa.

“Aku okey dah. Tapi doktor kata badan aku masih lemah lagi. Mungkin esok boleh keluar dari sini.”

Aini menoleh ke arah Ijol yang sedang berdiri menyeluk poket seluarnya. Kemeja lengan panjangnya sudah dilipat separuh. Dia pasti Ijol yang bersengkang mata menuggu Kamelia di luar bilik ketika gadis itu bermalam di atas katil hospital semalam. Baju yang dipakainya pun masih belum diganti.

“Eh! Dekat luar ada orang nak jumpa kau.”

Dahi Kamelia berkerut. Dia memandang Ijol yang kebetulan sedang merenungnya dengan lembut. Ijol mengangkat bahu tanda tidak tahu siapa gerangan orang yang ingin menemui Kamelia.

“Siapa?”

“Aku lupa. Tadi ada dia sebut nama dia. Datuk apa entah…ada tu kat luar.”

“Datuk Jeffery ke?” soal Kamelia deras.

“Ha’ah! Datuk Jeffery. Siapa dia?” Aini menyoal sambil tersengih lebar.

“Bos aku. Buat apa dia datang?” Kamelia merungut.

“Hai! Tanya pulak! Staf tersayang tak sihat, mestilah nak tengok. Betul tak Ijol?” Aini mengusik.

“No comment…” Ijol menjawab ringkas.

Kamelia menjeling Ijol yang menunjukkan muka kurang senang dengan kedatangan Datuk Jeffery. Sudah pasti Ijol berkecil hati kerana dia pernah bercerita perihal bosnya itu yang beberapa kali cuba memikatnya dengan pelbagai cara. Pernah pada satu ketika Ijol merajuk kerana dia asyik bercerita pasal bosnya yang masih muda bergaya itu. Itupun Ijol yang beriya-iya mahu kenal dengan Datuk Jeffery.

“Aini! I don’t think he should pay a visit to Melia. Mungkin lain kali dia boleh jumpa Melia. Now…the boss speaking. I said cannot! Could you please tell that old man!” suara Ijol kedengaran tegas.

Aini hanya mencebik. Masa inilah dia guna kuasa veto dia! Mentang-mentanglah terkena kat tunang tersayang. Eleh!! Aini berjalan keluar dengan muka meluat.

Kamelia terkejut mendengar Ijol bertindak mendahuluinya. Dia tidak sepatutnya berkata begitu. Dia sepatutnya mendengar pendapatnya. Yang datang melawat adalah seorang ketua, dan sepatutnya dia kena melayani kedatangannya dengan baik. Bukan membuat kata putus yang drastik begitu.

“Ijol! Mana awak boleh kata begitu. Dia bos saya, dia yang bayar gaji saya. Lagipun dia cuma datang melawat. Dari jauh dia datang semata-mata melawat kakitangannya. Salah ke?” Kamelia cuba mengawal nada suaranya. Jika dia berkeras, bimbang menganggu persekitaran hospital swasta itu.

“Awak marahkan saya kerana tak bagi dia melawat awak? Awak marah sebab tak dapat jumpa dia? Dah rindu sangat ke? Lain kali kan boleh jumpa juga!”

Kamelia hanya mengeluh mendengar tuduhan dari Ijol tadi. Dia malas berbalah dalam perkara remeh seperti itu. Nanti tak pasal-pasal perasaannya kembali tertekan. Jauh di sudut hati dia sebenarnya bangga kerana disayangi sepenuh hati oleh lelaki itu. Ijol sanggup bersengkang mata demi menjaganya malam tadi. Ijol yang bersabar dengan moodnya yang tidak menentu, Ijol juga yang sering beralah dalam setiap pertelagahan yang dibangkitkan olehnya. Dalam hati dia memuji kerana sebenarnya tunang seperti Ijol satu dalam seribu!

“Sanggup dia datang bila dengar apa yang terjadi pada awak, kan? Awak tengok betapa ambil berat dia pada awak, caring…tapi sayang…awak dah berpunya!” Ijol berbisik ke telinga Kamelia sehingga mengundang debaran didada.

“Awak jangan nak mulakan. Saya tak kata apa pun dengan keputusan yang awak buat sebentar tadi.”

“Saya hanya buat apa yang patut, Melia. Satu hari nanti awak akan tahu sebabnya.”

“Atau …awak yang jealous wahai Encik Zulhariz??”

“Saya tahu…awak tahu, Melia.” Ijol mengerling manja.

Deringan telefon bimbit Kamelia menganggu perbualan mereka berdua. Sekilas dia memandang ke skrin. Terpapar nombor yang tidak dikenali. Kamelia menjawab beberapa ketika dengan suara perlahan sebelum mematikan talian itu. Dia tidak mengendahkan renungan tajam dari Ijol yang mengharapkan dia berkongsi rahsia siapakah si pemanggil yang baru sahaja menelefon. Dia mahu tidur. Dia mahu merehatkan mindanya. Dia tidak mahu diganggu. Begitu juga nasihat doktor yang merawatnya, dia perlu banyak bertenang.

“Aik! Dapat call terus sombong dengan saya? Siapa yang call tadi?”

“Orang…”

“Ya lah. Saya tahu. Takkan animal kut. Orang itu ada nama kan? Siapa nama dia? Lelaki? Perempuan?”

“Rahsia!”

Kamelia menutup seluruh tubuhnya dengan selimut. Dia tidak mahu berbalah dengan Ijol untuk kesekian kalinya. Lelaki itu memang kuat cemburunya. Makin dilayan, semakin geram hatinya. Ada sahaja prasangka yang ditunjukkan waima sebentar tadi dia hanya berbicara dengan ibunya. Tetapi dia malas menjawab teka teki di benak Ijol. Tidak kuasa!

“Sayang…saya balik dulu. Nak mandi, tukar baju lepas tu pergi kerja. Nanti petang saya datang lagi.” Ijol sengaja berbisik di telinga Kamelia yang sedang berselubung itu.

“Bye!”

Ijol tersenym gelihati melihat telatah Kamelia yang menegurnya dari dalam selimut. Sesekali dia melihat Kamelia seperti seorang gadis yang matang dan garang dan ada ketikanya gadis itu kelihatan seperti gadis biasa yang ingin dimanjakan. Kamelia! Oh! Kamelia! You are so cute my fiancé…hati Ijol berlagu riang walau ada cemburu dan tanda tanya yang belum terjawab sebentar tadi.



IJOL TEKUN menyiapkan kerjanya. Ada banyak fail yang perlu di tandatangani dan diserahkan semula ke jabatan-jabatan tertentu. Adalia pembantunya pun ikut sibuk menyiapkan laporan bulanan jualan syarikat untuk dibentangkan di dalam mesyuarat pengurusan setiap sebulan sekali. Sekejap-sekejap dia perasan Adalia mengendapnya tetapi dia buat tidak tahu sahaja. Entah apa yang ingin disampaikan, dia pun tidak mahu tahu. Jadualnya sahaja sudahpun padat. Dia tidak mahu apa-apa komitment buat masa ini kerana masanya hanya dikhaskan buat Kamelia.

“Fail-fail ini semua awak tolong distributekan semula. Kalau ada apa-apa dokumen yang urgent, please put small note on the top of it, then I’ll know which one is important. You arrangekan cuti I next week. I nak bercuti.”

Adalia mendongak memandang wajah Ijol yang berdiri di hadapan mejanya. Wajah bos muda itu kelihatan kusut sedikit. Mungkin dia tertekan dengan kejadian yang menimpa isteri kawan baiknya.

“Berapa hari bos?”

“Mungkin tiga hari. Tapi awak letak aje lima hari. Kalau saya masuk awal, saya cancel cuti tu. Ada apa-apa lagi?”

“Aa…a…tadi ada polis telefon cari bos. Ada perkara yang ingin ditanyakan. Tapi saya cakap bos tak ada. Sebab saya tengok bos macam busy sangat.”

“Oh!! Tak mengapa. Dia orang dah call saya personally. Anything else?”

“Tak…tak ada bos.”

“Apehal awak tergagap-gagap cakap dengan saya. Ada yang tak kena?” Ijol menyoal Adalia yang masih lagi memandangnya.

“Tak ada bos. Semua okey. Takziah bos pasal berita yang saya dengar tetang kawan bos itu. Saya pun baru tahu.”

“It’s okey. Saya nak keluar nak jenguk dia di hospital. Lain-lain hal, awak tulis aje pesanan dan tinggalkan atas meja saya. Esok kalau sempat saya follow up.”

“Okey bos!”

Ijol terus menghilang di balik pintu utama bangunan pejabatnya. Dia berjalan laju kerana tidak mahu bertembung dengan bosnya yang dipanggil Datuk Walid. Minggu lepas sebelum kejadian yang menimpa Zek dan isterinya, Datuk Walid ada memintanya membentangkan pelan perancangan untuk jabatan jualan yang diketuainya. Nampaknya dia belum sempat menyiapkan bahan yang diperlukan untuk pembentangan kepada pihak pengurusan.

Apr 28, 2010

April 28, 2010

NOVEL: CINTA KAMELIA 28

Zek terus memarkir keretanya di garaj. Di tangannya penuh dengan sate dan Dragon Fruit yang dipesan oleh Baiti tadi. Sambil itu matanya mencuri pandang ke bawah pokok di seberang jalan yang bertentangan betul dengan rumah jirannya. Aik! Kereta baru lagi. Baru dua hari lepas dia perasan jirannya itu menukar kereta, hari ini dah bertukar lagi. Ah! Mungkin kerjanya ada kaitan dengan jual beli kereta, fikir Zek sambil terus masuk ke dalam rumah.

“Kaya betul jiran kita tu, Iti. Tukar kereta lagi.”

“Baguslah ada orang melayu kita yang kaya macam itu. Kalau dulu nak nampak orang kita pakai kereta besar pun susah, sekarang satu rumah pun bersepah-sepah kereta dia orang. Lagipun kerajaan kita kan tengah galakkan orang membeli kereta. Supaya industri permotoran negara berkembang dan maju…” Baiti menjawab panjang lebar.

“Cakap pun dah macam ahli ekonomi isteri abang ni, makin bijak!”

“Abang lupa ke yang saya ambil masters dalam ekonomi kat UK dulu? Tentulah saya tahu serba sedikit pasal ekonomi negara kita.” Baiti mencuit hidung suaminya.

Zek tersenyum mengekeh apabila tangan halus Baiti singgah di perutnya. Dia memang kalah kalau digeletek begitu. Tambahan pula, semenjak kebelakangan ini Baiti gemar sangat mengusiknya begitu.

“Nanti anak abang ni macam ibunya ke, kuat menyakat orang.” Giliran Zek pula mengusap perut Baiti yang semakin membesar.

“Yup! Nanti anak kita nakal tetapi bijak…macam ayahnya juga.”

“Tapi abang tak nakal pun.”

“Siapa cakap? Melia dah cerita semuanya. Bukan ke dulu abang dengan Ijol hantu kat sekolah…”

“Ala…hantu kacang aje!”

“Apa benda maknanya tu…ada-ada je abang ni.”

“Hantu yang baik hati, buat benda yang orang baik buat…”

“Ada ke hantu yang baik, buat kerja baik-baik…kelakar pula saya dengar.”

“Kita orang tak dajalkan orang…cuma Ijol itu yang suka membuli Melia. Dia ada hati kat si Melia, tapi the other way round pulak nak tackle, salah cara. Padan muka dia kena tinggal. Lama jugak dia cari Melia. Before that loss contact sebab Melia pindah Melaka. Kalau dah jodoh…ada saja jalannya.”

“Tak sangka kawan kita itu dah nak kahwin, kan.” Baiti menuang air ke dalam gelas suaminya.

“La…jadik pulak. Hari tu bukan main marah sakan si Ijol dengan perangai Melia, nak kahwin dah? Bila tu majlisnya?”

“Bulan depan kut, bang. Masa itu saya dah dekat nak bersalin, bang. Kalau tak sempat abang pergi sendirilah ya…”

“Kita pergi sama-sama. Masih sempat lagi…”

“Rasa-rasanya tak sempatlah bang.”

“Hish! Jangan fikir dulu, tiba masanya nanti baru kita bincang lagi…okey.” Zek memujuk lembut isterinya.

Baiti membalas cadangan Zek dengan mengelus lembut lengan suaminya. Memang benar apa yang diperkatakan oleh Zek tadi, tiba masanya nanti barulah mereka membuat keputusan. Namun Baiti merasakan masanya sudah suntuk untuk itu semua. Hatinya menjadi rawan tiba-tiba. Tidak tahu mengapa. Adakah semua ibu mengandung berperasaan sepertinya? Perasaannya sangat jauh kini, seolah-olah dia akan pergi dari suaminya. Dia menguatkan pelukannya ke tubuh tegap Zek. Bau harum dari tubuh suaminya itu makin menyesakkan dadanya. Air mata jernih tumpah tanpa dipaksa…

“Sayang…kenapa ni. Tadi elok aje.”

“Maafkan saya bang…”

“Hish! Kenapa ni? Tak sedap ke sate ni…”

“Saya gembira kerana abang melayani saya dengan baik, sebab itu saya sedih…saya tak sempat berbakti dengan abang…”

“Apa yang Iti buat selama kita berkahwin dah cukup buat abang, abang redakan semuanya. Dah lah tu…kata nak makan Dragon Fruit. Makanlah…abang dah beli banyak tu.”

Zek memotong ‘buah naga’ itu selepas membuang kulitnya. Warnanya yang ungu kemerahan itu amat menyegarkan. Dilihat sekilas wajah Baiti yang bersinar-sinar seolah tidak sabar mahu menelan buah yang boleh tahan mahal harganya itu.

“Pregnant lady memang sensitive…” usik Zek perlahan antara dengar atau tidak sahaja di telinga Baiti.
***
Adalia memandang sahaja gelagat Ijol dari tempat duduknya. Sejak pagi tadi dia bangun duduk hampir empat kali, tetapi bosnya itu sentiasa sibuk. Samada panggilan masuk ataupun dia yang membuat panggilan, yang pasti dia belum berkesempatan menghadap bosnya yang kelihatan ceria akhir-akhir ini. Beberapa minggu lalu bukan main serabai, macam laki kematian bini, tetapi sejak dua tiga hari kebelakangan, bukan main sihat dan ceria penampilannya. Takkan secepat itu hatinya diubati. Fikir Adalia sendirian. Uh! Mana boleh jadi macam ini!

