Menu
Oh! MyKarya!

Dia pernah berkata...

Seribu tahun takkan lupa seorang insan kerdil ini. Dia pernah mengajar diri ini mengejar pelangi rindu, bermimpi menakluk bintang kejora. Dan dia juga menghapus duka ketika musibah datang melanda. Dan janjinya...kan selalu ada saat seorang aku memerlukannya.




Semuanya itu tiada lagi, laksana gugurnya bebunga rindu dari kelopak masa. Menangis hingga kering airmata sekalipun hatinya telah nekad. Menghantar khabar pun tidak berbalas sepatah ayat. Jika dahulu dia pernah bermadah, membayangkan hala tujunya sebuah perhubungan yang tidak direstu ini. Tetapi kini, dia pergi dengan hati yang luka. Meninggalkan seorang insan kesayangan yang telah bertahun cuba ditawan.

Benar kata pujangga, hidup ini seharusnya berakhir dengan gembira. Cerira tentang kisah meninggalkan dan ditinggalkan adalah lumrah sebuah perhubungan. Namun sejujurnya...siapa yang sanggup dengan sengaja menanggung derita?

Mimpi itu indah. Tetapi jika selamanya menyulam harapan di dalam mimpi, impian hanya sekadar impian. Hingga bila pun jika dia tidak hadir dalam mimpimu lagi, bangkitlah. Bangunlah! Masa untuk bermimpi telah tamat. Musim pun telah berganti. Biarkan kelopak rindumu gugur di taman kenangan. Biarkan ia...

Jika ditakdirkan kita bertemu sekali lagi, aku masih menyambutmu dengan hati terbuka. Tetapi ingatlah teman...mungkin kamu perlu mengambil masa 1000 tahun untuk menawan hatiku kembali!

Dia pernah berkata... Seribu tahun takkan lupa seorang insan kerdil ini. Dia pernah mengajar diri ini mengejar pelangi rindu, bermimpi men...
aynorablogs Dec 27, 2013
Oh! MyKarya!

Jika kau berbahagia dengan pilihan yang dibuat, aku hanya mampu berdoa untuk kebahagiaanmu. Menjadi orang ketiga dalam satu hubungan jangka panjang dan sehidup semati bukanlah yang kau mahukan. Bukan juga niatmu sedari awal untuk melukakan ramai orang.




Jika Istikharah cintamu mengiyakan tindakan yang dibuat, siapalah aku untuk menentang keputusan yang dipilih

Cinta tak pernah salah memilih. Mungkin kita yang dibuai perasaan terhadap sidia hingga mengaburi wajah-wajah muram yang berduka.

Sahabat...sudah habiskah fikiranmu memilih. Dalam banyak insan Adam yang mengejarmu, mengapakah dia yang kau pilih? Aku takut kau menyesal, kawan. Aku harus menghalang tindakan mu itu tetapi siapalah aku ini dimatamu? Aku insan luar yang sekadar bergelar seorang Sahabat.  Sudah habis aku berkata-kata, telah lelah aku mengatur bicara, pun kita telah berdebat panjang lewat pertemuan lalu. Tetapi...hatimu telah nekad. Kamu sudah tak larat melayan nista dan cacian orang sekeliling...

Kejamnya pilihan yang kau buat, kawan. Sayangilah masa depanmu. Cinta yang kau agungkan ditakuti bahangnya hanya sementara. Sedang hati dilanda gelora, tentu istikharah cintamu mempengaruhi keputusan akhir itu.

Aku tak sanggup melihat kamu derita. Jika bahagia itu boleh diukur dan dirancang...mengapa memilih sengsara yang terlayar di depan mata? Kamu masih punya waktu untuk berundur. Masih ada ruang memperbaiki kelemahan diri.

Selagi akad itu belum dimeteri, kamu masih boleh mengikut kata hati!

