Menu
Results for "PUISI"
Oh! MyKarya!

Sewaktu Kenangan Semakin Pudar



Yang aku sayangi
Kenangan demi kenangan..
Antara kita di laman masa
Lebih berdekad dilalui
Semakin pudar dan hilang serinya

Yang aku rindui
Bila hati saling bertaut
Pada daun masa berlalu
Lebih berdekad diharungi
Telah hilang manis auranya

Bila semua telah pudar
Ku susuri relung kenangan
Berseorangan

Bila wajah rindu telah malap
Ku tatap bayangan silam
Bersendirian

Tak mengapalah..
Kamu mungkin dah jauh
Membina harapan yang baru
Mengait benang rindu
Bersamanya..

Percayalah!
Meski rasa sepi
Jauh di lubuk hati terkilan sekali
Aku masih mampu
Ceria dalam kepahitan
Mengorak langkah
Berlalu meninggalkan kenangan demi kenangan
Yang kian pudar..

Sebelum berlalu
Ku toleh sekilas lalu
Kenangan tetap jadi kenangan
Takkan berulang untuk kali kedua.

Begitulah hidup..
Tak perlu disesali
Tak perlu ditangisi..
Kerana lama kelamaan akan pudar
Bila masa berganti!

Aku.. dedaun masa,
A.Y.N.O.R.A  N.U.R
2.0.1.8

Sewaktu Kenangan Semakin Pudar Yang aku sayangi Kenangan demi kenangan.. Antara kita di laman masa Lebih berdekad dilalui Semaki...
aynorablogs Jul 24, 2018
Oh! MyKarya!

Kerana Kamu Memburu Syurga Yang Dirindukan

Kecilnya kamu telah redha
Berpisah terbawa diri di ruang asing
Dengan rasa keliru yang tak terluah
Belum faham rentak jalan yang dipilihkan
Atau kerana kamu anak yang tulus

Dalam debar menghela nafas pelajaran baru
Kamu menyimpan rasa yang dalam
Kerinduan kepada insan tersayang
Yang masih tak terbayangkan
Diluah atau dipendam dalam-dalam..

Kerana Kamu Memburu Syurga Yang Dirindukan

Seputih kain warna tercorak
Dari dakapan bonda dan ayahanda
Kamu berlari arah belum tentu
Namun melepaskan jua pautan ditangan
Kerana memburu syurga yang dirindukan

Anakku yang kupanggil ahli syurga
Tak dapat lagi kurenungi bening mata
Dikala tersimpul tanya dijiwa
Disaat ada persoalan ilmu yang tak dicerna
Tentu kamu malu malu dalam dilema
Kerana begitulah kamu...
Bak kain putih yang belum tercela..

Oh Tuhan
Kesayuan ini tak mampu ku tahankan
Robeknya hati menahan ngilu
Dikala cakrawala memacu tinta
Mencanang derita di media massa
Tentang kepergian kalian..
Yang takkan pernah kembali

Tika muazzin melaung menyeru
Ke jalan Allah dan kejayaan
Tika itu dalam raungan nestapa
Subuh hening berlagu syahdu
Saksikan satu demi satu
Anak-anakku.. rebah dalam kepanasan api dunia.

Apakah salah, apakah dosa
Mereka tak minta belas ehsan
Tak pula merayu barangan kemewahan
Sekadar menumpang lena untuk menyambung tenaga
Untuk esok lusa...
Yang belum tentu jalannya..
Namun tangan-tangan itu
Bermatakan syaitan durjana..
Membunuh mereka yang bermimpikan syurga

Kerana Kamu Memburu Syurga Yang Dirindukan

Dikala bertemu jawapan demi jawapan
Benar atau salah hukuman dijatuhkan
Angkara kesumat helah masalah duniawi
Yang suci dan redha menjadi mangsa
Yang tenang mata naluri diadili tanpa ilmu
Akhirnya kamu telah membunuh sejuta rasa
Mereka yang tinggal...

Satu masa nanti
Bila sang pesalah, kamu dan mereka
Berkunjung ke pusara tak bernyawa ini
Ketahuilah bahawa penyesalan kamu
Takkan dapat memadam
Amarah yang masih hidup
Dalam senyap dan pilu
Di hati kami, saksi dunia...

Yang keliru,
Aynora Nur
September, 2017

# Takziah kepada ahli keluarga mangsa kebakaran angkara dengki dan khianat serta dendam di Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyyah pada 14 September 2017

Semoga diangkat darjat mereka di kalangan hamba-hambaNya yang soleh, dilimpahi taufik dan hidayah hingga ke hari akhirat.

Kerana Kamu Memburu Syurga Yang Dirindukan Kecilnya kamu telah redha Berpisah terbawa diri di ruang asing Dengan rasa keliru yang tak te...
aynorablogs Sep 17, 2017
Oh! MyKarya!

Bagaimana kamu tahu?

Bagaimana kamu tahu?
Dia telah lalui kelam malam
Dalam kesepian panjang
Yang dia sendiri tak relakan

Bagaimana kamu tahu
Lorek mata nan pilu
Menyimpan duka sendu
Yang kerap membelenggu

Bagaimana kamu tahu
Jika bilah harinya
Dia menghitung
Derita cinta lara

Bagaimana kamu tahu
Hidupnya hanya untuk esok
Setelah sekian lama
Kelmarin bukan lagi teman akrabnya..

Bagaimana kamu tahu
Seorang itu adalah masa depan
Yang telah dijanjikan
Hanya menanti jodoh pertemuan..