“Encik Hariz! Nak pergi mana tu?”

Ijol berhenti melangkah. Dia menapak ke meja Adalia sambil membetulkan ikatan tali lehernya.

“Ada meeting. Awak tak tahu ke?”

“Ohh!...Saya ingat nak pergi mana tadi.”

“Terlanjur awak dah tanya, saya nak bagitahu. Habis meeting saya tak balik office, ada appointment kat luar. Nanti awak tolong offkan computer dan lampu bilik saya, ok.”

“Tapi dalam diari saya tak tulis pun Encik Hariz ada appointment hari ini.”

“Yang ini ‘off’ record. Okey.”

“Ohh…” Adalia hanya terlopong melihat Ijol berlalu. Bibirnya kelu untuk membuka mulut perihal sepupu yang ingin dikenalkan kepada Ijol. Akhirnya dia terduduk dengan muncung panjang sedepa. Melepas lagi!

Adalia mendail nombor Ain Zahidah. Baginya Ijol tidak boleh dilepaskan begitu sahaja sementelah bosnya yang muda itu masih solo. Setakat yang dia tahu lelaki itu hanya berkawan baik dengan Aini dan wanita misteri yang gambarnya banyak tersimpan di dalam lacinya. Walaupun ada terdetik di hati Adalia bahawa wanita misteri itu mempunyai satu ikatan yang unik dengan Ijol, tetapi selagi tiada bukti sahih, dia percaya sepupunya masih punya peluang.

“Tak sempat lagi la…’

“Mana aku tahu!”

“Okey! Okey! Aku tahulah apa aku nak buat.” Adalia meletakkan telefon dengan garang. Menyesal pula dia berjanji dengan sepupunya yang juga seorang model sambilan itu. Kini dia terhutang janji dengan gadis itu. Hish! Ingat ikhlas nak tolong orang, kini dah jadi terpaksa pula! Bebel Adalia seorang diri.

“Oii Mak Cik…marahkan siapa? Berdetap detup aku dengar gigi kau berlaga. Marahkan kat suami kau, ke?”

Adalia mendongak. Pandangan matanya bertemu dengan renungan tajam milik Aini Syarifah. Eksekutif muda itu menunggu butiran perkataan keluar dari mulut Adalia. Adalia sebaliknya tertekan samada perlu berterus terang dengan Aini atau sebaliknya. Lagipun rancangan yang diciptanya adalah rahsia, bukan untuk dikongsi dengan sesiapa. Tambahan Aini rapat dengan Ijol. Dia takut nanti Ijol menuduhnya perempuan pencari jodoh, yang pasti ia bukan sesuatu yang bagus untuk graf kerjayanya di syarikat pembinaan terkenal itu.

“T..tak aa…da apa-apa Aini. Aku marahkan diri aku, kerja sikit pun lambat nak siap.” Adalia berbohong.

“Tahu pun kau. Itulah aku pesan, waktu kerja jangan banyak berangan.”

“Ya Cik Aini. Aku tahu.”

“Apa yang kau tahu?” soal Aini sengaja mengusik Adalia yang sudah memerah wajahnya.

“Aku tahulah aku ni PA Ijol tu aje, tapi kau janganlah nak pandang rendah kat aku pulak.”

“Ke situ pulak. Itulah, bila aku cakap kau kuat berangan, kau marah. Tapi terang-terang kau memang suka berangan, kuat perasan. Aku tak ada pun marahkan kau. Cuma aku rasa kau perlu lebih cekap dan banyak belajar.”

“Otak aku dah tak jalan lah bila tiba bab-bab belajar ni. Malas aku…”

“Eii Cik Ada…belajar tidak semestinya kena pergi kelas secara formal, menghadap lecturer dan sebagainya…cukup kalau kau pandai rancang masa dan jadual bos kau. Kau tentukan masa bila mesyuarat dengan kakitangan jualan, meeting dia dengan pengarah, bila masa dia kena tandatangan semua dokumen-dokumen yang berlambak kat meja dia itu. Kau tahu tak, dah berapa lama dokumen perjanjian jual beli rumah terperuk di dalam bilik dia?”

“Tahu Cik Aini.”

“Dah tu…kau tak buat apa-apa untuk ingatkan dia? Budak jabatan jualan dan Kredit dah bising kat aku tau. Itu yang kau kena take note! Understand!” Aini mengeraskan suaranya. Biar Adalia rasa takut sedikit digertak begitu.

Sambil berlalu Aini tersengih-sengih sendirian. Walaupun dia berkawan baik dengan Adalia terutamanya teman sewaktu makan tengahari, tetapi bila tiba bab kerja dia tidak boleh berkompromi. Itulah prinsipnya walau ada sesetengah kakitangan bawahannya mengatakan dia ‘mak tiri garang’.

***

“Kau ada kat JB? Sekarang kat mana ni?”

“Aku kat Pan Pacific Hotel.”

“Turun dengan siapa. Sorang?”

“Yup! Aku ada ‘appointment’ dengan sidia.”

“Oh! Patutlah aku tengok dia bukan main segak lagi hari ini. PA dia kata lepas meeting nanti dia terus tak balik office. Dia dah sampai ke belum?”

“Belum lagi. Tengah boring ni…kau sibuk ke? Eh! Tadi kau cakap apa? PA dia? Kau kenal ke?”

“A…aku tersalah cakap tadi. PA bos aku tu…salah sampaikan pesanan.”

“Dah lama tak jumpa kau…datanglah.”

“Tengoklah nanti. Kerja siap cepat, aku pergi jumpa kau.”

“Ok. Bye.”

Aini mematikan telefonnya. Senyuman melingkari wajah setelah mendapat panggilan dari rakan karibnya sebentar tadi. Nyaris tadi dia terpecahkan rahsia Ijol. Dia pun pelik dengan perangai Ijol yang menyuruhnya berahsia tentang kerjaya mereka yang sama dan sepejabat. Apa rancangan Ijol sebenarnya pun dia tidak tahu…

Aini terus bersemangat menyiapkan kerjanya dan lima belas minit kemudian, kereta Aini sudah menuju ke pusat bandar. Sempat juga dia membelikan dua bungkus cendol untuk teman yang hampir setengah tahun tidak ditemuinya itu.

***

Ijol memandu laju ke pusat bandar setelah tamat bermesyuarat dengan pengarah syarikat dan ketua jabatan sebentar tadi. Hampir 3 jam juga mesyuarat bulanan itu berlangsung sehinggakan dia berasakan punggungnya berkematu duduk di atas kerusi tadi.

“Saya mahu bahagian jualan meningkatkan prestasi jualan yang menurun sejak dua bulan ini. Tambahkan promosi dan buat ‘soft launch’ untuk rumah yang sudah lama terbiar. Saya tidak mahu projek perumahan kita ketinggalan daripada pesaing-pesaing kita. Encik Hariz…ada apa-apa cadangan?”

“Ya Datuk?”

“Any fresh idea you want to suggest to? You kan orang muda, should have brilliant ideas to come up to double up our sales.”

Ijol termangu. Badannya sahaja berada di dalam bilik mesyuarat yang sejuk itu, tetapi fikirannya sedang berangankan si buah hati yang mungkin sedang menunggunya di bilik hotel. Datuk hanya menggelengkan kepala melihat tingkah Ijol yang tidak seperti kebiasaannya.

“Saya sedang plan, Datuk.”

“Show to me next week. We will discuss what you have in your mind.”

“Okey Datuk.”

Dikerling kepada John Wee dan Badri dari jabatan arkitek yang duduk bersetentang dengannya. Kedua-dua makhluk Allah itu sedang mentertawakannya. Siap kau nanti! Macamlah korang tak pernah kena ‘sound!’. Gumamnya lagi dengan hati yang berbuku.

Bunyi hon yang kuat mengejutkan khayalan Ijol. Cepat-cepat dia menekan minyak meneruskan pemanduan sambil mengangkat tangan memina maaf kepada pemandu kereta di belakangnya. Sesekali mata Ijol terarah kepada jam di dashboard. Jika sempat sampai di bilik penginapan Kamelia, dia ingat mahu menumpang solat Asar sebentar sebelum mereka keluar memenuhi temujanji yang telah dirancang seminggu lalu.

Ijol terus menuju ke pintu lif untuk naik ke bilik Kamelia di tingkat lima belas seperti yang diberikan oleh gadis itu lewat SMSnya tengahari tadi. Dia tidak mengendahkan renungan sepasang mata lelaki yang sedang duduk di satu kerusi di ruang legar hotel lima bintang itu. Dia perlu bergegas sebelum waktu Asar tamat dan Maghrib menjemput tiba.

“Assalamualaikum.”

Kamelia sudah tercegat di pintu biliknya ketika Ijol memberi salam.

“Waalaikumussalam…kita keluar terus. Saya dah siap ni. Lagipun…”

Ijol tidak menyambut huluran tangan Kamelia yang mahu menyalaminya seperti selalu setiap kali mereka bertemu. Hati Kamelia diserang ragu tiba-tiba.

“Maaf sayang…saya tengah ada wuduk. Saya nak tumpang solat sekejap.”

Kamelia tersenyum mengerti. Sebentar tadi terkejut juga dia mengapa kelakuan Ijol terburu-buru dan nampak aneh.

Kamelia membetulkan ikatan kain tudungnya yang terikat rapi itu. Walau sekadar diikat ringkas, dia mahu kelihatan kemas dan cantik. Blaus pink dan seluar jean longgar yang menghiasi susuk tinggi lampainya memang menyerlahkan lagi kejelitaannya. Dia mengemaskan hujung katil sebelum mengambil ‘handbeg’ yang diletakkan di atas meja kecil di sudut bilik.

Bunyi loceng yang ditekan dari luar mengejutkan Kamelia yang memang mahu membuka pintu biliknya itu. Apabila ketukan pula kedengaran, dia perlahan-lahan membukakan pintu itu separuh. Selepas memperkenalkan diri, Kamelia membenarkan empat orang lelaki yang berpakaian kemas dan bersongkok itu masuk. Dua orang lelaki berpakaian seragam seperti pengawal yang mengiringi mereka juga ikut membontoti empat yang lain.

“Kenapa ni Encik?” dalam kehairanan Kamelia terus menyoal salah seorang lelaki yang memakai kopiah.

“Kami mendapat laporan ada kegiatan maksiat di bilik ini.”

“Tetapi kami tak buat apa-apa pun. Kawan saya tumpang solat sekejap. Lagipun kami dah nak keluar dah ni…” Kamelia menjawab dengan nada cemas.

Ijol yang selesai menunaikan solatnya segera mendekati Kamelia. Solatnya tadi pun sedikit terganggu dengan bunyi loceng dan kecoh yang berlaku di depan pintu.

“Ada apa ni?” dadanya berdegup kencang tatkala soalan itu diajukan secara rambang kepada orang-orang lelaki yang memenuhi bilik kecil itu. Apakah kali ini dia benar-benar tertangkap khalwat berbanding kejadian yang menimpanya beberapa bulan dulu? Tiba-tiba wajah sugul Kamelia menimbulkan rasa bersalah di hatinya.

“Tahukah awak berdua-duaan begini mengundang maksiat walaupun niatnya baik. Lagipun kami tidak ada bukti yang mengatakan kamu tidak berbuat apa-apa. Kami hanya menjalankan tugas setelah mendapat laporan.”

“Kami memang nak keluar. Kalau Encik tak percaya saya ada saksi di bawah tadi yang nampak saya baru sahaja sampai.”

“Kami dah muak dengan alasan pesalah bila tertangkap. Bukti konon! Apa nak dibuktikan lagi, dah terang-terang kamu berdua di dalam bilik ini. Dah salah…mengaku sajalah!” cebik seorang pengawal yang ada di situ, yang berbadan sedikit gempal.

Ijol menyinsing lengan baju kemejanya separas siku. Dia gagal menjaga maruah Kamelia yang sepatutnya dilindungi. Menyesal pula tadi dia tidak singgah bersolat di mana-mana masjid yang dijumpai sewaktu perjalanan ke hotel tersebut. Dia mengerling wajah Kamelia untuk kesekian kalinya. Namun gadis itu kelihatan tenang sedikit.

Bunyi pintu bilik air dibuka membuatkan semua mata terarah ke tempat yang sama. Terjengul wajah wanita dengan muka kehairanan memandang kejadian di depan matanya.

“Kamu siapa?”

“Saya kawan dia.”

Jarinya di suakan ke arah Kamelia. Kamelia melepaskan nafas lega. Tetapi, bukankah tadi gadis itu kata mahu menunggu di lobi? Pelik pulak…

***

“Memang aku nak keluar tadi tapi tetiba perut aku sakit. Aku patah balik la…”

“Aku tak perasan pun kau masuk balik.”

“Aku kan macam lipas kudung…pantas dan cekap.”

Ijol dan Kamelia ketawa serentak mendengar jawapan dari Aini.

“Bila kau sampai? Aku tak nampak pun kau keluar dari pejabat.”

“Kau tengah meeting. Aku keluar awal. Sempat tidur lagi masa tunggu kau tadi.”

“Kau ni memang liciklah, Aini.”

Ijol memuji tindakan Aini yang ‘tidak disengajakan’ tadi yang telah menyelamatkan mereka. Kalau tidak, pasti berganda kemarahan ibu bapanya terhadap kelalaian diri sendiri yang berulang kembali. Alhamdulillah…Ijol mengucap syukur dalam diam.

Kamelia merenungi wajah Aini dan Ijol silih berganti. Meeting…macam mana Aini tahu apa yang dilakukan oleh Ijol di pejabatnya? Sudahlah semasa bercakap di telefon tadi pun dia tersasul. Apa sebenarnya yang sedang berlaku? Dia merenungi lama wajah Aini, kemudian kepada Ijol yang sedang memandangnya dengan matanya yang sentiasa memukau itu.Takkan mereka ….