Menurut hadis daripada Jabir bin ‘Abdillah r.a, beliau berkata: Rasulullah s.a.w pernah mengajarkan Istikharah kepada kami dalam segala urusan, sebagaimana baginda mengajar kami surah dari Al-Quran.
Baginda bersabda:

Maksudnya: Jika salah seorang di antara kalian berkeinginan keras melakukan sesuatu, hendaklah dia mengerjakan solat dua rakaat yang bukan solat fardu kemudian membaca doa berikut:

Ya Allah, sesungguhnya aku memohon petunjuk kepada-Mu dengan ilmu-Mu, memohon ketetapan dengan kekuasaan-Mu, dan aku memohon kurniaan-Mu yang sangat agung kerana sesungguhnya Engkau berkuasa sedang aku tidak berkuasa sama sekali, Engkau mengetahui sedangkan aku tidak, dan Engkau yang mengetahui hal yang ghaib. Ya Allah, jika Engkau mengetahui bahawa urusan ini (lalu menyebutkan secara langsung urusan yang dimaksudkan) lebih baik bagi diriku dalam agama, kehidupan dan akhir urusanku - atau mengucapkan: baik dalam waktu yang dekat mahupun yang akan datang - maka tetapkanlah ia bagiku dan mudahkanlah ia untukku. Kemudian, berikan berkah kepadaku dalam menjalankannya. Jika Engkau mengetahui bahawa urusan ini buruk bagiku dalam agama, kehidupan dan akhir urusanku - atau mengucapkan: baik dalam waktu yang dekat mahupun yang akan datang - maka jauhkanlah urusan itu dariku dan jauhkanlah aku darinya, serta tetapkanlah yang baik itu bagiku di mana pun kebaikan itu berada. Kemudian, jadikanlah aku orang yang redha dengan ketetapan tersebut.

Jika kau berbahagia dengan pilihan yang dibuat, aku hanya mampu berdoa untuk kebahagiaanmu. Menjadi orang ketiga dalam satu hubungan jangka ...
aynorablogs Dec 23, 2013
Oh! MyKarya!




Hari ini telah hilang
sebuah tekanan yang panjang
bila diri ditinggalkan
tanpa harapan

Hari ini doaku terjawab
bila Tuhan hadirkan seseorang
yang seiras wajah dan tingkah
ubati duka yang kian bernanah...

hadirnya cuma sedetik
tapi bisa menjemput tawaku
di hujung hari yang bisu

dia datang dan pergi
tetapi hati tak boleh dibohongi
cuma teman yang telah serasi
kekal di situ di penjuru hati...

seorang teman itu
masih belum ada pengganti...

Coretan:
A.N Disember 2013  

Hari ini telah hilang sebuah tekanan yang panjang bila diri ditinggalkan tanpa harapan Hari ini doaku terjawab bila Tuhan hadirka...
aynorablogs Dec 21, 2013
Oh! MyKarya!

Review Novel 13 Jam A380 - Novel ini ditulis oleh Evelyn Rose. Mungkin beliau bukan penulis otai tetapi peminat karyanya bukanlah sedikit. Gaya penulisan Evelyn Rose ada persamaan dengan Rin Ahmad, kalau tak silap. Kerana membaca 13 Jam A380 dengan Untuk Semua Dosaku, kedua-dua penulis menyampaikan gaya bahasa, lenggok perbualan dan kehidupan di luar negara membuatkan saya berpendapat begitu. Bukankah pendapat seseorang itu bersifat subjektif?

 



Namun begitu semakin lama kita menyelak halaman demi halaman novel 13 Jam A380 ini kita akan mulai mengaku tentang kehebatan seorang Evelyn Rose dalam menyampaikan mesejnya. Yang jelas saya mengakui bahawa dosa silam yang sedikit itu tidak dapat ditutup walaupun dengan selimut selebar dan seluas dunia ini. Namun dengan yakin haruslah percaya bahawa kita masih boleh memohon keampunan dari yang Esa dan menyesal dengan bersungguh-sungguh. Allah Maha Pengampun dan Pendengar yang setia.

Menyusuri novel 13 Jam A380 ini, kita di berikan gambaran kehidupan Hana Sofea di bumi asing dengan sebuah keluarga angkat yang memiliki dua orang anak lelaki yang alim. Kekayaan tidak mengaburi mata mereka untuk sentiasa membantu golongan yang memerlukan dan bersedekah. Dan yang paling penting, kekayaan menjadikan mereka semakin dekat dengan Tuhan.


