Menu
Oh! MyKarya!

As-salam,

Artikel ini saya tulis sebagai rujukan dan tambahan pengetahuan untuk golongan muda yang tidak mengenali siapakah dia Pak Sako? Jika anda mengikuti sejarah awal sastera melayu bermula tahun 1930-an, anda pasti kenal dengan tokoh penulis prolifik yang saya maksudkan ini.





Biodata Pak Sako


Ishak Haji Muhammad (14 November 1909 - 7 November 1991) atau lebih dikenali sebagai Pak Sako merupakan seorang penulis yang giat menulis sekitar tahun 1930-an sehingga1950-an. Ishak Haji Muhammad adalah seorang nasionalis negara. Kelibatnya bermula pada era sebelum kemerderkaan dan pascamerdeka. Gagasan yang ingin diperjuangkan oleh Pak Sako ialah penyatuan Melayu Raya yang mana Indonesia, Malaysia dan Brunei disatukan dalam satu serumpun.

Nama Pak Sako bukanlah satu nama asing bagi negara kita terutama dalam bidang kesusasteraan. Pak Sako sebenarnya adalah jolokan kepada nama Isako-san yang dipanggil orang-orang Jepun. Nama sebenar Pak Sako adalah Ishak Hj. Muhammad. Pak Sako juga dikenali juga dengan nama samaran seperti Anwar, Hantu Raya, Isako San dan Pandir Moden.

Pak Sako lahir pada tahun 1909 di Kampung Bukit Seguntang (antara Kampung Tengah dengan Kampung Buntut Pulau), Temerloh,Pahang dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Laki-Laki Temerloh (atau kini Sekolah Kebangsaan Kampung Tengah), Temerloh pada tahun 1919 dan melanjutkan pelajaran ke Sekolah Inggeris Clifford, Kuala Lipis pada tahun 1924 hingga 1928. Pak Sako lulus sijil persekolahan dari Sekolah Inggeris Raub pada tahun 1929. Pada tahun 1930, beliau melanjutkan pelajaran ke MCKK (Maktab Melayu Kuala Kangsar) untuk berlatih sebagai Pegawai dalam Perkhidmatan Pentadbiran Tanah Melayu (Malayan Civil Service). Beliau pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Penolong Pegawai Daerah, Majistret Kelas III dan guru bahasa sebelum menyertai dunia penulisan.

Pak Sako banyak menghasilkan novel, cerpen, esei dan memoir serta turut menulis rencana untuk akhbar Kumpulan Utusan Melayu. Perpustakaan Negara Malaysia memperolehi lebih dari 1,000 naskhah koleksi kesusasteraan hasilan beliau. Di samping itu, beliau juga telah menghasilkan 2 buah karya yang terkenal iaitu Putera Gunung Tahan dan Anak Mat Lela Gila yang mencerminkan pandangan dan cita-cita beliau sebagai patriot dan sasterawan. Beliau juga bergiat cergas untuk menulis cerpen. Nukilan tersohor Pak Sako,Putera Gunung Tahan dan Anak Mat Lela Gila merupakan novel satira yang ditujukan kepada orang-orang British dan juga sebagai kritikan kepada orang-orang British. Pak Sako memberatkan kebudayaan Melayu dalam penulisannya, dan mengagungkan budaya Melayu dengan membandingkannya dengan budaya Inggeris yang kurang kualiti dan terlalu agresif.

Karya penulisan Pak Sako

  1. Putera Gunung Tahan, Utusan Publications & Distributors, 2000.
  2. Memoir Pak Sako : putera gunung Tahan , UKM, 1997.
  3. Budak Beca / Pak Sako, Marwilis Publisher, 1992.
  4. Biografi Pak Sako : Hidup Meniti Ranjau (oleh Wahba), Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991
  5. Pepatah Petitih , Creative Enterprise, 1989.
  6. Renungan Pak Sako
  7. Budak Beca. Marang: Mohamad bin A. Rahman, 1957.
  8. Judi Karam. Singapura: Geliga, 1958.
  9. Pengantin Baru. Singapura: Geliga.
  10. Putera Gunung Tahan. Singapura: Geliga, 1937.

Sewaktu di tingkatan enam dahulu kami kerap menghafal karya-karya dan sejarah Pak Sako dalam bidang sastera melayu. Oleh kerana bidang pengalamannya amat luas dalam dunia kewartawanan dan juga sastera, kami sering gagal mendapat markah penuh untuk kertas Bahasa Melayu. Dan kebetulan pula guru Bahasa Melayu kami waktu itu adalah berketurunan Cina yang kami panggil Mr Wong sahaja. Jadi, minat untuk ambil tahu dengan lebih mendalam agak kurang...

Bukan salah cikgu mengajar, ok..

As-salam, Artikel ini saya tulis sebagai rujukan dan tambahan pengetahuan untuk golongan muda yang tidak mengenali siapakah dia Pak Sako? ...
Unknown Mar 20, 2013
Oh! MyKarya!

senyuman diukir meski hati gusar
bibir berkata tabahnya jiwa nan mendengar
hati kita pun ikut bergetar
rasa megah ketakutan pun terhindar
semangatmu ku bawa di hari mendatar

tatkala salam dan pelukan terlerai
dirimu di seberang membawa misi keamanan
langkah berani diatur langsung tak goyah
jiwa raga manusia yang kau tinggalkan
ikut berkobar bersahut azam kemenangan...

dalam perjuangan menempuh kesukaran
kezaliman mata peluru tidak mengenal tuan dan lawan
titisan darah terakhir benar jua kata bidalan
kau menjadi korban yang kami namakan wirawan
dan titisan air mata yang tercinta pun ikut berjuraian
pergilah dengan aman jika itu jasa yang kau tawarkan...

wira bangsa tak mengenal lelah
satu yang pergi ribuan lagi bersemangat tinggi
satu persatu musuh kita tumbangkan
akhiri perjuangan ini dengan maruah!

musuh yang datang berkerat rotan
ibarat menempah maut di mulut sendiri
pagar bumi tercinta dengan jati diri
kita yang tinggal usahlah leka
kelak air mata berderaian lagi di bumi tercinta


jasamu dikenang selagi zaman tak lapuk
namamu abadi pada persada pertiwi

tamatkan kehancuran itu di sini!



catatan insiden Lahad Datu,
oleh aynora nur


senyuman diukir meski hati gusar bibir berkata tabahnya jiwa nan mendengar hati kita pun ikut bergetar rasa megah ketakutan pun terhindar...
Unknown Mar 5, 2013
Oh! MyKarya!