Melihatkan tingkah laku Kamelia yang tiba-tiba berubah, Ijol dan Aini saling berpandangan. Salahkah perbualan mereka tadi. Dimana silapnya yang boleh menyakitkan hati Kamelia. Atau cemburukah dia? Tidak mungkin!

Oops! Barulah Aini sedar mengapa Kamelia tiba-tiba membatu. Tembelang dah pecah…

“Kau jangan marah aku, Melia. Itu semua rancangan Ijol. Aku tak terlibat.”

“Kenapa nak sorokkan dari aku. Korang takut ke aku jealous. Apa yang korang sembunyikan lagi dari aku, hah?!”

“Mel…dengar cakap saya dulu. Aini memang satu ofis dengan saya. Sejak dari awal lagi. Ada banyak sebab saya rahsiakan ini semua dari awak. Saya takut awak syak Aini yang tolong rapatkan hubungan kita. Saya takut awak menuduh saya tidak ikhlas, tidak berusaha. Hanya harapkan orang sekeliling saya…saya tak nak awak memandang rendah usaha saya, Mel. Usaha saya untuk memikat awak semula. Saya takut langkah saya sia-sia, separuh jalan. Awak pun tahu ego saya, kan…saya tak mahu dipandang rendah oleh orang yang saya sayang, Melia.”

Entah bila tangan Ijol mendarat di tangannya, Kamelia tidak perasan. Tangan itu terasa hangat mengalirkan seribu satu semangat ke dalam dirinya. Dadanya yang berdebar menahan marah bercampur geram bertukar tenang dan damai. Harapan dari sinar mata Ijol mencairkan kekerasan hatinya yang memuncak sebentar tadi.

“Maafkan saya kalau awak terasa, Mel. Bukan niat kami nak mempermainkan awak…” Ijol menghela nafas dalam-dalam.

Kamelia tersenyum memandang Aini dan Ijol silih berganti. “Okey, saya maafkan. Tetapi please…don’t repeat it again.”

Tanpa sedar Ijol mengucup tangan tunangnya kerana terlalu gembira. Dalam saat-saat berdarah manis ini, dia tidak mahu timbul masalah dengan Kamelia. Kalau diizinkan, dia mahu memiliki gadis itu tanpa sebarang rintangan.

“Oii Ijol…tak malu ke? Orang tengok lah.” Jeritan kecil Aini menyedarkan pasangan kekasih yang sedang di lamun cinta itu.

Cepat-cepat dia melepaskan pegangannya terhadap Kamelia. Kamelia pula tersengih-sengih malu ditegur Aini begitu.

“Aku rasa korang nikah cepat-cepat lagi bagus. Bahaya kalau macam ini selalu.” Aini menitipkan pesanan ikhlas.

Wajah Ijol dan Kamelia berbunga bahagia tika Aini mengusik mereka begitu.

“Terima kasih Aini. Kalau Tuhan tak gerakkan kau datang, mungkin sekarang ini aku dengan Ijol dan di bawa ke pejabat agama. Kami tak buat apa pun dia orang tak percaya. Takkanlah kami nak buat perkara tak senonoh macam itu…” bebel Kamelia kurang senang.

“Sorang lelaki, yang seorang lagi perempuan. Yang tengah-tengah itu syaitan. Kau lupa ke? Lagipun itu tanggungjawab mereka untuk mencegah maksiat. Kat bandar JB ini dah terlalu banyak masalah seks bebas. Itulah sebabnya siang buta pun dia orang buat operasi.” Balas Aini sambil menghirup ‘fresh orange’nya.

“Itu aku tak kisahlah…yang aku geram dengan pak cik guard tadi. Cakap tak ada bahasa betul…dah lah aku tengah blur. Aku kesian dengan Kamelia. Macam aku dah pernah kena sebelum ini, aku lebih bersedia.”

“Tapi yang ini kalau tertangkap betul-betul tadi kau sukalah Ijol. Boleh kahwin ekspress.” Ejek Aini kepada bosnya itu.

“Mestilah!” sampuk Ijol dengan ketawa besar.

Kamelia tidak menunggu lama untuk memukul lengan Ijol dengan sekuat hati. Dia geram dengan perangai Ijol yang suka mengusiknya.

“Tak betul ke kata saya. Ikut cara rasmi lambat sangat…awak asyik jual mahal.”

“Ijol!!”

Aini dan Ijol galak mentertawakan Kamelia yang merah padam mukanya.

“Aku harap korang cukup-cukuplah gaduh macam budak-budak. Korang dah nak kahwin…aku takut nanti malam pertama periuk belanga berterbangan, lain pulak ceritanya.”

“Aku okey Aini. Sayang aku ni aje yang degil. Cuba kau nasihatkan dia…aku nasihat macam tak jalan aje. Degil…”

“Aku bukan tak nak dengar nasihat dia, Aini. Ijol ni suka buli orang dulu baru nasihat. Mana aku nak tahan dengan perangai dia.”

“Sudah-sudahlah perangai suka membuli kau tu, Ijol. Wanita adalah untuk disayangi, diangkat maruahnya dan dibelai. Bukan untuk dibuli atau dikasari.”

“Aku buli sayang je…bukan betul-betul pun. Kau kan kenal aku, Aini. Aku kan pencinta wanita!” Meledak tawa Ijol setelah membuat kenyataan ‘masuk bakul angkat sendiri’ sebentar tadi.

“Lepas makan ni kita singgah rumah Zek kejap, nak?”

“Okey…no problem.” Kamelia dan Aini membalas serentak.

“Kau temankan Melia malam ini, Aini. Aku tak percaya dia sorang-sorang kat bilik hotel tu.”

“Takut tunang tersayang kena culik ke?”

“Siapa nak culik perempuan garang macam dia ni, Aini.” Ijol mengusik sambil menjeling Kamelia yang duduk di sebelahnya.

Kamelia mencubit lengan Ijol untuk kesekian kalinya. Lelaki itu mengadui kesakitan sambil mereka beriringan ke kereta Mitsubishi putih milik Ijol. Aini ketawa mengekeh melihatkan kemesraan rakan baiknya itu.

Nov 26, 2009

November 26, 2009

NOVEL: CINTA KAMELIA 27

Kamelia bergegas pulang ke rumah abang Imrannya sebaik habis waktu kerja. Suara abangnya itu kedengaran serius, tidak berlembut seperti selalu. Apa yang tak kena agaknya? Sepanjang memandu fikirannya menerawang sehingga kadangkala terleka ketika di persimpangan lampu isyarat.

“Ada apa, bang?”

“Balik aje, lagipun Mel dah lama tak datang sini, kan?”

“Kak Imah sakit ke?”

“Kak Imah kau sihat aje, yang penting abang nak Mel balik malam ini. Abang tunggu. Semua appointment kau, makan malam ke apa…tolong cancelled! Ini antara hidup dengan mati!” suara abangnya semakin mencemaskan.

Bunyi hon bertalu-talu menyedarkan Kamelia. Kenderaan di belakang telah berbaris panjang. Dengan segera dia menekan minyak menuju ke taman perumahan di mana abangnya tinggal.

Sebaik tiba di hadapan rumah teres itu, terdapat sebuah kereta berwarna putih di parkir bersebelahan dengan kereta abangnya. Inikah masalahnya? Beli kereta baru pun siap nak ugut aku. Konon antara hidup dengan mati! Kamelia segera mengunci keretanya dan tersenyum gembira melihat kereta baru abangnya. Tetapi tiba-tiba dadanya rasa berdebar-debar, kereta putih itu macam kereta…

“Hai, dah balik pun. Cepat pulak sampai. Kamu pandu laju ke?” usik kak Imah yang secara kebetulan mahu membuka pintu. Di tangannya terdapat satu bungkusan plastik sampah.

Dari luar dia terdengar suara orang ketawa-ketawa. Sekali lagi dadanya bergetar. Itu macam suara Ijol. Buat apa kat sini. Apa yang dia mahu. Apa pula yang dia canangkan kepada kakak dan abangnya. Digagahkan kakinya untuk melangkah masuk.

“Assalamualaikum…”

“Waalaikumussalam…” dua suara menjawab serentak. Kedua-duanya pun menoleh ke arah Kamelia.

Tangan Kamelia mula berasa seram sejuk. Dia menyalami abangnya tanpa menghiraukan renungan tajam dari sang lelaki tunangannya. Dia teragak-agak ketika mahu berpaling dari situ.

“Dah tak ingat dengan tunang sendiri? Apalagi…salamlah.”

Dia menyalami tangan Ijol dengan terpaksa. Serba tidak kena jadinya sewaktu jemarinya di usap lembut oleh lelaki itu. Dia segera menarik tangannya dari terus dicengkam oleh Ijol. Muka tak malu betul, depan abang aku pun boleh buat hal. Jelingan tajam Kamelia agar Ijol memahaminya, umpama mencurah air ke daun keladi. Lelaki itu berlagak selamba bagai tiada rasa bersalah sekelumit pun. Debaran di dalam dada semakin laju tatkala dia perasan Ijol masih merenunginya dengan pandangan yang menusuk kalbu. Pecah segala kebencian yang terkumpul selama ini, hilang melayang rasa geramnya yang tumbuh ketika mendapat khabar dia di tangkap khalwat dahulu. Mengapa mesti masih ada rasa kasih yang mendalam untuk lelaki itu, Ya ALLAH. Aku tidak betah menentang pandangannya itu…

“Nak ke mana?”

“Masuk bilik dulu, bang.”

“Macam tak suka aje orang jauh datang…”

Kamelia tidak menjawab usikan abangnya. “Mel mandi dulu.”

Abang Imran hanya menggeleng melihatkan kedegilan adiknya. Kamelia tidak menunggu lama untuk melarikan diri dari situasi panas itu. Ijol pula mengawal senyumnya dari dilihat oleh bakal abang iparnya.

“Dia memang macam itu, degilnya lebih banyak dari patuhnya. Cakap dia aje yang betul. Kamu nanti kena lebih tegas bila dah kahwin. Jangan bagi dia muka.”

“Amboi bang, adik sendiri pun nak dibuli. Kesian budak tu. Jangan percaya semua cakap abang Imran kamu, Ijol. Melia tak semuanya buruk.”

Imran ketawa mendengar isterinya memihak kepada Kamelia. Biasalah, perempuan mestilah memenangkan pihak perempuan. Begitulah adat dunia.

Sementara itu di dalam kamarnya, Kamelia sengaja berkurung lama-lama. Dia tidak kuasa untuk meladeni segala pertanyaan dari Ijol nanti. Biarlah Ijol berborak-borak dahulu dengan abangnya.

Lama kelamaan rasa serba salah menyelubungi diri Kamelia. Tidak sampai hati pula membiarkan Ijol menanti di luar. Lagi pula, abangnya tentu ada kerja lain yang perlu dilaksanakan. Dia mengenakan blaus berlengan panjang warna merah hati dan berskirt labuh untuk berhadapan dengan Ijol. Hanya baju itu yang tinggal dan dirasakan sesuai sekiranya Ijol mempelawa makan di luar. Baju yang lain telah dibawa bersama sewaktu dia berpindah keluar dari rumah abangnya itu.

Beep! Beep!

Bunyi SMS masuk. Kamelia mencapai telefonnya lalu membaca mesej yang tertera.

‘Kita keluar. Ada hal yang perlu dibincangkan.’
Kamelia telah mengagak yang Ijol akan mengajaknya keluar. Dia memandang wajahnya di cermin buat kali terakhir.

“Dah siap.” Entah soalan atau penyataan, Kamelia tidak pasti.

“Bolehlah. Kita nak ke mana?” soal Kamelia menahan getar didada saat matanya berpapasan dengan mata Ijol.

Belum sempat Ijol menjawab, abang Imrannya telah muncul di pintu tengah yang memisahkan dapur dan ruang tamu.

“Nak ke mana pulak ni. Bukan makan kat rumah ke. Kakak kamu dah masak. Makanlah dulu.”

“Saya ada hal nak dibincangkan dengan Melia, bang.”

“Hal apa sampai tak boleh tunggu. Kamu buat perangai ke, Melia?” abang Imran datang menghampiri.

“Mana ada. Melia dah dewasa kalau nak buat perangai, bang. Mungkin orang tu yang buat perangai.”

Ijol hanya mendiamkan diri. Dia mahu melakukan perbincangan tersebut dengan fikiran terbuka. Dia tidak mahu memulakan, takut nanti apa yang diharapkan tidak menjadi.

“Lain macam bunyi kamu, Mel. Kalau pasal kes itu pun kamu masih berdendam, abang harap kamu berfikir dua kali sebelum bertindak. Fikir banyak kali sebelum cakap. Kamu tahu tak, kata-kata kamu boleh mengguris hati tunang kamu.”

Imran cuba menahan marah dengan perangai Kamelia. Tidak tahu diuntung langsung. Sepatutnya Kamelia bersyukur dikurniakan seorang tunang yang sabar dan menyaynginya sepenuh hati.

“Dah lah abang Imran. Saya tak kisah. Saya tahu Melia masih tidak dapat menerima kenyataan. Tapi, saya sedia bagi dia masa.”

Ijol bangun dengan kedua belah tangan di poket. Kamelia perasan wajah Ijol telah ditumbuhi jambang halus. Kerutan di dahi kadang-kadang menampakkan wajahnya yang bermasalah. Dia mahu segera keluar, menyelesaikan masalah mereka dan tidur dengan tenang selepas ini. Dia ingin segera mendengar hal yang ingin diperkatakan oleh Ijol. Dia tidak mahu mendengar abangnya membebel lagi.

“Kami minta diri dulu, bang. Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam. Kamu balik sini malam ni, Melia?”

“Tak tahu lagi, kak. Esok saya ada mesyuarat. Takut terlambat pulak.”

