Menu
Oh! MyKarya!

Ehsan Google


Lewat dingin pagi
Ramadhan sunyi tak sempat bernyawa
Deringan suara jerit dan tangis
Bergema menyambut ruang angkasa
Yang baru nak bermunajat
Memohon restu ibadah pada sang Penyayang!

Langkah songsang penzalim insan
Tak berhenti dikaki berduri
Menguak derita wanitanya
Membelah dada para penghuni syurga Illahi
Megah mendabik kejahatan sejagat

Malam seribu bulan yang Tuhan kurniakan
Menjadi malam penuh ratapan
Manusia dianiaya, teraniaya
Longlai jasad menghirup wangian darah
Lelah hati mengangkat takbir
Memisah kasih dunia dan barzakh
Kasihi kami...ya Rabbi

Panggilan seruan
Perjuangan berterusan memakan tahun
Gerakan padu mengelap tangisan
Dengan lailatul qadar diharap ampunan
Pada Tuhan memohon keajaiban
Pengkahiran yang manis di hari kemenangan
Pencinta agamaMu bertakbir penuh rahmat.

Jika ada belas kasihMu
Ramadhan ini dinanti lagi
Menjelang tahun baru mendatang
Gantikan airmata dengan senyuman
Ampunan rahmat kemanisan
Dengan derita hati dibawa mati
Hingga Engkau menjemput kami...

Jika tidak
Peluklah Kami wahai Tuhan
Dalam kasih memberi keajaiban
Memadam terus manusia-manusia penzalim
Dari bumi Kami...


Tangisan dari hati,
Aynora.nur

Ehsan Google Lewat dingin pagi Ramadhan sunyi tak sempat bernyawa Deringan suara jerit dan tangis Bergema menyambut ruang angkasa ...
aynorablogs Jul 15, 2014
Oh! MyKarya!

Ehsan Google

Bukan bicara senyum bercerita
Ada dalam kisahnya yang lama
Bual kosong yang tergugah
Pada sinar redup yang mencelah
Usik kerdipan mata terpanah
Sedang sedih itu bertamu tak sudah...

Sesekali derap nafas wanita
Mencabar debar deria kasih
Mengelap leka titis jernih
Yang ada, sesekali tiada
Punya siapa lelah menunggu
Setahun berlalu rindu bertamu

Senyum itu berbisik merdu
Mengusap derita cinta terhenti
Di hujung usia ceritera tak lupa..

Wanita itu ada kisahnya
Senyum bernoktah di jari masa
Berlalu menatap mentari bersinar
Memanggilnya kekasih tapi tak berharap!

Nukilan:
aynora.nur

Ehsan Google Bukan bicara senyum bercerita Ada dalam kisahnya yang lama Bual kosong yang tergugah Pada sinar redup yang mencelah Us...
aynorablogs Jun 26, 2014
Oh! MyKarya!

Sabar adalah harta yang menguntungkan

Marah adalah sifat manusia yang lemah. Kerana lemahnya kita, seringkali jiwa menjadi tumbang angkara sedikit dugaan. Dendam bermaharajalela lantaran sebuah kehendak yang gagal. Kita tidak boleh terus terusan leka, hanyut diamuk rasa amarah. Bukankah Tuhan ajarkan kita supaya sabar? Sabar bukannya emas yang boleh kita bangga-banggakan, jauh sekali untuk bermegah diri. Sabar itu sebutir harta, yang jauh di sudut hati menjadi batas dan asas sebuah tindakan paling tenang. Reda lah...




Teman yang paling akrab adalah amal

Hidup yang dijalani, di mana rezeki dikutip buat mengalas perut hingga ke petang, pernahkah sedetik terlintas pada fikiran. Ada atau tidak rezeki yang sedikit itu kita syukuri? Pernahkah tanpa kata, sedekah dihulur buat mereka-mereka yang hanyut hidupnya. Lemah langkah tiada bekalan. Tegarkah kita menderum dalam dingin kereta mewah, membiarkan tangan-tangan lesu meminta sesuap rezeki kita? Amalan yang akrab yang sering kita pasungkan pada hati, pada langkah, pada tubuh, pada lidah dan juga pada mata...siapakah mereka? Siapakah teman akrab kita? Tanyakan iman, di mana diri kita di setiap hari baru bermula.