 


Azhan menunggu bibir nipis Suzy terbuka dan meluahkan apa yang terpendam dalam hatinya selama ini. Apakah maksud Trisya sebentar tadi. Apakah Suzy sudah dimiliki ataupun akulah yang bertahta di hati Suzy? Azhan menunggu penuh sabar. Suzy hanya senyum-senyum tidak jauh darinya. Nasib baik tubuh mereka tidaklah terlalu berat, jika tidak mahu roboh buaian milik kesayangan kakaknya.

"Baik awak cakap sekarang. Siapa BF lemau awak tu?"

Suzy tersengih-sengih gelihati mendengar pertanyaan Azhan buat kesekian kalinya. Lemaukah dia? Trisya memang nak kena! Semua benda nak dibongkarkan, alahai nasib badan...berserah sajalah Suzy daripada kau terperangkap di hadapan si Azhan; fikiran Suzy berbolak-balik.  

"Termenung lama gitu, mesti BF lemau awak tu tak wujud, kan? Awak buat cerita agar Trisya tak pandang rendah pada awak sebab umur dan badan dah besar panjang macam ni, masih tak ada BF. Betul tak tanggapan saya?" Azhan terus menyoalnya dengan nada yang agak sinis.

Suzy merasa dirinya dipandang begitu rendah oleh Azhan. Hasrat dihati hanya mahu bergurau dengan Trisya tetapi sebaliknya makhluk angkuh ini telah menuduhnya membabi buta. Benarkah aku tak punya BF seperti sangkaan Azhan? Apakah Azhan tak pernah memandang berat perhatianku terhadapnya selama ini? Pertemuan tidak disangka-sangka di rumah banglo ini bukanlah rancangannya. Suzy pun bukannya mahu mengajar tuisyen selama-lamanya. Cuma rezeki pekerjaan belum ada untuknya. Itulah sebabnya akhirnya dia bertapak sementara di sini.

"Sukar benar nampaknya awak nak menjawab persoalan saya. Atau sayakah BF yang awak anggap lemau tu? Sayakah yang lambat bertindak? Sebab itu awak gelarkan saya lemau? Cakap Suzy, cakap!!" Azhan sudah hilang sabar dengan sikap berdiam diri Suzy.

"Apa halnya ni? Azhan...apa kau dah buat dengan Suzy? Korang kenal ke?" terjahan suara Puan Linda    mengejutkan Azhan dan Suzy serentak.    

Azhan dan Suzy serentak bangun dari buaian. Suasana ketika itu agak tegang sedikit. Puan Linda pasti mengesyaki yang bukan-bukan terhadap Suzy mahupun adiknya sendiri, Azhan.

"Kenapa dengan kau, Han? Dah lama sampai? Akak lupa nak bagitau yang Trisya ambil cikgu tuisyen baru. Cikgu yang lama dah berhenti sambung belajar. Kenalkan ini Suzy."

Azhan dan Suzy hanya mengangguk serentak. Mata Suzy penuh dengan rasa marah berapi kerana dia nyaris dibuli oleh Azhan tadi. Kemunculan Puan Linda memang menyelamatkannya. Dia mengatur langkah mendapatkan Trisya yang sedang leka menonton Tutor TV. Pandai pula budak comel itu berlakon di hadapan ibunya sendiri.

Suzy malas ambil tahu apa yang dibualkan oleh Puan Linda dan Azhan di meja makan. Kadangkala ada gelak tawa dan adakalanya kedengaran serius. Asalkan jangan perihal dirinya sudah! Itu sudah cukup bagi Suzy dan biarlah rahsia perkenalannya dengan si angkuh Azhan itu terbiar sepi.

"Suzy...maafkanlah adik saya tadi. Dia memang macam itu. Terburu-buru tak bertempat." Bahu Suzy disentuh lembut oleh Puan Linda.

"Saya tak kisah pun, Puan."

"Baguslah kalau macam itu. Lega hati saya. Lagipun sebentar tadi Azhan dah ceritakan semunya. Korang berdua dah berkenalan ketika bekerja dulu, kan? Patutlah gaduh-gaduh manja saya tengok tadi. Azhan pun dah minta maaf kerana agak kasar dengan awak tadi." suara Puan Linda amat teratur.

'Hish! Minta maaf boleh kirim dengan pihak ketiga pulak! Tak aci betul!' gumam Suzy dalam hati.

"Saya mohon maaf dari hujung rambut sampai hujung kaki...Sorry! Please! Please! Please!"

Terjahan tindakan Azhan yang memohon maaf secara tiba-tiba membuatkan Suzy hampir terlompat. Memang dia terkejut beruk dengan gelagat Azhan secara mendadak tadi. Otaknya pun tak sempat berfikir dengan waras. Hasilnya satu tamparan hinggap di pipi putih milik Azhan.

"Padan muka!" Puan Linda ketawa gelihati melihat adiknya ditampar oleh Suzy.

"Kak Linda...tengoklah siapa yang kena dera!"

Puan Linda hanya mengangkat tangan sambil berlalu menaiki tangga untuk ke tingkat atas. Trisya yang duduk  tidak jauh dari Suzy ikut ketawa mengekeh.