Kamelia menyalami tangan kakak dan abangnya sebelum keluar menuju ke keretanya yang diparkir di luar. Sekilas dia menjeling ke arah Ijol dan tanpa dirancang mata mereka bertentangan. Kamelia tidak tahu mengapa setiap kali mereka bertatapan, getaran di dada semakin laju. Adakah aku terlalu merinduinya? Akhirnya dia hanya mampu menggeleng kerana tidak pasti dengan perasaan sendiri.

***

“Awak nampak cute.”

“Cute untuk budak kecil, saya dah dewasa. Frasa itu tak sesuai.”

“Atau, you look chubby. Macam tak sakit rindu pun.”

Kamelia tidak suka Ijol mengusiknya begitu.

“Chubby tu tembam. Am I look fat? Rasa macam biasa je.”

Ijol tersenyum dicelahi tawa kecil. Kamelia mungkin berasa tidak selesa apabila dia menggelarnya chubby. Makin lama muka gadis itu bertukar merah, semakin bercahaya wajahnya kelihatan. Rasa cintanya bertambah-tambah. Takkan aku nak putuskan ikatan ini sedangkan api cintaku padanya selama bertahun ini tidak pernah mahu padam? Ya ALLAH…apakah jalan yang terbaik buat kami?

“Ijol…”

“Hah?!”

“Berangan? Ingat siapa?” soalan Kamelia bernada cemburu.

“Ohh! Perasan pun yang saya ni sedang berangan. Saya berangan tengah duduk atas pelamin dengan si Chubby.” Meledak tawa Ijol selesai dia mengucapkan bicaranya.

“Awak ni! Panggil saya macam tu lagi, saya balik.” Ugut Kamelia.

“Rilekslah Mel, kuat merajuk tak bagus untuk muka. Nanti cepat tua. Bila awak dah tua, siapa yang susah. Saya jugak, terpaksa pimpin awak ke sana ke mari. Lagipun, bermuka masam boleh menimbulkan salah faham kepada orang lain. Merajuk pun kawan syaitan. Hati jadi panas, lalu timbul pertengkaran.” Ijol mengeluarkan pendapatnya seolah sedang berceramah. Wajahnya penuh karisma.

“Siapa yang mulakan? Siapa yang sakitkan hati ini. Itu bukan satu dosa?”

“Saya nak test awak aje. Test tahap kesabaran awak.”

“Ya lah tu!” Kamelia sudah tidak kuasa mahu melayan kerenah Ijol.

“Nah. Hadiah untuk perasaan awak.”

Ijol menarik keluar sekeping sampul surat berwarna putih. Kamelia memandangnya dengan mata terkebil-kebil. Dia memandang tepat ke wajah Ijol, mengharap jawapan kepada makna surat yang diserahkan itu.

“Take a look first. I hope you will understand me more.”

Kamelia membuka surat itu berhati-hati. Dia membaca satu persatu ayat di dalam kertas putih itu. Selesai membaca dia meletakkan surat itu di atas meja. Perasaannya? Entahlah…tetapi itu kan bukti yang membebaskan Ijol dari sebarang kes khalwat lagi. Bukankah itu yang dimahukan. Bukankah itu yang boleh membuatkan lena tidurnya?

***

Kamelia merebahkan tubuhnya ke atas tilam. Rasa bersalah yang menyerang semenjak pertemuannya dengan Ijol sebentar tadi sukar diungkap dengan kata-kata. Surat dari jabatan agama telah menarik kembali tuduhan khalwat ke atas Ijol kerana pasangannya telah membuat pengakuan. Bahawa dia memang sengaja menjebak sepupunya itu. Dia tidak mahu Ijol berkahwin dengan Kamelia. Itulah pengakuan berani yang didengar oleh telinga Ijol sendiri dari adik sepupunya itu.

Namun Ijol dan Zureen masih diberikan kaunseling agar perkara seperti itu tidak berulang kembali.

Kamelia menghela nafas dalam-dalam. Setelah berbulan dipinggirkan, lelaki itu masih sudi lagi menyiram kasih padanya. Bersabar melayani rentak ‘mood’nya dan menjadi pendengar yang setia. Tidak cukupkah ciri-ciri yang ada pada Ijol itu untuk dijadikan teman sepanjang hidup di dunia dan Insya’Allah hingga ke syurga. Dia memikirkan semula permintaan Ijol tadi.

“Saya nak mintak satu perkara aje dengan awak, Mel.”

“Apa dia?” soal Kamelia lembut. Hatinya diserang rasa bersalah yang amat dalam. Rasa itu membuatkan dirinya terasa kerdil di hadapan Ijol.

“Awak pindah kerja kat JB.”

“Kenapa?”

“Apabila berjauhan begini macam-macam yang terjadi. Segala perbuatan kita asyik menimbulkan prasangka. I’ve been suspicious over you. Always...” luah Ijol tanpa segan silu. Memang dia sentiasa memikirkan yang bukan-bukan terhadap tunangnya itu. Sementelah gadis cantik seperti Kamelia, yang tinggal bersendirian di bandaraya Kuala Lumpur. Bila-bila masa hatinya boleh berubah dan terpengaruh oleh kemewahan duniawi.

“Emak saya tak kisah pun!” Kamelia menjuihkan bibir.

“Itu emak awak. Yang ini saya. Orang yang berlainan tentulah perasaannya berlainan.”

“Kenapa tak katakana saja yang awak takut kehilangan saya.” Kamelia meneka.

“Bukan macam itu.”

“Mengaku sajalah wahai Encik Zulhariz. Yang awak tu tak boleh hidup kalau tak tengok muka saya…he…heh…” Kamelia berasa megah.

“Don’t be too confident. But yeah, some of the reason is there.” Akui Ijol jujur.

“There…I told you!” meledak ketawa mereka tatkala habis bertingkah.

“Awak makin nakal sekarang. Kerjalah kat JB, okey?” pujuk Ijol untuk kesekian kalinya.

“Boleh dipertimbangkan.”

“Yang tak boleh?”

“Tak boleh, apa?” Kamelia tidak faham soalan dari Ijol itu.

“Yang tak boleh dipertimbangkan tu, apa? Contohnya?” soal Ijol lagi.

“Macam…kena paksa kahwin ke?”

“Hah! Pandai awak. Itu baru saya nak cakap tadi.”

Kamelia termalu sendiri. Dia tidak menyangka apa yang berlegar difikirannya sama dengan apa yang Ijol sedang fikirkan.

“Kira dah sampai serulah ni. Apa kata cuti sekolah nanti kita buat majils.”

“Eii gatal! Kursus tak pergi dah ajak kahwin.”

“Kita kahwin dulu kemudian pergi kursus. Okey what!”

“Boleh. Kahwin lari.” Kamelia menambah sambil ketawa.

“Awak tahu tak apa yang sedang saya fikirkan?” Tanya Ijol tidak lama kemudian. Nasi goreng ‘USA’ berbaki sedikit lagi.

“Saya tak sangka pertemuan kali ini berjalan lancar. Saya ingat awak akan marah-marah, tak nak dengar penjelasan saya dan kemudian tinggalkan saya terkontang kanting macam lima bulan dulu…”

“Hah?!”

“Yang awak lari dari rumah Baiti. Tak ingat?”

***

“Dah lama Iti tak jumpa Melia, bang. Call kat ofis dia selalu sibuk aje. Agak-agaknya berjaya tak Ijol pujuk dia?”

“Kita doakan yang terbaik untuk mereka, Iti. Dia orang berdua kawan abang dari sekolah menengah lagi. Gaduh, bercakaran, kemudian baik semula…dah biasa. Macam sekaranglah ni. Sana merajuk, sini tak senang duduk. Ada ke patut si Ijol kata nak putus.”

“Sampai macam tu sekali? Tak ada jalan lain lagi?”

“Awak pun kenal dengan Melia, kan? Degilnya sama macam awak.” Usik Zek kepada isterinya.

“Itu dulu. Sekarang Iti dah jadi isteri mithali. Yang dalam perut ni sebagai buktinya.”

Zek memandang Baiti penuh kasih. Semakin hari dia merasakan isterinya itu terlebih manja, kadangkala tidurpun minta di tepuk dahulu. Macam budak-budak! Biasalah, pembawakan wanita mengandung…bisiknya perlahan kepada diri sendiri. Yang membahagiakan, dia kini membilang hari untuk menunggu kelahiran anak sulungnya itu. Kemudian sempurnalah dirinya sebagai seoang lelaki sejati.

“Abang…”

“Abang!”

Khayalan Zek tergugah dengan teguran lembut isterinya.

“Nak letak nama apa anak kita nanti?”

“Ikut Iti lah, abang tak kisah.”

“Abang bagi cadangan, kalau okey Iti ikut.”

“Abang suka nama Haqim. Sedap…maknanya pun bagus.”

“Erm…okey jugak. Iti pulak suka Hazirah. Nurin Hazirah….bagus tak nama itu?”

“Tapi anak kita kan perempuan, so…letak ikut nama yang Iti pilihlah.”

“Itu kata doktor. Doktor bukan TUHAN. Tapi Iti rasa anak kita lelaki. Macam terasa-rasa yang Iti bawa ke sana sini dekat lapan bulan ni bayi lelaki. Ibunya kan dapat rasa, ada instinct orang kata…”

“Abang tak kisah. Yang penting selamat dan sihat. Terutamanya isteri abang ni…” serentak dengan itu Zek menghadiahkan kucupan lembut di dahi isterinya.

“Nak dekat tarikhnya, terasa takut pulak. Hati Iti asyik berdebar-debar sejak kebelakangan ini. Tak tahu kenapa…”

“Banyakkan berdoa dan berzikir, Iti. Insya’Allah semuanya okey.”

“Abang kahwin lain tak kalau Iti dah tak ada?”

“Hish! Ke situ pulak. Merepeklah awak ni. Insya’Allah awaklah isteri abang dunia dan akhirat. Hanya ajal yang boleh memisahkan kita.” tanpa sedar Zek mengungkapkan ucapan itu dengan bibir yang bergetar. Dia merasakan hatinya tiba-tiba diserang kesayuan seolah-olah telah kehilangan sesuatu. Astaghfirullah!

***

Halim tersenym puas memandang ke luar tingkap. Kenderaan yang lalu lalang di hadapan hotel Pan Pacific langsung tidak menganggu tumpuannya kini. Dia merasakan kemenangan mula berpihak kepadanya sedikit demi sedikit. Satu persatu maklumat dikumpul, dengan susah payah dan tipu helah. Itulah cara yang ada untuknya mencapai impian yang telah sekian lama berputik dihati. Impian untuk memiliki mutiara hati yang telah dirampas daripadanya. Dia tidak akan berdiam diri! Ke hujung dunia pun akan dijejaki.

Tiba-tiba tekaknya berasa kering. Dia membuka peti ais mini yang diletakkan di satu sudut. Terdapat beberapa tin minuman keras dan air mineral. Segera dia mencapai dua tin beer dan membukanya. Punggungnya dilabuhkan semula di atas tilam empuk sambil tangannya menekan punat televisyen untuk mencari saluran yang boleh ditonton sebagai peneman malam sepinya.

Telefonnya berdering-dering minta diangkat. Dengan malas Halim menekan punat ‘on’ dan menjawab dengan suara lemah.

“Hello…”

“Hi sayang…kat mana ni? Dari minggu lepas I call you langsung tak nak angkat. You takut ke? I bukan along la…”

Kemudian terdengar suara gemersik di hujung sana ketawa manja. Ketawa yang sengaja di buat-buat untuk memikat Halim. Mendengar rengekan manja di dalam talian, Halim sudah boleh mengagak siapa gerangan gadis genit itu.

"Ada apa sayang? You rindukan I ke?"

"Mestilah...sebab itu I call. You kat mana ni?'

"Ada kat sini aje. Nak datang ke?"

"Kat mana? Takkan kat KL kut?" soal gadis itu semakin mengada-ngada.

"Dekat aje. You datanglah...I bagi alamat. I rasa tak sampai sepuluh minit you dah boleh sampai. I tunggu tau." Giliran Halim pula bersuara lunak.

Halim kembali tersenyum menantikan kedatangan gadis peneman sepinya malam itu. Dia mengambil satu tin lagi minuman keras. Dia ingin beraksi seperti 'superman', terbang di awang-awangan. Air syaitan yang diteguknya semakin mempengaruhi tingkahnya. Kepalanya sudah semakin goyang. Siling bilik hotel terasa berputar-putar. Akhirnya dengan keadaan yang kurang stabil, dia menuju ke bilik air. Keluar segala isi perut yang diisi sejak petang tadi. Dia pun hairan, entah mengapa semenjak kebelakangan ini kudratnya semakin berkurangan. Jika di UK dahulu dia boleh menghabiskan sebotol arak dengan sekali teguk sahaja.

Dentingan loceng di pintu bilik mematikan imaginasi Halim.

Nov 20, 2009

November 20, 2009

NOVEL: CINTA KAMELIA 25

“Aku ingat nak break dengan dia lah, Zek.”

“Siapa?”

“Berapa banyak perempuan yang aku ada.”

“Bukan banyak ke?”

“Cakap baik sikit…”

“Gurau pun nak marah ke? Bukan main sensitive kau sekarang ni.”

Ijol menggaru tengkuknya yang tidak gatal. Fikirannya sedikit kusut kebelakangan ini. Bukan bebanan kerjanya yang menimbun yang menambah kusut fikiran, tetapi hikayat cintanya dengan Kamelia tidak seindah seperti warna pelangi selepas hujan. Jalanan cinta mereka banyak duri dan onak. Orang kata jauh-jauh rindu, tetapi bagi dia dan Kamelia, semakin jauh semakin asing.

“Kau orang macam mana ni? Dulu masa berjauhan, sorang kat sini, sorang nun kat London, bukan main sanggup menunggu. Sekarang dah dekat depan mata, main tarik tali pulak. Kau ingat senang-senang nak putuskan tunang dengan anak orang.”

“Putuskan macam itu ajelah…apa pulak nak susah-susah. Bukan ada protokol pun.”

