Menu
Oh! MyKarya!

HARGA : RM36.00
POSTAGE : RM6.00
SIZE : FREESIZE
COLOR : BLUE


 

Lain-lain ciri:

Pinggang bergetah - Free Size

Ada poket di kedua belah sisi
  


HARGA : RM36.00 POSTAGE : RM6.00 SIZE : FREESIZE COLOR : BLUE   Lain-lain ciri: Pinggang bergetah - Free Size Ada poket di kedua belah sisi ...
aynorablogs
Oh! MyKarya!



Awan kelabu di luar jendela
rintik hujan mulai bergenang
bumi basah bermandi dingin
memeluk alam diteman sepi

hujan kau adalah mutiara rezeki
bagi kami yang hampir mati
Dan Yang Maha Kuasa hadiahi kami
air dari langit dengan redaMu
hidupkan negeri yang mati ini

Dialah yang mengirim angin lalu itu
dengan awan terbentang di dada langit
hujan ini rahmatMu yang berganda
Wahai Allah,
terimakasih...kami gembira!


catatan waktu hujan,
aynora nur
8:16 pagi, Malaysia

Awan kelabu di luar jendela rintik hujan mulai bergenang bumi basah bermandi dingin memeluk alam diteman sepi hujan kau adala...
aynorablogs
Oh! MyKarya!

Ciri-Ciri Cerpen Yang Baik | Ada sesetengah orang boleh menulis beratus muka surat cerita panjang yang bersiri-siri yang juga disebut novel. Ada sahaja jalan cerita yang berkembang, watak yang semakin menarik dan complicated dan kadangkala muncul watak sampingan yang tidak terduga kehadirannya.

Panjangnya cerpen ialah antara 5,000 hingga 20,000 patah perkataan. Oleh sebab makna dari segi istilah cerpen itu ialah cerita pendek maka ada yang menyebutkan panjang cerpen ialah sehabis meminum secawan kopi atau sehabis menghisap sebatang rokok.

Namun begitu, ada pula sesetengahnya sukar melakar cerita pendek ataupun yang disebut cerpen. Mengapakah cerpen lebih sukar dihasilkan berbanding novel? Dimanakah silapnya bila pada masa kini lebih banyak karya novel yang terhasil berbanding cerpen.



Ciri-ciri Cerpen Yang Baik 

1) Ada unsur intelek iaitu ada sesuatu pemikiran yang tinggi dalam cerpen tersebut. Maknanya dalam karya tersebut ada mesej yang mahu disampaikan kepada pembaca supaya boleh direnung dan difikir oleh pembaca untuk dijadikan panduan, mendapatkan pengetahuan dan pengalaman.

2) Pancaran emosi dalam cerpen tersebut sama ada gembira, sedih, sinis dan sebagainya. Maknanya cerpen tersebut memilih persoalan dan stail/gaya bahasa yang boleh dihayati dengan baik oleh pembacanya dan dapat menimbulkan suatu fikiran khusus serta memberikan kesan pengajaran dan hiburan.

3) Peristiwa/persoalan dalam cerpen tersebut dituliskan dengan mata hati dan mata fikir iaitu dengan imaginasi yang mengandungi unsur-unsur pemikiran bukan angan-angan. Ada matlamat dalam penulisan cerpen ini dan biasanya hal-hal yang positif.

4) Sesebuah cerpen ada teknik persembahannya iaitu cara olahannya, susunan peristiwanya dan diksi-diksi yang dipilihnya dengan tepat menjadikan sesebuah cerpen itu menarik untuk dibaca.

**Sumber

Ciri-Ciri Cerpen Yang Baik | Ada sesetengah orang boleh menulis beratus muka surat cerita panjang yang bersiri-siri yang juga disebut novel...
aynorablogs Apr 27, 2013
Oh! MyKarya!

Semasa berjalan di MPH, AEON Co saya sempat menyambar 3 buah novel terbaru karya penulis muda yang berbakat besar. Kebanyakan karya mereka ada disiarkan di blog ataupun penulisan2u. Jadi tidak susah bagi saya untuk mencarinya.