 


Kisah pertemuan Hana Sofea dengan Haydar bermula dari Bab 2 novel ini. Seterusnya 13 Jam A380 bermula dan mencatat sejarah hitam dalam perjuangan Hana mempertahankan cintanya yang suci dalam bab seterusnya dalam novel ini.

Hana yang menggilai Haydar akhirnya telah jatuh cinta dengan Fawwaz kerana dia percaya hanya lelaki alim dan warak itu yang mampu membimbingnya. Dia melupakan Haydar kerana tidak mahu lagi hidup dihantui dosa semalam. Namun begitu, jodoh ajal dan maut semuanya di tangan Tuhan.

Apabila dosa silamnya bersama Haydar terbongkar, Fawwaz pergi meninggalkannya dan memaksa Hana Sofea memilih Haydar sebagai suaminya. Hana menerima Haydar secara terpaksa demi menyelamatkan syarikat keluarganya. Maka, jadilah perkahwinan itu penuh tipu muslihat dan dendam. Dendam Hana Sofea kepada Haydar yang cuba mengikatnya dengan cara yang tidak jujur.

Namun akhirnya pembaca akan dihadiahkan dengan akhir cerita yang 'happy ending'. Pada mulanya saya sangkakan Hana Sofea akan berkahwin dengan Fawwaz dan bahagia hinga hujung nyawa. Tetapi, penulis pandai memanipulasi plot dan jalan cerita novel 13 Jam A380 bagi membuatkan kita terus membaca hingga ke mukasurat terakhir. Syabas Evelyn Rose kerana telah mengajar banyak perkara tentang kehidupan kepada kita semua.

Namun satu situasi yang paling saya suka dalam novel ini adalah apabila Evelyn menulis falsafah kehidupan menggunakan bunga dandelion. Ingat tak ketika Hana Sofea menangis selepas melihat Haydar bersama wanita lain di lapangan terbang? Ketika itu Fido memujuknya dengan membuat perumpamaan dengan bunga dandelion. Rasa macam sweet sangat situasi tersebut.

"Look at this dandelion..."

Dia cabut sekuntum lagi bunga liar yang tumbuh melata itu. Bunga yang sudah kering.

"Kalau awak sayangkan bunga ini, awak akan biarkan ia terbang...walaupun menjauh...walaupun tidak bersama awak. But its the best for it. It will grow again. Will flower again...and all over again. It will charm you with its beauty. Love is not about possession.  Love is to let your loved one lead a happy life, no matter how that person chooses it. Not prioritising your happiness bur their happiness.  If not, don't call it love. Call it possession.  Selfishness...."

Semoga review novel 13 Jam A380 di atas sedikit sebanyak dapat memberikan gambaran plot dan jalan cerita novel ini. Saya tidak menghadapi masalah untuk memahami gaya bahasa dan tema yang ingin disampaikan oleh Evelyn Rose dalam novelnya ini. Semoga kita dapat mengambil pengajaran yang cuba disampaikan oleh penulisnya.

Review Novel 13 Jam A380 - Novel ini ditulis oleh Evelyn Rose. Mungkin beliau bukan penulis otai tetapi peminat karyanya bukanlah sedikit. ...
aynorablogs Dec 18, 2013
Oh! MyKarya!

Aku menunggunya di tempat biasa dan pada waktu yang sama. Begitulah hari-hari indah kami dilalui tanpa sebarang sengketa dan dendam. Tetapi aku perasan, semenjak akhir-akhir ini dia agak lebih terbuka dan sentiasa tersenyum. Hampir setiap hari gambar-gambarnya dikirimkan sebagai tanda ingatan kepadaku.




Namun di dalam hati selalu terdetik. Mengapakah kelakuannya berbeza daripada biasa semenjak kebelakangan ini. Apakah dia telah melupakan kesakitan dan kelukaannya? Apakah dia telah lali dengan dugaan yang merintangi hubungan ini. Entahlah...akhirnya pertanyaan demi pertanyaan yang bermain di benak fikiran aku biarkan sahaja berlalu ditelan angin lalu. Tidak terlintas di hati mahu bertanyakan kepada si dia. Biarlah kami melewati hari-hari bahagia ini bersama.