“Amboi!! Kalau cakap bukan main senang. Hari tu masa nak tunang boleh pulak beradat. Bila nak putus buat ala koboi pulak. Jangan buat orang sakit hati, Ijol. At least, hormati perasaan emak bapak Melia tu…”

Ijol menghirup Nescafe ‘O’nya sekali nafas. Baki air yang tinggal sedikit dibiarkan tidak di sedut. Fikirannya bertambah kusut apabila mendengar saranan dari Zek tadi agar dia membuat dengan cara yang betul untuk memutuskan pertunangannya. Sebenarnya di sudut hati yang paling dalam, dia tidak mahu ini semua terjadi. Tetapi secara positifnya, Ijol berpendapat ini adalah satu cara untuk menarik perhatian Kamelia yang selama ini ego tidak bertempat. Dia mesti mencabar keegoan gadis tersebut. Tiada cara lain yang dapat difikirkannya buat masa ini melainkan keputusan untuk meleraikan ikatan tersebut!

“Kenapa nak putus? Dia ada orang lain? Kau dah tak ada rasa sayang kat dia lagi?”

“Entahlah…tapi betul jugak kata Melia. Aku terlalu tergesa-gesa. Sepatutnya aku kenali dia dulu. Sekarang lain, dulu lain…”

“Bincang elok-elok tak boleh? Kau orang dah tua, dah dewasa. Buatlah keputusan secara bijak.”

“Aku tak taulah, Zek. Tengoklah nanti.”

“Dengarlah cakap aku. Jangan terburu-buru.”

****

Adalia tidak sabar menunggu waktu makan tengahari. Dia ingin bercerita dengan Aini tentang penemuannya. Dia ingin bergosip tentang bos mudanya itu. Tengok gaya macam single, tetapi siapa gadis manis yang ditemui gambar-gambarnya pagi tadi. Tak sangka, bosnya begitu fanatik dengan wanita tersebut. Tetapi, siapakah wanita itu? Isterinya? Tak mungkin. Kalau benar, tidak ada pun jemputan perkahwinannya tersebar. Atau, tunangnya? Tapi, Aini tidak bercerita pun perihal perkara itu. Ahh! Melepaslah aku. Pada fikiran Adalia, jika Ijol masih belum berpunya dia ingin memperkenalkan bosnya itu dengan sepupunya.


“Adalia…masuk sekejap.”

Nyaris terpelanting pen di tangan sewaktu Ijol yang entah bila ada di hadapannya bersuara. Ijol hanya menggeleng kepala melihatkan gelagat Adalia yang sering berkhayal. Adalia pula tersipu-sipu apabila tertangkap oleh bos sendiri ketika dia sedang berimaginasi. Malu sih!

“Ya, Encik Hariz.”

Ijol masih berdiri bercekak pinggang dengan lengan baju yang dilipat separas siku. Rambutnya yang pendek tersisir rapi. Tali leher berwarna biru gelap berjalur berpadanan benar dengan baju kemejanya yang berwarna biru cair. Bos muda ini selalu bergaya dan gayanya sentiasa sesuai di pandangan mata Adalia. Cuma, kebelakangan ini Ijol seolah membiarkan jambang halus tumbuh di wajahnya. Kenapa pulak? Mungkin juga hubungannya dengan wanita di dalam gambar itu bermasalah. Kalau begitu, itu sudah bagus! Bolehlah aku masuk jarum…gumamnya di sudut hati.

“Petang nanti saya ada mesyuarat kat JPJ. Awak tolong rekodkan minit mesyuarat dengan pengarah. I can’t attend the meeting, so you will be my right hand. Apa saja instructions from the director, just record. Okey.”

“Ada apa kat JPJ tu, bos?”

“Syarikat nak offer rumah yang kita jual ni untuk staf JPJ. Kan kita ada banyak unsold unit, so this one of our promotion untuk dia orang. We hope that with our promotion package could attract prospective buyer from JPJ. Who knows?”

“Ya lah Encik Hariz…kawan saya yang kerja kat sana pun ada tanya, rumah yang dah lama tu tak boleh turun harga ke?”

“Itulah, management lambat buat decision. Bila dah buruk macam ni, baru nak offer. You ingat dia orang boleh terima ke, Adalia?”

“Entahlah bos, saya pun tak tahu. Good luck bos.”

“Jangan lupa apa yang saya pesan tadi.”

“Okey Encik Hariz.”

Adalia teragak-agak untuk menyambung ayatnya, “Erm…em…you balik office tak Encik Hariz?”

“Kenapa? Ada dokumen yang nak urgent, ke?” soal Ijol sambil tangannya menekan butang komputer.

“A…aa…tak adalah…cuma…”

“Kenapa dengan awak pulak? Sejak bila awak gagap ni?”

“Sekarang la ni saya tergagap pulak tengok Encik Hariz semakin mengancam, makin smart. Ada apa-apa ke?”

“Ha…baguslah dah hilang gagap awak tu and thank you for your complimentary yang tak ikhlas tu…”

“Tak baik Encik Hariz cakap macam tu. Saya ikhlas tau.”

“Ikhlas ada sebab. Macam I tak kenal you! Yes…apa you nak sebenarnya wahai cik Adalia, secretaryku?”

“Erm…mm…saya..saya…”

“Hah! Dah gagap balik. Awak buang masa saya. Sekejap lagi saya keluar, jangan lupa apa yang saya pesan. Just records whatever Dato’ say…ok?”

Adalia mengeluh berat. Niatnya untuk memperkenalkan sepupunya tidak kesampaian hari ini. Tak mengapalah…esok kan masih ada! Dia berharap bosnya itu sudi berkenalan dengan Ain Zahidah, sepupunya. Sepupu sebelah ibunya yang mempunyai darah kacukan Jawa dan Cina itu tidak kalah cantiknya dengan wanita yang di dalam gambar tersebut.

Ijol hanya mengelengkan kepalanya melihat gelagat Adalia sekali lagi. Seperti ada sesuatu yang ingin ditanyakan tetapi tidak jadi mahu membuka mulut. Apa pulak masalahnya budak Adalia ni. Nak kata tak dibenarkan bercuti, selalu dialah yang mengambil cuti paling lama. Belum dicampur dengan MCnya lagi…entahlah budak-budak sekarang, banyak benar ragamnya. Bebel Ijol di dalam hati.

****

“Nah. Tengok ni.”

“Apa ni, Ada…”

“Tengoklah betul-betul.”

“Mana kau dapat ni? Dah jadi ejen cari jodoh pulak?”

Aini tidak berminat untuk melihat gambar itu lama-lama. Sekali imbas memang cantik wanita di dalam gambar tersebut. Apa pula tujuan Adalia menunjukkan gambar tersebut kepadanya.

“Kat mana kau kutip gambar tu, Ada…”

Adalia meletakkan nasi campurnya di hadapan Aini. Dia tergesa-gesa duduk, tidak sabar untuk menggosip dengan Aini. “Aku pinjam dari Ijol. Aku terjumpa dalam bilik dia. Banyak siot!”

“Woi!! Pinjam ke curi?”

“Aku pinjam sekejap. Nanti aku pulanglah…”

“Siapa tu?”

“Mana aku tahu. Patutnya kau lebih tahu. Kau kan best friend dia.”

Aini mengerutkan dahinya tidak faham. Adakah…

“Wait…wait…wait. Kau kata terjumpa dalam bilik Ijol?” Aini merampas gambar tersebut dari tangan Adalia. Gadis itu yang hendak menyudu nasi ke mulutnya, tersentak melihat gelagat Aini.

Ini Kamelia! Desis hati kecilnya tanpa memandang wajah Adalia yang kehairanan. Dia mengamati sekali lagi gambar tersebut, memang sah! Kalau dinilai dari latar gambar tersebut, ia bukan diambil di dalam negara. Apabila memikir balik kata-kata Adalia, ternyata Ijol begitu merindui temannya itu. Ah! Kamelia…sampai bila baru kau mengerti hati manusia bernama Ijol ini? Dia takut nanti teman baiknya itu terlewat…menyesal di kemudian hari. Sesiapa pun tak akan sanggup diperlakukan seperti apa yang Kamelia lakukan pada ijol.

“Cik Aini. You kenal ke dengan perempuan dalam gambar ni?”

Aini diam. Geleng tidak, angguk pun tidak.

“Perempuan tu Zureen ke?”

Aini faham apa yang dimaksudkan oleh soalan dari bibir Adalia. Zureenlah yang menyebabkan Ijol dan Kamelia perang dingin sehingga memakan masa berbulan-bulan.

“Bukan?”

Tiada jawapan dari Aini. Dia hanya merenung mata Adalia memohon dihentikan soalan demi soalannya yang cuba mencungkil rahsia yang tersirat di sebalik sekeping gambar yang ditemui di dalam bilik Ijol itu.

“Aku tak tahu, Ada. Please jangan tanya lagi. Ini masalah dia orang, buat apa kita nak menyibuk.”

“Aku nak tau aje samada bos kita tu dah berpunya ke belum. Kalau belum, aku nak kenalkan dengan cousin aku.”

“Tak payahlah, Ada.” Perlahan sahaja suara Aini ketika menuturkan ayat tersebut kepada Adalia yang lebih senang dipanggil Ada itu.

“Tak boleh ke?”

“Lebih baik jangan…”

‘Kenapa you cakap macam itu, Aini. Atau, you ada hati kat dia.”

“Merepaklah.”

****

“Kau ni memang dah gila, Mel. Orang punyalah baik dengan kau, ini yang kau balas pada dia.”

“Kau tak akan faham apa yang aku rasa, Aini. Susah aku nak jelaskan…”

“Susah apa bendanya! Cuba kau fikir dengan akal fikiran yang waras bukannya membuta tuli macam orang tak ada pertimbangan. Kalau aku jadi Ijol pun, belum tentu aku boleh tahan begitu lama. Lima bulan tu jangka waktu yang amat panjang, Mel. Kau hidup-hidup mendera perasaan orang yang sayangkan kau dengan tulus hati. Kau jangan sampai menyesal nanti!” Aini melepaskan geramnya yang telah tersimpan sejak siang tadi.

“Apa maksud kau, Aini?”

“Kau datang tengok sini macam mana keadaan Ijol. Kerja pun tak menentu. Aku rasa dia dah mula fed up dengan kau.”

Hanya keluhan kecil yang terdengar di hujung sana. Bukan hati tak cinta, bukan sayang tidak menggunung untuk lelaki itu, tetapi hatinya bagai disayat tika khabar Ijol ditangkap khalwat dahulu sukar dikikis begitu sahaja. Sementelah sehingga sekarang, tiada kata yang cukup menyakinkan dari Ijol mengatakan kes khalwatnya telah selesai. Ijol tidak bersungguh menyelesaikan perkara itu! Dan sehingga saat itu tiba, segalanya selesai, barulah dia berasa tenang dan lega.

****

“Surat dari pejabat agama atas meja tu, Ijol. Tak selesai lagi pasal kes kau tu? Berapa laa dah?” emaknya bertanya ketika Ijol baru sampai di muka pintu.

“Entahlah mak. Naik bosan saya. Tak tahu apa dia orang buat sampai makan masa berbulan-bulan nak panggil saya.”

Ijol membuka surat yang menggunakan sampul surat Jabatan Agama. Dia ingin tahu apa status kesnya.

‘Sila hadir ke pejabat ini dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis ini dikeluarkan. Kegagalan tuan/puan hadir dalam waktu yang ditetapkan boleh menyebabkan tuan/puan dikenakan denda.’

“Ada perkembangannya?”

Emaknya masih menunggu untuk mengetahui isi surat tersebut. Ijol mengangguk sambil tersenyum kelat.

“Agaknya Zureen dapat surat yang sama, tak?”

“Lantak dia lah mak. Dia yang susahkan hidup saya. Kali ni kalau selesai, lapang dada saya. Saya dah tak nak fikir benda-benda ni lagi. Kerana dia, nama saya busuk. Jiran-jiran pandang pun macam nak telan. Kesian mak dengan abah.” Ijol merungut-rungut tetapi dapat didengar bebelannya itu.

“Mak pun harap begitu. Sampai sekarang nak keluar rumah segan, serba salah. Abah kamu dah jarang-jarang pergi surau.”

Ijol mengeluh mendengar luahan hati emaknya. Selama ini orang tua itu hanya mendiamkan diri, marah tidak, suka pun tidak akan kesnya itu. Dia tidak tahu isi hati sebenar emak dan abahnya. Memang dia teringin bertanya tetapi suaranya tak mampu keluar. Rasa bersalah mengatasi segalanya.

“Dah lah, pergi mandi dulu. Nanti lepas Maghrib kita makan sama-sama. Dah lama tak makan dengan kamu, Ijol. Hari-hari asyik balik lewat aje. Apa anginnya kerja kamu habis awal hari ini? Kamu tak kerja ke?”

“Kerja mak. Tapi rasa tak sihat badan. Tu yang balik awal. Lagipun tadi ada meeting dengan pegawai JPJ.”

“Kenapanya? Kamu langgar lampu merah macam dulu tu ke?” emaknya bersuara cemas.

“Tak lah mak. Pasal nak jual rumah-rumah lama kat company saya. Buat special package untuk dia orang. Kut-kut ada respon bagus.”

“Ohh…”

Ijol tersengih mendengar jawapan emaknya. Walau tidak berapa faham dengan tugas-tugas Ijol, tetapi emaknya itu seorang pendengar yang baik. Semakin lama semakin dalam perasaan kasihnya kepada wanita yang telah melahirkannya itu. Tanpa disedari dia telah memeluk emaknya dengan rasa yang amat terharu. Terima kasih emak kerana memahami…

“Dah lah, Ijol. Emak faham apa yang kau lalui. Tapi emak perasan kau banyak termenung kebelakangan ini. Ada apa-apa yang emak tak tahu?”

“Semua okey, mak. Emak janganlah risau pasal saya.”

****

Ijol menghempaskan tubuh sasanya ke atas tilam. Matanya terasa berat hingga sukar dibuka. Kebelakangan ini dia sukar melelapkan mata. Tidak tahu mengapa. Kadangkala waktu tidurnya jadi tidak menentu. Seperti sekarang ini, rasa mengantuk datang tanpa dijemput. Akhirnya dia terlelap dengan rasa letih yang masih bersisa.