Novel terbaru yang saya beli adalah,

  1. Jangan Merajuk Sayang ~ Lynn Allyna
  2. Bila Nak Saksi ~ Rehan Makhtar
  3. Sayang Awak, Sayang ~ Murni Aqila 

Ada yang saya sudah habis baca dan ada juga yang saya baru baca sinopsisnya. Kebelakangan ini agak busy sikit, jadi aktiviti membaca memakan masa yang agak lama. Oleh kerana 3 novel terbaru yang saya baru beli di atas tidak terlalu berat, saya menanam azam untuk menghabiskan pembacaan saya pada hujung minggu ini.


Kepada para peserta PBAKL yang sedang berlangsung dari 26 April 2013 ~ 5 Mei 2013, semoga suksess dengan pameran yang dijalankan. Harapnya banyak buku berkualiti yang dapat dijual dan menambah lagi bilangan penulis amatur yang akan lahir.

Semoga berjaya! Dan, selamat menghabiskan baca novel kepada diri sendiri...
                     

Semasa berjalan di MPH, AEON Co saya sempat menyambar 3 buah novel terbaru karya penulis muda yang berbakat besar. Kebanyakan karya mereka ...
aynorablogs
Oh! MyKarya!




Sudah kering air liur ini menidak rasa hatimu. Hingga lidahku pun sudah malas berkata-kata, kerana banyak yang dusta dari yang nyata segala kata yang terhambur. Bukan aku tiada perasaan, demi benar belaka yang ada hanyalah status persahabatan yang tersisa. Jangan biar aku hilangkan terus pandanganmu dari maya itu, kerana bagai kataku tadi, ada perasaan kemanusiaan yang masih bergayut di taman hati. Jika memandangmu pun sudah terasa jauh, apatah lagi bersemuka menghulur salam. Biarlah jarak antara kita semakin jauh, semakin jauh semakin dilupa dan terlupa.

Usah menambah dosa membenci antara kita kelak menyesal di kemudian hari. Aku pun dalam kesamaran, meneka-neka status hubungan kita. Berjumpa pun tidak, hanya di alam maya berdebat menyalak menyalahkan diri sendiri dan sebaliknya. Ego, kesombongan, membangga diri dan pelbagai lagi kenyataanmu begitu mengguris rasa. Walaupun jauh tetap terkena tempiasnya!

Biarlah yang bersalah adalah kita, usah diajak insan lain yang tidak berdosa! Sejarah silam telah lama berlalu,  aku tidak mahu yang hitam terus hitam. Titik cahaya telah lama menyuluh jalan tetapi kita tetap memilih yang berliku. Duhai Tuhan, limpahkan taufik dan hidayahMu kepada kami semua agar cahayamu tidak terus malap diliputi awan nan merajuk panjang...

Percayalah, merajuk jauh sekali, inikan pula hubungan yang tiada nama ini.

Catatan memori,
aynora nur
   

Sudah kering air liur ini menidak rasa hatimu. Hingga lidahku pun sudah malas berkata-kata, kerana banyak yang dusta dari yang nyata se...
Unknown Apr 10, 2013
Oh! MyKarya!

As-salam,

Artikel ini saya tulis sebagai rujukan dan tambahan pengetahuan untuk golongan muda yang tidak mengenali siapakah dia Pak Sako? Jika anda mengikuti sejarah awal sastera melayu bermula tahun 1930-an, anda pasti kenal dengan tokoh penulis prolifik yang saya maksudkan ini.





Biodata Pak Sako


Ishak Haji Muhammad (14 November 1909 - 7 November 1991) atau lebih dikenali sebagai Pak Sako merupakan seorang penulis yang giat menulis sekitar tahun 1930-an sehingga1950-an. Ishak Haji Muhammad adalah seorang nasionalis negara. Kelibatnya bermula pada era sebelum kemerderkaan dan pascamerdeka. Gagasan yang ingin diperjuangkan oleh Pak Sako ialah penyatuan Melayu Raya yang mana Indonesia, Malaysia dan Brunei disatukan dalam satu serumpun.