Diam lebih berharga untuk mengawal diri 

Dalam perjalanan yang berliku, menempuh cabang dugaan dan cabaran tentunya kita pernah sesekali terlajak kata dan laku. Buat apa dilayan ombak fitnah dan angin lalu yang membawa berita bisu. Diamkan sahaja semua itu. Berbalas kata dan kejian yang tak berilmu hanya membawa hati semakin kelam. Hitam itu tidak membawa keberkatan pada hati, semakin kita berbalah-balahan...fitnah menjadi biasa. Akhirnya dosa menjadi bekalan sedangkan diam boleh menghadiahkan sinar pahala buat kita, buat kamu...

Bahasa yang paling manis adalah senyum

Senyum ibarat cahaya matahari pagi bagi sebuah kehidupan yang baru bermula. Senyum punya pancaran dan pesonanya yang tulus menjadi teman sepanjang hidup, selagi ada nyawa yang dikandung badan. Senyum adalah bahasa tubuh, menggambarkan hidup bahagia insan. Jika senyum boleh mengubati lelah di sepanjang perjalananmu...kutiplah senyuman itu walau di mana kaki melangkah. 

Senyuman yang ikhlas menjadi indah dan lontaran bahasa yang mudahnya untuk dihadam oleh perasaan seorang manusia.

Diam dan sentiasa tersenyum...mencambahkan sifat sabar yang indah! Begitulah hidup berpusing dengan waktunya...

Sabar adalah harta yang menguntungkan Marah adalah sifat manusia yang lemah. Kerana lemahnya kita, seringkali jiwa menjadi tumbang angkar...
aynorablogs Jun 11, 2014
Oh! MyKarya!



Dikala hati terusik
Ketika diri dicela
Saat keikhlasan menjadi keruh
Waktu itu hibanya hati,
Pertahan niat yang tulus
Telah disalaherti...

Hati yang luka
Telah menangis tak nampak dimata
Berkecai seribu retaknya
Berderai seribu percaya
Yang diharap mampu membawa
Sinar bercahaya

Jika ini jalan yang Dia rancangkan
Hati yang menangis berpaut kasih
Hening ikhlasnya membasahi bumi
Tika subuh singgah temani pagi..

Hati yang menangis
Masih hiba dalam harapan
Bahagia dalam dunia putih
Mencintai TuhanNya penuh kasih...

Aynora.Nur | Mei 2014

Dikala hati terusik Ketika diri dicela Saat keikhlasan menjadi keruh Waktu itu hibanya hati, Pertahan niat yang tulus Telah disal...
aynorablogs May 16, 2014
Oh! MyKarya!

Novel memang tidak dapat dipisahkan daripada salah satu hobi saya. Yang nipis, tebal, Kisah cinta, misteri, lucu, penyiasatan dan berbagai genre saya boleh baca, tak kisahpun...yang penting ia ada tema, bahasa yang bagus dan jalan cerita yang berbeza-beza.

Saya baru membeli novel berikut di MPH tetapi hanya sempat membelek kulit depan dan belakang novel sahaja. Apalah nasib badan, kerjaya memerlukan komitment yang lebih buat masa ini...

Karya yang saya pilih:

1. Dekatnya Cinta ~ Aisya Sofia
2. Arluna ~ Rin Ahmad
3. Kau Kekasih Gelapku ~ Que Sera Sera




Mungkin anda semua sudah tahu Dekatnya Cinta adalah novel sambungan Adam Dan Hawa yang pernah melonjak drama bersirinya satu ketika dahulu. Manakala Arluna adalah karya penulis yang agak baru dan banyak menghasilkan e-novel di blognya. Bagi novel Kau Kekasih Gelapku, saya tidak mengenali penulisnya tetapi yang pasti ia sebuah karya novel bertemakan fantasi. Mungkin satu penerokaan novel yang baru bagi saya dan kena biasakan dengan imej, dunia, watak, bahasa yang agak sedikit aneh mungkin yang boleh dibayangkan dalam khayalan sahaja.

Dan mungkin jika masa mengizinkan, saya akan buat sedikit review tentang ketiga-tiga novel yang saya beli itu.