"Apa makna semua ini, awak..."

"Maafkan saya. Lain kali jangan terjah macam itu lagi. Saya ni ada darah lemah semangat. Pantang orang sergah-sergah, saya tampar aje..." jawab Suzy tegas.

"Dengan semua orang ke awak buat macam ni?"

"Tak. Sorang mamat tu aje..."

"Saya ker?"

"Dah terang nak bersuluh pulak!"

"Betullah tekaan saya..."

"Apa dia?" soal Suzy garang.

"BF lemau awak itu adalah saya, kan?"

Suzy hanya merenung wajah bersih Azhan dengan pandangan kasih di hati. Itu pun kalau Azhan memahami...

"Kalau begitu senang hati saya. Saya ingatkan awak ada BF lain...hihi..." Azhan tersengih menampakkan barisan giginya yang cantik.

Suzy menjeling geram. Suka pulak digelar BF lemau tapi badan tegap sihat walafiat, kekadang lain orang lain ragamnya. Azhan...Azhan....

"Awak ni tunjukkan kasih sayang dengan tampar dan sepak terajang ke? Tiap kali saya nak ngorat awak, awak tukar jadi amat garang. Awak ni tak ada sifat romantik ke?" Azhan masih mengusik Suzy yang telah mula memberi perhatian kepada pertanyaan Trisya.

"Pak Usu jangan sibuk boleh tak? Kak Suzy nak ajar Trisya ni..."

"Ala...Pak Usu nak kena jaga dia. Nanti dia missing in action untuk berapa tahun pulak. Melopong Pak Usu!"

"Hah!! Pak Usu nak kahwin dengan Kak Suzy ya...nanti Trisya story kat Papa..."

"Hish! Trisya salah faham. Kak Suzy nak killed him! Penyibuk!"

"Ha! Bila tengah garang tu saya tahu...awak kata saya terima nikahnya!" Azhan galak mengusik.

"Awak!!" Suzy menjerit geram.

 

  Azhan menunggu bibir nipis Suzy terbuka dan meluahkan apa yang terpendam dalam hatinya selama ini. Apakah maksud Trisya sebentar tad...
Unknown Jan 28, 2013
Oh! MyKarya!

As-salam,

YAM Tunku Abdul Rahman adalah seorang pejuang ulung yang meninggalkan jasa yang amat besar kepada kita di bumi Malaysia ini. Mungkin jika tidak kerana usaha-usahanya meraih kemerdekaan untuk Tanah Melayu, ketika ini negara kita tidak menjadi sebegini maju. Seharusnya perjuangan beliau dijadikan iktibar kepada kita yang sering bermusuh kerana ideologi politik yang tidak sealiran.


Sejarah Kelahiran & Keluarga


Tunku Abdul Rahman

YAM Tunku Abdul Rahman dilahirkan di Istana Tiga Tingkat, Alor Setar, Kedah yang lebih dikenali sebagai Istana Pelamin, Tunku merupakan anak lelaki yang ketujuh dan anak yang kedua puluh kepada Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Sultan Kedah yang ke-24. Bondanya Cik Menyelara, seorang isteri Sultan Abdul Hamid yang tidak berdarah gahara, ialah anak perempuan Luang Naraborirak (Kleb), seorang pegawai daerah Thailand. Kelahiran Tunku disambut secara biasa sahaja kerana beliau bukan bakal pengganti Sultan Kedah. Pengganti Sultan Kedah, Sultan Badlishah ibni Sultan Abdul Hamid, telah pun berumur 30 tahun ketika itu.

Semasa kecil, Tunku dipanggil Awang kerana rupa parasnya yang tidak sesegak adik-beradiknya yang lain. Beliau bebas bermain di luar istana dan pernah membentuk pasukan bola sepak kampung. Tunku biasa mengendap burung dan melastik, serta bermain lumpur sehingga menghidapi penyakit puru di kakinya.

Pada tahun 1933, Tunku berkahwin dengan Mariam, seorang wanita kacukan Cina-Siam yang merupakan anak perempuan tauke lombong di Alor Star. Beliau dikurniakan dengan dua cahaya mata, iaitu Tunku Ahmad Nerang Putra dan Tunku Khadijah. Mariam meninggal dunia pada tahun 1934 kerana menghidapi penyakit malaria di Kuala Nerang, Kedah.

Selepas kematian Mariam, Tunku berkahwin dengan Violet Coulson, bekas tuan rumahnya di England. Antara saksi perkahwinannya di Geylang Serai, Singapura ialah Syed Ahmad al Sagoff.

Tunku mengalami nasib yang sama seperti Tunku Yusuf ibni Sultan Abdul Hamid. Dititahkan untuk menceraikan Violet oleh Pemangku Raja Kedah, Tunku kemudian berkahwin dengan Sharifah Rodziah Syed Alwi Barakbah, seorang saudara jauh yang juga merupakan adik Syed Omar Barakbah, rakan sekuliahnya di England, pada tahun 1939. Perkahwinan ini direstui kerana berketurunan Arab yang ternama dan kaya di Kedah. Oleh sebab perkahwinan ini tidak mendapat seorang anak pun, mereka mengambil tiga anak angkat iaitu Faridah, Sulaiman dan Mariam. Tunku juga telah mengahwini seorang yang berbangsa Cina pada tahun 1963 dengan rahsia dan telah mendapat dua orang cahaya mata perempuan yang diberi nama Tunku Noor Hayati dan Tunku Mastura.