Nama Pak Sako bukanlah satu nama asing bagi negara kita terutama dalam bidang kesusasteraan. Pak Sako sebenarnya adalah jolokan kepada nama Isako-san yang dipanggil orang-orang Jepun. Nama sebenar Pak Sako adalah Ishak Hj. Muhammad. Pak Sako juga dikenali juga dengan nama samaran seperti Anwar, Hantu Raya, Isako San dan Pandir Moden.

Pak Sako lahir pada tahun 1909 di Kampung Bukit Seguntang (antara Kampung Tengah dengan Kampung Buntut Pulau), Temerloh,Pahang dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Laki-Laki Temerloh (atau kini Sekolah Kebangsaan Kampung Tengah), Temerloh pada tahun 1919 dan melanjutkan pelajaran ke Sekolah Inggeris Clifford, Kuala Lipis pada tahun 1924 hingga 1928. Pak Sako lulus sijil persekolahan dari Sekolah Inggeris Raub pada tahun 1929. Pada tahun 1930, beliau melanjutkan pelajaran ke MCKK (Maktab Melayu Kuala Kangsar) untuk berlatih sebagai Pegawai dalam Perkhidmatan Pentadbiran Tanah Melayu (Malayan Civil Service). Beliau pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Penolong Pegawai Daerah, Majistret Kelas III dan guru bahasa sebelum menyertai dunia penulisan.

Pak Sako banyak menghasilkan novel, cerpen, esei dan memoir serta turut menulis rencana untuk akhbar Kumpulan Utusan Melayu. Perpustakaan Negara Malaysia memperolehi lebih dari 1,000 naskhah koleksi kesusasteraan hasilan beliau. Di samping itu, beliau juga telah menghasilkan 2 buah karya yang terkenal iaitu Putera Gunung Tahan dan Anak Mat Lela Gila yang mencerminkan pandangan dan cita-cita beliau sebagai patriot dan sasterawan. Beliau juga bergiat cergas untuk menulis cerpen. Nukilan tersohor Pak Sako,Putera Gunung Tahan dan Anak Mat Lela Gila merupakan novel satira yang ditujukan kepada orang-orang British dan juga sebagai kritikan kepada orang-orang British. Pak Sako memberatkan kebudayaan Melayu dalam penulisannya, dan mengagungkan budaya Melayu dengan membandingkannya dengan budaya Inggeris yang kurang kualiti dan terlalu agresif.

Karya penulisan Pak Sako

  1. Putera Gunung Tahan, Utusan Publications & Distributors, 2000.
  2. Memoir Pak Sako : putera gunung Tahan , UKM, 1997.
  3. Budak Beca / Pak Sako, Marwilis Publisher, 1992.
  4. Biografi Pak Sako : Hidup Meniti Ranjau (oleh Wahba), Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991
  5. Pepatah Petitih , Creative Enterprise, 1989.
  6. Renungan Pak Sako
  7. Budak Beca. Marang: Mohamad bin A. Rahman, 1957.
  8. Judi Karam. Singapura: Geliga, 1958.
  9. Pengantin Baru. Singapura: Geliga.
  10. Putera Gunung Tahan. Singapura: Geliga, 1937.

Sewaktu di tingkatan enam dahulu kami kerap menghafal karya-karya dan sejarah Pak Sako dalam bidang sastera melayu. Oleh kerana bidang pengalamannya amat luas dalam dunia kewartawanan dan juga sastera, kami sering gagal mendapat markah penuh untuk kertas Bahasa Melayu. Dan kebetulan pula guru Bahasa Melayu kami waktu itu adalah berketurunan Cina yang kami panggil Mr Wong sahaja. Jadi, minat untuk ambil tahu dengan lebih mendalam agak kurang...