Tok! Tok!

Ijol! Ijol!

Ketukan dan panggilan di luar pintu biliknya mengejutkan Ijol dari tidur. Dia terkial-kial mahu bangun. Entah mengapa badannya terasa panas dan rasa pening naik ke kepala. Dia gagal berdiri dengan tegak untuk membuka pintu. Sakitnya bagai mencucuk-cucuk urat kepalanya.

“Ya mak.”

“Jom makan. La…belum ganti baju lagi. Kamu belum mandi ke?”

“Saya tertidur tadi. Emak dengan abah makanlah dulu. Nanti saya makan kemudian.”

“Erm…okey. Jangan lupa makan.”

Emaknya mahu berpaling apabila terdengar suara Ijol mengerang. Ijol telah terjelepok di hadapan muka pintu biliknya. Emaknya jadi kelam kabut tidak tahu mahu buat apa. Jeritan nyaringnya menggamit si suami untuk mendapatkannya.

“Kenapa dengan budak ni. Masya’Allah…angkat, angkat dia.”

“Tolonglah saya, bang. Mana saya kuat angkat budak ni.”

Dalam kekalutan begitu, sepasang suami isteri itu mengangkat Ijol ke atas katil. Emaknya membasahkan tuala lalu mengelap wajah Ijol dengan berhati-hati. Hatinya panik tidak keruan. Suaminya pula menggunakan minyak cap kapak memicit-micit hujung kaki Ijol.

“Kenapa budak ni, bang. Cuba awak ikhtiarkan apa yang patut.”

“Saya tengah ikhtiar lah ni.” Ujar abah Ijol sambil terus memicit-micit kaki anaknya itu.

“Panggilkan doktor ke, ambulans ke…”

“Siapa?”

“Manalah saya tahu.”

Dalam keadaan panik begitu semuanya mudah lupa. Sementelah ini pertama kali berlaku kepada anak bongsunya itu.

“Awak pergi telefon Zek. Zek kawan dia…”

Si suami patuh dengan arahan isterinya. Tidak berapa lama kemudian Zek datang dan terus meluru ke bilik Ijol. Ini kali ke tiga dia datang ke rumah sahabatnya itu. Dahulu sewaktu masih bersekolah menengah, Ijol jarang mempelawanya ke situ. Dia tidak suka kawan-kawannya datang ke rumah. Alasannya, takut tembelang kenakalannya pecah.

“Cuba tengokkan dia Zek. Dah bermacam cara masih tak bukak juga mata dia.”

Zek meletakkan telinganya ke dada Ijol seperti yang selalu dilakukan oleh orang lain apabila berlaku kecemasan begitu. Alhamdulillah. Degupan jantungnya normal. Kedengaran dengkuran halus dari Ijol. Dia tertidur rupanya.

Zek tersenyum simpul memandang suami isteri yang sedang kebingungan.

“Zek…” teguran abah Ijol mematikan senyumannya.

“Dia okey, pak cik…mak cik…dia tengah tidur.”

“Apa?!”

“Mungkin dia terlalu penat. Tapi badannya panas sikit. Mak cik tuamkan tuala kat dahi dia, nanti okeylah tu…”

“Budak ni, risaukan aku aje.”

Emak Ijol duduk di sisi anaknya itu sambil menghela nafas lega. Zek meminta diri untuk pulang kerana isterinya di rumah ditinggal sendirian. Keadaan Baiti yang sedang sarat tidak memungkinkan dirinya untuk berlama-lamaan di situ.

Nov 13, 2009

November 13, 2009

NOVEL: CINTA KAMELIA 24


Hardy terkejut menerima kehadiran tetamunya pada pagi itu. Rasa-rasanya bumi London telah hampir dua tahun ditinggalkan. Kali terakhir mereka bertemu ketika rakannya itu ditahan pihak polis di negara tersebut kerana didakwa terlibat dengan jenayah. Bila pula dia kembali? Dan, yang peliknya mengapa dia mencariku? Bersimpang siur kepala Hardy memikirkan hal tersebut sambil tangannya menyambut salam yang dihulur. Mereka berpelukan dengan rasa gembira kerana sudah lama tidak ketemu.

“Bila kamu sampai sini?”

“Sudah satu minggu. Aku ada tour business dengan corporate leader dari Malaysia. Wah! Maju ya business kamu. Kamu apa khabar?” Halim ketawa besar. Gayanya juga sudah tidak seperti dulu. Mungkin telah berjaya di dalam kerjayanya atau menjawat posisi penting di dalam syarikat. Begitu fikir Hardy.

“Aku macam ini seperti yang kamu nampak, Halim. Business ni keluarga punya, aku hanya tolong jalankan.”

“Tapi lama kelamaan nanti jadi milik kamu jugak, tak gitu?”

“Belum tahu. Kami adik beradik sepakat untuk tidak membicarakan soal ini sehingga satu masa yang sesuai nanti.”

“Beruntung kamu, Hardy.”

Hardy hanya tersenyum hambar. Hatinya penuh tandatanya tentang tujuan Halim mencarinya. Semasa di UK dahulu mereka hanya kenalan biasa, itupun melalui Baiti, sahabat Kamelia.

“Kamu dulu tak habis kuliah kan?”

“Ya…sebab mantan bapak aku sakit kuat.”

“Ohh! I see…”

“Bagus jadi kamu nih. Apa kamu hendak, pasti kamu boleh dapat. Kamu dah nikah? Ada anak-anak yang comel pastinya.”

Hardy menggeleng. Mengeluh kecil. “Belum, nggak ada yang sesuai.”

“Cewek kat sini punyalah ramai, tak ada satu pun?”

Halim ketawa lagi. Matanya memandang sekeliling bilik Hardy yang luas itu. “Kamu ada datang Malaysia sejak kita tinggalkan London dulu? Atau, kamu masih ada contact kawan-kawan kita? Aku terus loss contact dengan dia orang.”

Bicaranya sudah beralih arah. Mungkin inilah tujuannya mencariku, gumam Hardy di dalam hati.

“Erm…ada jugak. Tak lama dulu.”

“Dengan siapa kamu contact?”

“Tak semua. Ada satu kali Melia datang sini, dia ada seminar. Eh! Kamu abis studi tak kat UK dulu?” Entah mengapa Hardy malas memulakan perbualan tentang teman-teman lamanya. Hatinya sering dipagut sayu tatkala menuturkan nama Kamelia. Lambang sebuah harapan yang tidak kesampaian…

“A…aku…” deringan telefon di meja Hardy terus mematikan kata-kata Halim.

Selesai Hardy menyiapkan serba sedikit kerja yang perlu disegerakan, dia mengajak Halim ke coffee house. Seterusnya, Hardy terlupa untuk bertanya lanjut perihal soalannya tadi yang belum dijawab oleh Halim.

***

Halim geram benar dengan layanan Hardy terhadapnya sebentar tadi. Bagai acuh tak acuh sahaja menerima kedatangannya. Sudahlah berbulan dia menjejak langkahnya, baru kini dia ditemui. Bekas teman seperjuangan dari Malaysia pun sudah hilang jejaknya. Tiada satupun yang masih boleh dihubungi. Tadi dia cuba meminta alamat atau nombor telefon Kamelia daripada Hardy namun Hardy mengatakan telah terhilang maklumat tersebut. Pasti dia sengaja tidak memberikannya. Huh!! Macam tak berbaloi langsung berusaha menjejaki tetapi satu apa pun tak dapat.

Halim menggumam sendirian di dalam bilik hotel yang dingin itu. Walau udara nyaman dari pendingin udara boleh menyejukkan badannya, tetapi malangnya hatinya yang kepanasan tidak boleh diubati. Dia merenung siling sambil memusing-musingkan handphonenya.

Dimana-mana di dalam bilik itu dia ternampak bayangan wajah yang dirindui. Walau bertahun tidak bertemu, nama dan wajah itu sering kerap bertandang di dalam mimpinya. Dia sering bermimpi telah berkahwin dengan wanita itu, mempunyai anak yang comel dan hidup bahagia. Namun, sekejap sahaja khayalan itu datang, berganti pula dengan bayangan wajah lelaki yang tidak dikenali. Lelaki itu sering merenungnya dengan pandangan marah. Kemudian, dimana-mana dia terlihat darah merah membuak keluar dari dalam bumi.

“Uwek! Uwek!”

Tekaknya serta merta loya mengingati warna merah darah yang sering hadir dalam mimpinya. Halim meradang sendirian di dalam kamar hotel penginapannya sehingga berkecai bantal yang tumbuknya dengan sekuat hati. Rasa sakit dan rindu pada wajah itu saling bertingkah dan bertindan di dalam mindanya. Hingga satu saat dia meracau tak tentu hala.

***
Baiti memegang perutnya yang bergerak-gerak. Kandungannya berusia hampir tujuh bulan. Jadi dia kena berhati-hati bimbang terjadi sesuatu kepada diri dan anak yang dikandungnya itu. Zek belum nampak batang hidungnya setelah keluar sebentar untuk membeli barang keperluan dapur. Dadanya berdebar-debar lebih kuat dari biasa selepas menerima panggilan dari seseorang sebentar tadi. Dia melepaskan keluhan kecil buat meredakan debarannya itu.

Dia membuka pintu peti ais dan mencapai air sejuk untuk membasahkan tekaknya. Sekejap-sekejap dia menjeling ke pintu depan, kalau-kalau Zek sudah balik. Dia mengeluh lagi apabila kelibat kereta suaminya masih tidak kelihatan.

Tidak lama kemudian kedengaran bunyi kereta masuk. Baiti tersenyum senang melihat Zek menjinjit barang keperluan dapur yang dipesan. Dia terus menerpa ke arah Zek dan memeluk pinggang suaminya itu.

“Kenapa ni, Iti. Jaga sikit, awak tu tengah sarat. Apa halnya awak macam cemas aje.”

Baiti mengekor Zek ke dapur. Dia tidak sabar untuk menyampaikan berita yang baru di terima sebentar tadi.

“Duduklah sini, karang jatuh siapa susah.” Zek menarik kerusi makan lalu meminta Baiti duduk. Dia mengambil tempat di sebelah isterinya itu. Wajah putih mulus itu direnung penuh kasih sayang.

“Tadi Melia call.”

“Nak tanya pasal Ijol lagi lah tu. Benci, benci tapi rindu.”

“Bukan pasal itulah , bang. Ada benda lain. Dia kata budak yang tikam Baiti masa kat UK dulu dah balik Malaysia. Dia tengah nak jejak saya dengan Melia. Dia cari sampai ke Indonesia. Abang ingat tak yang saya cerita pasal Hardy yang minat kat Melia tu. Dia yang inform Melia.”

“Kenapa dia nak cari Iti dengan Melia?”

“Entahlah, bang.”

“You all ada berhutang dengan dia ke?”

“Mana ada. Dia yang berhutang nyawa saya, adalah…”

Zek mengusap tangan isterinya bagi meredakan tekanan yang dihadapi. Di dalam hatinya mula dihujani persoalan mengapa lelaki itu mahu menjejaki isterinya. Apakah kaitannya dengan Baiti. Mengapa lelaki itu begitu bersungguh-sungguh malahan tidak berasa serik walau pernah ditangkap oleh pihak berkuasa semasa di universiti dahulu? Persoalan demi persoalan yang mengasak minda Zek tidak mampu dijawabnya.

***

“You ada call dia hari ni? Macam mana respons?”

“Still bad. Angkat tapi tak nak cakap.”

“Okeylah tu! Ada daripada tak ada langsung. Kut-kut dia pun rindu kat you, dapat dengar suara you pun jadilah.”

“Habis aku ni? Aku separuh mati rindukan dia, Aini. Since last meeting at Baiti’s house. You ingat dah berapa lama tu! Died man!”

“Dia tu okey, Cuma ada keras hati sikit. Aku kenallah sikap dia, aku kan dulu kawan baik dia. Tapi tak sangka sampai sekarang tak berubah keras hatinya tu. Nasib kaulah, Ijol. Dapat tunang cantik tapi keras kepala. Nasib baik dah tak garang lagi…heh…heh…”

Ijol membaling kertas ke arah Aini kerana mentertawakannya. Hatinya sedang parah, dia pulak senang-senang gelakkannya. “Kau tahulah nanti kalau kau di tempat aku. Makan tak kenyang, mandi tak basah, beb!”

Ijol menghitung mungkin hampir lima bulan selepas kejadian di rumah Baiti dimana Kamelia marah terhadapnya kerana menyembunyikan kes khalwatnya. Pada tanggapan Kamelia, Ijol sengaja tidak mahu bercerita. Dan yang paling sakit hatinya, Kamelia menuduhnya penipu! Maka inilah hasilnya, perang dingin antara mereka berlanjutan sehingga sekarang.

“Dah berbulan macam ni, apa kau nak buat. Kau ego, dia pun sama. Sampai ke akhir nanti kau orang tak jadik kahwin , batu padan! Masa tu jangan cari aku minta nasihat. Sorry!” Aini semakin geram. Ijol tidak mahu mengalah, Kamelia pun sama. Kedua-duanya bukan budak-budak lagi, dah tua bangka.

“Selisih malaikat 44! Janganlah kau mintak yang bukan-bukan. Aku sayang kat dia, beb. Kau kan tahu dari dulu sampai sekarang hati aku tak berbelah bagi. Aku setia tau!”

“Piraaah! Setia konon. Aku tengok pompuan dahi licin kat luar sana kau ngurat jugak.”

Ijol ketawa besar. “Biasalah sikap lelaki sejati memang macam tu. Itu namanya aku ni normal. Usik-usik aje, bukannya luak pun. Lagipun aku belum kahwin, inilah masanya nak gatal sikit.”

“Aku cakap kat Melia. Aku rekod ni apa kau cakap!” Aini mengugut.

“Eh! Aku gurau je lah, kau ni take serious kenapa? Jangan kau berani mengadu pada dia, nahas kau!”

“La…sekarang ni siapa ugut siapa? Main kasar nampak.”