Ringkasan Peristiwa

  • 1903: Dilahirkan pada 8 Februari di Istana Tiga Tingkat, Alor Setar yang lebih dikenali sebagai Istana Pelamin.
  • 1913 (umur 10): Beliau dihantar ke Bangkok untuk menetap bersama Tunku Yusuf ibni Sultan Abdul Hamid, iaitu abang sulung Tunku Abdul Rahman. Tunku belajar di Sekolah Debsirindir, Bangkok.
  • 1916 (umur 13): Pulang ke Kedah dan memasuki Penang Free School.
  • 1919 (umur 16): Belajar di England.
  • 1925 (umur 22): Memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sastera (Sejarah) dengan bantuan dan kerjasama dari sahabatnya Taib Andak.
  • 1927 (umur 24): Dihantar semula ke England untuk belajar undang-undang di Universiti Cambridge kerana keluarganya tidak berpuas hati dengan keputusannya yang lalu.
  • 1930 (umur 27): Lulus semester pertama, jurusan undang-undang di Inner Temple.
  • 1931 (umur 28): Berkhidmat sebagai pegawai latihan di Pejabat Penasihat Undang-Undang Kedah dengan gaji sebanyak RM300.00 sebulan, dan kemudiannya sebagai Penolong Pegawai Jajahan di Kulim.
  • 1932 (umur 29): Berkhidmat sebagai Pegawai Jajahan di Kuala Nerang.
  • 1933 (umur 30): Berkahwin dengan Mariam, gadis kacukan Cina-Siam, anak tauke lombong Cina di Alor Setar. Akhir 1933, Mariam melahirkan anak perempuan dan dinamakan Tunku Khatijah ibni Tunku Abdul Rahman. Kemudian anak lelaki bernama Tunku Ahmad Nerang ibni Tunku Abdul Rahman.
  • 1934: Mariam meninggal dunia kerana penyakit malaria di Kuala Nerang, Kedah. Tunku berkahwin dengan kekasih lamanya Violet Coulson di Geylang Serai, Singapura.
  • 1935 (umur 32): Dipindahkan ke Pulau Langkawi oleh Penasihat British, Clayton. Selain itu , perkahwinan Tunku dengan Violet kurang direstui.
  • 1937 (umur 34): Bertugas sebagai Pegawai Jajahan di Sungai Petani.Beliau juga bertindak sebagai hakim daerah Sungai Petani dan Pengerusi Lembaga Kebersihan Sungai Petani.
  • 1938 (umur 37): Pergi ke England buat kali ke-3 untuk menyambung pelajaran dalam bidang undang-undang. Antara temannya ialah Saadon Zubir. Tunku berbaik semula dengan isterinya yang telah diceraikan , Violet Coulson.
  • 1939 (umur 36): Kembali ke Kedah kerana ada berita perang akan meletus di Eropah.Berkahwin dengan Syarifah Rodziah binti Syed Barakbah .Syarifah Rodziah Syed Syeikh Barakbah ialah adik rakan sekuliahnya di England iaitu Syed Omar Barakbah. Perkahwinan ini tidak mendapat seorang anak pun.
  • 1940 (umur 37): Dilantik sebagai Timbalan Pengarah Perkhidmatan Pasukan Kawalan Am Selatan Kedah.
  • 1941 (umur 38): Jepun menyerang Kota Bharu , Kelantan pada 8 Disember.
  • 1947 (umur 44): Berangkat semula ke England untuk menyambung pengajian * 1948 (umur 45): Dipanggil ke bar di Inner Temple.
  • 1949 (umur 46): Pulang ke Tanah Melayu. Pada mulanya, beliau dihantar ke pejabat Pegawai Undang-undang di Alor Star. Kemudian beliau memohon untuk bertukar ke Kuala Lumpur. Di Kuala Lumpur, Tunku menjadi Timbalan Pendakwa Raya dan kemudiannya, dilantik sebagai Presiden Mahkamah Sesi.
  • 1946: Menyertai UMNO.
  • 1951 (umur 48): Menjadi Presiden UMNO pada Oktober sewaktu Datuk Onn Jaafar meletakkan jawatan. Menganjurkan Pertandingan Membaca Al-Quran peringkat negeri yang pertama di Kedah.
  • 1954 (umur 51): Mengetuai satu rombongan ke England untuk berbincang bagi menuntut kemerdekaan bagi Tanah Melayu, tetapi kunjungan itu tidak berhasil.
  • 1955 (umur 52): Pilihan raya persekutuan umum yang pertama diadakan, dan Parti Perikatan(Barisan Nasional) memenangi 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. Dengan majoriti ini, Tunku Abdul Rahman telah dilantik sebagai Ketua Menteri Tanah Melayu yang pertama. Satu lagi rombongan ke London diadakan.
  • 1956 (umur 53): England bersetuju untuk memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Sebaik pulang dari England, Tunku mengisytiharkan berita gembira ini buat kali pertamanya pada 20 Februari di Bandar Hilir, Melaka.
  • 1957 (umur 54): Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos. Memperkenalkan kejohanan Pestabola Merdeka, yang merupakan pertandingan bolasepak antarabangsa.
  • 1958 (umur 55): Dilantik sebagai Presiden pertama Asian Football Confederation (AFC) (1958 – 1976).
  • 1960 (umur 57): Menubuhkan Pertubuhan Kebajikan Islam (PERKIM), sebuah pertubuhan untuk membantu golongan mualaf dalam menyesuaikan hidup baru sebagai Muslim.
  • 1961 (umur 58): Memulakan penubuhan Association of Southeast Asia (ASA) yang menggabungkan Tanah Melayu, Thailand dan Filipina. Menjadi tuan rumah Pertandingan Membaca Al-Quran Peringkat Antarabangsa yang pertama.
  • 1963 (umur 60): Membentuk Malaysia pada 16 September, apabila Tanah Melayu bergabung dengan Singapura, Sarawak dan Borneo Utara (sekarang Sabah).
  • 1967 (umur 64): ASA dibubarkan untuk memberi laluan kepada persatuan yang lebih besar, iaitu Association of Southeast Asian Nations.
  • 1969 (umur 66): Membantu menubuhkan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan dilantik sebagai Setiausaha Agungnya yang pertama.
  • 1971 (umur 68): Meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno dan digantikan oleh timbalannya, Datuk Abdul Razak Hussein.
  • 1982 (umur 79): Menjadi Presiden Majlis Dakwah Serantau Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP) (1982 – 1988).
  • 1990 (umur 87): Mangkat pada 6 Disember, dan disemadikan di Makam Diraja Langgar di Alor Star. 