Bukan salah cikgu mengajar, ok..

As-salam, Artikel ini saya tulis sebagai rujukan dan tambahan pengetahuan untuk golongan muda yang tidak mengenali siapakah dia Pak Sako? ...
Unknown Mar 20, 2013
Oh! MyKarya!

senyuman diukir meski hati gusar
bibir berkata tabahnya jiwa nan mendengar
hati kita pun ikut bergetar
rasa megah ketakutan pun terhindar
semangatmu ku bawa di hari mendatar

tatkala salam dan pelukan terlerai
dirimu di seberang membawa misi keamanan
langkah berani diatur langsung tak goyah
jiwa raga manusia yang kau tinggalkan
ikut berkobar bersahut azam kemenangan...

dalam perjuangan menempuh kesukaran
kezaliman mata peluru tidak mengenal tuan dan lawan
titisan darah terakhir benar jua kata bidalan
kau menjadi korban yang kami namakan wirawan
dan titisan air mata yang tercinta pun ikut berjuraian
pergilah dengan aman jika itu jasa yang kau tawarkan...

wira bangsa tak mengenal lelah
satu yang pergi ribuan lagi bersemangat tinggi
satu persatu musuh kita tumbangkan
akhiri perjuangan ini dengan maruah!

musuh yang datang berkerat rotan
ibarat menempah maut di mulut sendiri
pagar bumi tercinta dengan jati diri
kita yang tinggal usahlah leka
kelak air mata berderaian lagi di bumi tercinta


jasamu dikenang selagi zaman tak lapuk
namamu abadi pada persada pertiwi

tamatkan kehancuran itu di sini!



catatan insiden Lahad Datu,
oleh aynora nur


senyuman diukir meski hati gusar bibir berkata tabahnya jiwa nan mendengar hati kita pun ikut bergetar rasa megah ketakutan pun terhindar...
Unknown Mar 5, 2013
Oh! MyKarya!

 


Azhan menunggu bibir nipis Suzy terbuka dan meluahkan apa yang terpendam dalam hatinya selama ini. Apakah maksud Trisya sebentar tadi. Apakah Suzy sudah dimiliki ataupun akulah yang bertahta di hati Suzy? Azhan menunggu penuh sabar. Suzy hanya senyum-senyum tidak jauh darinya. Nasib baik tubuh mereka tidaklah terlalu berat, jika tidak mahu roboh buaian milik kesayangan kakaknya.

"Baik awak cakap sekarang. Siapa BF lemau awak tu?"

Suzy tersengih-sengih gelihati mendengar pertanyaan Azhan buat kesekian kalinya. Lemaukah dia? Trisya memang nak kena! Semua benda nak dibongkarkan, alahai nasib badan...berserah sajalah Suzy daripada kau terperangkap di hadapan si Azhan; fikiran Suzy berbolak-balik.  

"Termenung lama gitu, mesti BF lemau awak tu tak wujud, kan? Awak buat cerita agar Trisya tak pandang rendah pada awak sebab umur dan badan dah besar panjang macam ni, masih tak ada BF. Betul tak tanggapan saya?" Azhan terus menyoalnya dengan nada yang agak sinis.

Suzy merasa dirinya dipandang begitu rendah oleh Azhan. Hasrat dihati hanya mahu bergurau dengan Trisya tetapi sebaliknya makhluk angkuh ini telah menuduhnya membabi buta. Benarkah aku tak punya BF seperti sangkaan Azhan? Apakah Azhan tak pernah memandang berat perhatianku terhadapnya selama ini? Pertemuan tidak disangka-sangka di rumah banglo ini bukanlah rancangannya. Suzy pun bukannya mahu mengajar tuisyen selama-lamanya. Cuma rezeki pekerjaan belum ada untuknya. Itulah sebabnya akhirnya dia bertapak sementara di sini.