Suatu hari aku merajuk panjang kerana dia terlupa menyambut hari lahirku. Aku sangkakan dia terlupa mengucapkan kata-kata semangat buatku. Hinggalah aku mengingatkannya, barulah dia tersedar. Lantas kata-kata maaf dihulur hinggakan aku tidak berbekas marah pun padanya.

"Saya hadiahkan al Fatihah buat awak sempena hari lahir awak ini. Semoga selamat semuanya."

Dan yang indahnya surah al Fatihah itu dirakamkan agar aku dapat mendengarnya berulang kali bila rindu datang bertamu. Sungguh aku terharu dengan hadiah istimewa darinya itu. Begitulah masa berlalu dan kami masih saling memberikan semangat dan dorongan untuk meneruskan hidup ini.

"Saya akan sentiasa temankan awak dan saya selalu ada bila awak perlukan." Itulah kata-kata hikmah yang aku pegang bila hati di landa duka.

Tiga hari selepas insiden aku merajuk pada hari lahirku, pada suatu hari aku masih menerima kiriman gambarnya dengan senyuman yang indah. Sangat indah dan manis senyuman itu pada pandangan mataku. Tetapi sekali lagi aku terdetik dan merasa berdebar-debar. Apakah ini gambarnya yang terakhir yang dapat aku simpan dalam memori? Apakah dia mahu meninggalkan aku?

Akhirnya apa yang aku takuti terjadi jua. Takdir Tuhan yang telah menentukannya. Dia yang Maha Pengasih telah menarik semula kebahagiaan sementara yang aku rasakan, insan baik yang ada dekatku kini telah pergi. Pergi membawa diri yang masih mencari sebuah perjalanan suci. Dia pergi kerana demi kebaikan. Dia tinggalkan aku kerana dia sayangkan aku.

Segalanya telah tiada. Aku telah dipadam dari ingatannya. Segala media sosial dan telefon penghubung antara kami telah disekat dari diri ini. Aku hilang dia dalam sekelip mata. Selama tujuh hari tujuh malam aku bagaikan kapal hilang nakhoda. Hanya rakaman al Fatihah daripadanya menjadi teman di kala sedih dan duka.

Hanya al Fatihah itu yang mengubat kerinduan dalam diri. Dan aku sedekahkan juga al Fatihah buatnya agar dalam tak mengingati aku dia sebenarnya tidak pernah melupakan diri ini. Dan bila rindu, hanya al Fatihah aku hadiahkan buatnya, agar hidupnya sentiasa diselubungi warna-warna pelangi yang indah...

Sesungguhnya Allah memberikan sesuatu yang kita perlukan. Dan jika dia ambil semula insan baik dari hidupmu kerana Dia mahu tengok kita berubah dengan ikhlas keranaNya. Ikhlas menerima takdirNya...

Al Fatihah terakhir buatku...dari dia yang masih di hati!



Coretan:
Seorang kawan baik,
Aku, Disember 2013



   

Aku menunggunya di tempat biasa dan pada waktu yang sama. Begitulah hari-hari indah kami dilalui tanpa sebarang sengketa dan dendam. Tetapi ...
aynorablogs Dec 16, 2013
Oh! MyKarya!

Ku merasa telah kehilangan.

Perjalanan ini harus diteruskan. Langkah ini juga harus lebih kuat dan tabah. Usah ditoleh ke belakang lagi, kawan. Kerana setiap kali diri ini menoleh kepada kenangan, ia sekadar sebuah persinggahan. Biar pun hati telah lelah menangis kerana kehilangan ini tidak dijangka, harus reda juga menerimanya kerana itulah takdir yang telah Tuhan aturkan. Harus tabah melangkah walau airmata sesekali mengalir membasahi taman kenangan.




Tanpamu sepinya waktu!

Diri ini sekadar seorang teman pengganti, mungkin hanya seorang sahabat yang diperlukan ketika hatimu sedang terluka. Tetapi temanmu ini rela andai itulah niat kamu mendekati diri ini. Seorang sahabat sejati tidak pernah berkira, memang selalu ada di sisi saat diperlukan dan sering memberikan dan meminjamkan semangatnya buat kamu. Diri ini masih setia di sini walaupun jejak langkahmu semakin terhakis oleh ruang dan waktu. Namun, percayalah sahabat...diri ini menyusuri hari-hari yang sepi tanpa kamu di sisi.