*** Sumber

Semoga catatan perkongsian di atas dapat memberikan kita sedikit gambaran perjalanan insan patriotik bernama YAM Tunku Abdul Rahman yang banyak berjasa kepada negara kita yang tercinta.

As-salam, YAM Tunku Abdul Rahman adalah seorang pejuang ulung yang meninggalkan jasa yang amat besar kepada kita di bumi Malaysia ini. Mun...
Unknown Jan 27, 2013
Oh! MyKarya!

Assalamualaikum & salam sejahtera,

Pembaca sekalian,

Penghasilan novel dalam talian sudah terlalu banyak hinggakan kita tidak tahu memilih karya manakah yang menarik dan bermanfaat untuk bacaan kita. Ada sesetengah novel yang best isi dan temanya tetapi menggunakan bahasa yang kurang bijak penyampaiannya. Ada pula yang sebaliknya.


Menulis novel biarlah dengan bahasa yang betul dan ejaan standard agar anak-anak kecil yang baru hendak belajar boleh menggunakan medium internet sebagai bahan tambahan. Bagaimana kita mahu mengawal keadaan ini? Mari kita cuba cara-cara berikut;


  1. Belajar bahasa melayu dengan cara yang betul seperti merujuk DBP, ahli bahasa ataupun cikgu bahasa yang pakar.
  2. Membuat latihan gabungan ayat-ayat pendek dan hubungkan dengan kata penghubung seperti dan, serta, manakala dan sebagainya.
  3. Sentiasa membuat latihan menulis dalam bahasa melayu.
  4. Tanamkan tekad untuk menulis dengan menggunakan bahasa yang seragam dan mengawal kesalahan ejaan dengan menyunting bahan/artikel/novel terlebih dahulu.
  5. Minta bantuan daripada rakan-rakan ataupun saudara terdekat menyemak artikel kita sebelum di siarkan dalam blog.
  6. Terima komen atau pandangan orang lain dengan hati tebuka.     


Seorang penulis perlu lebih peka dan bersikap 'open minded' menerima teguran. Jangan malu untuk belajar daripada orang di sekeliling kita kerana kita tidak tahu siapa di antara mereka yang memberikan ilham dan membuka idea untuk sesebuah karya.

Jadi, mari kita belajar bersama-sama demi memartabatkan karya novel ataupun e-novel, cerpen, sajak dan sebagainya di alam maya ini.

Catatan,
aynora nur
Januari 2013 
  

Assalamualaikum & salam sejahtera, Pembaca sekalian, Penghasilan novel dalam talian sudah terlalu banyak hinggakan kita tidak tahu ...
Unknown Jan 3, 2013
Oh! MyKarya!


Haizan melakukan kerjanya seperti biasa. Lewat enam petang dia selesai menyiapkan tugas rutinnya pada hari itu. Haizan sudah tidak sabar-sabar mahu menelefon Soraya dan bercadang membawanya menonton wayang malam nanti. Dia meraba poket seluarnya. Dua keping tiket tayangan tengah malam tersimpan kemas. Filem action memang digemari oleh Soraya dan Haizan berharap 'surprise' yang bakal dibuatnya nanti menjadi. Belum pun sempat Haizan mendail nombor, telefonnya terlebih dahulu berbunyi.

"Hai, hello..."

"Yes Diane, what's up?"

"Temankan I shopping malam ni. Minggu depan I dah nak balik ke Tioman. I nak cari benda sikit untuk Pak Anjang. Please..."

"You minta tolong Aziz kan boleh. I ada hal. Tak boleh temankan you."

"Kenapa tak boleh? Nak keluar dengan Nina lagi ya..." tanya Diane dengan nada cemburu.

"Adalah! Jumpa kawan."

"Never mind, then!"

Klik! Talian telahpun diputuskan.

Haizan termenung seketika. Semenjak kebelakangan ini kelakuan Diane membingungkannya. Kadangkala dengan sengaja Diane berkemban keluar dari bilik mandi walaupun sudah berbuih ibunya menasihati. Diane umpama sengaja cuba menarik perhatian Haizan dan Aziz. Pernah sekali dia masuk ke bilik Haizan tanpa dipelawa. Waktu itu Diane hanya berseluar pendek menampakkan pehanya yang putih gebu. Nasib baik nilai keimanan Haizan tetap utuh di dalam diri. Kalau tidak, kes lain pula yang timbul!

Haizan tersentak dari lamunannya apabila telefon di sisi menjerit-jerit.

"Hello..."

"Zeem, kenapa dengan kau ni?"

"Emak. Apa halnya?"

"Budak Diane merajuk kata kau tak nak temankan dia keluar malam nanti. Kau ada nak jumpa kawan ke?" tanya emaknya di hujung talian.

"Ya lah mak. Saya ingat nak bawa Nina tengok wayang."

"Batalkan aje rancangan kau tu. Budak ni nak balik hujung minggu nanti, apa salahnya temankan dia sekali-sekala. Bukan mak tak suka kau nak keluar dengan Nina. Tapi kan korang ada masa di lain kali..." bebel emaknya di hujung sana.

"Okey, okeylah mak. Malas saya nak bertengkar pasal dia." Haizan mematikan telefonnya.

Perlahan-lahan Haizan mengeluarkan tiket wayang daripada poketnya dan menyerahkan kepada Harris, office boynya. Harris tersenyum memanjang kerana dapat dua keping tiket free daripada Haizan. Bukannya selalu pun...sengihan Harris semakin lebar.