“Sorrylah Aini, aku main-main aje. Dahlah, cakap dengan kau nak gaduh aje. Pergilah buat kerja kau sana.”

Aini bangun dari kerusinya disertai dengan ketawa sinis. Ijol! Ijol! Kau memang seorang bos yang rock! Sempoi! Tapi dengan aku aje, dengan staf lain dia seorang yang agak tegas.

“Tadi kau nak apa, hah? Aku lupalah.”

“Sales advise form dah habis. Minta cetakkan lagi, kemudian masa meeting nanti jangan lupa staff nak minta naik elaun makan dan transport allowance masa pergi exhibition. Jangan lupa tu!”

“Itu aje ke?”

“Minta naik gaji!” jerit Aini yang telah beredar dari bilik Ijol.

Adalia yang sedang menulis sesuatu tercongok-congok melihat gelagat Aini. Dia perasan Aini dan Zulhariz a.k.a Ijol amat akrab sejak kebelakangan ini. Apakah hubungan antara keduanya. Setiap kali keluar dari bilik bosnya itu, pasti wajahnya tersenyum lebar dan ceria. Tak boleh jadi ni, aku mesti jadi minah kepoh…heh…heh…

***

“Lama dah sampai? Apa hal nak jumpa? Aku dengar kat phone tadi suara kau cemas aje.”

“Duduklah.”

“Order air, Zek. Aku haus ni…tadi meeting berjam-jam dalam bilik sejuk. Mati beku aku karang.”

Zek melambai seorang pelayan Bangladesh yang sedang berdiri di tepi kaunter. Sebaik pelayan lelaki itu sampai, dia terus memesan Nescafe ais untuk Ijol. Dia sendiri telah memesan minuman yang sama, minuman kegemaran mereka sejak dari zaman persekolahan lagi.

Ijol membelek akhbar Harian Metro secara lalu sahaja sementara menunggu minumannya sampai. Sesekala dia menjeling Zek yang kelihatan resah. Apa masalahnya Zek kali ini? Bukankah isterinya sedang sarat mengandung anak sulung mereka. Bukankah itu petanda dia bakal menjadi bapa, apa yang nak dirisaukan. Atau, ada sesuatu yang menimpa rumahtangga mereka? Hish! Ke situ pulak fikiran aku ni…

“Hei! Berangan! Apa hal nak story kat aku.”

“Aku risaulah, beb. Bini aku…”

“Kenapa dengan Baiti?” Ijol menyoal laju.

“Kau ingat tak kes dia masa kat UK dulu? Budak tu dah balik Malaysia.”

“Biarlah dia balik pun, ini negara dia. Takkan dia berani nak buat hal lagi. Lagipun, kau orang dah berkahwin, nak dapat anak. Apa yang nak dirisaukan, Zek.”

“Semalam Baiti dapat call dari Melia. Dia kata kawan mereka yang kat Jakarta dah jumpa dengan Halim. Dia pergi sana mintak nombor Melia dan Baiti. Nasib baik si Hardy tu pandai. Dia kata tak tahu je.”

Hardy? Bukankah lelaki itu yang berminat dengan Kamelia sewaktu belajar di UK dulu. Rupa-rupanya mereka masih saling berhubungan. Perasaan Ijol menjadi resah tiba-tiba.

“Hoi! Layan perasaan nampak! Itu cerita lama lah, beb. Masih terkenang ke? Sudahlah tu…sekarang ni settlekan masalah aku dulu. Aku takut dia datang cari isteri aku. Dia tu ada mental problem sikit, takut dia makin teruk jadinya. Apa kita nak buat ni.”

“Tak tahulah Zek, nama budak Hardy tu buat aku hilang mood. Dan, secara automatiknya otak aku pun jammed. Lain kali aku bagi solution, boleh tak? Aku betul-betul tak ada mood ni.”

Zek tersengih melihat perubahan kelakuan Ijol. Orang tengah sakit angau memang begitu. Nasiblah kau Ijol, dapat tunang yang kuat merajuk.

Setelah bertemu Zek, Ijol memandu pulang ke rumahnya sendirian. Dalam keadaan emosi yang kurang stabil dia lebih suka mendengar lagu-lagu Jamal yang boleh mengisi kekosongan jiwanya buat sementara waktu. Memang luarannya dia kelihatan tenang, tetapi sebaliknya apabila tiba di rumah dan membuka komputernya yang dipenuhi gambar-gambar Kamelia, jiwa lelakinya seakan memberontak. Beginikah seksanya yang diberikan oleh Kamelia untuknya? Adakah dia juga berpura-pura demi mempertahankan ego seorang wanita? Ijol merasakan perkara itu tidak boleh dibiarkan berpanjangan. Dia mesti melakukan sesuatu untuk menyelamatkan perhubungan itu.

Ya. Dia mesti bertindak. Biarpun tindakan itu bakal memadam ikatan antara mereka. Dia sudah serik sering disakiti dan ditinggalkan.



***

Adalia membuka surat-surat yang masuk dan dikepilkan di dalam satu folder untuk dihantar ke bilik Ijol. Ada beberapa keping lagi yang dialamatkan ke jabatan lain, di simpan berasingan. Biasanya dia akan menghantar ke jabatan yang berkaitan selepas waktu makan tengahari. Keadaan pejabat sunyi sepi hari itu. Ramai kakitangan yang bercuti demi menghabiskan sisa-sisa cuti. Hanya beberapa kerat sahaja staf bahagian jualan yang ada. Sedari awal pagi Aini telah sibuk di kaunter bagi menangani pertanyaan daripada pelanggan yang mahu membeli rumah. Adalia tidak sempat pun untuk menyapa temannya itu.

Bilik Ijol masih gelap lagi walau jam telah menunjukkan ke angka 9.15 pagi. Jarang benar bos muda itu datang lewat melainkan ada kecemasan. Adalia membuka pintu bilik tersebut dan memasang lampu. Plastic Folder berisi surat-surat yang sudah dibuka di letakkan di tengah meja untuk perhatian Ijol. Meja bosnya itu kelihatan kemas dan beberapa buah fail di susun di sudut meja.

Sebelum melangkah keluar, Adalia terdengar bunyi dari satu arah. Setelah diteliti, rupa-rupanya suara itu datang dari komputer Ijol.

‘Dia tak off kan komputernya. Wah! Banyaknya e-mel masuk.’ Adalia menutup komputer itu tanpa mahu tahu apa isi kandungan e-mel yang diterima oleh bosnya itu. Dia ingin segera keluar tetapi tanpa disengajakan kakinya terlanggar bucu laci. Terburai segala benda yang diletakkan di atasnya dan jatuh berserakan di kaki Adalia. Mata Adalia terbeliak melihat puluhan gambar wanita cantik dengan berbagai gaya terpampang di depan mata. Siapakah dia? Zureenkah? Takkan dia menyimpan gambar-gambar musuhnya.

Dia mengemaskan kembali dan mengambil sekeping gambar secara rambang lalu dismpan di poket jaketnya.

Sep 7, 2009

September 07, 2009

NOVEL: CINTA KAMELIA 23

Dari jauh Ijol memerhatikan tunangnya berbual mesra dengan seseorang. Lelaki itu kelihatan cukup bergaya. Tadi dia hampir mengejutkan Kamelia, tetapi belum sempat dia berbuat begitu, lelaki lewat 30-an itu pula telah terlebih dahulu membuat kejutan. Cara lelaki itu bercakap dengan berbisik-bisik makin menimbulkan rasa cemburu di hati Ijol. Siapakah lelaki itu. Adakah teman lelakinya sewaktu di UK dahulu? Tetapi mengapa Kamelia tidak berterus terang. Darah lelakinya mula mendidih. Rasa cemburu, marah, sedih dan pelbagai rasa bertaut menjadi satu. Untuk meredakan ketegangan perasaannya, Ijol menyandarkan tubuhnya ke dinding.

Tiba-tiba telefonnya berdering-dering. Panggilan itu dibiarkan sahaja berlalu kerana dia belum bersedia. Hatinya sedang pedih mendidih. Dia tidak mahu becakap dengan Kamelia dengan suara yang marah, dia tidak mahu berjumpa gadis itu ketika sedang berwajah muram. Semuanya demi cintanya pada Kamelia, kalaulah boleh segala rasa cemburu itu dipadam begitu sahaja, sekarang dia sudah bertentangan dengan tunangnya itu. Oh! Tuhan…

Bunyi SMS masuk.

“Awak kat mana? Dah 1 jam tunggu.”

Ijol membiarkan sahaja SMS itu. Tidak berapa lama kemudian, SMS kedua masuk.

“Dtg @ tidak? Saya nak balik.”

Sebaik membaca mesej Kamelia itu, Ijol menjadi gelisah. Da mesti berani berhadapan dengan kenyataan jika sekiranya pertemuan ini akan berakhir dengan kegagalan. Digagahkan juga langkahnya menghampiri Kamelia yang kelihatan anggun dengan berblaus coklat melepasi punggung dan berseluar jeans biru gelap. Gadis tinggi lampai berkulit putih itu tidak perasankan kehadiran Ijol di sisinya.

“Hai…”

Kamelia terkesima mendengar suara itu. Rindunya…datang juga dia. Ingat dah lupa! Rungutnya dalam hati.

“Awak lambat. Nasib baik saya tak balik.”

“Awak balik pun saya tahu nak cari awak kat mana. KL bukannya besar sangat…” jawab Ijol berpura-pura ceria. Dia berharap Kamelia segera memberitahunya siapakah lelaki yang baru ditemui sebentar tadi.

Kamelia merenung wajah bersih Ijol. Kali terakhir ditemui ketika lelaki itu menghantar rombongan peminangan. Tetapi entah mengapa dia perasan ada sesuatu yang menyelubungi minda Ijol saat ini. Dia dapat rasakan yang Ijol hanya berpura-pura ketawa dan senyum dengannya, tetapi itu semua lakonan semata-mata. Apakah masalah yang membebankan lelaki itu?

“Kita nak ke mana?”

“Tak ke mana-mana. Kat tempat sibuk macam ni pun tak apa, asalkan dapat berdua-duaan dengan awak, Melia. Makin cantiklah sejak awak balik dari Jakarta ni. Ada apa-apa ke? Manalah tahu terjumpa seseorang kat sana?”

Aku terjumpa Hardy, takkan dia tahu. Mungkin itu perasaan Ijol sahaja yang kononnya ada deria ke enam! Lagipun bukannya ada benda penting yang hendak diberitahu. Baik tak payah cerita. Nanti wajahnya yang sudah keruh semakin kelat…bisik Kamelia kepada diri sendiri.

“Jom kita cari tempat makan. Boleh borak macam-macam.” Kamelia bergerak dahulu diikuti oleh Ijol dari belakang.

Tiba-tiba lengannya dipaut dari belakang. Ijol menguntum senyum demi membalas pandangan Kamelia yang seperti kurang senang diperlakukan begitu. Dia cuba melepaskan dirinya tetapi Ijol telah memaut lengannya dengan kemas. Terpaksalah Kamelia membiarkan perlakuan tunangnya itu yang kebelakangan ini semakin nakal.

“Saya takut awak hilang dari saya!”

Berderau darah Kamelia ketika bahunya bersentuhan dengan bahu Ijol. Lebih-lebih lagi apabila lelaki itu menuturkan kata-kata yang boleh meruntuhkan kebal jiwanya. Namun ada satu rasa aneh yang meyelinap ke segenap ruang rasa. Ya, debaran itu mendatangkan bahagia. Orang yang mengunjungi KLCC pula semakin lama semakin ramai. Hujung minggu begitu orang ramai tidak melepaskan peluang membawa keluarga berjalan-jalan atau makan di luar.

***

“Apa yang awak nak beritahu saya hari tu. Kata ada cerita penting nak share.” tanya Kamelia sambil menyedut minumannya.

Ijol hampir tersedak ketika Kamelia tiba-tiba melontarkan soalan cepu emasnya itu. Setelah insiden yang berlaku sejam yang lalu, Ijol menjadi tidak yakin untuk menceritakan masalah yang sedang membelenggu hidupnya tika ini. Dia ingin tahu dari mulut Kamelia dahulu, siapakah lelaki yang ditemuinya tadi. Adakah sekarang Kamelia sedang berbohong. Mencintai lelaki lain, tetapi bertunang dengan orang lain. Sebaliknya, bagi Ijol, kes khalwatnya hanya masalah kecil yang sedang ditangani sebaik mungkin.

“Ijol…”

“Hah?!” lamunan panjangnya terlerai.

“Apa awak tenung saya macam tu? Saya ada buat salah ke?”

“Awak mana ada buat salah pada saya, sayang. Cuma saya aje yang ada masalah sikit. Tapi, itu nantilah kita cerita. Sekarang kita makan dulu. Okey.” Ijol menukar fikirannya. Dia belum bersedia untuk berkongsi masalahnya dengan Kamelia.

“Ceritalah…saya dah tak sabar nak tahu ni…”

“Nantilah.” Ujar Ijol lembut.

Kamelia mengalah akhirnya. Wajahnya mencuka, geram dengan Ijol yang memungkiri janjinya.

“Mungkin awak ada sesuatu nak beritahu saya.” duga Ijol pula.

“Saya? Apa maksud awak?”

“Mana tahu awak nak share pasal seseorang…”

“Saya tak fahamlah Ijol. Apa maksud awak?” suara Kamelia kedengaran agak kasar.

“Saya agak aje. Awak janganlah marah. Kalau tak ada tak apa…” luah Ijol perlahan. Ternyata Kamelia tidak mahu berkongsi dengannya tentang ‘lelaki’ itu. Rasa cemburunya datang lagi, bahkan kini dirasakan semakin parah pula. Wajahnya berubah muram tiba-tiba.

Keadaan menjadi sunyi seketika. Ijol dan Kamelia masing-masing melayan perasaan sendiri. Kamelia tidak mengendahkan kelakuan Ijol yang dirasakannya seperti kebudak-budakan lagaknya. Entah apa yang dirisaukan oleh tunangnya itu, dia tidak pasti. Sebagai orang yang terdekat dengan Ijol dia berasakan wajar menyelami masalah lelaki itu. Tetapi Ijol bagai merahsiakan sesuatu darinya.