Bagaimana kamu tahu
Yang dia sendiri pun tak tahu
Lantas takdir waktu
Milik nan Satu..

Bagaimana kamu tahu
Jika hatinya pernah bermimpi
Untuk menimbang bahagia
Pada neraca keadilan dunia?

Usahlah diteka
Jika kita tak mampu
Memadam gelap
Yang menutup terang...

Biarlah
Hadirnya cahaya di hujung jalan
Milik abadi DIA yang menentukan..


Salam hujung minggu,
Aynora Nur

Bagaimana kamu tahu? Dia telah lalui kelam malam Dalam kesepian panjang Yang dia sendiri tak relakan Bagaimana kamu tahu Lorek mata...
aynorablogs May 20, 2017
Oh! MyKarya!

Langkah berlalu dari teratak duka
Titis airmata sembunyi cerita kita
Tak indah umpama cereka mereka
Kelam masa depan
Kelu waktu itu, memandangmu
Biarkan engkau berlalu




Jauhnya kini antara kita
Kepergian untuk kembali menepis duka
Menahan amarah yang terpendam
Tak terluah oleh kata
Tak terpadam oleh airmata
Kerana parahnya terobek seribu

Antara kau dan aku
Mata kita penuh sendu
Bayangan hidup bertahun
Selalu membayangi lena

Mimpi pun masih terjaga
Melihatmu berlalu jauh
Langkah semakin perlahan
Tinggallah aku sendirian di belakang

Terkadang diri ini cuba membuka ruang
Agar ada kasih baru menghuni hati
Tetapi, sebenarnya amat payah
Mengganti kenangan bertahun itu
Dengan kehadiran yang sementara..

Kerana, sebenarnya aku masih berharap
Engkau menoleh dan memimpin tangan longlai ini
Meniti titian hidup, sekali lagi...

Aynora Nur
Malaysia, 21 Januari 2017




Langkah berlalu dari teratak duka Titis airmata sembunyi cerita kita Tak indah umpama cereka mereka Kelam masa depan Kelu waktu itu, mem...
aynorablogs Jan 21, 2017
Oh! MyKarya!

Runtuhnya Sabar Seorang Aku

Pernahkah terfikir pengakhiran sebuah janji?
Ia telah terkubur dan kabur
Dalam sebuah keegoan yang panjang
Engkau dan aku beralih arah
Utara dan selatan jalan dipilih
Meninggalkan segalanya tanpa hala
Begitulah janji didustai
Hati telah mati, keringnya lautan kasih
Terhenti nafas beradu selamanya

Sabar
Sabarlah..
Bersabar dalam runtuhan lelah
Rebah bersama harapan yang dipadu
Tewaslah seorang aku..
Dimamah kenangan lalu

Sambil berdoa
Ada lagi sisa harapan bersama sinar
Kelak menerangi kegelapan istana hati
Cahaya yang lama terpadam
Gemerlap kembali menyinari kelam mimpi

Begitulah...
Runtuhnya sabar seorang aku
Berkali-kali janji didustai
Harapan palsu mengaburi mata
Kasih diberi lakonan percuma
Sayang ditabur perhiasan palsu
Ucapan manis hanya dibibir 

Aynora Nur
14 Disember 2016

Pernahkah terfikir pengakhiran sebuah janji? Ia telah terkubur dan kabur Dalam sebuah keegoan yang panjang Engkau dan aku beralih ...
aynorablogs Dec 14, 2016
Oh! MyKarya!

Setelah lelah itu tewas
Derita jadi bahan cerita
Untuk sebuah keadilan
Yang tidak bertiang

Kerana Sengsara Itu
Adalah harga yang pedih
Diletak pada sebuah ikatan
Yang goyah dan tempang


Lalu...
Juraian air mata terakhir
Jadi saksi kekuatan
Hadirnya setelah kekecewaan
Yang tidak mampu dipertahankan

Entah,
Hati yang kering
Bolehkah menjadi basah
Oleh pujukan berdarah?
Telah Allah qalamkan
Setelah kesulitan ada kemudahan
Itulah tali dipegang
Tersimpul kuat dihati
Hingga mati!

Kerana sebuah sengsara
Baranya sentiasa hidup
Dalam tubuh itu
Yang dizalimi.

Biarlah kepada Allah
Terserah segala arah haluan
Menuju bahagia abadi.

Aynora Nur
Malaysia, Johor

Setelah lelah itu tewas Derita jadi bahan cerita Untuk sebuah keadilan Yang tidak bertiang Kerana Sengsara Itu Adalah harga yang pedih...
aynorablogs Oct 6, 2016
Oh! MyKarya!



Hanya Bayangan 

Gurauan silam kita
Hanya bayangan
Harapan sekadar igauan manis
Dalam mimpi indah
Seorang teman yang hilang

Hari indah ini
Doa penuh ikhlas dipinta
Berikan diri kesempatan
Melihat senyum mentarimu
Menyinari pagi yang hening 

Jika sinar itu tak muncul
Aku pun tak merajuk lagi
Cukup bayangan indahmu
Menghiasi senyumku sepanjang hari

Kerana percaya
Biar sekadar bayangan
Kau tetap ada, 
Dan selalu ada.



Aynora.nur
1 Syawal, 28 Julai 2014

Hanya Bayangan  Gurauan silam kita Hanya bayangan Harapan sekadar igauan manis Dalam mimpi indah Seorang teman yang hilan...
aynorablogs Aug 7, 2014