Selepas solat Isyak, Haizan membawa dengan terpaksa si gedik Diane menuju ke bandar JB. Nasib baik Aziz tak ada plan apa-apa malam itu, jadi bolehlah angkut sekali sepupunya yang 'macho' itu. Mana tahu nanti terserempak dengan rakan-rakan sepejabat ataupun rakan-rakan Nina, jadi tiada sebab mereka boleh digosipkan. Langkah di atur ke City Square dahulu dan kemudian mereka bergerak pula ke Plaza Angsana. Dalam perjalanan pulang mereka singgah di Restoran Seafood Muslim berdekatan BBU untuk menjamu selera.  

"You nak makan apa? Orderlah." gesa Haizan malas berlengah-lengah.

"Aku nak sate, Zeem. Jangan lupa mak cik nak kita bungkuskan sate sikit."

"I...anything can do. Penting perut kenyang."

Haizan menjeling Diane dengan wajah bosan sambil mengerling sepupunya. Aziz hanya tersenyum mengejek. Mereka memesan siakap kukus halia bersama dengan nasi putih dan set pelengkapnya.

"Aku ke toilet sekejap. Sakit perut la..." Aziz segera berlalu.

Haizan malas memandang Diane yang asyik merenungnya. Dia memusatkan pandangannya ke jalan raya yang sibuk dengan kenderaan lalu lalang. Tiba-tiba matanya terpandang sesusuk tubuh yang amat dikenali. Gadis ceria itu sedang memegang lengan rakan sepejabatnya yang bernama Syed Hafiz untuk melintas jalan. Entah mengapa mata Haizan tidak mahu lepas dari mengekori langkah Soraya hinggakan gadis itu terperasan dirinya menjadi satu tatapan mata. Sama-sama terpaku. Perasaan Haizan jadi tak tentu arah.

"Itu kawan you yang datang rumah kita kan? Ajak mereka makan dengan kita." Diane turut perasan dengan kehadiran Soraya di medan selera itu.

"No. Not nice, I think." jawab Haizan perlahan.

Soraya menghampiri mereka.

"Wow! Encik Haizan...kebetulan pulak terjumpa kita kat sini. Ada date ke?" sindir Soraya.

"Kita asyik terjumpa aje kat mana-mana. Kat mana ada kau, kat situ ada aku." seloroh Syed Hafiz.

"Salah tu, kat mana aku pergi, kat situlah Nina muncul." Haizan dengan selamba membetulkan ayat teman sepejabatnya.

Muka Soraya merah padam. Syed Hafiz pula tersenyum sinis.

"Okeylah kami pergi dulu. Makan kat hujung sana..." Syed Hafiz meminta diri.

Haizan memandang sahaja Soraya berlalu sambil mengekori Syed Hafiz tanpa sempat mengucapkan apa-apa.

"Apa hal ni muka serabai aje." Aziz memandang Haizan dengan wajah kehairanan.

"Kau pun satu. Lambat betul melabur. Tak boleh aku nak cover line..."

"Apa halnya?" Aziz langsung tidak faham mengapa Haizan teruk benar anginnya.

"Nina."

      

        

  

Haizan melakukan kerjanya seperti biasa. Lewat enam petang dia selesai menyiapkan tugas rutinnya pada hari itu. Haizan sudah tidak sabar-...
Unknown
Oh! MyKarya!



Kerana malam telah habis
cahaya fajar cepat berlalu
mimpi asing jauh perginya malam tadi
rayau pada seluruh hari
nafas segar dihirup lesu
si pejalan ini bangun lagi
kerana pagi ini...
adalah satu hari lagi realiti
seperti semalam yang pergi

Itulah lumrah hari...


**aynora nur**

Kerana malam telah habis cahaya fajar cepat berlalu mimpi asing jauh perginya malam tadi rayau pada seluruh hari nafas segar di...
Unknown Dec 28, 2012
Oh! MyKarya!

Apa Itu Puisi?


Berikut saya paparkan sebuah perkongsian tentang 'Apa Itu Puisi' daripada pembacaan di blog ini, semoga kita lebih arif apa itu puisi dan unsur-unsurnya.

1. Pengertian
Secara etimologis, kata puisi dalam bahasa Yunani berasal dari poesis yang artinya bererti penciptaan. Dalam bahasa Inggeris, padanan kata puisi ini adalah poetry yang erat dengan –poet dan -poem. Mengenai kata poet, Coulter (dalam Tarigan, 1986:4) menjelaskan bahwa kata poet berasal dari Yunani yang bererti membuat atau mencipta. Dalam bahasa Yunani sendiri, kata poet bererti orang yang mencipta melalui imaginasinya, orang yang hampir-hampir menyerupai dewa atau yang amat suka kepada dewa-dewa. Dia adalah orang yang berpenglihatan tajam, orang suci, yang sekaligus merupakan ahli falsafah, negarawan, guru, orang yang dapat meneka kebenaran yang tersembunyi.

Shahnon Ahmad (dalam Pradopo, 1993:6) mengumpulkan definisi puisi yang pada umumnya dikemukakan oleh para penyair romantik Inggeris sebagai berikut.

(1) Samuel Taylor Coleridge mengemukakan puisi itu adalah kata-kata yang terindah dalam susunan terindah. Penyair memilih kata-kata yang setepatnya dan disusun secara sebaik-baiknya, misalnya seimbang, simetris, antara satu unsur dengan unsur lain sangat erat perhubungannya, dan sebagainya.

(2) Carlyle mengatakan bahwa puisi merupakan pemikiran yang bersifat muzikal. Penyair menciptakan puisi itu memikirkan bunyi-bunyi yang merdu seperti muzik dalam puisinya, kata-kata disusun begitu rupa hingga yang menonjol adalah rangkaian bunyinya yang merdu seperti muzik, iaitu dengan mempergunakan orkestra bunyi.