“Kalau nak jumpa saya semata-mata nak tunjuk muka masam awak tu, baik tak payah jumpa. Kalau tak waktu macam ni saya dah boleh berehat, dah tidur. Awak yang beriya-iya nak jumpa, kan. Sekarang awak pulak buat perangai. Saya tak fahamlah dengan awak ni Ijol!” Kamelia menyuarakan ketidakpuasan hatinya terhadap Ijol. Dia tidak menghiraukan Ijol yang memandangnya dengan pandangan yang pelik. Biar dia nampak perangai sebenar aku, biar dia sedar yang aku ni bukannya seorang yang boleh diperlecehkan; gumam Kamelia geram.

“Ada nak marah lagi? Ada yang belum habis awak nak cakap?” wajah Ijol sudah tidak muram seperti tadi. Dia tersenyum-senyum sahaja ketika Kamelia sudah naik bosan dengan perangainya yang mula berprasangka.

“Banyak!”

“Cakaplah lagi, saya sudi dengar…”

“Awak buli saya ya…”

“Mana ada. Saya suka tengok awak yang macam tu. Sesekali membebel nampak sweet. Rasa macam nak makan-makan aje…”

“Saya bukannya gula-gula yang awak boleh makan sesuka hati.” Rungut Kamelia perlahan. Walau suaranya perlahan, ia masih boleh didengari oleh Ijol. Ijol melepaskan tawanya dengan kuat.

“Awak kalau buat lawak pun boleh jadik.” Ijol menyambung tawanya yang masih bersisa.

“Saya rasa awak tengah syak saya ya? Awak cemburu ya? Cemburukan saya dengan siapa?” duga Kamelia apabila dilihat Ijol sudah kembali normal.

Wajah Ijol berubah tiba-tiba dek diterpa soalan yang tidak disangka-sangka dari mulut comel Kamelia. Tawanya ikut sama terhenti.Ada rupa orang cemburu ke aku ni? Teruk sangatkah wajah aku sehingga terperasan oleh Kamelia? Memang aku cemburu pun, dia berbual dalam keadaan intim dengan lelaki lain. Sesiapa pun akan cemburu jika bakal isterinya digoda lelaki lain…

“Saya nampak macam orang yang cemburu ke?”

“Awak lebih tahu dari saya. Tindakan awak amat transparent. Ingat awak aje ada sixth sense?” sindir Kamelia.

Ijol hanya terdiam. Perlukah dia berterus terang tentang persoalan yang mengasak ruang damainya. Perlukah dia ambil tahu tentang semuanya, tentang sisi personal seorang kekasih atau tunang? Makin celaru jadinya.

“Kalau saya ada orang lain, dari dulu saya dah kahwin dengan orang itu. Dari saya di UK lagi…”

“Jadi?”

“Awak nilailah sendiri. Kan awak dah ikat saya, awak tahu jawapannya.”

Betul juga kata Kamelia tu, kenapa mesti aku berprasangka, kenapa ada cemburu sedangkan Kamelia sekarang telah menjadi milikku, berada dekat denganku.Ah! Mainan hati sukar benar dijangka! Ijol mengeluh.

***
“Lepas ni kita ke rumah abang Imran ya.”

“Hm…”

“Awak tahu tak jalan nak ke rumahnya?”

“Awak kan ada.”

“Nanti lepas tol belok kiri, jalan terus sampai jumpa taman perumahan.” Kamelia memberi arahan. Mitsubishi Lancer putih itu meluncur laju membelah kesesakan bandaraya Kuala Lumpur.

Kamelia hanya memerhati Ijol mendail nombor seseorang dan kemudian menggunakan ‘earphone’ untuk berkomunikasi.

“Saya culik dia sekejap.”

“J.B.”

“Saya akan hantar dia balik. Okey, terima kasih.”

Sekejapan sahaja talian telah dimatikan. Ijol menyarung cermin mata gelapnya dan terus memandu tanpa menghiraukan Kamelia yang asyik memerhatikannya. Cuaca di luar panas terik, walau jam telah mencecah 4.30 petang.

Selepas membayar tol, Ijol memandu terus ke selatan tanpa mengikut arahan yang diberikan oleh Kamelia sebentar tadi untuk ke rumah abangnya. Kamelia panik bimbang Ijol terlupa apa yang diperkatakan olehnya tadi. Jika dia tersilap arah, Ijol perlu keluar dari plaza tol dan masuk semula ke persimpangan naik ke KL.

“Awak lupa arah nak ke rumah abang Imran ya?”

“Siapa kata. Betul lah ni.” Ujar Ijol selamba.

“Salah. Bukan ikut arah sini. Ini nak balik JB bolehlah.”

“Betullah tu…”

“Apa maksud awak?”

“Kita nak ke JB. Jumpa bakal emak mertua awak.”

“Ijol! Kenapa tak inform dulu. Macam mana saya nak balik nanti. Esok saya kerja…hish! Awak ni kan…”

Muncung Kamelia panjang sedepa. Dia tidak suka Ijol bertindak sesuka hati tanpa memperdulikan pandangannya, tanpa meminta pendapatnya. Geramnya naik ke tahap maksima. Nafasnya turun naik menahan marah.

“Kenapa sayang marah-marah ni. Saya minta maaf, okey. Memang saya tak nak bincang dengan awak dulu. Saya tahu mesti awak tak nak punya. Jadi saya ikut cara saya lah…lagipun saya dah inform abang Imran. Awak jangan risau. Saya tak jual awak kat Singapore, jangan takut. Saya cuma nak bawak awak jumpa dengan bakal emak mentua awak, itu aje.” Ijol menerangkan panjang lebar.

Oleh kerana Kamelia masih membungkamkan diri, Ijol menambah, “Kan saya janji nak ganti cincin yang hilang hari tu. Awak tak ingat.”

Kamelia masih mengunci mulutnya. Perasaan geramnya masih membara di dada. Dia sudah malas melayan kerenah Ijol lagi. Buang masa aje, turun JB kemudian terpaksa balik semula ke KL. Takkan esok nak ambil MC atau cuti kecemasan. Huh! Mesti kena soal siasat dengan Datuk! Dahl ah sehelai sepinggang…rungutan dihati Kamelia terus berpanjangan.

“Awak tak nak jumpa emak? Emak teringin sangat berbual dan berkenalan dengan tunang ekpress anaknya ni.” Ijol buat suara kasihan.

Ijol menambah sambil matanya melirik wajah tunang kesayangannya itu. “Awak tak kesiankan saya, tak apa. Tapi kesiankanlah emak saya, sejak tunang hari tu tak pernah dapat jumpa bakal menantunya ni…”

“Awak ke emak awak?”

Ijol ketawa melihat Kamelia sudah membuka mulutnya. Helahnya menjadi. Keras-keras kerak nasi, akhirnya lembut juga…

***

“Awak nak ke mana?”

“Aik belum jadi suami dah kena soal?” ujar Ijol perlahan.

Kamelia menjeling mendengar usikan dari Ijol itu.

“Nak jumpa Zek sekejap. Kenapa? Nak ikut?” Tanya Ijol yang telah menyarung sandal kegemarannya.

“Pakai macam ni aje ke? Awak tak kisah ke?” wajah polos Kamelia mohon pengertian dari Ijol.

Emak Ijol tiba-tiba sahaja telah terjengul di belakang Kamelia ketika gadis itu sedang membetulkan kain batiknya. Kamelia pula tergesa-gesa melangkah menuruti Ijol kerana dia pun sudah lama tidak ketemu dengan Baiti. Rindunya pada teman sekursus di UK itu tidak dapat dibendung lagi.

“Tak kan nak pergi macam itu aje?”

“Ha?”

“Ya…takkan Melia nak ikut Ijol pakai macam tu? Ijol tu tak baik betul. Di bulinya tunang dia.” Emak Ijol membebel marahkan perangai Ijol yang tidak berubah-ubah suka membuli orang lain.

“Habis tu…”

“Pergi pinjam baju mak.”

Ijol yang sudah menunggu di perut kereta hanya ketawa melihat kekalutan Kamelia dan jelingan penuh erti emaknya. Sekali sekala kenakan orang, apa salahnya.

“Nasib baik ada emak awak, kalau tak macam orang tak siap tau saya…”

“Sebab itulah saya ajak awak balik sini. Emak pandai sesuaikan diri walau dalam keadaan apa sekalipun, awak kena banyak belajar dari dia sebelum jadi isteri saya.”

“Ya lah tu!”

Ijol ketawa bahagia. Apabila Kamelia berada di depan mata hilanglah sebentar kerisauan dan kecemburuan yang bersarang di jiwa.

***
“Terpaksa emergency lah esok. Nak buat macam mana?”

Baiti ketawa sahaja mendengar alkisah antara Kamelia dengan Ijol. Dalam diam, ada cinta. Dalam benci, ada rindu! Bertahun rahsia disimpan, antara dia, Zek dan Ijol. Kalau pecah tembelang, alamat nahaslah Ijol, tentu persahabatan mereka berantakan…gumam Baiti.

Namun jauh di sudut hati, dia merasa resah. Ada sesuatu yang perlu dikhabarkan kepada Kamelia. Antara hidup dan mati? Ya ke… Itupun setelah Ijol beriya-iya meminta dia menyampaikannya. Sanggupkah Kamelia? Tabahkah dia? Sedangkan Ijol sendiri telah menyerah kalah sedari awal lagi. Masih teringat bagaimana Ijol mengunjungi mereka pada lewat malam setelah kejadian itu memohon jasa baik dia dan Zek, menyampaikan berita ini kepada tunangnya.

“Kau okey?”

“Okey…kerja pun ok. Bos aku tu, ada miang sikit. Dari gayanya macam nak mengurat je…”

“Orang cantik, ke mana pergi pun mesti ada yang terpaut, ada yang terpikat. Tapi Ijol lebih cepat dari yang lain…”

“Kau ni ada-ada aje…”

“Mel…”

“Hm…”

“Aku sebenarnya…” Baiti cuba menyusun ayat, tersekat-sekat.

“Ya?”

Kamelia asyik membelek album perkahwinan Zek dan Baiti. Bayang Ijol dan suami teman karibnya itu tidak kelihatan. Mungkin sedang menghirup udara segar di luar rumah.

“Aku sebenarnya ada benda nak cakap dengan kau.”

“Cakaplah.” Kamelia telah menutup album perkahwinan tersebut dan di letakkan di sisinya.

“Pasal Ijol.”

Kamelia mengerutkan dahinya. Kenapa dengan Ijol? Ada wanita lainkah dalam hidupnya, yang dirahsiakan daripadaku? Atau…Ijol ingin memutuskan hubungan mereka? Berselirat soalan berlegar-legar di mindanya.

“Ijol sebenarnya tengah nak selesaikan kes khalwat dia.”

Kamelia tersentak, umpama batu besar menghempap tubuhnya, sukar untuk bernafas atau berkata-kata. Betulkah apa yang didengar? Mimpikah aku? Wajah Baiti direnung tidak berkedip. Lemah seluruh sendinya. Ada perasaan lain yang menyelinap di sudut hati, entah apa dia tidak pasti. Tetapi umpama rasa sayang yang sedang tertanam, terlerai sedikit demi sedikit. Berkecai…

“Dia sebenarnya nak bagitahu kau sendiri, tapi dia tak sanggup. Dia pening, keliru…dia takut kau tinggalkan dia.”

“Bila?”

“Dah hampir dua minggu kejadian tu. Dengan si Zureen, sepupu dia. Dia kata kau kenal budak tu. Masa tu kau masih kat Jakarta. Kau patut bagi dia peluang…itu semua bukan kehendak dia. Dia kena perangkap.” Rayu Baiti perlahan. Dia tidak mahu kerana salah faham ini, hubungan sahabatnya itu terputus.

“Rupa-rupanya aku belum kenal dia, Baiti. Mungkin dia perlukan masa untuk membina hubungan kami. Pertemuan yang berlaku ini terlalu pantas. Dia terlalu tergopoh-gopoh untuk mengikat aku, tetapi ini yang dia beri…aku menyesal, Baiti…” luah Kamelia dengan suara yang tersekat-sekat. Dia sedaya upaya menahan air matanya dari tertumpah ke bumi.

“Jangan cakap macam tu, Melia. Kau bertuah kerana mendapat cintanya. Dia seorang lelaki yang pegang janji, Melia. Lagipun aku dah cakap, Melia. Bukan kehendak dia. Ini semua mungkin takdir Tuhan untuk menguji kekuatan cinta kamu berdua, terutamanya kau…Melia.”

“Aku? Apa maksud kau? Kau ingat aku tak setia, aku tak kuat?”

“Mungkin. Sebab kau terlalu banyak pilihan. Kau masih keliru…fikiran kau belum tepat dalam membuat pilihan!”

“Dia yang bersalah kenapa kesetiaan aku yang dipersoalkan. Kau tak adil, Baiti. Kau berkomplot dengan dia ke? Senang-senang nak lepaskan diri…” Kamelia meninggikan suaranya. Dia rasa bosan pula apabila sahabatnya itu menyebelahi Ijol, mempertahankan Ijol. Semua orang menyokong Ijol.

“Kalaulah kau tahu…” Baiti tidak jadi meneruskan kata-katanya. Rahsia itu tidak boleh dibocorkan sekarang. Takut keadaan menjadi sebaliknya. Baiti menepuk bahu Kamelia, cuba mententeramkannya. Dia tahu Kamelia terluka mendengar perkhabaran ini. Tetapi benda dah terjadi, untuk di undur masa pun bukan kita yang berkuasa….

“Sabarlah, Mel. Setiap kejadian ada hikmahnya!”

“Aku belum mampu terima kejadian ini, Baiti. Aku belum bersedia…”

“Apa maksud kau?”

Akhirnya air mata yang ditahan, tumpah jua. Di pelukan Baiti, Kamelia menangis teresak-esak. Sebak di dada tak mampu ditahan lagi.