Inikah dugaan sebuah persahabatan?

Sahabat ini masih menanti janji-janjimu, teman. Kamu tidak akan sesekali melupakan diri ini. Walau kamu terus menghilang, walau kamu tidak sudi menoleh ke belakang lagi, aku tetap percaya dan yakin pada janjimu. Jauh di sudut hati, aku percaya kau akan kembali menyuburkan kembali tali persahabatan ini.

Sahabatmu ini sekadar insan biasa. Umpama dandelion putih yang meniupkan angin gembira buat kamu yang mungkin sedang berduka. Jika kamu masih ingati diri ini, sesekali tolehlah ke belakang. Diri ini masih di sini, tidak ada sesiapa jadi pengganti tempatmu.

Teman sejati umpama matahari, malam dan siang tetap bersinar walau datangnya badai yang melanda. Teman sejati juga ibarat bintang malam, walaupun jauh sinarnya menerangi pelusuk taman hati.

Sebenarnya...diri ini mengharapkan kamu kembali! Itupun jika kamu masih sudi mendengar cerita suka duka temanmu ini.

Jika tidak...akhirnya aku kehilangan! Sekali lagi...


Ku merasa telah kehilangan. Perjalanan ini harus diteruskan. Langkah ini juga harus lebih kuat dan tabah. Usah ditoleh ke belakang lagi, k...
aynorablogs Dec 15, 2013
Oh! MyKarya!

Kita tak perlu mengalah.

Saat cinta menyapa hatimu, dunia terasa indah dan langkah yang di atur semuanya cukup sempurna. Hati berbunga bahagia, mentari bagaikan sinaran nyaman memayungi lembaran hari yang dilalui. Bahagia meresap di segenap alam, indahnya umpama dunia ini diri kita yang punya. Cinta membuatkan kita kuat. Cinta telah mencipta semangat tidak mengalah dalam dirimu.




Bila cinta telah didusta.

Hati merana bak dunia ini diselubungi awan kelabu. Diri merasakan dunia dipenuhi lebatnya hujan airmata yang tak mahu berhenti. Langkah yang di atur penuh bisa dan diri sentiasa rebah pada penyesalan yang tidak bertepi. Dedaun hijau kelihatan berguguran bak daunan kering yang bersepahan di jalanan, tanpa memberi sekelumit semangat untuk hidup walaupun untuk sehari lagi. Ketika itu, ingatkah kamu kepada Tuhanmu?

Sayang...kita tidak boleh bersama.

Ingatlah selalu pesanan para bijak pandai. Orang yang bijak adalah orang yang bangun semula setelah dikecewakan tetapi orang yang bahagia adalah orang yang tetap tabah walaupun beribu kali dikecewakan dan bangkit semula dengan harapan yang baru.

Kita tidak mungkin bersama kerana sudah ditakdirkan yang kita hanya layak sebagai kawan dan sahabat. Kita mungkin bisa membina harapan dengan hanya melalui jambatan persahabatan bersama dan bukan dengan menjadi teman sejiwa. Kerana sejarah silam begitu mencemburui kita hinggakan segala usaha dan impian untuk membina anganan indah diselubungi jalan yang tiada noktah.

Dan akhirnya, kita di sini membina jambatan kasih di atas tiket sebuah persahabatan sejati untuk selama-lamanya. Namun, Tuhan telah memberikan kita waktu untuk mencintai dan dicintai di atas jalannya yang suci.

Di akhir perjalanan ini, sebenarnya kita bahagia. Bukan kerana tak cinta maka kita tak dapat bersama. Tetapi sebaliknya takdir Tuhan menentukan kita lebih bahagia begini dalam tali silaturrahim yang bernama sahabat sejati.

Dalam setiap waktu yang hadir, Kau selalu wujud dalam hati kami yang berbahagia. Terimakasih Tuhan kerana tidak meninggalkan kami sendirian.