Namun dalam kesibukan membaca karya orang lain, saya musykil juga mengapa ilham dan mood menulis saya seakan tidak mahu menjelma dan berkawan dengan saya? Adakah kekangan masa, persekitaran, atau bakat menulis saya telah hanyut di laut China Selatan? Haha...

Semoga satu masa, satu ketika dan pada masa yang betul saya akan menulis semula dengan karya yang lebih segar. Inilah harapan saya...

Novel memang tidak dapat dipisahkan daripada salah satu hobi saya. Yang nipis, tebal, Kisah cinta, misteri, lucu, penyiasatan dan berbagai g...
aynorablogs May 1, 2014
Oh! MyKarya!

Ada sesuatu yang belum kesampaian. Pernah satu ketika aku berhajat menyampaikan sesuatu. Waktu itu tiada sengketa yang melanda sebuah persahabatan itu. Sesuatu yang ingin disampaikan adalah sebuah buku untuk perkongsian denganmu, sahabat...




Sebuah Kisah BUMI CINTA yang mengajarkan kita untuk  tabah dalam perjuangan mempertahankan agama Allah walau di mana kita berada. Segala cabaran, cacian, hinaan, dugaan, godaan dan amalan yang kita pegang di bumi Tuhan, mampukah kekal dihati sampai mati?

Bila jarak dan jurang waktu memisahkan kita, apakah cara terbaik untuk sahabat ini menyampaikan hadiah tersebut. Atau kamu sudah tidak inginkan lagi pemberian tanda ingatan ini?

Pada Tuhan aku selalu bertanya. Relevankah aku menyimpan persahabatan kita kerana biasanya aku yang ternanti-nanti khabarmu. Haruskah hadiah yang masih tersimpan di biarkan sahaja sehingga satu waktu kamu datang mengambilnya? Sehingga ada ingatanmu pada seorang sahabat baik yang masih belum berhenti menunggu?

Kau Selalu Ada Dalam Doa-Doaku...

Namun usah bimbang, sahabat. Mungkin ada hadiah yang tertangguh yang belum kesampaian. Mungkin ada pertanyaan demi pertanyaan yang malu untuk kau tanyakan.

Semua itu ada jawapannya, ada kamu, ada namamu dalam doa-doaku. Yang ini adalah hadiahku yang tidak pernah tertangguh!

Kerana kita belum pasti ada jodoh pertemuan selepas ini. Dan hanya kepada Allah aku serahkan sebuah hadiah untukmu, yang masih tertangguh hingga saat dan ketika ini.

Semoga ada takdir untuk kita, moga ada waktu untuk Bumi Cinta ini...


Ada sesuatu yang belum kesampaian. Pernah satu ketika aku berhajat menyampaikan sesuatu. Waktu itu tiada sengketa yang melanda sebuah persah...
aynorablogs Apr 21, 2014
Oh! MyKarya!

Warna pelangi itu indah.

Ketika kesusahan membelenggu, tepu sebuah rasa yang girang dulu-dulunya. Mencari satu warna buat teman duka pun sukarnya hendak diteka. Jika diberi sebuah ilmu, mana satu yang aku rebutkan? Duhai hati, kau perlukan kawan atau lawan? Kerana itu aku derita kerana temanku adalah seorang lawan yang tidak membawa ruang cahaya menyelinap masuk pada hati yang bungkam.




Pada cahaya pagi yang terang datang pelangi tujuh warna menyimbah ruang silau mata. Waktu itu hidup bagaikan pengembara baru yang diberi seteguk air. Betapa tenangnya dan nyaman sebuah rasa yang tak terhitung dengan kata-kata. Lalu dugaan apakah lagi yang engkau cuba nafikan?

Warna pelangi itu indah kerana ada tujuh warna. Tetapi mengenali kamu kawan, melahirkan beribu warna dalam hidup seorang aku. Mengenali seorang teman yang mesra seperti kamu menjadikan hidup ini lebih berwarna warni dengan pelbagai cerita dan tawa. Hidup ini penuh dengan gurauan sebenarnya...

Dalam hidup ini jika kita menginginkan harapan itu wujud seperti indahnya pelangi, maka kita bersiaplah menghadapi hujan yang bertali arus sebagaimana lebatnya hujan, lalu bila ia berhenti menghasilkan sebuah keindahan pelangi yang manis.