"Sukar benar nampaknya awak nak menjawab persoalan saya. Atau sayakah BF yang awak anggap lemau tu? Sayakah yang lambat bertindak? Sebab itu awak gelarkan saya lemau? Cakap Suzy, cakap!!" Azhan sudah hilang sabar dengan sikap berdiam diri Suzy.

"Apa halnya ni? Azhan...apa kau dah buat dengan Suzy? Korang kenal ke?" terjahan suara Puan Linda    mengejutkan Azhan dan Suzy serentak.    

Azhan dan Suzy serentak bangun dari buaian. Suasana ketika itu agak tegang sedikit. Puan Linda pasti mengesyaki yang bukan-bukan terhadap Suzy mahupun adiknya sendiri, Azhan.

"Kenapa dengan kau, Han? Dah lama sampai? Akak lupa nak bagitau yang Trisya ambil cikgu tuisyen baru. Cikgu yang lama dah berhenti sambung belajar. Kenalkan ini Suzy."

Azhan dan Suzy hanya mengangguk serentak. Mata Suzy penuh dengan rasa marah berapi kerana dia nyaris dibuli oleh Azhan tadi. Kemunculan Puan Linda memang menyelamatkannya. Dia mengatur langkah mendapatkan Trisya yang sedang leka menonton Tutor TV. Pandai pula budak comel itu berlakon di hadapan ibunya sendiri.

Suzy malas ambil tahu apa yang dibualkan oleh Puan Linda dan Azhan di meja makan. Kadangkala ada gelak tawa dan adakalanya kedengaran serius. Asalkan jangan perihal dirinya sudah! Itu sudah cukup bagi Suzy dan biarlah rahsia perkenalannya dengan si angkuh Azhan itu terbiar sepi.

"Suzy...maafkanlah adik saya tadi. Dia memang macam itu. Terburu-buru tak bertempat." Bahu Suzy disentuh lembut oleh Puan Linda.

"Saya tak kisah pun, Puan."

"Baguslah kalau macam itu. Lega hati saya. Lagipun sebentar tadi Azhan dah ceritakan semunya. Korang berdua dah berkenalan ketika bekerja dulu, kan? Patutlah gaduh-gaduh manja saya tengok tadi. Azhan pun dah minta maaf kerana agak kasar dengan awak tadi." suara Puan Linda amat teratur.

'Hish! Minta maaf boleh kirim dengan pihak ketiga pulak! Tak aci betul!' gumam Suzy dalam hati.

"Saya mohon maaf dari hujung rambut sampai hujung kaki...Sorry! Please! Please! Please!"

Terjahan tindakan Azhan yang memohon maaf secara tiba-tiba membuatkan Suzy hampir terlompat. Memang dia terkejut beruk dengan gelagat Azhan secara mendadak tadi. Otaknya pun tak sempat berfikir dengan waras. Hasilnya satu tamparan hinggap di pipi putih milik Azhan.

"Padan muka!" Puan Linda ketawa gelihati melihat adiknya ditampar oleh Suzy.

"Kak Linda...tengoklah siapa yang kena dera!"

Puan Linda hanya mengangkat tangan sambil berlalu menaiki tangga untuk ke tingkat atas. Trisya yang duduk  tidak jauh dari Suzy ikut ketawa mengekeh.

"Apa makna semua ini, awak..."

"Maafkan saya. Lain kali jangan terjah macam itu lagi. Saya ni ada darah lemah semangat. Pantang orang sergah-sergah, saya tampar aje..." jawab Suzy tegas.

"Dengan semua orang ke awak buat macam ni?"

"Tak. Sorang mamat tu aje..."

"Saya ker?"

"Dah terang nak bersuluh pulak!"

"Betullah tekaan saya..."

"Apa dia?" soal Suzy garang.

"BF lemau awak itu adalah saya, kan?"

Suzy hanya merenung wajah bersih Azhan dengan pandangan kasih di hati. Itu pun kalau Azhan memahami...