Kita tak perlu mengalah. Saat cinta menyapa hatimu, dunia terasa indah dan langkah yang di atur semuanya cukup sempurna. Hati berbunga bah...
aynorablogs Nov 17, 2013
Oh! MyKarya!

Waktu tidak berhenti walau sesaat untuk menunggu.

Seandainya masa lampau boleh di ulang dan diperbaiki, tentu diri ini orang pertama mahu memungut dan mentafsir kenangan silam dengan warna-warna suci. Tentu tiada istilah penyesalan dalam kamus hidup seorang aku. Tentu waktu ini aku tidak berasa terkilan kerana tidak sedar wujudnya kamu. Tentu tiada lagi janji yang terlepas demi tersilap mencatur perjalanan.




Sejujurnya...kita pernah terasa dan berasa kehilangan.

Percayalah teman..semua akan indah pada akhirnya. Dalam perjalanan panjang ini, sesekali toleh ke belakang kerana di situ pelajaran kita bermula. Dari situ jika ada duka yang bertakung, mari ubati dengan iman yang kukuh di hati. Detik dan waktu yang tak kembali itu kita gantikan dengan kecintaan pada takdirnya yang telah ditentukan.

Tiada duka yang abadi, satu saat kita kan merasai bahagia.

Andai kita bisa mengulang perbuatan sendiri yang sakit di hati pada orang yang telah merasai, tentu kita tidak ada peluang menikmati manisnya rasa sebuah insaf yang menggetarkan hati. Kenang relung silam dengan membasuh dosa silam, tadahkan ampunan kepadaNya, harap diterima jalan kembali seorang aku ini.

Percayalah pada hati yang meyakini.

Jaga hatimu sayang. Jika hati itu baik, maka baiklah tuannya. Jika hatimu buruk, maka buruklah diri kita,sayang. Hati yang baik adalah hati yang kenal penciptaNya.

Semua akan indah pada akhirnya.

Harapan untuk hidup bahagia di bawah lembayung kasihmu membawa aku ke mari. Mencari redamu dalam cubaan menggagalkan sebuah pencarian pada Nurmu ya Tuhan. Demi diri ini tidak mampu berseorangan, maka pimpinlah dia bersama aku ya Tuhan agar perjalanan penuh ranjau ini ada tangan yang menghulur saat aku terjatuh. Izinkan aku memohon padaMu ya Tuhan, aku bawa dia bersama-sama.Aku mrayu padaMu, bukakanlah pintu gelap dan terangi dengan limpahan cahaya taufik dan hidayah yang hanya Engkau Miliknya. Dengan penuh ikhlas aku meminta ya Tuhan, serahkan satu rasa reda dalam aku menunggu doa-doa ini Engkau tunaikan.

Tuhan, harap ampunkan hambaMu ini...

Waktu tidak berhenti walau sesaat untuk menunggu. Seandainya masa lampau boleh di ulang dan diperbaiki, tentu diri ini orang pertama mahu...
aynorablogs Nov 4, 2013
Oh! MyKarya!

Kau seperti udara yang ku hela, kau selalu ada..

Ketika tubuh ini terjaga lesu di sepertiga malam, mata yang separuh terbuka belum bisa membangunkan minda yang telah terlelap. Bagai ada sahutan semangat memanggil jiwa yang hampir rebah ini. Kau Maha membantu dan menolong aku, hambaMu yang reda dengan segala cubaan. Malamku tidak nyenyak, lantas Kau membangunkan aku pada sepertiga malam yang hening ini. Terima kasih Ya Tuhan, atas segala janji yang kau nukilkan...kerana aku sang pencinta dunia hampir lalai dengan segala amanahMu...

Aku mengadu kepadaMu kerana aku di tuduh bersalah...





Aku bukan tumbang kerana gagal...

Tetapi...inilah percikan amarah yang lahir dari jiwa yang kurang bijak. Aku terima segalanya dengan hati terbuka. Kawan, aku tidak tumbang. Jika itu yang terbuku, kau lepaskanlah. Namun, caramu tidak mengheret silaturrahim ini ke arah yang lebih baik. Kamu menggila, kamu mungkin pedih...tetapi kawan tiada sesiapa yang menjadi duri dalam daging. Tidak! Bukan aku atau dia...

Semuanya kerana sebuah janji.