Jika kamu inginkan bahagia, lalui cabaran petir dan guruh yang melintasi perjalananmu. Sabarlah...nanti bila saatnya tiba, Allah hadirkan kejayaan dan kebahagiaan seindah pelangi di waktu pagi.

Memaafkan itu dendam yang terindah!  

Warna pelangi itu indah. Ketika kesusahan membelenggu, tepu sebuah rasa yang girang dulu-dulunya. Mencari satu warna buat teman duka pun s...
aynorablogs Apr 16, 2014
Oh! MyKarya!

Bumi tandus dibasahi hujan lagi.

Riak sang damai mengusik merahnya hati yang sedang diamuk dendam. Kerana sifat dendam itu amat kejam dan merubah sebuah kehidupan aman damai. Menangis biarlah berlalu dengan nyaman, biarkan hati terpujuk sendiri demi masa dan ruang waktu yang tertinggal.



Menyimpan sebuah dendam membuatkan hati bertambah hitam. Semua yang kau sayangi bagai tak berguna lagi dalam hidupmu. Amukan bernanah menjadi usia semakin pendek jaraknya. Apalah nanti nasib sang kekasih hidup andai pergimu nanti berbekas kata nista? Kasihan dan sayang mungkin bertukar keruh bak air yang coklat warnanya langsung tak boleh dicuci...

Dendam tak baik buat kita, kita semua ada akal fikiran dan masa. Biarlah jarak dan ruang waktu memujuk hatimu. Siapakah dia bagimu melainkan benda yang lepas. Ambillah hikmah dari kesakitan lalu kerana usah bimbang kamu terus gagal dan tidak mampu bangun semula. TUHAN bersedia setiap saat membantu dan menunjukkanmu jalan...

Dendam ini biarlah leraikan satu persatu...

IMAM Ghazali berpandangan bahawa iman yang sempurna adalah menyucikan hati daripada sifat keji dan menanamkan segala sifat terpuji. Hati yang bersih akan melahirkan perlakuan yang baik dan selamat pada landasan yang betul dalam amalan agama.

Firman Allah yang bermaksud:

"Sesungguhnya perbuatan berbisik (dengan kejahatan) itu adalah daripada (hasutan) syaitan, untuk menjadikan orang beriman berduka cita; sedang bisikan itu tidak akan dapat membahayakan mereka sedikitpun melainkan dengan izin Allah; dan kepada Allah jugalah hendaknya orang beriman berserah diri." (Surah Al-Mujadalah, ayat 58)

Bumi tandus dibasahi hujan lagi. Riak sang damai mengusik merahnya hati yang sedang diamuk dendam. Kerana sifat dendam itu amat kejam dan ...
aynorablogs Apr 10, 2014
Oh! MyKarya!

Menanti di tebing hari.

Sebuah jawapan telah diurai. Tetapi mengapa hati masih tak bisa menerima hakikat? Mengapa bibir masih penuh mengharap. Apalah agaknya yang masih dinanti. Hari telah pun berganti. April tak sabar untuk menjengah. Mengapakah kau masih di situ berteleku?




Seperti mereka, aku, kamu dan dia...titian ini semakin usang. Tempat kita bergantung harap seolah menceritakan derita yang amat pedih. Jika kita tidak beralih arah dan membina dahan serta teduhan baru, aku bimbang kita ikut basah oleh gelora kehidupan yang kian mengganas. Waktu itu tiba, jangan pula kita menuduh orang lain bersalah!

Tuhan tidak akan mengubah nasib seseorang...

Memang percaturan dan perancangan Allah yang paling indah. Saat kita mencari arah dan tujuan hidup, dia datangkan kita dengan pelbagai pilihan. Justeru, kita lah yang memilih sebuah pelabuhan yang damai untuk kita mulakan sesuatu. Andai emosi yang memimpin jalanmu, aku takut kamu akan menyesal. Gunakan akal dan hati yang tenang demi memberikan arah yang lurus, jalan yang diredai...

Kita sering di berikan pilihan yang betul tetapi mengapa masih memilih lorong gelap bagi meneruskan perjalanan?

Di akhir perjalanan ini aku hanya boleh menyatakan, Dan kepada TuhanMu, berserahlah!


Menanti di tebing hari. Sebuah jawapan telah diurai. Tetapi mengapa hati masih tak bisa menerima hakikat? Mengapa bibir masih penuh mengha...
aynorablogs Mar 26, 2014
Oh! MyKarya!