"Kalau begitu senang hati saya. Saya ingatkan awak ada BF lain...hihi..." Azhan tersengih menampakkan barisan giginya yang cantik.

Suzy menjeling geram. Suka pulak digelar BF lemau tapi badan tegap sihat walafiat, kekadang lain orang lain ragamnya. Azhan...Azhan....

"Awak ni tunjukkan kasih sayang dengan tampar dan sepak terajang ke? Tiap kali saya nak ngorat awak, awak tukar jadi amat garang. Awak ni tak ada sifat romantik ke?" Azhan masih mengusik Suzy yang telah mula memberi perhatian kepada pertanyaan Trisya.

"Pak Usu jangan sibuk boleh tak? Kak Suzy nak ajar Trisya ni..."

"Ala...Pak Usu nak kena jaga dia. Nanti dia missing in action untuk berapa tahun pulak. Melopong Pak Usu!"

"Hah!! Pak Usu nak kahwin dengan Kak Suzy ya...nanti Trisya story kat Papa..."

"Hish! Trisya salah faham. Kak Suzy nak killed him! Penyibuk!"

"Ha! Bila tengah garang tu saya tahu...awak kata saya terima nikahnya!" Azhan galak mengusik.

"Awak!!" Suzy menjerit geram.

 

  Azhan menunggu bibir nipis Suzy terbuka dan meluahkan apa yang terpendam dalam hatinya selama ini. Apakah maksud Trisya sebentar tad...
Unknown Jan 28, 2013
Oh! MyKarya!

As-salam,

YAM Tunku Abdul Rahman adalah seorang pejuang ulung yang meninggalkan jasa yang amat besar kepada kita di bumi Malaysia ini. Mungkin jika tidak kerana usaha-usahanya meraih kemerdekaan untuk Tanah Melayu, ketika ini negara kita tidak menjadi sebegini maju. Seharusnya perjuangan beliau dijadikan iktibar kepada kita yang sering bermusuh kerana ideologi politik yang tidak sealiran.


Sejarah Kelahiran & Keluarga


Tunku Abdul Rahman

YAM Tunku Abdul Rahman dilahirkan di Istana Tiga Tingkat, Alor Setar, Kedah yang lebih dikenali sebagai Istana Pelamin, Tunku merupakan anak lelaki yang ketujuh dan anak yang kedua puluh kepada Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Sultan Kedah yang ke-24. Bondanya Cik Menyelara, seorang isteri Sultan Abdul Hamid yang tidak berdarah gahara, ialah anak perempuan Luang Naraborirak (Kleb), seorang pegawai daerah Thailand. Kelahiran Tunku disambut secara biasa sahaja kerana beliau bukan bakal pengganti Sultan Kedah. Pengganti Sultan Kedah, Sultan Badlishah ibni Sultan Abdul Hamid, telah pun berumur 30 tahun ketika itu.

Semasa kecil, Tunku dipanggil Awang kerana rupa parasnya yang tidak sesegak adik-beradiknya yang lain. Beliau bebas bermain di luar istana dan pernah membentuk pasukan bola sepak kampung. Tunku biasa mengendap burung dan melastik, serta bermain lumpur sehingga menghidapi penyakit puru di kakinya.

Pada tahun 1933, Tunku berkahwin dengan Mariam, seorang wanita kacukan Cina-Siam yang merupakan anak perempuan tauke lombong di Alor Star. Beliau dikurniakan dengan dua cahaya mata, iaitu Tunku Ahmad Nerang Putra dan Tunku Khadijah. Mariam meninggal dunia pada tahun 1934 kerana menghidapi penyakit malaria di Kuala Nerang, Kedah.

Selepas kematian Mariam, Tunku berkahwin dengan Violet Coulson, bekas tuan rumahnya di England. Antara saksi perkahwinannya di Geylang Serai, Singapura ialah Syed Ahmad al Sagoff.