(3) Wordsworth mempunyai gagasan bahwa puisi adalah pernyataan perasaan yang imaginatif, iaitu perasaan yang direkakan atau diangankan. Adapun Auden mengemukakan bahawa puisi itu lebih merupakan pernyataan perasaan yang bercampur-baur.

(4) Dunton berpendapat bahawa sebenarnya puisi itu merupakan pemikiran manusia secara konkrit dan artistik dalam bahasa emosional serta berirama. Misalnya, dengan kiasan, dengan citra-citra, dan disusun secara artistik (misalnya selaras, simetris, pemilihan kata-katanya tepat, dan sebagainya), dan bahasanya penuh perasaan, serta berirama seperti muzik (pergantian bunyi kata-katanya berturu-turut secara teratur).

(5) Shelley mengemukakan bahawa puisi adalah rakaman detik-detik yang paling indah dalam hidup. Misalnya seperti peristiwa-peristiwa yang sangat mengesankan dan menimbulkan keharuan yang kuat seperti kebahagiaan, kegembiraan yang memuncak, percintaan, bahkan kesedihan kerana kematian orang yang sangat dicintai. Semuanya merupakan detik-detik yang paling indah untuk dirakam.

Daripada definisi-definisi di atas memang seolah terdapat perbezaan pemikiran, namun tetap terdapat persamaannya. Shahnon Ahmad (dalam Pradopo, 1993:7) menyimpulkan bahawa pengertian puisi di atas terdapat garis-garis besar tentang puisi itu sebenarnya. Unsur-unsur itu berupa emosi, imaginasi, pemikiran, idea, nada, irama, kesan pancaindera, susunan kata, kata kiasan, kepadatan, dan perasaan yang bercampur-baur.

Untuk membaca tentang unsur-unsur puisi, anda boleh lawati blog berikut:

http://endonesa.wordpress.com/2008/09/08/puisi-definisi-dan-unsur-unsurnya/



aynora nur 12.12.12

Berikut saya paparkan sebuah perkongsian tentang 'Apa Itu Puisi' daripada pembacaan di blog ini , semoga kita lebih arif apa it...
Unknown Dec 12, 2012
Oh! MyKarya!



Sebaik kereta Laila melepasi pintu pagar automatik banglo milik Rain, telefon anak muda itu berdering-dering. Mendengarkan nada deringnya sahaja sudah cukup membuatkan jiwanya terbang melayang dengan rasa bahagia.

"Assalamualaikum..."

Di hujung sana suara girang seorang gadis menjawab salam.

"Lunch?"

"Bila?"

Sambil berbual di telefon, Rain berlari perlahan ke biliknya. Dia tak sanggup meletakkan telefonnya dari cuping telinga. Menerima panggilan daripada Rara membuatkan harinya penuh dengan tuah. I'm a lucky man...

"Boleh tunggu aku 20 minit tak?"

"Tolak jamed, parking time..bla...bla..."

Dalam 10 minit Rain sudah memandu BMW hitamnya menuju ke destinasi yang menanti. Ada gadis bertuah sedang menunggunya. Semoga hari-hari yang dipenuhi gambar ceria terus menemani langkahnya. Sungguh-sungguh Rain berdoa di sudut hatinya. Sambil memandu, Rain tersenyum sendirian. Akhirnya Rara semakin dekat untuk digenggam. Memori ketika di UK datang mengasak ingatan. Hanya yang manis-manis saja yang ingin dikenang.

"Herm...dengan kau Rara, yang pahit pun manis juga rasanya." Rain menganyam senyum yang panjang di dalam hati.  


*** 

Dari jauh Rain nampak Rara sedang membelek menu. Gadis itu berseorangan. Rain mengambil langkah berhati-hati ditakuti kehadirannya di kawasan restoran tersebut bakal mengundang masalah. Dia tidak mahu Rara ditimpa sebarang musibah pada hari pertama dia bekerja. Topi di kepala diturunkan sedikit agar wajahnya tidak terlalu ketara. Setelah yakin tiada sesiapa yang menyedari kehadiran susuk tubuhnya, dia terus merapati meja Rara.

“Hai…”

Rara terkesima. Akhirnya setelah Rain melabuhkan punggung di hadapannya, dia baru berani membuka mulut.

“Ingatkan mamat mana tadi. Kau ni kan…nasib baik tak kena lepuk dengan aku.”

“Ha! Ingat apa pesan aku. Kau tu dah jadi dot dot orang. Jangan kasar semacam. Be yourself, seperti Rara yang aku kenali pada pandangan pertama dulu.”

Rara tak jadi mahu mengangkat tangannya. Benar juga apa yang diperkatakan oleh Rain. Sementelah sekarang dia sudah mempunyai kerjaya sendiri. Mahu atau tidak, suka atau sebaliknya Rara harus menyesuaikan diri. Raut wajah ceria Rain diimbas seketika. Apa agaknya yang membuatkan lelaki itu bertukar karakter.

Setelah memesan makanan, Rain berbual mengenai pengalaman hari pertama Rara di tempat kerjanya. Bagi Rain, bangunan di sebelah restoran tersebut adalah tempat dia jatuh bangun dan melampiaskan kemarahan dan dendam pada seseorang. Kadangkala rasa rindu bertandang jua tetapi apakan daya, nasi sudah menjadi bubur. Sikap angkuh dan kesilapan lalu membuatkan tubuhnya terlontar jauh dari bumi tercinta ini.

“Macamana hari pertama?” soal Rain sambil mencuri pandang seraut wajah bersih Rara.

“Okey dan biasa-biasa saja.”

“Itu aje yang kau boleh kata? Atau…tentang interview? Ada apa-apa yang kau nak share dengan aku?”

“Tak ada yang menarik sangat. Tak mencabar minda.”

Rain tersenyum penuh makna. Bila tersenyum matanya menjadi kecil dan mulutnya terkatup rapat. Orang kata senyum yang tertahan-tahan.