Biodata Dato' Seri Hishamuddin Hussein - Sebelum beliau memulakan kerjaya politik beliau, Hishammuddin merupakan bekas seorang peguam dengan firma besar Malaysia yang kemudian dikenali sebagai Skrine & Co (kini dikenali sebagai Skrine) dan kemudian, sebuah firma yang kemudiannya dikenali sebagai Lee Hishammuddin (kini dikenali sebagai Lee Hishammuddin Allen & Gledhill).

Hishammuddin merupakan anak kepada Tun Hussein Onn, Perdana Menteri Malaysia ke-3 dan cucu kepada Onn Jaafar, pengasas UMNO dan pejuang kemerdekaan Malaya.

Sumber: Google


Biodata Datuk Seri Hishamuddin Hussein


Beliau mendapat pendidikan awal di Sek. Ren. St. John's Kuala Lumpur dan Kolej Melayu Kuala Kangsar sebelum ayahnya dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 1973. Setelah perlantikan jawatan dilakukan ke atas ayahnya, beliau menuntut ke Sekolah Alice Smith, Kuala Lumpur sebelum ditukarkan ke sebuah sekolah swasta. Kemudian, beliau melanjutkan pengajian tinggi ke Universiti Wales, Aberystwyth, United Kingdom dan dianugerahkan Ijazah Undang-Undang (LL.B Hons) pada tahun 1984. Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana dan memperolehi LL.M (London) dalam bidang Undang-Undang Komersil dan Korporat pada 1988 di Sekolah Ekonomi London, United Kingdom.

Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein (lahir 5 Ogos 1961) ialah seorang ahli politik dan ahli Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO). Beliau telah berkhidmat dalam kerajaan Malaysia sebagai Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri sejak 2009, sebelum ini beliau adalah Menteri Pelajaran dari tahun 2004-2009. Beliau telah disebut sebagai kemungkinan pengganti kepada sepupunya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Beliau adalah anak kepada Perdana Menteri Malaysia ketiga, Tun Hussein Onn dan anak saudara Perdana Menteri Malaysia kedua,Tun Abdul Razak.

Isterinya, Yang Mulia Tengku Datin Seri Panglima Marsilla Tengku Abdullah, adalah seorang puteri dari negeri Pahang, Malaysia. Hishamuddin dan Yang Mulia Tengku Datin Seri Panglima Marsilla telah dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Nasha Alyssa,Faris hussien,Kyra Arianna dan Fahd Hussein.Anak sulung Hishamuddin hussein iaitu Nasha Alyssa merupakan menantu kepada Datuk Khalid Muhd Jiwa (Datuk K).

Kerjaya Politik:
  • Setiausaha Parlimen Kementerian Perdagangan Luar Negara dan Industri (11 Mei 1995 hingga 18 August 1997)
  • Timbalan Menteri di Kementerian Perusahaan Utama, Malaysia(18 Ogos 1997 hingga 5 December 1999)
  • Menteri Belia dan Sukan (1999 hingga 2004)
  • Menteri Pendidikan (2004 hingga 2009)
  • Menteri Dalam Negeri(10 April 2009 hingga sekarang)
  • UNESCO Ahli Lembaga Eksekutif (2008 - 2009)
  • SEAMEO Council- Timbalan Presiden (March 2007 - March 2008)
  • SEAMEO Council- Presiden (March 2008 - March 2009)
  • Pemangku Menteri Pengangkutan (2013 hingga kini)

Datuk Seri Panglima Hishammuddin adalah anak kepada Tun Dato' Hussein Onn, Perdana Menteri Malaysia ke-tiga Malaysia dan cucu kepadaDato' Onn Jaafar, yang juga merupakan pengasas UMNO. Hishamuddin juga adalah sepupu kepada Perdana Menteri Malaysia, Najib Tun Razak.

Isteri beliau, Yang Mulia Tengku Datin Seri Panglima Marsilla Tengku Abdullah, Puteri Raja Pahang, Malaysia.

Sumber: Wikipedia

Biodata Dato' Seri Hishamuddin Hussein - Sebelum beliau memulakan kerjaya politik beliau, Hishammuddin merupakan bekas seorang peguam d...
aynorablogs Mar 17, 2014