Tunku mengalami nasib yang sama seperti Tunku Yusuf ibni Sultan Abdul Hamid. Dititahkan untuk menceraikan Violet oleh Pemangku Raja Kedah, Tunku kemudian berkahwin dengan Sharifah Rodziah Syed Alwi Barakbah, seorang saudara jauh yang juga merupakan adik Syed Omar Barakbah, rakan sekuliahnya di England, pada tahun 1939. Perkahwinan ini direstui kerana berketurunan Arab yang ternama dan kaya di Kedah. Oleh sebab perkahwinan ini tidak mendapat seorang anak pun, mereka mengambil tiga anak angkat iaitu Faridah, Sulaiman dan Mariam. Tunku juga telah mengahwini seorang yang berbangsa Cina pada tahun 1963 dengan rahsia dan telah mendapat dua orang cahaya mata perempuan yang diberi nama Tunku Noor Hayati dan Tunku Mastura.

Ringkasan Peristiwa

  • 1903: Dilahirkan pada 8 Februari di Istana Tiga Tingkat, Alor Setar yang lebih dikenali sebagai Istana Pelamin.
  • 1913 (umur 10): Beliau dihantar ke Bangkok untuk menetap bersama Tunku Yusuf ibni Sultan Abdul Hamid, iaitu abang sulung Tunku Abdul Rahman. Tunku belajar di Sekolah Debsirindir, Bangkok.
  • 1916 (umur 13): Pulang ke Kedah dan memasuki Penang Free School.
  • 1919 (umur 16): Belajar di England.
  • 1925 (umur 22): Memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sastera (Sejarah) dengan bantuan dan kerjasama dari sahabatnya Taib Andak.
  • 1927 (umur 24): Dihantar semula ke England untuk belajar undang-undang di Universiti Cambridge kerana keluarganya tidak berpuas hati dengan keputusannya yang lalu.
  • 1930 (umur 27): Lulus semester pertama, jurusan undang-undang di Inner Temple.
  • 1931 (umur 28): Berkhidmat sebagai pegawai latihan di Pejabat Penasihat Undang-Undang Kedah dengan gaji sebanyak RM300.00 sebulan, dan kemudiannya sebagai Penolong Pegawai Jajahan di Kulim.
  • 1932 (umur 29): Berkhidmat sebagai Pegawai Jajahan di Kuala Nerang.
  • 1933 (umur 30): Berkahwin dengan Mariam, gadis kacukan Cina-Siam, anak tauke lombong Cina di Alor Setar. Akhir 1933, Mariam melahirkan anak perempuan dan dinamakan Tunku Khatijah ibni Tunku Abdul Rahman. Kemudian anak lelaki bernama Tunku Ahmad Nerang ibni Tunku Abdul Rahman.
  • 1934: Mariam meninggal dunia kerana penyakit malaria di Kuala Nerang, Kedah. Tunku berkahwin dengan kekasih lamanya Violet Coulson di Geylang Serai, Singapura.
  • 1935 (umur 32): Dipindahkan ke Pulau Langkawi oleh Penasihat British, Clayton. Selain itu , perkahwinan Tunku dengan Violet kurang direstui.
  • 1937 (umur 34): Bertugas sebagai Pegawai Jajahan di Sungai Petani.Beliau juga bertindak sebagai hakim daerah Sungai Petani dan Pengerusi Lembaga Kebersihan Sungai Petani.
  • 1938 (umur 37): Pergi ke England buat kali ke-3 untuk menyambung pelajaran dalam bidang undang-undang. Antara temannya ialah Saadon Zubir. Tunku berbaik semula dengan isterinya yang telah diceraikan , Violet Coulson.
  • 1939 (umur 36): Kembali ke Kedah kerana ada berita perang akan meletus di Eropah.Berkahwin dengan Syarifah Rodziah binti Syed Barakbah .Syarifah Rodziah Syed Syeikh Barakbah ialah adik rakan sekuliahnya di England iaitu Syed Omar Barakbah. Perkahwinan ini tidak mendapat seorang anak pun.
  • 1940 (umur 37): Dilantik sebagai Timbalan Pengarah Perkhidmatan Pasukan Kawalan Am Selatan Kedah.