Dia hanya menemaniku mencari kenangan silam. Dia sekadar teman menunjuk jalan yang terang. Dia adalah sahabat sejati yang tidak meminta-minta pada perhubungan dan silatuirrahim ini. Dan, kerana dia hanya mengharapkan yang baik-baik tergamakkah aku mahu memutuskan silaturrahim ini? Sampai hatikah kamu melihat tali Allah ini terlerai?

Aku tidak akan memutuskan ikatan ini!

“Barangsiapa yang suka dimurahkan rezekinya dan dipanjangkan usianya maka hendaklah dia menyambungkan kekeluargaan (silaturrahim).” (Hadits riwayat Muslim)

Demi diri ini menjalin perhubungan, hanya niat yang baik-baik sahaja pernah terbayang. Jika itu anggapan kamu terhadap aku, terpulanglah. Kita hanya bisa menjadi bijak dengan membuat pertimbangan yang adil terhadap sesuatu. Dan, sekiranya kata-kata itu membuatkan seorang kamu berasa puas...terpulanglah!

Kau selalu ada.

Diri ini tidak gentar dengan segala hinaan, kerana Kau selalu ada. Ya Tuhan...keberkatan hidup dan bahagia berjalan di atas muka bumiMu ini sudah mencukupi bagi seorang hamba yang lemah ini. Kerana percaya Kau selalu ada, aku tidak dihimpit sekelumit rasa tergugat. Hanya kerana percayakan takdirMu, cukup itu semangat buatku.

Kerana dia, seorang kamu bukanlah musuh bagiku.


Kau seperti udara yang ku hela, kau selalu ada.. Ketika tubuh ini terjaga lesu di sepertiga malam, mata yang separuh terbuka belum bisa me...
aynorablogs Oct 29, 2013
Oh! MyKarya!

Sedaya upaya aku cuba lepaskan rasa yang sedang bermaharaja lela dalam dada. Apakah ini rasa yang indah atau satu bebanan yang sukar ditanggung? Bagaimana rasa sesak ini hendak ku hela sedangkan sejak seharian hati ini telah lelah menanggung sesalan.



Aku yang terlalu beremosi.

Aku wanita yang memiliki jiwa yang sensitif. Mana mungkin perasaan ini kau permainkan hingga diri ini merasakan yang engkau sengaja menjemput gundah di dalam dada. Cukuplah penyeksaan selama ini yang aku tanggung seorang diri. Berikan aku ruang untuk bernafas dan melepaskan lelah ini yang telah menganggu ku seharian.

Kamu yang sedang memerhati...tolong lepaskan belenggu perasaan ini.

Perjalanan ini singkat dan izinkan aku mengutip bahagia dengan caraku sendiri. Jangan dibuang masamu yang berharga itu dengan memberikan harapan palsu. Seorang aku ini juga berhak mengintai secebis bahagia meskipun segala ranjau bagai sebati dengan diriku.

Lepaskan rasa ini

Hatiku telah lelah dengan sebuah rindu yang tidak terzahir. Aku ingin mengorak detik hati agar bahagia tidak menghalang lagi. Ada rasa ego yang mencengkam tetapi aku juga takut kehilangan. Antara kita, kau dan aku...menyimpan keegoan yang telah berzaman. Temanku...izinkan diri kita bahagia. Lepaskan rasa itu jika inilah langkah terakhir yang perlu kita akui.

Masa tidak zalim...

Pengalaman menjadikan kita dewasa, dan hubungan ini entah ke mana arahnya. Kawan...diri ini sekadar mampu mendoakan. Moga bahagia datang menjenguk dan derita bawalah ia pergi jauh-jauh dari hidupku.

Perasaan ini masih belum mengerti agaknya?

Sejujurnya. ..hati ini belum bisa melepaskan rasa yang menganggu. Jadi temanku...jadilah temanku di sepanjang jalan penuh ranjau dan liku ini.

Dan, kita masih sama-sama menunggu!

Sedaya upaya aku cuba lepaskan rasa yang sedang bermaharaja lela dalam dada. Apakah ini rasa yang indah atau satu bebanan yang sukar ditang...
aynorablogs Oct 25, 2013