“Stop! Kau jangan gerak.”

Ada apa?” Rain kehairanan.

“Buat balik senyum kau yang tadi. Aku nak tengok.”

“Nak buat apa?”

“Buat apa? Buang masa.”

“Buat ajelah!”

“Kau ni kenapa? Baru hari pertama kerja dan kena temuduga dengan orang lelaki tua yang macho, kau dah tak betul.”

Dahi Rara berkerut. Bagaimana Rain boleh tahu yang dia telah ditemuduga oleh seorang lelaki tua yang macho dan masih kacak. Bagaimana Rain dapat tahu? Takkan dia mengintai pergerakannya ataupun memasang kamera tersembunyi? Dan senyuman Rain sebentar tadi benar-benar membuatkan hati Rara semakin berteka teki.

“Mmm…macam mana kau tahu aku kena interview dengan lelaki tua yang macho? Baik kau terus terang, jangan nak sembunyikan dari aku." wajah Rara nampak garang. 

"Aku agak aje. Kat dalam TV selalu tunjuk bos yang kaya raya biasanya macho dan handsome walaupun agak berusia..." Rain berlagak selamba. Namun nafasnya rasa sesak juga seketika tadi. 

"Hish!! Kau ni kan, buat bulu roma aku meremang kejap tadi...ingatkan kau ada link dengan orang dalam tempat aku kerja."

"Mana ada. Aku ni siapalah yang kenal. Mak cik cleaner pun mungkin tak ingin tengok aku."

"Nasib baik.Kalau tidak..."

"Kalau tidak kenapa? Kau nak reject offer tu?" Rain cuba meneka.

"Betul apa kau fikirkan. Tak ingin aku kerja atau dapat kerja disebabkan oleh orang dalam. Ada kroni segala macam. Itu bukan aku, okey..."

Rain menatap wajah Rara dengan serius.

"So serius? Teruklah kau ni."

"That is my principal!" kata Rara tegas.

Rain diam dan hilang kata-kata.  

Ketika sedang menjamah makanan, seseorang mengangkat tangan kepada Rara dan gadis itu membalas teguran tersebut dengan mengangkat tangan juga. Rain sempat memerhati insiden itu dengan dada lapang. Mungkin Rara sudah mendapat kawan pada hari pertama dia bekerja. 

"Kawan baru aku..."

Nampaknya Datuk Ikram ramai mengambil pekerja baru kerana setahu Rain, kawan baru Rara itu pun sebenarnya pekerja baru syarikat tersebut. Banyak muka baru senang sikit kerja aku, begitu fikir Rain.

"Cantik juga. Baguslah kau dah dapat kawan."

"Tapi aku belum jumpa ketua jabatan aku." 

"Kau ditawarkan kerja kat jabatan mana?" soal Rain santai. Sekadar ambil tahu.

"Human Resources...yang aku tahu nama ketua aku Laila."

Nasi yang dimulut Rain hampir tersembur mendengarkan nama 'Laila' disebut. Apakah itu wanita yang sempat singgah di banglonya tadi. Patutlah Laila ada mengatakan yang Datuk Ikram mahu melakukan temuduga sendiri ke atas staf barunya. Jadi Datuk Ikram telah menukarkan Laila ke jabatan Sumber Manusia. Dan pada masa sama meletakkan Rara di bawah pengawasan Laila. Apa muslihat Datuk Ikram sebenarnya? Bukankah mereka sudah buat percaturan? Rain harus membenarkan Rara bekerja di situ untuk dinilai oleh Datuk Ikram. Jika dalam tempoh enam bulan Rara gagal memikat hati Datuk Ikram, maka Rain dan Rara harus berpisah. 

"Rara! Apa kau buat kat sini?" teguran satu suara lelaki sungguh mengejutkan Rara dan Rain yang sedang leka menghabiskan sisa makanan mereka.          



  

Sebaik kereta Laila melepasi pintu pagar automatik banglo milik Rain, telefon anak muda itu berdering-dering. Mendengarkan nada deringny...
Unknown
Oh! MyKarya!

Hari ini 12.12.12...

Aku melihat diri sendiri. Ke mana arah tujuan hidup ini mulai dari masa sekarang. Apakah aku menjadi sesuatu yang bersinar ataupun sekadar batu di tepi jalanan? Di mana hendak dimula? Apakah langkah baru dengan azam baru sudah terlewat buatku? Kerana akhir tahun semakin dekat, tahun baru sedikit demi sedikit mulai menampakkan sinarnya...di manakah aku nanti? Apakah masih ditakuk lama dengan lakaran idea yang tak bercambah, mati begitu saja!



Harus aku berbuat sesuatu. Minat dan cinta pada karya-karya kreatif bukannya sudah padam, tetapi bidang tuntutan kerjaya dan persekitaran begitu menghadkan idea dan ilham untuk bercambah...tetapi aku masih cintai novel-novel tulisan penulis berbakat dan bijak. Kadangkala aku cemburu juga, masa begitu menyayangi mereka. Tak mengapalah, aku sekadar jadi pembaca setia dan peminat rahsia yang tak jemu-jemu menyokong setiap karya maya ataupun realiti.

Masih aku tertanya-tanya, apakah masih ada pembaca yang berkunjung ke teratak mykarya.net ini? Kepada sesiapa yang berkenaan, bacalah selagi sudi kerana sebenarnya mykarya.net tetap berdiri di sini. Cuma entah bila kesinambungan novel-novel ini akan terjadi...semoga ada kudratku di situ suatu hari nanti...

Sebuah luahan sebagai titik permulaan...
beranikah untuk memulakan semula?
hanya masa yang bakal menentukan!

aynora nur 12.12.12 

Hari ini 12.12.12... Aku melihat diri sendiri. Ke mana arah tujuan hidup ini mulai dari masa sekarang. Apakah aku menjadi sesuatu yang ber...
Unknown