  • 1941 (umur 38): Jepun menyerang Kota Bharu , Kelantan pada 8 Disember.
  • 1947 (umur 44): Berangkat semula ke England untuk menyambung pengajian * 1948 (umur 45): Dipanggil ke bar di Inner Temple.
  • 1949 (umur 46): Pulang ke Tanah Melayu. Pada mulanya, beliau dihantar ke pejabat Pegawai Undang-undang di Alor Star. Kemudian beliau memohon untuk bertukar ke Kuala Lumpur. Di Kuala Lumpur, Tunku menjadi Timbalan Pendakwa Raya dan kemudiannya, dilantik sebagai Presiden Mahkamah Sesi.
  • 1946: Menyertai UMNO.
  • 1951 (umur 48): Menjadi Presiden UMNO pada Oktober sewaktu Datuk Onn Jaafar meletakkan jawatan. Menganjurkan Pertandingan Membaca Al-Quran peringkat negeri yang pertama di Kedah.
  • 1954 (umur 51): Mengetuai satu rombongan ke England untuk berbincang bagi menuntut kemerdekaan bagi Tanah Melayu, tetapi kunjungan itu tidak berhasil.
  • 1955 (umur 52): Pilihan raya persekutuan umum yang pertama diadakan, dan Parti Perikatan(Barisan Nasional) memenangi 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. Dengan majoriti ini, Tunku Abdul Rahman telah dilantik sebagai Ketua Menteri Tanah Melayu yang pertama. Satu lagi rombongan ke London diadakan.
  • 1956 (umur 53): England bersetuju untuk memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Sebaik pulang dari England, Tunku mengisytiharkan berita gembira ini buat kali pertamanya pada 20 Februari di Bandar Hilir, Melaka.
  • 1957 (umur 54): Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos. Memperkenalkan kejohanan Pestabola Merdeka, yang merupakan pertandingan bolasepak antarabangsa.
  • 1958 (umur 55): Dilantik sebagai Presiden pertama Asian Football Confederation (AFC) (1958 – 1976).
  • 1960 (umur 57): Menubuhkan Pertubuhan Kebajikan Islam (PERKIM), sebuah pertubuhan untuk membantu golongan mualaf dalam menyesuaikan hidup baru sebagai Muslim.
  • 1961 (umur 58): Memulakan penubuhan Association of Southeast Asia (ASA) yang menggabungkan Tanah Melayu, Thailand dan Filipina. Menjadi tuan rumah Pertandingan Membaca Al-Quran Peringkat Antarabangsa yang pertama.
  • 1963 (umur 60): Membentuk Malaysia pada 16 September, apabila Tanah Melayu bergabung dengan Singapura, Sarawak dan Borneo Utara (sekarang Sabah).
  • 1967 (umur 64): ASA dibubarkan untuk memberi laluan kepada persatuan yang lebih besar, iaitu Association of Southeast Asian Nations.
  • 1969 (umur 66): Membantu menubuhkan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan dilantik sebagai Setiausaha Agungnya yang pertama.
  • 1971 (umur 68): Meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno dan digantikan oleh timbalannya, Datuk Abdul Razak Hussein.
  • 1982 (umur 79): Menjadi Presiden Majlis Dakwah Serantau Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP) (1982 – 1988).
  • 1990 (umur 87): Mangkat pada 6 Disember, dan disemadikan di Makam Diraja Langgar di Alor Star. 

*** Sumber

Semoga catatan perkongsian di atas dapat memberikan kita sedikit gambaran perjalanan insan patriotik bernama YAM Tunku Abdul Rahman yang banyak berjasa kepada negara kita yang tercinta.

As-salam, YAM Tunku Abdul Rahman adalah seorang pejuang ulung yang meninggalkan jasa yang amat besar kepada kita di bumi Malaysia ini. Mun...
Unknown Jan 27, 2013